Ini Pilihan Saya!

Romance Completed 117449

BAB 11

LD MARINE  TOWER tersergam megah di Bandaraya Kobe, Jepun. Sebuah bandar industri yang tersibuk di Jepun itu sememangnya menjadi tumpuan kepada pelabur-pelabur asing untuk membangunkan pelbagai industri termasuk kewangan dan sebagainya. LD Marine Group, antara syarikat perkapalan terbesar Asia yang sudah bertapak lebih 10 tahun di bandar pelabuhan itu dan sekarang ini telah mencapai kejayaan yang kemuncak. Mereka berjaya menaikkan nama syarikat itu dalam tempoh 10 tahun atau dalam satu generasi sahaja. Sememangnya sangat sukar untuk membangunkan sebuah empayar yang mampu bersaing di persada global.

 Presiden syarikat itu seorang wanita yang gigih, anggun dan bijaksana. Beliau dibantu oleh suaminya yang menjadi Naib Presiden LD Marine. Wanita itu adalah pemegang syer yang paling besar dalam LD Marine mengatasi suaminya. Sebab itulah dia dilantik oleh lembaga pengarah untuk mengetuai syarikat itu. Walaupun ketika itu usianya masih muda, namun dia seorang wanita yang berwawasan dan bercita-cita tinggi.

Dia masih tidak dapat menumpukan perhatian dalam perbincangan kali ini. Fikirannya kembali kusut dan mencengkam kepalanya. Tiba-tiba dia terasa kurang sihat dan membubarkan mesyuarat pada petang itu. Beberapa pengarah syarikat yang terlibat dalam mesyuarat ketika itu terus bangun memberi hormat sebelum meninggalkan bilik pejabat wanita itu yang bertentangan dengan pelabuhan.

Wanita itu memusingkan kerusinya dan menghantar pandangannya ke pelabuhan dari tingkat 32. Pelabuhan itu kelihatan sibuk dengan keluar masuknya kapal-kapal dagang serta kapal penumpang. Aktiviti memunggah barang-barang kargo juga kelihatan sangat teratur dan bersistem. Barangan import dibawa masuk dan barangan eksport dibawa keluar untuk dihantar ke seluruh dunia. Aktiviti seperti itu tidak pernah berhenti mahupun ketika waktu malam. Bandar pelabuhan itu sentiasa hidup.

Ingatannya semakin kuat kepada seseorang. Yang menjadi jantung hatinya. Lantas dia mendail satu nombor. Dan menanti dengan sabar sehinggalah panggilannya itu disambut.

“Madam Laura!” suara di sebelah sana kedengaran terkejut.

“Saya mahu bercakap dengan Tuan Adam.”

“Maaf madam, Tuan Adam sekarang ada urusan di luar.”

Laura memejamkan matanya. Menarik nafasnya perlahan sebelum menyambung. “Panggil anak saya...”

Sekali lagi lelaki itu gelisah. “Maaf, madam. Tuan muda tidak tinggal di rumah ini.”

“What?!!” Laura menjerit lantang. “Where is he?”

“Er...” lelaki itu serba salah untuk memberitahu. Perkara ini sepatutnya perlu dirahsiakan. Kenapa dia sudah terlanjur mengeluarkan perkara itu.

“Listen to me... he is my son. So, I need to know where is him right now?!” 

LAURA meletakkan telefon bimbitnya dengan kasar ke atas meja pejabatnya. Dadanya turun naik menahan marah. Tiba-tiba sahaja dia terasa dirinya sihat. Dia pantas bangun dan berjalan keluar menuju ke bilik pejabat suaminya. Dia berjalan dengan penuh keyakinan, usianya yang baru mencecah 39 tahun itu menampakkan dia seorang wanita yang masih cantik lagi berketrampilan. Rambutnya keperangan asli, tubuhnya lampai, dan kulitnya putih kemerahan. Hampir 20 tahun lalu dia telah mengambil keputusan untuk menamatkan zaman bujangnya pada usia yang sangat muda. Iaitu selepas dia tamat sekolah tinggi.

Bapanya tidak menghalang walaupun pada awalnya lelaki itu agak ragu-ragu dengan keputusannya. Risau akan masa depannya apabila sudah berkajwin. Tetapi bagi Laura, apabila dia sudah membuat keputusan, sebenarnya dia sudah cukup habis berfikir. Suaminya seorang genius dalam bidang saham walaupun ketika itu usianya masih muda. Mereka berkenalan ketika menghadiri sebuah party hari jadi seorang teman. Selepas berkahwin Luara tetap berjuang dalam pelajarannya sehingga memiliki Masters pada usia 26 tahun. Walaupun ketika itu dia sudah bekeluarga dan mempunyai seorang anak.

Laura membuka pintu pejabat itu dan kelihatan dua orang lelaki berkulit hitam sedang berbincang sesuatu dengan suaminya. Mereka serentak memandang wanita itu dengan terkejut.

“Nice to meet you, President!” Sapa dua orang lelaki itu dengan ramah.

Laura hanya membalas dengan senyuman. Dan suaminya dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena terus bangun untuk meminta diri.

“Excuse me, just for a second.” Ujar Danial dengan sopan.

Danial menghampiri isterinya yang berdiri di pintu dan menutup pintu biliknya itu dengan perlahan.

“What’s matter, honey?!”  Danial terus memegang tangan isterinya yang tercinta itu. wajahnya penuh kerisauan.

“Dia buat masalah lagi!” keras suara Laura ketika itu. Dia tahu perkara peribadi tidak sepatutnya dibincangkan di pejabat. Akan tetapi dia sudah tidak sabar lagi dengan kerenah anaknya itu.

“Siapa?” wajah Danial ternyata kebingungan.

“Anak bertuah youlah!”

Danial mengeluh. “Kita bincang di rumah, okey. I ada meeting yang penting sekarang. Mereka client besar kita dari Afrika.”

Laura mengetap bibir. “Dia tak tinggal kat rumah ayah sekarang?!” Laura tidak pedulikan kata-kata suaminya. Adakah perkara yang lebih penting dari ini?

“What? I mean. Why?!” Danial benar-benar terkejut.

“I akan balik ke Malaysia. Dia semakin melampau sekarang. I akan suruh Lisa tempahkan tiket untuk I malam ini juga. Itu aje I nak beritahu you.” Laura terus memusingkan badannya dan berjalan menuju ke bilik pejabatnya semula.

“Perang dunia akan berlaku lagi...” Daniel mengeluh dan segera masuk semula ke dalam biliknya.

*********

            HARRY semakin sihat dan boleh mengambil angin di kawasan luar rumah pada hari itu. Dia berjalan dengan memakai selipar jepun melalui kawasan sawah padi yang menghijau. Harry tidak pernah rasa setenang ini. Sudah lama kepalanya menjadi tepu dan sesak dengan pelbagai masalah yang selalu mengejarnya.

            “Seronok kan berada di kampung?” sapaku. Melihat Harry berjalan keseorangan tadi, menarik aku untuk turut bersamanya.

            “Memang tenang... tapi sekejap aje. Tiba-tiba rasa ada pencemaran bunyi pula.”

            Aku terus memandang sekeliling. Tiada bunyi apa pun, malah kami hanya dikelilingi sawah padi!

            Jadi? Tak... takkan lah...

            “Maksud awak, suara sayalah yang bising sangat tu?!” luah aku dengan geram. Baru aku faham maksudnya.

            “Memang kau lembap kan..?” Harry ketawa.

            “Menyakitkan hati betul!” aku berkira-kira untuk meninggalkannya. Malas mahu melayan lelaki bermulut busuk itu.

            “Terima kasih...”

            Aku berhenti melangkah. Perlahan-lahan aku menoleh melihatnya. Harry memandang aku dengan senyuman.

            “Apa?”

            “Terima kasih sebab... bawa aku ke sini.” 

            Aku terasa ingin tersenyum namun terpaksa berpura-pura selamba. “Sama-sama kasih...” balasku.

            “Friend!” Harry menghulurkan tangan.

            Aku memandangnya dengan tidak percaya. Adakah aku bermimpi? Harry mahu aku menjadi kawannya.

            Aku masih teragak-agak untuk menyambutnya. Harry tiba-tiba mengambil tanganku dan menggenggamnya.

            “Kita tak pernah jadi musuh pun, kan?” aku yang termalu-malu cuba untuk mengawal keadaan.

            “Sekarang kita dah jadi kawan. Jadi... seorang kawan tak boleh ada hutang, kan?” soalnya dengan maksud yang mendalam.

            “Ha...?”

            “Ada...” Harry menghampiri wajahku. Dia mendekatkan bibirnya di telingaku seraya membisikkan sesuatu. “Ada pacat kat tangan kau.”

            “Ap... apa...” wajahku berubah pucat. Perlahan-lahan aku memandang ke arah tanganku. Memang ada sesuatu berwarna hitam dan terasa sejuk!

            “Argghhhh!!!!” aku menjerit dan terus berlari lintang-pukang.

            “Tolonggggg!!!!!”

            “Rasakan, perempuan raksasa!”

**********

            AKU terasa ingin membunuh lelaki keji itu. Mati-mati aku dipermainkannya. Bukan pacat yang berada di tanganku, tetapi secebis tanah liat yang berwarna hitam. Aku pun sememangnya lembap. Tak mungkin Harry akan meletakkan pacat di tangan aku sedangkan dia sendiri pun demam-demam kerana takutkan menatang itu!

            Memang... aku dan Harry tak mungkin akan berdamai seumur hidup nampaknya. Aku yang masih marah menantinya dengan geram di atas beranda rumah. Nampak sahaja muka lelaki keji aku, akan aku hayunkan selipar jamban ini tepat ke mukanya.

            “Aya...”

            “Apa?!” balasku lantang.

            Mak su terus mengurut dada kerana terkejutkan suara aku yang kuat itu.

            “Kus semangat! Kau ni meroyan ke apa, Aya? Terkejut mak su dibuatnya.”

            “Maaf... Aya tak perasan mak su datang.” Aku tersengih-sengih. Entah kenapa amarah yang terlalu kuat di dada telah menyebabkan orang lain terima akibatnya.

            “Sebelum kau balik sana. Mak su datanglah nak menjenguk. Eh... boyfriend kau tu mana?” Soal mak su sambil mengambil tempat di sebelahku. Kepalanya juga terjenguk-jenguk ke dalam rumah yang pintunya terbuka luas. Kami duduk di kerusi panjang di beranda rumah.

            “Apa pulak boyfriend! Hantu tu layak couple dengan puntianak harum sundal tengah hari aje!”

            “Hish! Apa ni, Aya?! Ya Allah... budak-budak zaman sekarang punya bahasa. Cantik sungguh!”

            Aku tidak pedulikan teguran mak su. Hatiku sungguh membara!

            “Usu... bila kau sampai?” tiba-tiba mak cik muncul dari belakang rumah. Bersama Harry!

            Aku bangun berdiri. Harry mempamerkan wajah selamba membantu mak cik mengangkat beberapa batang rebung yang diambil di hutan belakang rumah.

            “Baru aje, kak cik! Ini ha... datang nak menjenguk budak-budak ni.” Balas mak su sambil turun dari beranda berkira-kira mahu mendapatkan mak cik yang duduk berehat di bawah pokok yang rendang di hadapan rumah.

            “Si keji!!!” aku membaling selipar dengan kekuatan yang luar biasa terus tepat ke arah Harry. Lelaki itu sangat terkejut dan cuba mengelak.

            “Adoiii!!” Mak su menjerit. Tersasar! Selipar itu tersalah laluan dan terkena mak su yang sedang berjalan ke arah mak cik.

            Aku menekup mulut. Ah... alamak! Aku bergegas turun untuk mendapatkan mak su.

            “Mak su... okey ke? Sorry... Aya nak baling ayam tadi!”

            “Budak... budak-budak ni...” Mak su duduk sambil mengurut dada. “Boleh mati terkejut aku macam ni!”

            Harry hanya tersengih. Dia mengenyit mata dengan penuh sindiran. Aku menderam dengan penuh geram. Celaka!

            Ketika itulah sebuah kereta berwarna hitam jenis Limousine panjang perlahan-lahan bergerak masuk ke perkarangan rumah pusaka itu. Perhatian kami semuanya tertumpu ke arah kereta itu termasuklah Harry yang sudah berubah air mukanya. Mak su dan mak cik yang pertama kali melihat kenderaan jenis itu membuka mata dengan luas. Mereka pastilah sangat terkejut.

            Aku dapat mengagak kereta itu pasti milik keluarga Harry. Adakah mereka datang untuk menjemput tuan muda mereka pulang?

            Tam keluar dengan tergesa-gesa dan terus menghampiri Harry.

            “Tuan muda, kena pulang sekarang!” bisik Tam dengan perlahan.

            “Kan saya dah cakap... jangan risaukan saya kat sini. Saya boleh jaga diri.” Harry ternyata tidak menyukai kehadiran pemandu peribadinya itu.

            “Kita ada masalah besar. Tuan muda kena berangkat pulang segera.”

            Aku tidak dapat mendengar perbualan mereka yang perlahan itu. tetapi aku rasakan ada sesuatu yang tidak kena telah berlaku. Mak su menyoal aku tentang mereka dan aku sendiri tidak ada jawapannya.

            Selang beberapa minit Harry kelihatan tergesa-gesa menaiki tangga dan memasuki rumah. Tidak lama kemudian dia turun dengan beg galasnya. Pakaiannya juga sudah ditukar.

            Tam segera mengambil beg Harry dan memasukkan ke dalam kereta. Kemudian, Harry datang ke arah kami dengan senyuman kelat. Dia kelihatan sangat berat hati.

            “Terima kasih sebab beri saya tumpang kat rumah ni. Tolong sampaikan salam saya kepada pak cik dan yang lain. Saya terpaksa pulang sekarang. Ada hal penting.” Ujar Harry dengan sopan, lantas bersalam dengan mak cik dan mak su. Tam juga datang dan mengucapkan terima kasih kerana menjaga tuan muda mereka dalam beberapa hari ini.

            Aku hanya memandang Harry dengan pandangan yang kosong. Aku ingin mengucapkan selamat tinggal kepadanya. Tetapi... keadaan seperti tidak mengizinkan. Harry sempat menoleh melihat aku. Dia hanya memandang aku tanpa berkata apa-apa sebelum masuk ke dalam kereta bercermin gelap itu.

            “Aya... kamu tak cakap apa-apa dengan dia?” soal mak cik yang kehairanan.

            Aku hanya menunduk. Apa yang aku rasa ni? Kenapa aku rasa tak sedap? Mungkin kerana Harry pergi secara tiba-tiba. Mungkin...

*********

            HARRY terasa debaran di dadanya kemuncak. Sudah lama keadaan seperti tidak berlaku. Sepanjang perjalanan menuju ke selatan, dia hanya mendiamkan diri tanpa bercakap walau sepatah kata. Sesekali dia mengeluh dan meraup-raup wajahnya. Mereka tiba di rumah agam itu ketika langit sudah gelap. Kecerahan lampu neon yang dipasang sepanjang jalan masuk ke Vila Taylor itu menggamit kedatangan mereka. Akhirnya kereta panjang itu berhenti berhampiran fountain yang betul-betul berada di depan rumah agam itu.

            Harry keluar dengan pantas dan menuju ke pintu utama yang dijaga oleh dua orang pengawal berseragam kemas.

            “Selamat pulang, tuan muda.” Sapa seorang lelaki yang merupakan ketua pelayan atau Butler rumah agam itu.

            Harry terkejut melihat barang-barangnya penuh di kawasan tengah rumah yang lapang itu. Bagasinya yang besar, barang-barang sekolahnya semua ada disitu. Semuanya di ambil dari asrama!

            Harry menggenggam tangannya dan menuju ke arah barang-barangnya. Di ambil satu persatu dan dibawa keluar semula. Semua butler termasuk Tam hanya mampu melihat keadaan tuan muda mereka itu yang kelihatan sangat serius sehingga wajahnya tidak ada segaris ketenangan. Malah berkerut seribu.

            “Letak barang tu di situ!” jerit satu suara dari atas balkoni di tingkat dua rumah agam itu.

            Harry tidak pedulikan arahan itu dan terus mengangkat barangnya keluar dari rumah. Kemudian dia kembali untuk mengambil bakinya pula. Tiada siapa pun yang berani menghalangnya ketika itu.

            “Harry!!” jerit Laura dengan lantang sambil turun dari tangga dengan wajahnya yang tegas. Penampilannya sangat anggun menampakkan ketegasan seorang wanita yang berada di kelasnya yang tersendiri.

            “Jangan kurang ajar sangat. Mama cakap letak barang tu!”

            Harry melepaskan beg yang sederhana besar itu menghempap lantai. Suasana menjadi tegang.

            “Kau fikir mama ni tunggul!” Laura turun sambil berpeluk tubuh. Dia berjalan dan berdiri betul-betul menghadap anak lelakinya itu.

            “Kenapa ambil barang-barang saya dari asrama?” Harry bersuara. Tanpa memandang wajah mamanya.

            “Siapa izinkan kamu tinggal di asrama?! Mama dah banyak bersabar dengan kamu, Hairy Fattah! You’re too much!”

            “Why... what are you so scared of?!” balas Harry dengan berani.

            “Kamu ingat mama tak tahu! Kamu tinggal di asrama supaya senang nak lakukan latihan, kan? Nak jadi atlet renang... what’s nonsense?!”

            Harry menentang mata mamanya. “Saya tetap akan teruskan walaupun kat mana saya tinggal.”

            “Langkah mayat mama dulu kalau kamu masih nak jadi seorang atlet! Selepas tamat sekolah tinggi. Mama akan masukkan kamu ke Tokyo University. Belajar pengurusan dan warisi syarikat mama. Ingat tu!”

            “Saya dah penat cakap hal ni... saya tetap akan cakap yang... I’m not interested!” Harry berdiri tegak menunjukkan ketegasan akan keputusan untuk masa depannya.

            “Ka... kamu ni memang anak tak kenang budi!” Laura cuba untuk memukul Harry tetapi dihalang oleh salah seorang butler di rumah itu.

            “Bertenang, madam. Perkara ni perlu dibincangkan baik-baik.” Lelaki itu cuba menghalang Laura dari memukul Harry. Laura meronta-ronta minta dilepaskan.

            Harry terus bergerak untuk keluar dari rumah. Namun, ditahan oleh Tam yang berada di depan pintu utama.

            “Tuan muda, jangan macam ni. Madam balik semata-mata kerana tuan muda. Dia tinggalkan segala urusannya demi tuan muda. Jadi, tolonglah...” Tam cuba untuk menghalang Harry keluar dari rumah. Perkara itu perlu dibincangkan dengan baik. Semuanya bermula apabila Harry, anak tunggal mereka tidak menunjuk rasa minta untuk mewarisi empayar perkapalan mereka yang berpusat di Jepun itu. Malah, Harry lebih menyukai sukan renang dan bercita-cita tinggi dalam bidang itu.

            “Tidak... dia bukan balik kerana risaukan saya. Dia lebih risaukan syarikat dia yang tiada pewaris!” Ujar Harry tegas dan cuba menolak tubuh sasa Tam yang menghalang jalannya.

            “Kamu jangan jadi anak derhaka! Masuk dan jangan pergi ke mana-mana!” Jerit Laura dari dalam.

            Harry tidak jadi untuk melangkah. “Selagi mama tidak buang sikap pentingkan diri mama tu, jangan menuduh saya anak derhaka.”

            “Cukup!!” satu suara yang kuat kedengaran memecah suasana. Masing-masing mencari arah suara itu dan mereka terkejut kerana Sir Adam sudah berada di halaman rumah dan baru turun dari keretanya.

            “Kamu fikir rumah aku ini, medan berperang!”

*********

            SUASANA kembali sunyi dan tenteram namun tetap tegang. Kepulangan Sir Adam sememangnya tepat pada masa dan keadaan. Mereka bertiga duduk di ruang tamu dalam keadaan agak tegang. Laura memandang wajah Harry dengan geram bercampur marah. Sejak kecil anaknya itu suka melawan katanya. Entah sikap siapa yang diikutinya. Bukan setakat itu sahaja, anaknya itu bertukar lebih kuat memberontak apabila meningkat remaja. Sikap keras kepalanya semakin kritikal dan langsung tidak mendengar arahannya.

            “Kenapa ayah benarkan dia tinggal di asrama?” soal Laura membuka bicara.

            Sir Adam menarik nafas, dia melihat wajah anak perempuannya dan cucunya silih berganti.

            “Laura, macam mana kamu berdegil ingin merantau ke negara orang untuk memulakan perniagaan dulu... macam itulah degilnya anak kamu ini. Jadi, apa yang kamu nak hairankan...”

            Laura terasa ayahnya memulangkan batu buah keras. “Laura dah buktikan kat ayah yang Laura dah berjaya, kan?”

            “Jadi... kamu fikir yang Harry tak boleh berjaya?”

            “Berjaya? Apa yang seorang atlet boleh dapat? Bila dah tua tak kan nak masuk pertandingan lagi. Langsung tak ada masa depan!”

            “Mama... saya tak akan minta duit mama kalau ditakdirkan saya susah nanti. Ini pilihan saya!”

            “Kamu!” Laura menjegil mata melihat Harry yang pandai melawan cakapnya itu.

            “Papa kamu pun sangat kecewa. Mama dan papa dah berusaha keras untuk kamu, Harry. Apa yang kami ada sekarang semuanya untuk kamu. Tapi, apa yang kamu dapat berikan pada mama dan papa? Cuba cakap?!”

            “Saya tak minta apa-apa pun dari mama.”

            “Ayah... tengok tu. Dia ni memang menyakitkan hati!”

            “Laura... kita lihatlah dulu sejauh mana kemampuan dia. Kalau sekarang dia mampu untuk mencipta nama. Itu boleh dikira dia mempunyai masa depan dalam sukan itu.” Sir Adam cuba untuk membela cucu kesayangannya.

            “Laura tak boleh terima ada anak tak kenang budi macam ni?” Laura menangis. Teresak-esak sehingga Sir Adam mengambil tempat di sebelah wanita itu dan mengurut belakangnya.

            “Bersabarlah... mungkin ada hikmah.”

            “Mama bukan risaukan masa depan saya. Tapi, masa depan syarikat dia!” Harry bangun berdiri. “Saya nak pergi mandi.”

            “Kamu cakap apa?” Laura turut bangun. “Mama sanggup hidup dalam kesibukan ini bukan untuk diri mama. Siapa sanggup menghambakan diri dalam keadaan tekanan setiap hari, menguruskan syarikat yang dari kosong sehingga boleh tersenarai dalam index Nikkei! Kamu cuba fikir! Kalau kamu ambil tempat mama... kamu hanya perlu teruskan kejayaan syarikat itu aje. Tanpa perlu bersusah payah macam mama dan papa! Mama ingin lihat hasil titik peluh kami berkembang dan hidup untuk generasi seterusnya. Sehingga ke anak cucu kamu Harry! Mereka dah tak perlu nak bersusah payah! Sebab syarikat itu warisan dari nenek moyang mereka! Ini tidak! Kamu nak hancurkan syarikat itu dalam satu generasi aje. Ataupun serahkan hasil titik peluh mama kepada orang lain untuk menikmatinya!”

            Harry terbungkam. Dia tidak mampu melawan kata-kata mama kali ini. Sir Adam turut mengeluh. Seperti tiada kesudahan kemelut yang menimpa keluarga ini.

            Tanpa sepatah kata Harry melangkah menuju ke biliknya yang berada di tingkat atas. Laura mencekak pinggang manakala sebelah tangannya lagi memicit kepala. Dia mundar-mandir di depan Sir Adam dengan fikiran yang sesak.

            “Laura... kamu masih muda, apa kata kamu dapatkan seorang lagi anak!” saran Sir Adam dalam nada bergurau.

            Laura berhenti berjalan. Dia merenung ayahnya. “Ayah jangan nak bergurau. Saya dah terlalu stress dengan cucu ayah tu!”

            “Like mother like son!” Tuan Adam menggeleng kepala.

*********

            HARRY mencampakkan beg galasnya dengan kasar ke lantai bilik. Lantas dia membuka pintu slide dan melangkah ke balkoni bilik yang menghadap pantai. Angin laut menerpa masuk ke dalam kamarnya di tingkat dua itu. Sedikit ketenangan diraih. Dia sudah lama bersengketa dengan mamanya, sejak dia meningkat remaja dan memasuki sekolah tinggi. Sejak kecil dia diasuh untuk menjadi pewaris, tetapi lama-kelamaan minatnya mulai berubah walaupun kecemerlangannya dalam bidang akademik tetap tidak merosot.

            Papanya sangat memahami, namun lebih takutkan mamanya sehingga tidak berani untuk bersuara. Papanya pernah menghadiri pertandingannya ketika di Melbourne tahun lepas. Itupun tanpa pengetahuan mamanya. Sebab itulah semangatnya sangat berkobar-kobar sehingga dia berjaya muncul juara keseluruhan. Melihat wajah ceria papa membuatnya sangat bersemangat. Walaupun mereka jarang bertemu, namun pertalian mereka sangat rapat.

            Berbeza dengan mamanya, Laura. Sejak kecil wanita itu lebih mementingkan pelajarannya, prestasinya, tanpa mempedulikan rasa hati kecilnya. Dia mahu keluar untuk bermain dengan rakan sebaya, tetapi mama menghalang dengan menyuruhnya belajar bahasa Perancis dan Jepun. Kedua bahasa itu telah dikuasainya sekarang. Hidup zaman awal remajanya banyak dihabiskan dengan menghadap wajah guru peribadi. Kalau remaja lain ketika itu, ibu bapa mereka menghantar ke kelas piano dan sebagainya. Tetapi, dia langsung tidak berpeluang.

            Jiwanya mulai memberontak. Sehinggalah mama dan papanya berpindah ke Jepun, dia tidak mengikutinya. Atuknya, Sir Adam mahu dia dibesarkan di Malaysia. Mama sangat berat hati namun terpaksa lepaskan juga. Lagipun, keadaan mereka di sana sangat sibuk dan tidak mungkin dapat menjaganya dengan baik. Setiap hari mamanya akan menghubungi untuk mengetahui keadaan pelajarannya. Tetapi, langsung tidak pernah menyoal akan kesihatannya.

            Diam-diam atuk telah menghantarnya ke kelas renang. Sejak dia mempelajari teknik berenang dengan baik, kolam renang dan laut di belakang rumahnya menjadi tempatnya melepas geram. Masuk sahaja sekolah tinggi, dia mula mewakili sekolah sehingga berjaya ke peringkat antarabangsa. Tetapi, perkara itu dapat dihidu oleh mamanya. Wanita itu pulang dan mengamuk dengan lebih dahsyat dari kejadian hari ini. Mamanya benar-benar tidak mahu dia terlibat dalam bidang sukan, walaupun atuk menjelaskan itu sekadar hobi.

            Dari hobi menjadi cita-cita. Harry sudah hilang minat untuk mewarisi empayar mamanya yang gah di negara matahari terbit itu. Sejak itulah persengketaan yang tidak pernah terpadam berlaku. Dan tiada siapa pun yang mampu mendamaikan mereka melainkan salah seorang mengangkat bendera putih tanda mengalah. Tetapi, tiada tanda-tanda salah seorang dari mereka yang mahu mengalah.

            Harry kembali ke biliknya dan menanggalkan baju. Badannya terasa gatal-gatal.

            “Miang rebung!” rungutnya. Kemudian dia mencapai tuala yang disangkut dan terus ke Jacuzzi yang terdapat dalam biliknya.

            “Kau ikut aku sampai sini, pacat! Argghhh!!!!!!”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience