TAK makan dari semalam punya pasal, tiba-tiba rasa memulas pulak perut ni. Sakit dia bukan kepalang. Kes masuk anginlah tu.
Itulah, tadi suami ajak makan sarapan, Damia tak nak. Ditolak pelawaan suaminya tu padahal tadi suaminya tu dah siap hidangkan nasi lemak atas meja.
Damia senang-senang aje cakap tak nak makan sebab tak ada selera. Marah dalam hati, masih berbekas. Sanggup tahan lapar semata-mata nak buat perangai depan suami.
Sekarang, hadaplah sakit perut tu kat tempat kerja. Dari pagi tadi Damia tu tak fokus buat tugasnya. Ye la, perut tengah sakit, nak fokus macam mana? Ni, siap ditambah pakej pening kepala jugak. Memang padan dengan perangai.
Nak tunggu lunch? Sekarang baru pukul 9:00 pagi.
Reda ajelah, Damia. Lagi empat jam baru kau dapat makan. Apa yang patut kau buat, makan ajelah ego yang kau tunjuk kat suami kau tadi tu.
"Damia? Okey tak ni? Muka pucat je aku tengok kau," Suraya yang lalu di depan meja Damia terus menegur.
Memang betul. Pucat semacam muka Damia tu. Dahlah muka Damia tu putih. Memang nampak terserlahlah lesi tu.
"Tak ada apalah, Su. Hari ni aku tak pakai mekap, tu yang nampak pucat," dalih Damia. Padahal tadi dia siap pakai dah foundation dan bedak kat muka. Cuma gincu aje yang tak pakai macam biasa.
"Serius? Macam tipu je kau ni. Muka kau pun nampak lemah semacam."
Pantas tangan Damia menyentuh wajahnya. Lah ... dah kenapa sentuh muka sendiri? Tak ada guna pun.
Suraya tu kata muka je yang nampak lemah, bukannya muka berkedut!
"Mana ada. Muka aku memang macam ni la." Damia masih lagi berbohong dalam sakit-sakit tu. Tengah bercakap dengan Suraya ni, tiba-tiba makin terasa pulak sakit kat kepalanya. Berdenyut-denyut.
Suraya masih tak berganjak. Nampak macam dia tu tak percaya dengan kata-kata kawannya itu. Ye la, kawannya tu nampak sakit. Kalau paksa buat kerja, nanti buruk pulak padahnya.
"Dahlah. Kau pergi buat kerja tu. Kalau Encik Zaffran nampak kau bertenggek kat meja aku, jangan salahkan aku pulak eh." Damia terus halau Suraya. Dia nak menyendiri sekarang ni.
Suraya nak tak nak, turut ajelah cakap Damia tu. Nak tanya banyak kali pun, mesti Damia tu nak mengelak jua. Pandai-pandailah kau, Damia.
Damia terus picit pelipisnya usai perginya Suraya. Dicari mintak angin dalam beg, tapi tak adalah pulak. Hmm ... terpaksalah dia urut dengan tangan kosong aje.
"Damia."
Kali ini suara orang lain pula yang menampan gegendang telinga. Ah! Apa hal la banyak sangat orang kacau aku ni? Dahlah tengah pening ni! Marah Damia dalam hati.
Tapi pantas kemarahannya mereda apabila matanya menangkap tubuh Zaid Zaffran yang sudah sedia berdiri di depan meja kerjanya.
Damia terus bangun dan kepalanya ditunduk sedikit. Encik bos kat depan mata, tahu menggelabah.
"Encik Zaffran," sapa Damia.
Zaid hanya angguk tapi matanya mengimbas Damia dari atas ke bawah. Muka gadis itu pun ditatapnya lama. Macam ... lain sikit wajahnya.
"Are you okay? Tadi saya nampak berkerut-kerut muka awak, macam tengah tahan sakit. Awak pening ke?" teka Zaid. Tadi keluar dari bilik pejabatnya, dia dah perasan dengan gerak-geri Damia tu.
Damia pantas geleng. "Eh, tak ada apalah, encik. Saya tak sakit apa pun," bohongnya lagi buat kesekian kalinya.
Zaid kerutkan dahinya. Aik? Lain semacam je Damia ni. Betul ke dia tak sakit?
Tapi bila tengok wajah Damia yang berseri dengan garisan senyuman tu, kerisauan yang membelit perasaan Zaid tadi dapat dileraikan. Syukurlah kalau Damia tu betul tak sakit.
"Hmm ... okeylah. Kalau macam tu, jom ikut saya keluar sekarang."
Damia terus bulatkan matanya. "Ke ... keluar? Pergi mana?"
Zaid terus cekak pinggangnya. "Haih ... awak PA saya takkanlah awak dah lupa. Padahal baru tadi je awak inform saya masa saya baru masuk office tadi. Pukul 10:00 kejap lagi kan ada meeting dengan Mr. Leong kat Crowne Hotel," terangnya.
Adui! Terlupa pulak pasal tu. Nak aje Damia ketuk kepalanya sekarang ni. Pening kepala punya pasal, takkanlah boleh sampai hilang ingatan pulak? Pelik-pelik betul kau ni, Damia.
Apa yang Damia mampu buat, dia hanya sengih aje kat Zaid tu. Malu oi.
Tapi senyumannya perlahan-lahan memudar apabila kesakitan yang dialami makin mencucuk-cucuk rasa. Rasa macam makin melarat pulak.
Sakit perut dan sakit kepala menghentam diri. Jadi Damia terpaksa tahan dua kesakitan itu serentak. Bilalah sakit aku ni nak elok balik? Damia sempat merungut dalam hati.
Ah! Tahan ajelah. Kalau dapat makan masa lunch nanti, hilanglah sakit tu. Damia cuba menyedapkan hati.
Rasa sakit dibiarkan dulu. Yang penting sekarang, dia perlu ikut encik bosnya tu pergi meeting.
Langkah dibawa membuntuti bosnya dari belakang. Berjalan pun, dah terhuyung-hayang sikit tengok. Nasiblah Damia cuba jalan slow-slow.
Encik bosnya tu, ada kat depan. Punyalah semangat jalan sampaikan Damia ditinggalkan sendirian kat belakang.
Keluar aje dari lif, pintu keluar menjadi tujuan mereka berdua. Tapi belum sampai lagi kat bahagian pintu automatik tu, Damia hentikan langkahnya. Dia rasa ... pandangannya berpinar semacam.
"Damia, awak okey?" Zaid pun berhenti. Dia patah balik dan segera mendapatkan Damia tu.
Damia masih diam. Tapi tangannya segera menggapai kepalanya sendiri.
Kepalanya, terasa berat! Berdenyut-denyut. Macam kepala dia tu baru lepas kena hentak dengan batu. Memang sakit semacam.
Damia cuba pandang Zaid yang sudah tepat di depannya. Wajah Zaid dia tak nampak jelas, sebab pandangannya bertukar samar-samar. Suara Zaid pun timbul tenggelam aje masuk ke telinga.
Dan tiba-tiba, Damia rasakan seluruh pandangannya menjadi hitam.
Dia ... rebah.
*****
Kelam-kabut Syafiq berlari di ruang hospital tu. Dirempuh orang ramai yang lalu-lalang tanpa menghiraukan dah mereka tu. Kena tempik ke, kena maki ke, dia tak peduli. Apa yang dia pedulikan sekarang, pasal keadaan isterinya!
Dadanya berombak-ombak, cuba mencuri nafas. Nafasnya terasa sesak kerana kerisauan dan kepenatan yang bergabung menghimpit dirinya itu.
Sejak dia dapat panggilan dari Zaid yang isterinya tu pengsan kat tempat kerja tadi, Syafiq terus bawa diri pergi ke hospital. Takut jadi apa-apa kat isterinya tu. Risau Syafiq kepada Damia, bukan sedikit.
Punyalah risau sampaikan kerja mencucuk sate kat rumah tadi ditinggalkan macam tu aje. Patutlah tadi dia rasa macam tak sedap hati. Rupa-rupanya isteri sendiri sedang ditimpa sakit.
Ya Allah ... aku harap isteri aku baik-baik saja. Aku harap tak ada apa-apa yang berlaku kat dia. Doa Syafiq dalam hati.
Syafiq bertanya kepada seorang jururawat di kaunter, terus dia majukan langkah ke tingkat dua. Bilik D-03 menjadi tujuan. Isterinya tu sedang dirawat di bilik tu.
Tercungap-cungap Syafiq mencari bilik tu di sekitar hospital. Alhamdulillah ... nasib menyebelahinya apabila ada papan plat bernombor 'D-03' elok terlekat pada pintu.
Tapi sontak Syafiq statik melihat apa yang ada di depan matanya. Di ruang koridor itu, ada kerusi-kerusi untuk menunggu di luar bilik rawatan. Dan ... ada isterinya dan Zaid duduk di kerusi tu.
Isterinya ... dah sedar dari pengsan!
Syafiq tak berprasangka apa-apa pun. Tahu yang Zaid dan isterinya hanya menunggu kehadirannya kat kerusi tu, jadi buat apa nak jealous?
Lagipun dia datang sini untuk tahu keadaan isterinya, bukan untuk melayan perasaan!
Nampak aje Syafiq tiba, terus Zaid bangun. Diajak Syafiq untuk segera datang mendekat.
Syafiq berjalan mendekati mereka. Wajah isterinya dia tatap lama. Memang nampak pucat dan lemah.
"Sayang ... sayang okey tak ni?" Syafiq terus meluru mendapatkan isterinya. Seluruh tubuh isterinya dia imbas. Takut ada apa-apa yang menimpa.
Dapat tengok isterinya sedar macam ni, Syafiq terbitkan rasa syukur. Alhamdulillah isterinya tu tak sakit teruk. Risau jugak isterinya tu pengsan lama sangat.
Damia pantas menggeleng. Senyap saja dia sambil tangannya masih erat digenggam Syafiq.
"Baru bangun pengsan ke?"
"Haah. Dia pengsan sekejap aje. Dalam 20 minit macam tu. Bangun-bangun, makan ubat and then doktor terus suruh balik sebab sakit dia tak teruk pun." Zaid menjawab.
"Damia sakit apa?" Nak tahu jugak Syafiq sebab apa isterinya tu pengsan. Mesti sebab perut kosong, kan? Ye la, isterinya tu dari semalam tak makan. Patutlah lemah macam ni.
Kalau Zaid bagitahu Syafiq yang isterinya tu sakit sebab perut kosong, tak terkejutlah. Sebab yang tu dah dapat diagak olehnya.
"Doktor bagitahu aku tadi ... Damia mengandung. Usia kandungan dia dah masuk empat minggu."
Mata Syafiq terus tercelik luas. Dipandang wajah Zaid sekilas sebelum dialihkan pandangan itu ke wajah isterinya lama. Dia macam tak percaya pulak.
Dia tak salah dengar kan apa yang Zaid katakan tadi? Isterinya mengandung?
"Se ... serius? Sayang mengandung?" Syafiq mahukan kepastian.
Damia balas dengan anggukan dan segaris senyum. Betul, dia mengandung. Bahkan, dia sendiri pun terkejut dengan berita yang diumumkan doktor di bilik rawatan tadi sebaik saja dia tersedar dari pengsan.
Syafiq terus raup wajahnya. Ucapan syukur yang tak terhingga diluahkan kepada Yang Maha Esa. Tak sangka, sudah hampir empat bulan dia dan Damia melayari bahtera perkahwinan, tak lama lagi pelayaran mereka tu bakal diterangi dengan satu cahaya kecil.
"Alhamdulillah, Ya Allah. Lepas ni kita dah nak jadi mak ayah dah, sayang. Kita bakal dapat baby. Abang happy sangat," luah Syafiq. Jari-jemarinya masih setia mengusap tangan isteri.
"Tahniah, Syafiq, Damia. Aku tumpang gembira jugak dengan berita ni." Zaid senyum lebar.
"Terima kasih, Zaid. Dan terima kasih jugak sebab bawak isteri aku kat hospital ni. Kalau tak ada kau, tak tahulah macam mana keadaan isteri aku ni." Syafiq berucap semula.
"Tak ada hal la. Aku bos dia, jadi apa-apa hal yang berlaku kat dia waktu kat tempat kerja, akulah yang bertanggungjawab," balas Zaid lancar.
Syafiq angguk je. Tapi senyuman gembira masih setia terukir di bibir sambil matanya tak henti menatap wajah Damia. Tangan pula, makin erat pulak genggam tangan milik isterinya tu.
"Sayang belum makan lagi, kan? Kalau belum, jom kita balik dan makan kat mana-mana." Syafiq terus bangun dari cangkungnya. Baru aje nak tarik tangan si isteri, terasa langkahnya macam berat pulak.
"Abang ..." Damia tak mahu bangun dari duduk. Nampak jelas riak wajah serba-salah terlakar di wajahnya ketika itu. "Saya rasa saya balik dengan Encik Zaffran, kut."
Semangat Syafiq yang penuh berkobar-kobar tadi jatuh merudum apabila ayat itu meniti di bibir isterinya. Padahal, baru aje dia nak raikan berita gembira tadi tu.
"Kenapa?" Bergetar sikit suara Syafiq.
Damia segera tundukkan wajah. Tipulah kalau dia tak rasa bersalah. Tapi nak buat macam mana, tadi dia dah berbincang dengan Zaid pasal tu sebelum suaminya tiba kat hospital ni lagi.
"Syafiq..." celah Zaid. "Bukan aku nak sakitkan hati kau, tapi badan Damia masih lemah. Dia kena balik naik kereta. Kau datang sini naik motor, kan?" sambungnya.
Wajah Syafiq terus berubah. Bibir dirapatkan tetapi dia masih kuat untuk mengangguk dengan pertanyaan Zaid tu.
"Aku harap kau fahamlah. Bukan aku nak perlekehkan kau. Tapi kalau naik motor, kat luar tu cuaca panas. Takut Damia pening-pening lagi bila dia naik motor dengan kau. Sekurang-kurangnya, kalau dia naik kereta, bolehlah dia berehat jugak dalam tu." Zaid memberi alasan. Mahu persetujuan Syafiq punya pasal.
Syafiq tak dapat bagi apa-apa jawapan. Sekarang ni, panahan matanya masih tertuju kepada isterinya. Isterinya tu ... masih tertunduk.
"Ooo ... kalau macam tu, tak apalah. Aku faham. Damia pun tengah mengandung sekarang ni, jadi aku sebagai suami, kena utamakan keselesaan dialah, kan?" Syafiq membenamkan rasa sakit dalam hatinya sedalam-dalam yang mungkin. Tapi, dia rasa betul juga dengan kata-kata Zaid tu. Isterinya tu masih lemah, takkan nak paksa bonceng motosikal dengannya pulak.
"Aku janji aku takkan melencong mana-mana. Aku hantar Damia balik rumah, lepas tu aku terus blah."
Syafiq angguk aje. Tanpa sedar, tangan yang setia menggenggam jari-jemari isterinya tadi terlerai jua.
"Hmm ... ye la. Aku izinkan kau hantar isteri aku balik. Kau hantar dia balik rumah je. Bab makan, biar aku yang belikan." Syafiq bersuara dalam menahan rasa sakit hati. Senyuman yang ditabur kepahitan dia paparkan.
"Okeylah, aku janji. Kalau macam tu ... jom, Damia. Saya hantar awak balik. Lepas balik nanti, Syafiq akan belikan makanan untuk awak." Segera Zaid tu ajak Damia pulang bersama.
Damia lambat-lambat, berdiri dengan bantuan suaminya. Tapi tatkala suaminya tu mahu memapahnya, Damia menolak, "Tak apa, abang. Saya boleh jalan sendiri."
Syafiq lagi sekali terpaksa leraikan pautan tangannya. Walaupun nada suara isterinya tadi tu lemah, tetapi ia cukup untuk menusuk jantung Syafiq.
Isterinya tu hanya memberikan riak wajah kosong. Mungkin kesakitannya tadi masih belum kebah. Jadi, Syafiq cuba memahami keadaan isterinya tu.
Tapi, entahlah. Syafiq rasa terkilanlah jugak. Isterinya tu lebih memilih untuk balik dengan orang lain berbanding dirinya. Berbanding suami Damia tu sendiri!
"Saya pergi dulu, bang. Jumpa kat rumah," ucap Damia sebelum dirinya beredar mengikuti Zaid yang berada di sebelahnya.
Syafiq angguk lagi. Apabila kelibat Damia dan Zaid sudah hilang dari pandangan mata, terasa lutut Syafiq macam dah lembik semacam. Terus Syafiq terduduk di atas kerusi tu.
Sungguh, rasa macam beban kesakitan tu tak henti menghempap dirinya. Baru tadi aje dia dapat berita gembira, tapi sekarang terpaksa melayan perasaan sedih pulak.
Nak salahkan Zaid? Hmm ... tak patut. Mesti Zaid tu pun risaukan keadaan Damia. Syafiq sebagai suami pun, rasa apa yang Zaid buat tu betul jugak. Lagipun, Zaid tu hantar isterinya pulang ke rumah aje.
Kalau dia bawak isterinya pulang naik motosikal nanti, kalau isterinya tu pening-pening, lepas tu pengsan. Macam mana? Lagilah teruk dibuatnya kalau jadi macam tu.
Rasa sakit cuba dibuang. Tak apalah, nanti bila aku dah lulus ambil lesen memandu, isteri aku tu tak payah dah naik kereta dengan Zaid. Biar aku je yang bawak dia pusing-pusing ronda sekitar Perlis ni. Bukan setakat Perlis, satu Malaysia pun aku sanggup bawak. Tekad Syafiq dalam hati.
Sekarang ni, dia mahu fokus untuk meraikan berita gembiranya dan isterinya. Dia bakal jadi ayah, dan isterinya bakal jadi ibu. Jadi, benda remeh macam tadi tu, tak payahlah nak difikirkan panjang sangat.
Betul, isteri aku tengah mengandung. Aku tak patut layan perasaan. Baik aku balik dan beli makanan cepat untuk isteri aku tu. Syafiq segera raup wajahnya. Terus dia bangun dan beredar dari situ.
Bersambung...
Share this novel
damia dah makin lupa diri dan mementingkan orang lain xfikirkan perasaan suami sndiri.dia fikir dia ja yg betul bila ditegur suaminya pulak disalahkan.kasihan Syafiq makan hati memendam perasaan dan berfikiran positif.