BAB 14

Horror & Thriller Completed 2943

“Orang hina aku! Hina rupa aku! Hina kerja bapak aku! Kau tak rasa semua tu! Mereka tak tahu, kalau mereka mati, siapa yang akan gali kubur mereka?Siapa? Bapak aku! Tapi bapak aku dah tak ada. Jadi, akulah yang paling layak untuk tanam mereka dalam keranda yang mereka dah tempah siap-siap!” Hilang terus panggilan hormat Yanto terhadap gurunya itu.

Dalam keadaan terhuyung-hayang, Yanto berjalan menuju ke suatu sudut. Muzik instrumental Caravansary kembali bergema.

“Saya suka muzik ni. Cikgu mesti suka juga kan? Saya tahu cikgu akan jaga saya... akan kahwin dengan saya kan? Cikgu dah janji!” Watak Yanto tiba-tiba bertukar semula. Dia kemudiannya merapati Cikgu Hailey. Dicumbu-cumbu wajah putih gebu Cikgu Ayu. Alan dan Aniff yang turut melihat sekadar melolong sendiri. Mereka tidak mampu berbuat apa-apa.

“Mengucap Yanto ! Saya ni isteri orang! Jangan hina saya sampai macam ni! Saya takkan jadi isteri awak sampai bila-bila! Saya dah ada suami! Dah nak ada zuriat pun! Tolong lepaskan saya, Yanto ! Lepaskan!”

Yanto sekadar tersenyum. Dia berjalan menuju ke suatu arah. Berdencang-dencang bunyi pedang tatkala Yanto mencapainya. Pedang itu dibawa ke tengah lalu dihayun perlahan ke arah perut Cikgu Hailey. Cikgu Hailey terus menunduk sambil mulutnya terkumat-kamit memohon pertolongan kepada Yang Maha Berkuasa.

“Cikgu nampak keranda-keranda tu?” Yanto memuncungkan bibirnya ke arah dua buah keranda yang masih kosong.

“Sebenarnya, salah satunya untuk Mutalib. Tapi saya tahu, Mutalib dah mati. Dan kalau dia masih hidup pun, saya mungkin takkan seksa dia macam saya seksa ‘manusia-manusia’ tu! Sejahat-jahat Mutalib, dia masih ada belas kasihan.” Yanto terus bermain-main dengan rambut Cikgu Hailey.

“Terlupa pula saya... ada satu lagi keranda kosong. Cikgu nak ke keranda tu?” Kali ini degupan jantung Cikgu Hailey makin kuat bergoncang. Dia tidak mahu perkara yang lebih buruk terjadi. Mukanya membiru takut.

“Keranda tu saya tak buat untuk orang yang saya sayang dan cintai. Cikgu tahu apa yang saya rasakan sekarang? Saya rasa, saya dah cukup puas hidup dengan hanya menelan caci-maki dan hinaan manusia. Kasih sayang dan cinta terlalu jauh untuk saya miliki. Jadi, untuk apa lagi saya teruskan kesakitan ini? Kan?” Yanto kembali bermain-main dengan pedangnya.

‘Zappp!’ Sebilah pedang sudah tertusuk jauh ke perut Yanto. Ditarik keluar hulunya. Sesaat, Yanto kembali membenam mata pedang itu ke tempat yang sama. Darah merah berhamburan ke segenap sisi. Tidak kurang juga terpalit pada perut Cikgu Hailey yang membunting. Alan dan Aniff yang bila-bila sahaja akan mati turut sama mengunyah hanyir darah. Yanto jatuh terjelepok. Tangannya menggeletar menahan sakit. Akhirnya, Yanto terbaring dengan matanya sekejap terpejam, sekejap dibuka semula.

Yanto terus tersenyum sambil menudingkan jari ke arah kerandanya. Muzik instrumental Caravansary terus bergema, mengiringi hayat Yanto yang cuma tinggal sesaat sahaja.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience