BAB 14

Fantasy Completed 10501

“Ariana…” Suara lemah itu menyapa gegendang telinga Ariana. Lamunannya terencat di situ. Samar-samar dia dapat melihat wajah tubuh yang terbaring itu. Seperti yang dia sangka, Hakim…

Baru dia ingin membantu Hakim, Ariana dapat merasakan satu aura yang sangat kuat berbaur hitam kejahatan yang amat pekat. Ariana berpaling dan mendongak. Matanya menangkap kelibat seorang gadis berpakaian jawa berdiri di atas batu betul-betul di kawasan kepala air terjun. Walaupun dia tidak dapat melihat wajah itu dengan jelas, dia dapat merasakan tajam renungan itu menujah dadanya.

Belum sempat Ariana berbuat apa-apa, kelibat itu menghilang namun Ariana tidak dapat menarik nafas lega kerana dia yakin kelibat tadi berada betul-betul dibelakangnya. Dia dapat merasakan jari runcing bermain dengan tengkuknya di sebalik tudung. Dia terkaku di situ.

“Kau istimewa. Mahukah kau mendampingi aku. Keistimewaanmu dan kekuatanku mampu menjanjikan apa sahaja.” Gemersik suara itu berbisik di telinga Ariana. Ariana berzikir di dalam hati meminta agar Allah memelihara jiwanya dari ditakhluki syaitan ini.

“Aku berpegang hanya pada janji Allah.” Tegas suara Ariana. Dia masih tidak berpaling ke belakang. Tawa halus kedengaran. Sinis sekali bunyinya.

“Apa ada pada janji tuhan kamu itu… Lihat itu.” Jemari runcing itu menghala tepat ke hadapan Ariana. Ariana mengekori arah itu dengan bebola matanya. Dia melihat jelas Hasbullah yang sedang bertempur dengan salah seorang puteri itu. Nampaknya pertempuran itu didominasi oleh pemuda gagah itu. Tiba-tiba tubuh puteri itu melangkah beberapa tapak ke belakang mendapat tendangan padu Hasbullah. Tangan Hasbullah tangkas mencapai kayu tajam berhampiran kakinya lantas…. Zapp! Kayu panjang itu menikam tengkuk puteri tadi. Tubuh itu rebah ke bumi. Namun, baru Hasbullah ingin meninggalkan tubuh itu bagi membantu rakan yang lain, puteri tadi bangkit semula. Dia menyeringai memandang ke arah Hasbullah yang sudah terkedu melihat mayat tadi kembali hidup. Tangan puteri itu mencabut perlahan kayu yang terpacak di tengkuknya. Darah pekat membuak keluar dari luka di tengkuknya dan mulutnya. Ariana sudah pucat melihat aksi ngeri itu. Seketika kemudian luka puteri itu sembuh begitu sahaja meninggalkan darah yang mengotori baju dan anggota tubuhnya. Puteri itu kembali berentap dengan Hasbullah.

“Kamu lihat kan?” Suara gemersik itu rapat di kuping telinga Ariana membuatkan gadis itu sedikit tersentak. “Kami abadi. Kami takkan mati. Kuasa itu… Tidakkah kau terpesona?” Tawanya kedengaran lagi. Ariana sudah mengerutkan dahinya. Tidak! Itu kuasa syaitan. Jangan merasa takut, Ariana…

“Itu semua permainan syaitan! Aku takkan tunduk pada yang namanya syaitan. Hanya Allah yang hidup kekal. Kau!” Ariana berpaling serta merta melihat puteri di belakangnya. “Akan jatuh juga…” Ariana bersuara tegas. Matanya sempat menangkap kilauan emas terkalung di leher jinjang puteri itu. Kalung itu lain dari kalung yang dipakai enam puteri yang lain. Malah ada keris hitam tersisip di pinggang puteri itu.

“Kau akan menyesal.” Suara itu mula meninggi. “Dasar manusia bodoh.” Puteri itu melompat ke tebing meninggalkan Ariana yang terpinga-pinga. Namun sebentar cuma. Ariana berjaya menghidu rancangan puteri itu untuk menyerang Tuk Pujangga. Setangkas Kilat Ariana mengejar langkah puteri itu. Keris yang dihayun pada Tuk Pujangga menghiris lengan kiri Ariana. Gadis itu menyeringai kesakitan. Belum dia mampu membalas serangan, kaki puteri itu sudah hinggap diperutnya. Penangan yang kuat menyebabkan tubuh Ariana tercampak ke tepi tebing. Saat itu Saifullah muncul dari sungai dengan tubuh yang kuyup dengan air lalu mengambil alih tugas Ariana bagi melindungi Tuk pujangga.

Ariana bangkit. Mindanya ligat berputar. Dia pusing. Bagaimana mahu menewaskan ketujuh-tujuh puteri itu. Seketika kemudian, ada suara halus dan tidak jelas hinggap di telinganya. Dia melilarkan anak matanya mencari pemilik suara itu, tapi tidak dia ketemu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience