KELUHAN panjang terpacul daripada mulutnya memikirkan tentang keputusannya bersetuju hendak berkahwin selepas dia tahu mengenai latar belakang keluarga bakal suaminya.
Sejujurnya, dia sangat tidak berkenan dengan anak-anak daripada golongan tersebut sejak dulu lagi. Memikirkan dia akan berkahwin dengan lelaki daripada golongan tersebut, dia tidak berasa teruja langsung, tetapi sebaliknya.
Manakan tidak, semua anak-anak Dato' yang pernah dikenalinya ketika menuntut di universiti dulu dilabelkannya sebagai lelaki tidak bertanggungjawab dan suka mempermainkan wanita.
Bukan itu sahaja, baginya, anak-anak Dato' semuanya berlagak dan sombong, termasuklah anak kepada pemilik syarikat tempat dia bekerja sekarang. Bukan sekadar andaian, tetapi itulah realiti yang dilihat dan disaksikannya sendiri.
"Anak-beranak tu mana, mak? Sejak Eyra sampai pagi tadi, sampai sekarang tak nampak lagi batang hidung, dah keras jadi batu dalam bilik ke?" soal Eyra Zafira dengan nada menyindir sambil menyusun gelas di dalam talam bulat lebar.
Puan Akma melepaskan keluhan selepas mendengar kata-kata Eyra Zafira, faham sangat anaknya itu tidak menyukai suami baru dan juga dua orang anak tirinya sejak dia berkahwin semula enam tahun lepas. "Diorang tahu je keluarga bakal suami Eyra nak datang tengah hari ni, tapi awal-awal pagi lagi ayah dah turun ke ladang kelapa sawit. Fuad pula pergi ke program Hari Keluarga anjuran syarikat tempat kerja dia."
"Eyra tak kisah pun kalau dia orang ada atau tak masa bakal family-in-law Eyra sampai nanti. Hmm, jadi, Puteri Lilin sund..." Cepat-cepat Eyra Zafira mengemam bibirnya untuk menghalang mulutnya daripada meluncurkan perkataan kurang sopan itu di depan ibunya, lantas dia berdeham dan berlagak tenang. "Puteri Lilin kesayangan bapa tu pula, mana?"
Puan Akma menggeleng-geleng kecil. Bukannya dia tidak tahu perkataan apa yang hendak disebut oleh anaknya itu tadi. Lagipun, dia tahu apa yang berlaku di antara anak kandung dan anak tirinya itu setahun yang lepas sehingga pergaduhan besar yang melibatkan kekasaran fizikal tercetus.
"Nadra dalam bilik. Macam biasalah, tidur. Petang nanti, dia keluarlah tu."
"Hidup menyusahkan orang je!" Eyra Zafira menggumam geram sambil melangkah menuju ke ruang tamu membawa gelas yang disusunnya tadi.
- - - - - -
"BAKAL menantu saya ni jumpa ke tak jalan nak pergi sini ni? Takut sesat pergi ke negara jiran je," seloroh Puan Akma disusuli tawa. Sudah hampir satu jam berlalu, tetapi bakal menantunya masih belum muncul-muncul lagi.
"Tak tahulah budak ni. Sekejap, saya call," kata Datin Amalina seraya mengeluarkan telefon pintar dari beg berjenama mahal miliknya.
Eyra Zafira yang sejak tadi bersembang dengan adik-beradik bakal mentuanya, tiba-tiba merapati Puan Akma. "Mak, Eyra nak pergi ke tandas sekejap." Tanpa menunggu balasan daripada ibunya, Eyra Zafira segera berjalan menuju ke dapur dan lurus menuju ke pintu belakang kerana tandas rumah itu terletak di bahagian belakang atau lebih tepat lagi, di luar rumah.
Seusai melaksanakan hajatnya, Eyra Zafira tidak terus masuk ke dalam rumah, tetapi dia terus menuju ke pangkin kecil yang terletak di bawah sebuah pohon rambutan yang agak rendang di tepi rumah.
"Wuih, lebatnya buah! Tak perasan pula masa aku sampai pagi tadi," ujarnya sendirian sambil mencapai beberapa biji buah rambutan masak yang boleh dicapai begitu sahaja, lantas dia duduk di atas pangkin.
Sedang menikmati buah rambutan, dia memerhati sekumpulan anak-anak muda daripada sebelah pihak keluarga bakal suaminya yang sedang ralit bersembang di luar rumah tidak jauh dari kedudukannya. Tetapi, dalam ramai-ramai anak muda itu, ada seorang lelaki yang sejak tadi memandangnya dengan muka serius sambil duduk berpeluk tubuh di kerusi balkoni rumah bertingkat bawah batu atas papan itu.
Pada mulanya, dia tidak peduli dan terus melahap dengan gelojoh sebiji demi sebiji buah rambutan yang diambilnya tadi, tetapi selepas beberapa ketika, dia melihat lelaki tadi masih memandangnya.
"Eh, kau apa hal tengok aku macam tak puas hati ni, hah! Kalau teringin, datanglah sini ambil sendiri!" gumamnya dengan suara perlahan. Jelingan dilemparkan kepada lelaki tersebut, kerana dia berasakan cara lelaki itu memandangnya tampak sangat sinis dan berlagak, lantas dia cepat-cepat menghabiskan buah rambutannya.
Sekali lagi dia memandang lelaki tersebut setelah dia turun dari pangkin dan ternyata lelaki itu masih juga memandangnya seperti tadi. "Aku cucuk mata tu karang, baru tahu!" gumamnya, lalu dia mula melangkah hendak masuk ke dalam rumah, tetapi dia menoleh semula memandang lelaki tadi.
Tiba-tiba, dia menjulingkan matanya sambil menggerenyotkan bibirnya dengan muka mengejek, lalu dia segera berlari anak menuju ke pintu belakang sambil tersenyum puas. "Nak sangat tengok orang dengan muka poyo macam tu kan? Ambik kau!"
"Ha, tu pun Eyra," kata Puan Akma setelah Eyra Zafira muncul menyertai mereka semula di ruang tamu. "Lamanya pergi tandas, buang batu ke?"
Eyra Zafira tersengih-sengih sambil menggaru lehernya yang tidak gatal dengan anak mata yang menghala kepada bakal ibu mentuanya yang turut tersengih.
"Eyra pergi petik buah rambutan, lepas tu makan kat pangkin sekejap," jawab Eyra Zafira seraya melabuhkan punggung di sebelah ibunya.
"Afif, pergi panggil Abang Zul, suruh masuk," kata Datin Amalina kepada seorang remaja.
"Okey, mak ngah," balas remaja tersebut, lalu dia segera menuju ke luar dan tidak lama kemudian dia masuk bersama dengan seorang lelaki.
Eyra Zafira membulatkan matanya sebaik sahaja dia melihat lelaki yang baru masuk itu, lalu dengan pantas dia menunduk sambil menggigit-gigit bibirnya. Alamak! dia ni bakal suami aku ke? Ah, sudahhh! Awal-awal lagi aku dah cari pasal. Eh, lantaklah! Salah dia juga, siapa suruh tengok aku macam tu tadi!
"Zul, inilah bakal isteri Zul, cantik kan? Dahlah cantik, sopan dan pandai masak pula tu," kata Datin Amalina dengan muka bangga. Dia pula yang berasa teruja.
Sopan? Eyra Zafira hampir sahaja tercekik dengan air liurnya sendiri selepas mendengar pujian daripada wanita itu. Perlahan-lahan wajahnya diangkat dan melirik wajah dingin bakal suaminya. Mesti dia nak tertelan halkum dia yang besar macam buah rambutan tu dengar mak dia puji aku sopan kan? Otaknya ligat memutarkan semula peristiwa di tepi rumah tadi.
- - - - - -
"FUH, selesai juga akhirnya!" keluh Eyra Zafira sambil menghenyakkan punggungnya di atas sofa.
Segala bekas lauk pauk, pinggan mangkuk dan periuk belanga yang digunakan tadi, sudah selesai dibasuh dan disusunnya. Penat usah dikata, penat yang teramat sekali! Peluh yang merenik di dahinya diseka, lalu dia menyandarkan tubuhnya sambil menutup mata.
"Eyra dah zohor ke?" soal Puan Akma yang baru keluar dari biliknya seusai solat.
"Jap lagi, mak." Eyra Zafira menjawab dengan suara lemah dan malas-malas dalam keadaan mata masih terpejam. "Nak hilangkan penat ni dulu, segala sendi dan tulang belulang pun rasa macam nak tercabut dah ni."
Puan Akma tersenyum, seraya melabuhkan punggungnya di sebelah anaknya. "Macam mana? Okey tak pilihan mak? Orang tu dahlah kacak, tenang je bila bercakap kan? Datin Lina cakap, Zul tu jenis orang yang bertanggungjawab dan berkomitmen tinggi dalam setiap perkara yang dia buat tau."
Serta-merta Eyra Zafira membuka mata dan menegakkan duduknya. "Tenang? Perkataan ya dan okey je dia dok ulang-ulang cakap selama satu jam lebih tadi, mak. Dua perkataan tu je ke dia boleh cakap dalam hidup dia? Tenanglah sangat! Cara dia tengok orang pun macam nak telan je orang hidup-hidup!"
Terhambur tawa Puan Akma selepas mendengar kata-kata anaknya. "Biasalah tu, Eyra, baru pertama kali berjumpa kan? Masih malu-malu lagi. Nanti lepas dah nikah dan mula bercinta, okeylah tu. Berdasarkan cerita daripada datin, bakal menantu mak tu jenis yang menurut dan patuh pada orang tua tau," pujinya lagi sambil mengukir senyuman teruja dan bangga.
"Anak mak ni mak tak bangga ke? Anak mak ni pun jenis patuh jugakan? kalau tak, tak adalah anak mak ni setuju nak kahwin dengan pilihan mak tu," balas Eyra Zafira dengan muka pasrah. Walaupun, dah nampak dah kerek mamat tu! Macamlah aku hairan dengan muka dan latar belakang dia tu! lanjutnya dalam hati disusuli dengan keluhan geram.
"Eh, mestilah mak bangga dengan anak mak!” Tiba-tiba, riak wajah Puan Akma berubah sugul. “Kalau Irsyad masih ada…”
“Mak.” Laju Eyra Zafira memintas percakapan ibunya dan memegang bahu wanita itu, lalu wajah yang sudah sedikit berkedut dimamah usia itu direnung dengan muka serius. “Tolonglah, mak. Jangan cakap perkara yang buat mak sedih, tak elok untuk kesihatan mak."
Cepat-cepat Puan Akma memaniskan semula wajahnya. “Okey, okey, mak tak cakap.”
“Macam tulah, baru awet muda,” kata Eyra Zafira sambil mengerling sekilas jam dinding di ruang tamu itu, lalu dia bingkas berdiri. “Okeylah, mak, Eyra nak pergi solat dulu.”
“Ha, yalah.” Puan Akma tersenyum sambil memerhati anaknya menuju ke dapur untuk mengambil air sembahyang.
** Satu Bulan Kemudian **
“SAH!”
Dua orang lelaki yang duduk di samping pengantin lelaki saling berpandangan. “Sah? Sah, sah!” Terangguk-angguk kepala dua orang saksi itu.
“Alhamdulillah!” Serentak semua tetamu yang hadir di masjid itu mengucapkan rasa syukur di atas pernikahan yang telah dimeterai dengan lafaz akad nikah sebentar tadi.
Sepanjang majlis berlangsung, Eyra Zafira lebih banyak menunduk melayan fikiran dan suara hatinya yang tidak menentu. Sungguh, dia tidak tahu sama ada dia harus gembira atau sebaliknya di atas pernikahan terpaksa rela ini. Rasa tidak percaya bahawa dia kini sudah bergelar isteri kepada seorang lelaki yang tidak pernah dikenali dan baru sekali dijumpainya itu.
Bunyi dehaman yang agak keras di depannya membuatkan dia dengan pantas mengangkat wajahnya. Dia mulai berasa gementar selepas melihat lelaki yang sudah bergelar suaminya itu kini sedang menghadapnya dan sedang merenung tepat pada sepasang anak matanya.
“Tangan." Sedikit berbisik suara garau itu.
“Ha?” Eyra Zafira menjongketkan sepasang keningnya dengan riak muka bingung memandang wajah suaminya.
“Tangan!” kata Zul Aryan lagi sekali, namun kini dengan bisikan suara yang ditekankan.
“Ha?” Eyra Zafira masih menayang muka bingung sebelum sisi bahunya dicuit oleh Puan Akma yang duduk di belakangnya sahaja.
“Sesi pembatalan air sembahyang, salam suami Eyra tu,” bisik Puan Akma.
Spontan Eyra Zafira memandang tangan suaminya yang sejak tadi dihulur menanti disambut, lalu cepat-cepat tangan itu disalam dan pada ketika itu juga lelaki itu memegang ubun-ubunnya dengan sebelah tangan. Sejuknya tangan! Kedinginan tangan kekar itu lebih terasa saat bibirnya menyentuh kulit belakang tapak tangan suaminya.
- - - - - -
MAJLIS yang berlangsung di hotel terkemuka di bandar itu berakhir menjelang maghrib tadi. Semua tetamu dan ahli keluarga masing-masing sudah pun pulang. Tinggallah Eyra Zafira yang masih menanti suaminya yang sehingga kini belum menampakkan dirinya. Entah di mana keberadaan suaminya pada ketika ini, dari maghrib sampai ke isyak belum muncul-muncul lagi.
Eyra Zafira terduduk lesu di atas sofa empuk dalam bilik hotel mewah yang ditempah khas sebagai bilik persalinan pengantin setelah dia selesai menunaikan solat isyak. Seluruh tubuhnya terasa sangat lenguh. “Hisy!” Jam dinding bilik itu dikerling. “Mana dia ni tak masuk-masuk lagi ni! Nak stay kat sini ke nak balik rumah?” Berkerut-kerut dahinya memikirkan tentang persoalan tersebut.
Tidak henti-henti mulutnya menggumam. Salah satu perkara yang paling tidak disukainya ialah menunggu lama. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia balik sendiri ke rumah dan tidur. Ya, itulah satu-satunya perkara yang paling ingin dia lakukan pada ketika ini, iaitu tidur.
“Ah! Baik aku lelap atas tilam sekejap daripada menunggu macam entah apa-apa je!” Langkah kakinya lantas diorak menuju ke katil, tetapi baru beberapa langkah dia berjalan, pintu bilik itu dikuak dari luar. Spontan dia menoleh bersama dengan kerutan di dahinya. “Abang dari mana tadi?” Dia memberanikan diri untuk bertanya.
Tanpa sebarang kata-kata, lelaki itu terus berjalan melepasinya menuju ke almari, lalu dia mengeluarkan satu beg lut sinar berisi bantal dan selimut. Kemudian, dia berjalan semula melepasi isterinya dengan lagak acuh tak acuh. “Dari masjid,” jawabnya ringkas tanpa memandang, lantas dia merebahkan tubuhnya di atas sofa panjang tempat Eyra Zafira duduk tadi dan dia terus menutup matanya selepas dia menyelimuti separuh tubuhnya. “Tutup lampu,” ujarnya lagi dalam keadaan mata terpejam.
Tu dia! Aku memang dah agak dah perangai kau sama macam anak-anak Dato' yang aku kenal. Kerek bukan main! Ha, baguslah kau tidur kat situ. Aman hidup aku tidur sorang-sorang kat katil tu! Aku pun bukannya nak tidur sekatil dengan kau! Tak ingin aku! Sakan hatinya mengomel.
“Lampu!”
Eyra Zafira tersentak, lalu spontan dia mengetap kuat giginya sambil memandang wajah suaminya dengan perasaan tidak puas hati. Belum sampai 24 jam pun lagi sejak mereka diijab kabulkan, tetapi dia sudah mulai terasa bahang derita di jiwanya.
Mak!!! Batinnya meraung.
Share this novel