“Hei, Budak Kecik,” Aku tersentak. Helmi membalingkan segugus rambutan yang dijoloknya kepadaku. Aku tidak sempat menyambutnya. Buah rambutan itu jatuh berderai di hujung kakiku. Beberapa biji yang terlerai dari tangkainya berlumba-lumba menerjuni bukit menuju ke kolam ikan Helmi.
Budak Kecik? Tiba-tiba sahaja aku teringatkan Abang Irfan. Sudah terlalu lama aku tidak mendengar khabarnya. Sihatkah dia? Sakitkah dia? Sudah kahwinkah dia? Apa ceritanya di Sabah?
“Hana, kenapa?” Helmi menerpa ke arahku. Mengangkat gugusan rambutan yang dibalingnya dan cuba menggosok kakiku. Aku lantas menarik kakiku, tidak ingin disentuhnya. Jangan biarkan lelaki bukan muhrim menyentuh kulitmu. Itu kata-kata Ustaz Jamal. Jika seorang lelaki menyentuh kulit seorang perempuan yang belum sah baginya, maka jandalah kulit perempuan itu. Sentuh tangan, jandalah tangan itu. Sentuh pipi, jandalah pipi kamu itu. Itu masih kata-kata Ustaz Jamal.
“Hana, sakit ke?” Helmi menunjukkan keprihatinannya.
“Helmi panggil Hana apa tadi?” Hatiku semakin sayu.
“Budak Kecik. Kenapa? Hana marahkah? Helmi minta maaf,” Fikiranku di awang-awangan. Aku teringatkan Abang Irfan. Gelak tawanya, gurau sendanya, usik-usikannya. Tiba-tiba aku merinduinya. Hatiku disayat rasa pilu. Apa diharap padi di seberang.
Perjalanan masa terus beredar. Rumah guru masih kosong. Aku masih menyewa di rumah Mak Pah. Sekadar membayar sewa yang tidak seberapa tetapi dilayan mesra melebihi tuan rumah. Sehinggalah pada suatu pagi, cuti hujung minggu. Aku seperti biasa, bersiap-siap untuk menemani Mak Pah ke kebun Helmi.
Selama di sini, Mak Pah tidak pernah mengizinkan aku sendirian ke kebun Helmi melainkan bersamanya. Bimbang difitnah orang, katanya. Aku akur dengan ketegasan Mak Pah. Memang kuakui, aku semakin menyukai Helmi. Budi bahasanya, tingkah-lakunya. Semuanya menarik di pandangan mataku.
Share this novel