Bab 2

Romantic Comedy Series 19847

-Mula-mula usik, lama-lama merisik…-

“RAMAI pulak kat bank ni.” Perlahan Aisyah menutur kata. Babanya sudah pesan suruh dia keluarkan duit dari semalam tapi dia yang bertangguh. Aisyah mengambil tempat di belakang seorang lelaki.

Barisan memang panjang tapi dia memang perlu keluarkan duit juga. Dia memandang barisan ATM yang sedang digunakan oleh orang-orang di situ. Entah macam mana Aisyah mula rasa tidak selesa dengan orang tua yang berdiri di belakangnya. Semakin mendekatkan diri dengannya. Aisyah memusing ke belakang dan menjeling orang tua itu, namun orang tua itu hanya memandang tempat lain.

Berdecit mulut Aisyah. Ada makan penyepak aku ni karang, bisik hati Aisyah. Kalau dia ke depan sikit nanti lelaki di hadapannya akan kata dia yang gatal pula. Kalau dia batalkan hasrat mahu keluarkan duit dan balik nanti bila pulak dia mahu keluarkan duit?
Aisyah merasakan sikunya seperti terlanggar orang tua di belakangnya. Tanpa sengaja Aisyah ke depan dan berlanggar dengan lelaki tersebut.

“Sorry, sorry…” Aisyah meminta maaf dan belum sempat dia nak marah lelaki tua di belakangnya terus saja lelaki di hadapannya memarahi lelaki tua itu.

“Uncle boleh berdiri jauh sikit tak?” tegur lelaki itu yang ternyata Aisyah kenal orangnya.

Lelaki itu menarik sikit lengan Aisyah untuk mendekatinya. Lelaki tua itu tadi terkejut dan terus saja keluar dari situ kerana semua orang sedang memandangnya.

Aisyah yang terdiam terus merasa lega. “Lain kali kalau ada orang buat awak tak selesa, awak kena bertindak. Jerit ke, minta tolong orang keliling ke atau terus saja tumbuk orang tu,” kata lelaki itu.

“Awak ni Malik, kan?” Aisyah terus menegur.

Malik memandang Aisyah dengan wajah yang cuba mengecam Aisyah. Lantas dari wajah yang seperti dia kenal. Malik tersenyum dan mengangguk.

“Aisyah?” tanya Malik semula.

Kuasa magis menggeletis merasuki tubuh badan Aisyah. Dia menyelak sedikit rambut yang menutupi dahinya dan mengangguk perlahan sambil membuat wajah kasihan. Meminta simpati daripada kejadian tadi.

“Okey tak?” tanya Malik dan berjalan ke depan selepas orang di depannya beranjak ke depan. Aisyah membuntuti.

“Okey je. Nasib baik awak ada, Malik,” kata Aisyah dengan nada yang perlahan.

“Awak pergilah keluarkan duit dulu. Saya beratur belakang awak.” Malik bergerak ke belakang Aisyah. “Datang sorang je ke?” tanya Malik lagi. Kini tinggal sorang je lagi untuk tiba giliran mereka.

Ceh, kenapa baba ikut sekali. Kalau tak dapat balik berdua dengan jejaka ni, kata Aisyah dalam hati.

“Datang dengan baba saya. Baba ada dalam kereta,” jawab Aisyah. Kini giliran Aisyah. Selepas keluarkan duit Aisyah memandang Malik sambil tersenyum. “Saya balik dulu ya.”

“Dulu ke sekarang?” usik Malik.

Aisyah tergamam. Dia nak try aku ke?

Malik terus mencucuk kadnya di mesin ATM tanpa menghiraukan Aisyah yang termanggu. Aisyah keluh perlahan dan terus keluar dari bank. Perlahan dia berjalan menuju ke kereta. Sebaik saja masuk ke dalam kereta, Aisyah memandang Encik Daim.

“Kenapa?” tanya Encik Daim.

Aisyah mengeluh. “Aisyah rasa Aisyah dah jatuh cintalah, baba?”

Encik Daim mengerutkan wajahnya. “Kata tak nak kahwin. Nak jaga baba dengan umi?”

“Jatuh cinta baba, bukan nak kahwin pun. Kalau kahwin pun apa salahnya kan? Kannnn?” Aisyah sengaja sakat Encik Daim.
Tersenyum Encik Daim dalam diam hatinya tersentuh bila Aisyah mengucapkan perkataan kahwin. Aisyah sangat rapat dengannya dan manja dengannya.

“Sedih pulak hati baba bila Aisyah cakap kahwin. Dah besar anak baba ni. Lepas ni ada lelaki lain pulak jaga dia. Baba dah tak berhak dah,” kata Encik Daim dalam nada perlahan cuba berkata dalam nada yang tidak serius.

Aisyah terus sedih. “Baba ni… janganlah cakap macam tu. Baba tetap nombor 1 di hati Aisyah. Sampai bila-bila. Cinta pertama Aisyah selamanya.”

Encik Daim tergelak dan menepuk bahu Aisyah. “Dah jom pergi cari pisang goreng umi dengan takoyaki kamu tu. Kang habis pulak.”

PUAN KALSOM menjenguk ke pintu depan rumah. Dia melihat Encik Daim sedang duduk sambil melihat telefon di tangannya dan tersenyum. Hati Puan Kalsom jadi berdebar-debar, entah kenapa Encik Daim seperti ini. Perlahan Puan Kalsom menghampiri tanpa membuat Encik Daim menyedari kehadiran Puan Kalsom.

Dari belakang, Puan Kalsom melihat gambar yang tertera pada skrin Encik Daim seorang bayi comel yang digendong Encik Daim bersamanya. Puan Kalsom jadi sedih juga, mesti ada sesuatu yang mengganggu fikiran suaminya itu. Dia menghampiri Encik Daim dan duduk di sebelah Encik Daim.

“Masa ni Aisyah baru berusia 6 bulan. Dia kerap sakit dulu, memang lain dari yang lain. Selalu minta perhatian daripada kita. Macam-macam yang kita korbankan untuk dia. Sampai abang terpaksa tolak tawaran kerja ke luar negara kerana tak nak saya jaga anak-anak sorang diri,” kata Puan Kalsom dan kehadirannya membuat Encik Daim tersentak sikit dan tersenyum.

“Awak pun. Sampai sanggup berhenti kerja sebab nak jaga Aisyah,” sambung Encik Daim dan memeluk bahu Puan Kalsom.

“Princess Baba dia tu…”

“Best friend umi dia.”

Aisyah yang dari tadi memerhatikan umi dan babanya mengalirkan air mata. Betapa dia beruntung mempunyai umi dan baba dalam kehidupannya. Sentiasa berkorban untuknya tidak mengira waktu.

Bagaimana aku akan hidup tanpa mereka, ya Tuhan?

Tempatkanlah umi dan babanya di syurga tanpa hisab.

“KAK nasi goreng cina satu, tak nak apa-apa isi dalam tu ya. Satu lagi nasi goreng kampung dan satu nasi goreng cendawan. Lepas tu nak tom yam seafood ya. Semua tu bungkus. Terima kasih.” Selepas membuat pesanan Aisyah terus duduk di meja yang kosong cuma ada botol air budak di situ. Dia memandang kiri dan kanan tidak nampak pula orang yang menuju ke situ. Dia terus duduk.

“Eh, ni meja kitorang.” Terkejut Aisyah apabila ada seorang budak datang kepadanya.

Aisyah mengerutkan wajahnya. Ek eleh budak ni…

“Damia, kenapa cakap macam tu,” sampuk seorang lelaki yang amat dikenali oleh Aisyah. Bersinar mata Aisyah ketika itu. Jejaka pujaaanku… menyelamatkanku setiap masa.

“Sorry ayah. Tapi ni kan meja kita tadi. Kita pergi cuci tangan je.” Damia terus duduk di kerusi yang ada.

“Malik, bertemu lagi kita. Sorry, tak perasan ada orang cop kat sini.” Aisyah terus bangun dan memaniskan muka tapi geram dengan budak nama Damia ni.

“Eh, tak apa. Jomlah makan sekali ke,” ajak Malik walaupun macam ajak-ajak ayam.

Damia dan Aisyah sama-sama terkejut. Tapi, Damia lagi pantas. “Apa ni ayah. Damia nak dengan ayah je.”

Fuh, budak ni memang musuh aku nombor satu sekarang. “Hehe, tak apa. Saya bungkus je beli untuk umi dengan baba sekali. Baba dan umi tak sihat.” Senyuman manis diberikan kepada Malik dan sekilas senyuman menyampah diberikan kepada Damia.

Damia menjelirkan lidah.

“Damia!” tegas suara Malik.

“Eh, tak apa. Budak-budak kan. Saya balik dululah. Makanan saya dah siap tu. Bye Damia.” Aisyah acah peramah dengan budak nama Damia tu. Damia pandang bersahaja.

“Kirim salam umi dengan baba awak. Semoga cepat sembuh,” ucap Malik sambil tersenyum.

Aisyah memaniskan lagi wajahnya. “Sedapnya bila awak cakap umi dan baba. Sempurna sangat sebutannya. Kalau nak sebut selalu, pergilah minang anak dorang. Okeylah bye.” Terus Aisyah berlalu pergi dengan wajah yang memerah.

Malik terdiam dan tergelak. Aisy, manis sungguh senyuman Aisyah. Patutlah nama diberi Gadis Manis Di Hujung Taman. Pandai bergurau pulak tu.

“Ayah?” panggil Damia.

Malik pandang Damia.

“Damia tak suka aunty tu. Dia macam watak penjahat dalam cerita drama yang tok ma tengok kat TV,” kata Aisyah dengan wajah marahnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience