Bab 18 : Hijab Yang Tertutup

Horror & Thriller Completed 71148

“Assalamualaikum. Eh, Cik Jah, Ustaz, Encik Hafiz. Buat apa dekat sini malam-malam macam ni?" Tanya Syafiq pelik seusai melihat mereka berdiri tegak di hadapan biliknya.

Cik Jah kelihatan sedikit ketakutan. Dia berganjak sedikit ke belakang lalu berdiri di belakang Ustaz Kamal yang berada betul-betul di hadapan Syafiq saat itu.

"Waalaikumsalam wbt. Kami saja je datang sini nak tengok keadaan kamu Syafiq. Kamu sihat?" Jawab Ustaz Kamal tenang.

"Saya? Saya alhamdulillah sihat Ustaz. Tapi kenapa tak ada angin, tak ada ribut tiba-tiba nak datang tengok saya?" Tanya Syafiq pelik.

"Kami sebenarnya ada hal nak bincang dengan kamu ni. Boleh kami masuk?" Ustaz Kamal meminta izin untuk masuk ke bilik nya.

Syafiq semakin pelik. Tidak pernah pula sebelum ini Ustaz Kamal datang ke biliknya. Malah Cik Jah juga biasanya hanya akan berada di blok mereka sehingga jam 5pm. Ini sudah malam, kenapa pula Cik Jah masih berada di sini. Syafiq buntu.

"Ooo boleh Ustaz, boleh. Silakan. Cik Jah, Encik Hafiz masuk lah sekali. Tapi maaflah berselerak sikit. Biasalah bilik lelaki. Heee." Kata Syafiq menjemput mereka masuk.

Syafiq kemudiannya membuka daun pintu bilik nya itu luas. Sambil dia berjalan menuju ke katilnya, dia sempat mencapai baju dan seluar yang disangkutnya di tepi katil dan di atas kerusi. Kemudian dia meletakkan nya di sisi tepi ketilnya itu.

"Jemput duduk Ustaz. Cik Jah dengan Encik Hafiz duduk je lah atas katil Alif tu. Dia keluar kejap." Kata Syafiq sambil menarik keluar kerusinya dari meja belajarnya itu.

"Terima kasih Syafiq." Jawab Ustaz Kamal ringkas sambil menarik perlahan kerusi yang dihulurkan oleh Syafiq itu.

"Ustaz duduk kejap ye dekat sini, saya nak cari Alif kejap. Tadi masa Ustaz semua datang, dia keluar macam tu je. Tak tahu ke mana. Kejap ye." Kata Syafiq lalu mahu berjalan keluar dari biliknya itu.

Kelihatan raut wajah Cik Jah berubah. Dia yang memandang wajah Syafiq dari tadi, mengalihkan pandangannya saat Syafiq menoleh ke arahnya. Mukanya sedikit ketakutan. Syafiq yang tidak terfikirkan apa-apa saat itu, tidak mengendahkan nya.

Saat Syafiq mahu keluar dari bilik itu, bahunya ditahan seseorang. Syafiq tersentak lalu menoleh ke belakang.

"Syafiq, ada benda yang kamu perlu tahu." Kata Ustaz Kamal serius.

Syafiq semakin pelik. Dia sempat menoleh ke luar biliknya untuk melihat sama ada Alif ada atau tidak di luar. Tidak melihat kelibat sesiapa, Syafiq mengambil keputusan untuk masuk dan mendengar apa yang ingin diperkatakan oleh Ustaz Kamal.

Syafiq melangkah perlahan. Dia berjalan melintasi Cik Jah dan Encik Hafiz yang kelihatan sedikit tidak selesa dengan keadaan biliknya itu. Ustaz Kamal pula masih berdiri di belakangnya, memerhati gerak geri Syafiq yang menuju ke katilnya.

Seusai tiba di sisi katilnya, Syafiq melabuhkan punggungnya di situ. Kini dia bertentang mata dengan Cik Jah dan juga Encik Hafiz. Manakala Ustaz Kamal pula, duduk di atas kerusi di sebelah kiri Syafiq.

"Kamu tinggal dengan siapa dekat dalam bilik ni Syafiq?" Tanya Ustaz Kamal tenang sambil melihat sekeliling bilik nya itu.

"Saya tinggal dengan roomate saya Ustaz, Alif nama dia. Cik Jah kenal. Kan Cik Jah kan?" Tanya Syafiq kepada Cik Jah yang sedang meliarkan anak matanya ke sekeliling bilik nya itu.

Mendengar nama nya disebut, Cik Jah menjadi tidak keruan. Kelihatan jelas di raut wajahnya bahawa dia tidak selesa apabila namanya disebut.

"Ye Ustaz, saya kenal mereka." Jawab Cik Jah ringkas.

"Kamu tak balik ke cuti semester ni Syafiq? Semua pelajar balik saya tengok, tak kan kamu tak balik?" Ustaz Kamal menyambung pertanyaannya lagi.

"Errrrr, sebenarnya saya nak balik Ustaz, tapi sebab projek akhir tahun saya tu tak siap lagi, itu yang saya stay sini je sepanjang cuti ni. Lagipun roomate saya ada sekali, jadi tak ada lah takut sangat tinggal dekat sini walaupun semua student balik." Terang Syafiq sedikit malu kerana projeknya masih belum lagi siap.

"Oooo. Roomate kamu tu pun tak balik jugak ke?" Tanya Ustaz Kamal lagi.

"Hari tu dia ada balik sekejap, lepas tu dia datang semula. Katanya supervisor dia pun suruh dia buat semula projek dia tu." Balas Syafiq ringkas.

Syafiq tidak mahu bercerita panjang kerana risau dia akan terlepas cerita perihal kes kemalangan Alif tempoh hari. Dia yang tiba-tiba khuatir Ustaz Kamal datang kerana kes tersebut, sedikit lega kerana Alif tiada di dalam bilik mereka itu. Jika Alif ada, pasti Ustaz Kamal akan bertanya dengan lebih lanjut.

"Semalam Cik Jah ada cerita dekat Ustaz. Katanya kamu lain sangat dua minggu ni. Ada apa-apa yang kamu nak cerita ke dekat Ustaz, Syafiq?" Tanya Ustaz Kamal saat melihat Syafiq termenung jauh.

"Eh, tak ada apa-apa Ustaz. Saya alhamdulillah, ok je. Cuma mungkin saya penat sikit kot dengan projek tu, itu yang Cik Jah nampak saya lain tu." Kata Syafiq tenang, sambil melihat ke arah Cik Jah.

"Tapi Ustaz, hari tu saya nampak dia.." Belum sempat lagi Cik Jah menyampuk, Ustaz Kamal menganggukkan kepalanya sebagai tanda dia sudah faham segalanya.

Syafiq yang tidak mengerti apa-apa, cuba untuk memahami situasi itu. Namun dia gagal. Dia masih tidak faham kenapa Ustaz Kamal bertanya soalan-soalan itu padanya, malah kenapa Cik Jah turut berada di situ bersama Ustaz dan encik Hafiz.

"Kalau Ustaz nak beritahu kamu sesuatu, kamu jangan terkejut ye Syafiq. Ustaz faham kamu mungkin pelik kenapa Ustaz datang malam-malam macam ni, tapi Cik Jah betul-betul risaukan keadaan kamu." Kata Ustaz Kamal menarik perhatian Syafiq.

"Bunyi macam serius je Ustaz. Beritahu apa ye? Saya insyaAllah ok je." Jawab syafiq sambil tersenyum kecil.

"Macam ni Syafiq." Ustaz Kamal memulakan bicara.

Syafiq mendengar dengan khusyuk kata-kata yang ingin disampaikan oleh Ustaz Kamal itu. Sesekali dia ada mengerutkan dahinya, seakan tidak mengerti apa yang disampaikan. Sesekali pula dia ada mengangguk-anggukkan kepalanya, seakan setuju dengan kata-kata Ustaz kamal itu.

"Jadi Ustaz nak cakap yang sekarang ni hijab saya tertutup lah ye?" Tanya Syafiq seusai Ustaz Kamal menerangkan segalanya,

''Lebih kurang macam tu lah Syafiq. Tapi ada lagi 1 perkara yang kamu tak tahu. Yang ini yang paling penting yang patut kamu tahu." Kata Ustaz Kamal serius.

"Perkara apa tu Ustaz?" Tanya Syafiq ingin tahu.

"Sebenarnya.." Belum sempat Ustaz Kamal menghabiskan kata-katanya itu, tiba-tiba lampu di bilik itu terpadam. Keadaan dengan serta merta menjadi gelap gelita.

Cik Jah yang terkejut, menjerit ketakutan. Encik Hafiz pula kedengaran menenangkan Cik jah yang berada di sebelahnya itu. Ustaz Kamal yang berada di sebelah Syafiq, mula membacakan ayat-ayat suci Al quran. Bacaan nya tenang, seakan dia sedang mengawal segalanya.

Tidak lama selepas itu, daun pintu bilik itu dihempas kuat ke dinding. Keadaan bertambah gelap dan menjadi lebih menakutkan. Suara tangisan Cik Jah semakin kuat, Encik Hafiz pula semakin kuat menenangkannya.

"Apa yang kau nak dari budak ni? Jangan kacau dia lagi, dia bukan milik kau." Tiba-tiba kedengaran kuat suara Ustaz Kamal berkata.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience