3 Bersua Muka

Romance Completed 799437

KAKINYA disilangkan ala-ala wanita paling ayu di dunia. Berkali-kali juga dia berdeham sendirian, sambil mata pura-pura melirik ke lain. Acah-acah sibuk mengamati dekorasi ruangan kerja yang terlihat sangat mewah dan kemas.
Suasana dalaman yang tertampil sangat indah dan fantastik, sungguh sesuai dengan gaya pemiliknya meski keupayaan fizikalnya serba kekurangan.

"So...nama awak, Maya? Maya binti?" Datuk Adrian mula membuka kata dan saat itu juga Maya merasa semakin gugup.

"Maya...errr...nama saya Maya. Maya binti Sariff. Sariff je, tak ada Dol!" lantaran terlalu kacau dengan tatapan tenang Datuk Adrian, boleh pula wanita itu menambah ayat bodoh di hujung percakapannya. Hatinya terlalu tidak kuat untuk berhadapan dengan Datuk Adrian, entah mengapa sedangkan lelaki itu hanya bertingkah santai dan selamba sahaja.

"Dol? Apa pula kaitan arwah Tuan Sariff dengan Dol?" soal Datuk Adrian kehairanan. Renungannya ketika itu semakin dalam terhala tepat ke arah Maya, terpinga-pinga yang sungguhan.

"Errr, tak. Tak. Saya...salah cakap." Maya laju menggeleng sambil menekup mulutnya sendiri.

"Apa-apa je lah." masih tenang Datuk Adrian merespon. Bibirnya mengoyak senyuman manis sambil merenung ke arah Maya. "Boleh..
saya tahu, kenapa awak pilih saya?" suara garau itu kembali kedengaran memecah mimpi siang yang sempat membuai lamunan wanita muda di hadapan.

Kelam kabut Maya mengambil matanya semula. Tidak kuat mahu membalas tatapan Datuk Adrian lama-lama. Terasa diri bagai kehilangan jantung sahaja. Nafasnya kembali ditarik lalu dibuang rakus, kerana mahu menyeimbangkan perasaan ketika itu. Berani dan tenang harus berada pada aras yang sama. "Saja. Suka-suka!" ujarnya pendek. Pura-pura juga menayangkan wajah angkuh walau darurat di hati hanya Dia yang tahu.

"Saja? Suka-suka? Awak tahu kan, sesebuah perkahwinan tu bukan hal yang boleh dibuat main-main. Ni bukan main pondok-pondok macam zaman awak berhingus hijau tu." Datuk Adrian berkata sedikit tegas namun wajah tampannya masih disertakan dengan senyuman segaris dan tetap tenang. Lelaki itu sememangnya bijak menguasai keadaan.

Maya spontan mengarahkan anak mata menghala tepat ke arah Datuk Adrian. Pandangan yang sangat tajam dipamerkan, biar lelaki itu gentar sedikit.

"Habis tu awak nak tengok anak adik awak ni lahir tak berbapak? Berstatus anak luar nikah? Anak haram? Korang adik beradik memang sejenis yang suka lari dari tanggungjawab ke?" Maya mengertak garang dengan riak yang sangat marah, seolah-olah penyebab permasalah semua itu ialah berpunca daripada Datuk Adrian. Jari telunjuknya juga dihalakan tepat ke arah perut yang masih mengempis.

"Awak tak fikir ke sebelum buat dosa?" Datuk Adrian mencemuh namun dengan cara yang sangat lembut dan matang. Maya terus menayang wajah sebal, jengkel, menyampah.

"Salah adik awak, Datuk. Dia yang paksa saya." dia membidas juga mencuba meriak yang bersahaja.

"Tepuk sebelah tangan takkan berbunyi, Maya. Awak sepatutnya dah cukup dewasa dah untuk menilai yang mana baik dan yang mana buruk untuk diri awak. Nak kata awak ni kurang bijak, tak juga kan?"

Nafas berat ditarik lalu menjeling tajam. "Habis dah membebel macam atuk tua? Kalau Datuk tak setuju, okay fine. Saya tak kisah! Macam yang saya dah cakap dengan papa dan mama Datuk, saya mampu bela anak ni! Mulut tu asyik nak membebel je, macamlah dia tu baik sangat!" Maya segera bangkit membawa hati bengang. Sangat bengang! Datangnya ke situ adalah untuk berbincang, bukan mahu mendengar bebelan sumbang.

"Ma-Maya! Arggh, Allah!" tanpa Datuk Adrian sedar, tubuhnya sedaya upaya dibangkitkan kerana mahu menghalang kepergian Maya. Tersentak wanita itu, tidak menyangka yang Datuk Adrian senekad itu.

"Dah tahu sakit, kenapa bangun? Hishhh!" giliran Maya pula membebel. Tidak sampai hati lagi mahu merajuk tatkala melihat keadaan lelaki itu. Sekilas wajah Datuk Adrian ditatap, dan dia juga tidak berani memandang lama lantaran bimbang jantungnya pecah berderai. "Habis tu, yang Datuk pegang tangan saya ni, baik sangatlah?!" baru tersedar akan tindakan spontan lelaki itu, Maya terus memerli. Bukan perli yang sungguhan, melainkan sebagai salah satu akal untuk membuang perasaan gugup sahaja.

Datuk Adrian terus tersengih. Tangan Maya dilepaskan perlahan-lahan, sebelum punggungnya kembali dilabuhkan kemas di atas kerusi roda. "Pegang...tangan bakal isteri tak apa kot." Datuk Adrian tertawa, sekaligus menayangkan jelas sepasang lesung pipit yang dia miliki. Penglihatan itu benar-benar membuatkan Maya tewas. Mengapa lelaki itu terlihat begitu manis? Tampan dan...lain daripada yang lain! "Saya tak kata pun yang saya tak setuju, tapi...awak tolong fikir baik-baik sekali lagi. Keadaan saya ni macam mana, status saya macam mana, umur saya pun...boleh tahan jauh banyak berbeza daripada awak Maya." Datuk Adrian memperingatkan.

"Saya tak kisah, Datuk Adrian. Saya tak kisah semua tu! Saya tahu Datuk...tak sihat sangat, maksud saya...tak mampu berjalan normal, hanya mampu berkerusi roda macam ni. Saya tahu awak duda anak dua dan saya tahu umur awak...39 tahun, tua belasan tahun daripada saya tapi saya pun nak awak tahu yang saya tak kisah. Bagi saya, anak dalam kandungan ni jauh lebih penting! Saya tak nak dia malu bila lahir nanti dan keputusan saya muktamad. Saya tetap akan berkahwin dengan Datuk!" tegas Maya bersungguh-sungguh seperti tiada rasa malunya.

Datuk Adrian terus menarik nafas lega. Sedari tadi dia bercurian merenung wajah wanita itu. Tipulah kalau mahu kata dia tidak terpikat. Wanita sesempurna Maya, siapa tak mahu? "Baik. Baguslah kalau awak dah tahu semua tu. Saya tak nak awak menyesal di kemudian hari Maya, sebab...sekali saya dah lafazkan akad untuk memperisterikan awak, sampai bila-bila pun saya tak akan lepaskan awak. Ingat tu, Maya. Saya...seorang yang sangat setia." Datuk Adrian tertawa bangga. Sementara Maya pula terus memutarkan bebola mata tanda menyampah.
'Duda perasan!'

"Tapi...boleh saya tahu, umur sebenar awak?" Datuk Adrian menambah pertanyaan.

"28 tahun." Maya laju menjawab namun hanya pendek. Berdebar-debar hatinya menanti respon kata dari mulut Datuk Adrian. Bimbang juga 'lamarannya' akan ditolak oleh lelaki itu jika dia sudah mengetahui jarak sebenar umur mereka. Namun untungnya, Datuk Adrian hanya berangguk faham tanpa suara, respon yang sudah semestinya memberi banyak kelegaan buat Maya.

"Jadi, Datuk setuju tak?" soal Maya setelah lelah menanti lama. Dia tidak mahu bergembira terlebih dahulu kerana belum tentu si upik si buyungnya. Dibuatnya seorang Datuk kacak itu menolak, maka kempunanlah hati seorang wanita teraniaya itu untuk melaksanakan dendam kesumatnya.

"Setuju, tapi saya harap...awak boleh terima perangai anak-anak saya, seperti mana saya terima kandungan awak tu dengan ikhlas. Anak-anak saya tak mudah, Maya. Yang besar tu kuat sangat memberontak, yang kecil tu pun lebih kurang sama je. Hari-hari bergaduh, dan kalau awak nak tahu, atas sebab tu juga saya tak berkahwin sampai sekarang. Tambah lagi dengan keadaan saya yang macam ni, kurang upaya. Ingatkan nak menduda sampai ke mati je tapi tiba-tiba ada pula puteri cantik yang sudi datang meminang." Datuk Adrian berujar nakal, matanya juga dikenyitkan menggoda. Untuk seketika Maya sudah benar-benar kehilangan arah.

"Pasal anak-anak, Datuk jangan fikirkan sangat. Saya tahu apa yang saya buat dan...saya pun ikhlas terima mereka berdua. Tapi kalau Datuk berniat nak saya jadi seorang isteri mithali, baik Datuk lupakan je lah. Saya takkan mampu, saya nak mengaku awal-awal yang saya tak sesempurna macam....arwah isteri Datuk ataupun wanita lain."

"Dan saya nak awak tahu yang saya pun bukan seorang suami yang sempurna, Maya. Cukuplah dengan keikhlasan awak terima saya. Saya tak minta lebih, saya takkan paksa awak buat benda yang awak tak suka. Ni kira beruntung tau, ada yang sudi lamar saya."

"Satu lagi Datuk. Pasal majlis perkahwinan kita tu, saya nak buat secara mewah dan besar-besaran. Saya tak kira, sama ada Datuk setuju atau tak saya tetap nak adakan satu majlis yang...grand!" tegas Maya beria-ria. Sekali lagi wajah angkuh ditayangkan, dengan niat agar Datuk Adrian tidak tidak akan membantah.

"Mewah? Besar-besaran? Tapi..." lama lelaki itu berfikir. Sepertinya, dia teragak-agak mahu meneruskan kata.

"Pasal kos, Datuk jangan risau. Saya akan bayarkan semuanya. Tugas Datuk hanya bersanding je kat tepi saya, maniskan muka. Indahkan keadaan..." Maya menambah setelah cuba menebak isi pemikiran lelaki itu.
'Bakal suami aku ni...tangkai jering ke?'

"Tak, bukan pasal duit atau kos sekalipun." Datuk Adrian laju menggeleng. Apa yang difikirkan Maya seolah-olah mampu dibaca benar. "Saya tak kisah, tapi ni pasal...awak." Datuk Adrian menambah.

"Kenapa pula dengan saya? Datuk tak sudi terima saya? Sebab saya dah tak suci lagi? Betul?" Maya menyoal bertalu-talu. Dingin sekali wajahnya.

"Tak Maya. Awak ni, suka sangat serkap jarang. Maksud saya, awak tak kisah ke kalau orang luar tahu pasal semua ni? Awak tak malu ke kalau orang luar tahu yang awak kahwin dengan lelaki...cacat macam saya?" teragak-agak lelaki itu mahu menyudahi kata-katanya. Datuk Adrian menjadi sayu dan serba salah setelah itu.

"Tak, saya tak malu sikit pun Datuk. Macam yang saya dah cakap tadi, semua tu untuk anak dalam perut saya ni. Bukan untuk saya, juga bukan untuk Datuk. Datuk jangan risau..." Maya tersenyum tanpa sedar. Ketika itu Datuk Adrian laju-laju menoleh ke lain. Semakin menyedari akan segala kesempurnaan Maya, semakin sahaja membuatkan dia merasa serba salah.

"Err, Datuk..." Maya memanggil manja tanpa sedar. Mahu hilang jantung Datuk Adrian dibuatnya. Sudah lama benar dia kesunyian, tanpa kasih sayang daripada seorang wanita.

"Maya, boleh tak awak... jangan panggil saya Datuk? Saya rasa macam...tua sangat. Tak kan lah awak nak panggil bakal suami awak ni Datuk? Habis tu, nanti saya nak panggil awak ni apa? Datin?"

"Nak panggil selain daripada tu, saya tak biasa!" sengaja Maya mengeraskan suara, sedang perasaan yang sebenar adalah mahu ketawa mendengar kata-kata lelaki itu

"Biasakan diri. Lagipun, kalau awak jadi kahwin dengan Syah pun, awak tetap akan panggil saya... abang juga kan?"

Maya terus mendengus. Menyirap darahnya mendengar nama sampah itu. "Jadi, Datuk nak saya panggil Datuk, abang?"

"Yup!"

"Euuwwww, no way! Saya tak biasa dan saya takkan biasa! Sampai bila-bila pun saya tetap akan panggil Datuk ni, Datuk. Baru padan sikit dengan umur tu." Maya tertawa sinis. Seronok pula rasanya mengenakan seorang duda manis rupa itu. "Datuk kena ingat, saya melamar Datuk bukan untuk diri saya sendiri melainkan untuk anak saya. Anak saya dengan anak adik Datuk tu! Sebagai abang kepada...Syahril tak guna tu, Datuk kena bertanggungjawab di atas semua kesalahan adik Datuk tu! Takkan tahu sedap je!" Maya memeluk tubuh sambil menayang wajah menyampah.

Geram juga Datuk Adrian melihat perangai wanita itu. Amboi, bukan main lagi! "Sedap ke Maya?" soalnya polos dan pertanyaan itu secara langsung membuatkan Maya mencerlungkan biji mata lantaran merasa sangat malu dan geram.

"Issh, tak senonoh! Korang adik beradik memang macam ni ke?!" Maya menyoal sebal. Tidak sedar, lengan lelaki yang sedang duduk berhadapan dengannya itu terus dicubit geram.

"Aduh! Sakit Maya. Mana boleh buat bakal suami macam ni. Saya tolak pinangan awak ni nanti, baru tahu!" Datuk Adrian terkekeh-kekeh melihat sikap kebudak-budakan bakal isterinya itu. Geram namun sesuai untuk dijadikan sebuah terapi.

"Padan muka! Saya nak tanya Datuk sesuatu!"

"Okey, tanyalah sayang."

Maya sempat terkesima, mujur hanya sekejap. Saat itu dia sudah menangkap sisi romantik seorang Datuk Adrian. "Ehermm!" dia pura-pura berdeham sebelum meneruskan kata. "Boleh saya tahu macam mana Datuk boleh jadi macam ni? dan...saya nak tahu pasal arwah isteri Datuk tu juga." ungkap Maya teragak-agak.

Datuk Adrian tetap tenang. Senyumannya juga tenang dan dia mula mengangguk.

"Sebelum ni mesti awak tak pernah nampak saya kan walaupun saya kira awak mesti dah kenal lama dengan Syah." cerita dibuka. Wajah Maya ditenung dalam dan Maya juga mengangguk.

"Yup, betul. Saya dan Syah ber...ber...hrmmm! bercinta sejak dari zaman universiti lagi, dan memang saya tak pernah nampak Datuk sebelum ni, tapi saya pernah dengar tentang Datuk dari mulut Syah." balasnya lancang.

"Awak dengar yang baik-baik ke atau dengar yang tak baik?" Datuk Adrian tertawa kecil. Sayu hatinya ketika itu, mujurlah dia sememangnya jenis yang tidak mudah melatah.

Jeda. Serba salah Maya mahu menjawab. Dia tahu Datuk Adrian tahu apa yang sedang dia fikirkan.

"Tak apa, saya bergurau je. Saya akan ceritakan semua kisah saya pada awak tapi saya pun nak awak ceritakan semua kisah hidup awak pada saya. Memang papa ada bagitahu sikit, tapi saya nak dengar dari mulut awak sendiri. Deal?"

"Okey, boleh-boleh! Tak ada masalah dan saya setuju!"

"Saya jadi macam ni, sebab kemalangan beberapa tahun lalu. Dah lima tahun daya hanya mampu bergerak dengan kerusi roda ni, dan kemalangan itu juga yang membuatkan saya...kehilangan isteri saya. Ceritanya terlalu rumit, Maya. Tapi buat masa sekarang, saya tak boleh bercerita lebih." Maya mengangguk faham. "Saya...kahwin awal, masa umur saya...24 tahun dan arwah isteri saya...tua beberapa tahun daripada saya. Namanya Radeeya. Arwah asal orang biasa-biasa je, tapi...rajin sangat. Arwah bukan orang senang macam kita, dia anak yatim piatu. Saya kenal dia pun kat sebuah hotel tempat dia bekerja. Dia..."

"Hotel? Ya Tuhan, dia pe-la..."

"Astaghfirullahaladzim, Maya! Dengar dulu." Datuk Adrian laju mengerat sebelum sempat wanita itu menghabiskan ayat karutnya, dan ketika itu juga Maya laju menutup mulut. Serba salah lantaran terlanjur berbicara yang tidak elok pada yang sudah tiada.

"So-sorry Datuk. Saya tak ber-berniat! Dah Datuk kata ho...hotel!" Maya tersengih. Sepuluh jari disusun. Tingkahnya tertayang sangat comel di mata Datuk Adrian.

"Tak apa." Datuk Adrian sekadar berangguk dalam senyum dan sekali lagi Maya terpukau dengan kemanisan wajah itu. "Arwah kerja sebagai...cleaner kat situ. Saya tak kisah, sebab saya sangat tertarik hati dengan cara arwah, lemah lembut, baik dan murah dengan senyuman." ketika itu, laju otak Maya membandingkan dirinya dengan ciri insan yang disebut. Jauh panggang dari api! Sedangkan dia pula seorang wanita yang agak kasar dan masam mencuka yang memanjang. "Baru beberapa bulan kami berkenalan, lepas tu saya lamar dia. Tapi perhubungan kami tak dapat restu daripada mama dan papa. Bukan sebab dia anak yatim piatu ataupun kerana berasal dari golongan kebanyakan."

"Habis tu, sebab apa?" Maya menyoal tidak sabar.

"Sebab dia...seorang janda. Janda kematian suami."

"Apa salah janda? Janda pun manusia biasa juga!" Maya mengulas geram. "Tapi...sesuailah juga dengan Datuk. Sama-sama dah tua bangka dah ni!" Maya tertawa kejam, sinis dan licik tanpa mempedulikan langsung perasaan Datuk Adrian.

"Tu la, saya pun tak tahu apa salah janda? Sebab janda tu, kita sedia tahu dah berbekas, dah kena...ehermm." Datuk Adrian pura-pura berdeham sambil melirik nakal ke arah Maya. "Sedangkan anak dara, belum tentu...berdarah. Kan sayang?" merah padam wajah Maya ketika itu menahan perasaan. Dia tahu benar maksud seorang duda itu. "Betul tak, Maya?" Datuk Andrian dengan tenang mengembalikan kata perlian kepada wanita itu.

"Hrmmm!" satu jelingan dilontarkan.

"Awak nak saya sambung lagi tak?" soal Datuk Adrian selepas tertawa menang. Nakal Maya, nakal jugalah dia. Baik Maya, lalu akan baik jugalah dia.

"Anak Datuk yang bernama...Lia tu, anak kandung Datuk ke? Ke anak arwah dengan..."

"Alyia anak kandung saya. Setahun berkahwin, arwah pregnant." ujar Datuk Adrian tenang.

"Ohh..." Maya akhirnya mengangguk faham. "Datuk tak...pergi berubat ke? Ke...kaki Datuk ni akan kekal seumur hidup macam ni?" tiada tapi wanita itu menyoal. Dia sememangnya tidak pandai berkias, sejenis yang lurus dan berterus terang.

"Kalau seumur hidup, awak masih nak ke jadi isteri saya?" tidak menjawab melainkan mengembalikan sebaris ayat pertanyaan semula.

Maya terus menelan air liur. "Kalau dah jodoh, apa nak buat? Terima je lah!" ujarnya tenang dan yakin.

"Sure ke Maya? Ke awak buat semua ni sebab awak nak sakitkan hati Syahril?" Datuk Adrian menebak. Wajah Maya ditenung, perasaan itulah yang dia fikirkan sejak beberapa hari lalu. Setelah diberitahu oleh orang tuanya tentang lamaran Maya.

"Sebab anak! Semua ni sebab anak! Faham? Tua-tua, takkan tak faham bahasa?" Maya mencantas dalam rasa geram dan kalut. "Dahlah, saya nak kena minta diri dulu." Jam tangan pada tangan dikerling.

"Tapi awak...belum lagi cerita tentang awak."

"Esok-esok pun boleh jumpa kan? Lagipun banyak lagi benda yang kita perlu aturkan. Cincin kahwin, baju pengantin. Awak kena bawa parents awak jumpa abang saya juga. Saya kena pergi ni Datuk. Saya nak kena jumpa client lepas ni." ujar Maya sambil mencapai beg tangannya. "Assalamualaikum."

"Waalaikumsalam Maya." Datuk Adrian tersenyum. Berbunga mekar berwarna-warni hati seorang duda itu. Entah mengapa, sedangkan perasaanya yakin benar yang Maya melakukan semua itu hanyalah kerana dendam semata-mata.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience