Bab 4
P.O.V Izni Haryati
MALAM ini aku agak gelisah dan fikiranku asyik melayang. Bermacam-macam melanda di hatiku. Aku cuma terfikir apa yang aku buat ni betul ke? Menyamar jadi lelaki menggunakan identiti abang kembar aku ni. Macam mana kalau identiti sebenar aku terbongkar nanti.
Berdebar-debar rasanya nak tunggu esok pagi. Semoga urusan aku dipermudahkan esok. Harap penyamaran aku tak akan terbongkar. Lagi pula buah dada aku tak ada besar macam perempuan lain. Dan badan aku pun agak kurus tak berapa nampak bentuk aset aku tu. Aku tidak pasti dalam pukul berapa aku baru boleh melelapkan mata.
Tring... Tring... Tring.
Bunyi jam loceng sebelahku membingitkan telinga. Aku mula membuka mata dan memandang ke arah jam loceng. Aku dengan secepat kilat terus bangun dan turun dari katil untuk mandi. Kerana jam sudah menunjukkan hampir pukul 7.00 pagi. Aku mengambil tuala dan berjalan masuk ke dalam bilik air.
Selesai mandi dan solat subuh. Aku segera mengemas beg pakaian yang ingin aku bawa.
Walaupun aku sudah mengemas beg itu malam tadi. Tapi risau juga jika ada barang yang aku lupa bawa. Setelah puas hati melihat semua barang yang aku hendak bawa sudah berada di dalam beg. Aku berjalan keluar dari dalam bilik dengan membawa beg itu.
“Izni, meh makan dulu. Nanti pukul 8.30 baru kita pergi stesen kereta api,” tegur mak bila melihat aku keluar dari dalam bilik.
“Okey,” balasku.
Aku berjalan ke arah meja makan. Di meja makan sudah ada ayah tiriku dan baby. Aku mengambil pinggan lalu melabuhkan punggung di atas bangku. Pagi ini mak buat sarapan nasi goreng kampung dan telur mata.
“Kak Izni, nak pergi mana?” tanya baby bila melihat beg yang aku letak di lantai.
“Kak Izni, kena pergi jauh sebab nak kerja,” balasku.
“Baby, cepat makan. Nanti nak pergi hantar Kak Izni,” kata Mak.
“Baby dah kenyang... mak nak, susu,” pinta baby.
“Okey, nanti mak bancuh susu,” ujar mak.
“Hei! Tak malu dah besar pun masih minum susu dalam botol.”Aku sengaja menyakat baby.
“Baby kecil lagilah... Mak, baby kecil lagi kan,” kata baby sambil memandang mak.
“Ha’ah, baby kecil lagi sebab tu kena minum susu. Izni, sudah-sudahlah menyakat baby tu,” tegur mak padaku. Aku hanya tersengih sahaja mendengar kata-kata mak.
“Kamu dah cek betul-betul ke barang yang kamu nak bawa. Nanti ada yang tertinggal dah tak boleh patah balik,” kata ayah tiriku.
“Izni, dah cek. Semua barang yang nak bawa dah letak dalam beg,” kataku.
“Okeylah kalau macam tu. Ayah nak letak beg kamu tu dalam bonet siap-siap. Nanti habis makan terus masuk dalam kereta,” ujar ayah tiriku.
“Okey,” sahutku dan baby.
Usai makan kami semua keluar dan masuk ke dalam kereta. Ayah tiriku mula memandu kereta menuju ke stesen kereta api. Lebih kurang dalam 15 minit kereta yang dipandu ayah tiriku sampai di stesen kereta api. Ayah memarkir keretanya di tempat parkir yang masih kosong. Setelah itu kami berempat pun berjalan menuju ke tempat menunggu kereta api datang.
Jam ditanganku sudah menunjukkan pukul 8.50 pagi. Lagi sepuluh minit kereta api akan sampai untuk berhenti mengambil penumpang.
“Izni, jaga diri baik-baik dekat tempat orang. Kamu dah duduk jauh dari mak, jadi tak dapat dahlah mak nak pantau,” nasihat mak.
“Lagi satu, kalau kamu rasa tak sanggup nak kerja jadi pengasuh tu... Baliklah,” kata mak lagi.
“Mak jangan risau... pandailah Izni jaga diri,” balasku lalu menyalami tangan mak kerana sudah hampir pukul 9.00. Dan dari jauh sudah kelihatan kepala kereta api. Aku juga bersalaman dengan baby dan ayah tiriku.
Tempat pukul 9.00 pagi kereta api pun berhenti dan pintunya pun terbuka. Aku segera masuk ke dalam kereta api laju ini. Aku duduk di bangku yang mempunyai nombor yang sama di tiket ku.
Mataku rasa mahu terlelap tetapi aku cuba tahan kerana risau jika terlelap nanti terlajak pula. Nanti dah sampai stesen kereta api di KL Sentral takut aku tak terbangun. Aku kalau dah tidur memang susah nak terbangun.
Lebih kurang dalam 2 jam berada di dalam kereta api barulah aku sampai di stesen kereta api KL Sentral. Berhenti sahaja kereta api dan pintunya terbuka aku segera keluar. Aku berjalan ke arah tandas terlebih dahulu. Kerana ingin merapikan rambut dan pakaianku supaya kelihatan maco sikit. Aku harap majikan aku tak akan perasan yang aku ni perempuan.
Belum pernah aku rasa gementar seperti ini. Tetapi aku kena teruskan sebab aku pun dah sampai di Kuala Lumpur. Setelah merasa sedikit tenang aku pun melangkah keluar dari dalam tandas menuju ke sebuah bangku untuk duduk menunggu kedatangan majikanku. Baru sahaja aku ingin melabuhkan pungung tiba-tiba ada suara memanggil nama Izzani Haikal.
“Izzani Haikal!” panggil suara itu. Aku segera menoleh ke arah suara tersebut. Aku tergamam dan gementar bila melihat orang yang memanggil nama abang kembarku itu. Aku dapat agak lelaki ini adalah majikanku. Tetapi rupa dia tidak seperti yang aku lihat di laman sosial kepunyaannya.
“Ya, saya Izzani Haikal,” sahutku.
“Saya Adham adik Afnan... Afnan tak dapat datang nak ambil awak. Sebab ada urusan kerja,” kata lelaki itu mengenalkan dirinya.
“Ooo... Nama saya Izzani Haikal,” balasku lalu kami berdua pun bersalaman.
“Okey, jom ikut saya. Kereta saya parkir dekat depan sana tu,” ujar Adham
Aku pun mengambil beg lalu mengekori langkah kaki lelaki yang bernama Adham. Sampai di sebuah kereta berwarna hitam jenama tempatan. Adham berhenti dan membuka pintu kereta.
“Beg tu letak je dekat tempat duduk belakang,” saran Adham. Aku pun mengikuti saranan Adham. Kemudian aku duduk di bangku penumpang sebelah pemandu. Nak duduk bangku penumpang bahagian belakang takut dituduh macam bos pula. Setelah memakai tali pinggang keselamatan barulah Adham memandu keretanya.
“Umur awak berapa?” tanya Adham.
“Umur saya tahun ni nak masuk 18 tahun,” jawabku.
“Baru habis SPMlah ni,” balas Adham.
“Ha’ah, baru je habis SPM,” kataku mengiakan.
“Tak sangka lelaki muda macam kamu ni sanggup nak jaga orang tua. Jenuh dah abang saya cari pengasuh lelaki untuk uruskan ayah. Tetapi tak ada yang tahan lama. Kalau perempuan memanglah ramai yang mahu tetapi susah dengan perempuan ni. Sebab rumah kitorang ni semua lelaki,” terang Adham.
“Oh, macam tu rupanya,” kataku.
“Harap Izzani bolehlah kerja lama sikit dengan kita orang. Dah tak larat nak cari orang yang boleh urus ayah. Sebab saya masih student universiti. Saya tak boleh balik selalu, cuti semester barulah saya boleh balik lama sikit,” ujar Adham.
“Nanti saya akan tinggal bertigalah dekat rumah tu,” kataku ingin kepastian.
“Ha’ah, Izzani akan tinggal dengan abang Afnan dan ayah saja. Tapi malam ni saya masih ada, esok pagi baru saya balik universiti,” kata Adham menerangkan.
“Oh, okey,”
“Sampai dah pun,” ujar Adham ketika berada di depan sebuah rumah banglo. Setelah pintu pagar terbuka Adham memandu kereta masuk ke pekarangan rumah. Aku terkesima melihat rumah banglo ini. Halaman rumah memang agak luas juga, rumah banglo ini 2 tingkat.
Hati aku mula berdebar-debar tak keruan kerana menyedari mereka ini bukan daripada keluarga yang biasa-biasa. Tengok rumah pun aku dah dapat agak.
“Jomlah, masuk,”kata Adham mempelawa aku masuk ke dalam rumah. Aku pun mengekori Adham masuk ke dalam rumah sambil membawa beg pakaianku.
“Ini bilik Izzani... letaklah beg tu dalam bilik dulu. Sebab saya nak tunjukkan bilik ayah saya dan cara untuk uruskan dia,” kata Adham menjelaskan.
Aku segera masuk ke dalam bilik dan meletakkan beg pakaianku di lantai. Aku sempat juga memerhatikan bilik ini. Ada katil bujang, almari ada satu, rak pakaian pun ada juga.
Keluar dari bilik aku mengikuti langkah kaki Adham berjalan menuju ke bilik ayahnya, orang yang akan aku jaga dan urus. Bilik aku berhampiran dengan dapur. Bilik ayah Adham ini pula di tengah antara ruang tamu dan ruang makan. Dapur dan ruang makan berbeza tempat tidak seperti rumahku meja makan dekat dapur je.
Sampai di depan pintu bilik Adham memengang tombol pintu dan membukanya. Aku lihat di dalam bilik ini ada dua orang lelaki. Seorang sudah berumur terbaring diatas katil. Seorang lagi wajahnya agak tampan, tapi bukan taste aku. Sebab rupa dia bukan ala-ala artis K-Pop yang aku minat. Aku dapat agak lelaki yang berada di samping katil itu adalah Afnan abang Adham majikan aku.
“Along dah balik rupanya. Ingatkan tak balik lagi,” kata Adham sambil menapak menghampiri katil.
“Along, baru je balik,” balas lelaki itu.
“Ini dia orang yang akan jaga ayah nanti,” kata Adham perkenalkan aku kepada abangnya.
“Hai, assalamualaikum,” kataku sambil menyua tangan untuk bersalam.
“Nama awak Izzani, baru habis SPM kan. Nama saya Afnan, rasanya awak pun dah tahu nama saya,” kata Afnan memperkenalkan diri.
“Abang dah ada dekat rumah ni. Jadi, abang sajalah yang ajar Izzani ni cara uruskan ayah tu. Sebab Adham nak keluar ada hal sikit,” ujar Adham lalu mula melangkah keluar dari dalam bilik ini.
“Izzani meh sini, abang akan tunjukkan cara nak bagi susu dalam tiup,” kata Afnan sambil tangannya mula mengambil susu dan cawan khas yang ada di atas meja di sisi katil. Aku juga melihat ke arah ayah Afnan dan Adham yang terbaring di atas katil.
Katil ini bukanlah katil biasa tetapi jenis katil pesakit yang ada di hospital. Aku dengan patuh melihat cara Adham membancuh susu kemudian di masukkan ke dalam tiub yang ada di hidung ayahnya itu.
“Izzani kena bagi susu ni 3 kali sehari. Pagi, tengah hari dan malam. Lepas tu kena cek selalu pampers ayah saya ni, sebab kalau boleh janganlah sampai bocor. Lagi satu perkara Izzani kena mandikan dia guna kain basah. Cadar tilam ni kena ganti sekurang-kurangnya 3 hari sekali. Takut ada kuman,” terang Afnan menjelaskan kepadaku.
“Ooh, okey,” sahutku tanda faham.
“Lagi satu, cadar, baju dan barang keperluan lain semua ada dalam almari ni,” kata Afnan lagi.
Aku hanya menganguk tanda faham.
Tiba-tiba Afnan menatap wajahku dengan tajam. Melihat tatapan tajam daripada Afnan membuat aku jadi gugup dan berdebar kerana risau jika dia mengetahui identiti aku yang sebenarnya.
“Muka awak ni dah macam perempuan pula saya tengok,” kata Afnan. Kata-kata Afnan membuatkan aku rasa cuak. Tapi aku hanya mampu tersenyum dan cuba untuk bertenang supaya Afnan tidak curiga.
“Abang Afnan ada-ada sajalah, saya ni lelakilah. Kalau tak percaya boleh tengok Mykad saya,” kataku sambil tangan mula ingin mengambil kad pengenalan abang kembarku.
“Abang tahulah Izzani lelaki, janganlah salah faham pula. Hari Ahad selalunya abang tak ada urusan apa-apa. Jadi, bolehlah Izzani cuti nak pergi mana-mana hari Ahad tu. Izzani ada lesen motor kan,” kata Afnan menerangkan.
“Ya, saya ada lesen motor,” kataku sedikit gugup. Kerana risau jika Afnan ingin melihat lesen motosikalku. Sudah tentu lesen memandu motosikal atas nama betul aku. Aku berharap Afnan tidak akan minta untuk melihat lesen memandu kepunyaanku. Kalau dia minta nampaknya terpaksalah aku buat alasan tertinggal lesen memanduku di kampung.
“Okeylah, Izzani jom kita pergi makan. Rasanya Mak Tom dah siap masak sebelum dia balik tadi,” ujar Afnan.
“Mak Tom?” kataku agak hairan.
“Mak Tom tu orang gaji dekat rumah ni. Tapi dia tak tinggal dekat rumah ni. Kerja dia masak, mengemas rumah dan bersih-bersih pekarangan rumah. Lepas siap masak dia akan balik,” kata Afnan menjelaskan.
“Petang Mak Tom tak datang dahlah?” tanyaku.
“Ha’ah, petang Mak Tom tak datang dah. Sebab suami dia sakit tak ada sapa yang urus. Sebab tu abang bagi dia kerja sekerat hari je,” jawab Afnan.
Hatiku berasa sangat lega kerana Afnan tidak meminta supaya aku menunjukkan lesen memandu motosikal kepunyaanku.
Share this novel