AU memakir kereta ke dalam garaj. El menutup pintu pagar sebaik kereta yang aku pandu diparkir dalam garaj. Aku sengaja mencari alasan agar El bermalam di rumahku malam ini. Aku masih risau dengan apa yang telah berlaku ke atas El. Dia terlalu normal dan langsung tak menyedari perbuatan Adrian ke atas dirinya siang tadi. Kalau aku lepaskan El pulang ke rumahnya sendiri, aku takut kalau-kalau Adrian sekali lagi cuba mengapa-apakan sahabatku.
Sebelum masuk ke dalam rumah sempat aku mengerling ke rumah jiran sebelah. Kereta Myvi purple Azril ada di ruang garaj. Perasaanku dipagut risau semula. Entah apa yang difikirkan tapi hatiku sentiasa tidak tenang selagi tidak dapat memastikan keselamatan Azril. Sejak semalam aku tak dapat menghubungi Azril. Terserempak pun tidak hari ini. Azril seolah-olah berusaha keras untuk mengelak dari berhubung denganku. Manakala Adrian pula semakin berani menunjukkan diri sebenarnya di hadapanku.
“El, kau masuk dulu.” Aku perlu uruskan sesuatu tanpa El sekarang.
“Eh, kau nak pergi mana pula malam-malam macam ni?”
“Aku…” Takkan aku nak cakap pada El yang aku nak ke rumah jiran sebelah. Ish, alasan apa nak bagi ni? “Err… kau masuk sajalah dulu. Lepas masuk, terus kunci rumah tau. Pastikan juga semua jendela berkunci. Aku call kau bila nak masuk rumah sekejap lagi.” Aku tahu memang tak ada alasan yang kukuh untuk aku berikan pada Elmira. Tapi apa-apa hal pun aku mesti pastikan Elmira selamat dari sebarang ancaman. Aku tolak sahaja Elmira menuju ke pintu rumah.
“Kau jangan nak buat hal, Sofie.” Elmira cuba juga hendak melawan kerana tidak puas hati dengan sikap aku yang berahsia daripadanya. “Kau nak pergi mana ni?”
“Aku janji aku pergi sekejap saja. Kau tunggu aku kat dalam tau.”
Elmira buat muka keliru. Namun begitu dia tetap akur dengan kehendakku. “Kau janji jangan pergi lama-lama tau.”
Aku angguk. Aku tunggu sampai Elmira tutup pintu dan pastikan dia mengunci pintu rumah. Sebelum masuk ke dalam pintu pagar rumah Azril, sekali lagi aku jeling ke rumahku untuk memastikan yang Elmira tidak mengintai. Kemudian barulah aku bergegas menuju ke pintu rumah Azril.
Beberapa kali aku ketuk pintu rumahnya. Namun rumah tersebut sunyi tanpa jawapan dari dalam. Aku beranikan diri untuk memulas tombol pintu. Tak berkunci.
“Azril…” Aku memanggilnya tetapi tak berani hendak memanggil dengan kuat.
Satu perasaan yang aneh menyelubungi jiwaku sebaik masuk ke dalam rumah Azril. Dekorasi dalam rumah tersebut agak luar biasa… atau mungkin boleh diistilahkan sebagai unik. Dari luar nampak moden tapi di dalamnya nampak klasik. Dekorasinya ala-ala rumah lama Inggeris. Banyak bermain dengan warna-warna gelap. Kebanyakan perabot di dalam rumah tersebut berasaskan kayu. Ini yang aku anggap pelik. Bagaimana vampire yang kelemahannya ialah kayu tapi semua perabotnya diperbuat daripada kayu?
Ada satu wangian semerbak yang tak pernah terhidu di hidungku bertebaran dalam ruang tamu. Bau yang pelik-pelik ni walau wangi macam mana sekalipun tetap akan buat aku rasa semacam. Semacam yang boleh meremangkan bulu tengkuk.
“Azril…” aku panggil lagi nama Azril. Lebih mendayu suaraku kerana sudah mula tak sedap hati. Cuak wei, masuk rumah orang tapi tak ada manusia pun sebenarnya yang tinggal di rumah ni. Yalah… Azril dan Adrian bukan dikira sebagai manusia pun kan.
Aku gagahkan kaki menuju ke arah pintu dapur apabila nampak ada satu cahaya yang terang di sana. Ada satu pintu yang ganjil di lantai dapur. Yang aku katakan ganjil adalah kerana tak ada pun pintu begitu di dalam rumah aku yang sepatutnya sama patern dengan rumah Azril ni. Pintu tersebut bertutup tapi tak rapat. Barangkali ada seseorang di bawah sana. Mungkin Azril atau Adrian atau kedua-dua beradik tersebut ada bersama-sama.
Aku selak rambut ke belakang telinga apabila terdengar sayup-sayup suara perbualan sebaik melangkah turun ke bilik bawah tanah tersebut. Dek kerana tidak puas hati tak dapat mendengar dengan jelas perbualan tersebut, aku beranikan diri untuk mendekati suara tersebut. Aku yakin suara yang saling bertingkah itu ialah suara Azril dan Adrian. Itu yang membuatkanku semakin tertarik untuk memasang telinga.
“Semua ni berpunca daripada kau.” Aku dengar suara Adrian menengking. Diikuti satu dentuman yang kuat. Adrian menghempas sesuatu ke dinding sehingga menyebabkan konkrit dinding pecah dan berjatuhan di lantai.
“Ya, memang aku yang salah. Jadi berhenti libatkan Sofie dalam masalah di antara kita berdua.” Suara Azril pula membalas. Aku dengar suara Azril terbatuk-batuk selepas itu.
Aku cuba mencari lubang untuk mengintai mereka. Tak puas hati hanya mendengar suara sahaja.
“Masalah kita berdua ialah Sofie. Aku patut bunuh Sofie sejak dari awal.” Suara amarah Adrian membuatkanku terkedu. Dinding terasa bergegar apabila sekali lagi dihentam dengan kasar oleh tubuh seseorang. Tak pasti Azril ataupun Adrian.
“Kau takkan bunuh Sofie. Kalau betul niat kau nak bunuh dia, kau dah lakukan sewaktu kau tangkap perbuatan aku terhadap Sofie sebelum ini. Kau cuma kecewa...” Kedengaran suara Azril tercungap-cungap dan lemah.
“Diam!” Tempikan Adrian membuatkanku terkejut. Serta merta aku tutup kedua belah telingaku dengan tangan. Perbualan mereka berdua yang sedang membongkarkan persoalan yang selama ini aku fikirkan menjadikan aku semakin kemaruk untuk tahu lebih lanjut.
“Aku tahu kau kecewa terhadap aku. Aku minta maaf… abang. Aku terdesak waktu tu. Aku cuma nak selamatkan nyawa Sofie. Dia cuba nak bunuh diri sebab tertekan dengan manuskrip yang tak dapat disiapkan. Apa lagi pilihan yang aku ada untuk selamatkan dia waktu tu?”
Aku terkedu mendengar penjelasan Azril. Sekelumit fakta pun tak dapat aku bongkar dari memori aku. Benarkah kenyataan tersebut? Kalau difikirkan semula masih ada kelogikannya kerana tahun ini sahaja dua manuskripku terbit sebagai novel. Macam mana aku boleh siapkan banyak manuskrip sedangkan setiap hari aku terbeban dengan bermacam-macam tugasan dari pensyarah?
“Darah kau ada unsur yang mampu menterbalikkan emosi negatif dalam diri manusia. Dengan darah kau, Sofie yang dah putus asa berubah menjadi Sofie yang positif dan penuh semangat. Disebabkan darah kau, Sofie berjaya siapkan manuskripnya dan novelnya terbit dalam tempoh yang lebih awal… Kau fikir alasan kau cukup kukuh untuk gunakan abiliti unvampire ke atas manusia?”
Jadi inilah punca kesan gigitan Azril di belakang bahuku. Bukankah ia satu perkara yang bagus tapi kenapa Adrian terlalu marah pada perbuatan Azril?
“Aku…”
“Kau beri darah kau pada Sofie sebab kau cintakan dia dan disebabkan darah kau, perasaan Sofie terhadap kau semakin hidup. Kau patut tahu yang cinta kita dengan manusia adalah terlarang. Kau tak berniat nak selamatkan dia sebaliknya kau sendiri yang cuba bunuh dia dengan hubungan terlarang ini… dan aku cuma menjalankan tugas.”
Aku terduduk di atas lantai sebaik mendengar suara Adrian yang menegaskan niat sebenar Azril yang bertentangan dengan akta undang-undang vampire. Dari ayat terakhir Adrian, aku yakin tugas Adrian sekarang mahu menghapuskan aku. Jadi mengapa dia masih tidak membunuhku sehingga sekarang?
“Tolong, Ian. Jangan apa-apakan Sofie. Biarlah dia tak ingat siapa aku tapi tolong jangan bunuh dia.”
“Unvampire wujud disebabkan adanya vampire. Aku punca kelahiran kau. Aku yang berhak ke atas darah kau. Bukan Sofie!”
Aku dapat baca nada suara Adrian yang terlalu marah dan menganggap aku telah merampas haknya. Apa yang patut aku buat sekarang? Jika aku biarkan situasi ini, sesuatu yang buruk pasti berlaku di antara kedua-dua beradik tersebut.
Aku tak ada jalan lain selain muncul di hadapan mereka sekarang!
“Pernahkah dalam tempoh 150 tahun ini aku ketepikan kehendak kau? Bunuh saja aku kalau kau tak puas hati tapi jangan sekali-kali sentuh Sofie.” Aku lihat Azril capai sebuah kerusi kayu dan mematahkan kaki kerusi tersebut dengan mudah. Macam patahkan lidi penyapu.
Keadaan bilik tersebut bagai dilanda taufan. Semua benda hancur. Sebahagian dinding juga runtuh akibat pergaduhan mereka.
“Azril… Ian…” mereka berdua menoleh kepadaku dengan wajah yang masih penuh amarah.
Tanpa mempedulikanku Azril lontarkan kaki kerusi yang dipatahkannya tadi kepada Adrian. Adrian sambut dengan cekap. Ekor matanya memandang Azril penuh dendam sambil memegang kaki kerusi yang diperbuat daripada kayu itu dengan kemas. Aku dapat rasakan sesuatu buruk bakal berlaku sebentar lagi. Kuhayun langkah kakiku sepantas mungkin untuk menghalang sebarang tindakan Adrian ke atas Azril.
“Jangan!” Aku berdiri di hadapan Azril. Pergerakan Adrian sangat pantas dan segala-galanya berlaku dalam sekelip mata. Tubuhku rebah ke dalam dakapan Azril di belakangku.
“Sofie… Sofie, apa yang awak cuba buat?”
Aku dengar suara Azril yang berulang kali memanggil-manggil namaku. Aku toleh ke wajahnya yang sedang memangkuku di atas lantai. Wajah Azril nampak sesal dengan apa yang berlaku ke atas diriku. Aku cuba memanggil namanya untuk mententeramkan emosinya tetapi suaraku seolah-olah tersangkut di rengkung.
Perlahan-lahan aku mula rasakan sesuatu yang perit di bahagian perut. Kayu kaki kerusi tadi masih terbenam di dalam tubuhku. Azril cuba hendak mencabut kayu tersebut tetapi aku pegang tangannya untuk menghalang. Aku takut. Kesakitan ini sangat menakutkan.
“Pejam mata awak.” Aku menggeleng dalam linangan air mata. Kematian sedang terbayang dalam fikiranku. “Saya janji takkan buat awak sakit. Pejam mata awak, Sofie.”
Pujukan Azril membuatkan aku akur. Dia mengusap linangan air mataku sebelum menggenggam sebelah tanganku. Aku tahu aku boleh percayakan Azril. Kelibat Adrian hanya berdiri tidak jauh dari sisiku tanpa sebarang reaksi. Mungkin matlamat Adrian mahu membunuhku telah sempurna kali ini. Perlahan-lahan kelopak mata aku pejamkan… Azril, tolong lenyapkan kesakitan ini.
Share this novel
Lambatnya smbungn.. Dah thn 2022 dh
hmm,,napa belum sambung lagi nie..berminggu-minggu sdh sy tunggu..:(
Sambung pls...