16

Other Series 56144

SETELAH apa yang berlaku semalam, hati Ehsan mulai tak tenang. Bukan kerana telah menyakiti Eirfan tetapi kerana segalanya telah terbongkar di hadapan Natrah. Kini, pasti gadis itu menganggapnya lelaki jahat kerana setega itu terhadap Eirfan.

Meskipun dia berpuas hati sudah dapat menyingkirkan Eirfan, namun dia masih tidak dapat menerima jika Natrah lebih memihak kepada Eirfan. Dia kurang apa? Kalau betul Natrah menolaknya jauh dan lebih memilih Eirfan, jelaslah gadis itu buta mata. Dia jauh lebih kaya, lebih segak dan memiliki segala-galanya jika dibandingkan dengan Eirfan.

Eirfan punya apa? Nothing! Dia tak punya apa-apa yang bisa diberikan kepada Natrah. Sedangkan dia, sebut saja, pasti dia tunaikan.

Arghhh!! Bencinya! Kenapa dia harus bersaing dengan Eirfan yang papa kedana itu? Dulu sewaktu zaman universiti, dia berjaya memiliki Soraya walaupun hatinya tidak berkenan dengan gadis itu. Disebabkan Soraya menyimpan perasaan terhadap Eirfan, hatinya jadi sebal dan dengki. Prinsip utamanya, apa sahaja menjadi milik Eirfan akan menjadi miliknya!

Gara-gara itulah dia berusaha sedaya upaya untuk merebut perhatian daripada Soraya. Pelbagai usaha dilakukan bagi membuatkan Soraya memilihnya dan melupakan perasaannya kepada Eirfan. Sehingga dia sanggup menyewa jet peribadi untuk mengungkapkan perasaan 'palsu'nya kepada Soraya. Dan usahanya tidak sia-sia tatkala Soraya mulai menunjukkan tarikan dan minat terhadapnya.

Dan ketika Soraya mulai beralih arah kepadanya, dia mengukir senyum kemenangan kerana dapat merebut perhatian Soraya yang sebelumnya berpihak kepada Eirfan. Hubungan yang terjalin selama hampir enam tahun sesungguhnya tidak meninggalkan apa-apa kesan ke dalam hati Ehsan.

Dalam tempoh tersebut, dia kerap kali mengabaikan Soraya dan menyakiti hati wanita itu. Dia tidak ikhlas bersama Soraya. Niatnya hanyalah ingin melihat Eirfan terseksa kerana perhatian Soraya berpindah ke arahnya. Dia fikirkan Eirfan bakal merasai semua kesakitan itu setelah ditinggalkan oleh Soraya tetapi ternyata dia silap.
Rupa-rupanya selama ini Eirfan tidak pernah menaruh perasaan terhadap Soraya. Dia hanya menganggap Soraya tak lebih dari seorang teman. Hanya Soraya yang bertepuk sebelah tangan. Arghhh! Dia akhirnya menyesali perbuatannya selama ini.

Jadi, dia mengambil langkah berani dengan memutuskan pertunangan mereka yang terbina tak hampir setahun itu. Dia puas melepaskan Soraya kerana baginya dia tidak perlukan wanita itu lagi. Dia sedar dan tahu Soraya terluka namun dia peduli apa? Dia punya wang dan segalanya. Dia tidak perlukan Soraya yang manja itu.

Dan kini, dia dapat menghidu bau perhubungan yang terjalin di antara Eirfan dan Natrah. Nampak gayanya, dia harus bertindak sama. Namun Natrah seorang gadis yang berpendirian tetap dan lasak. Mahukah dia berpaling dari Eirfan? Bahkan, Natrah sentiasa membela Eirfan. Dan apa yang didengarinya melalui Hasma dan Azizah, hubungan kedua mereka memang sangat akrab.

Jika dia mampu merebut Natrah daripada Eirfan, itu akan jadi satu kemenangan besar buat dirinya. Kerana dia tahu betapa pentingnya Natrah buat lelaki yang sangat dibencinya itu.

"Aku kena buat sesuatu"

"SEMALAM awak tidur mana?"

Terbit pula rasa kasihan Natrah pada lelaki yang sedang memandu di sebelahnya itu. Setelah diusir oleh Datuk Elias, bagaimana gamaknya kehidupan dia? Tidur di mana, makan apa, pakaian dia macam mana? Semua itu kerap berulang-ulang di benak Natrah.

"Tidur kat tepi jalan" jawab Eirfan dengan wajah serius. Matanya fokus pada pemanduan di hadapan.

Terlopong Natrah mendengar jawapan tersebut. Betul ke ni? Macam tak je...

"Betul ke?" soal Natrah tidak percaya.

"Awak rasa?" Eirfan menoleh ke sebelah. Ditatap wajah keanak-anakan itu, wajah yang selalu mengganggu tidur malamnya.

Natrah mengecilkan matanya memandang Eirfan. Dia dapat merasakan aura ketidakseriusan pada wajah itu. Dan tekaannya menepat tatkala Eirfan menghambur tawanya.

"Dah agak dah. Hampeh!" kutuk Natrah dengan wajah menyampahnya. Mudahnya kena tipu dengan mamat ni!

"Awak percaya ke?"

"Tak!"

"Yeke?"

"Yelah! Awak ni kan, bila je awak nak betul-betul serius? Main-main je kerja dia!" rungut Natrah, sebal.

"Aikkk, adalah masa saya serius. Masa saya cakap saya sukakan awak. Sayangkan awak..."

Natrah menekup wajah dengan kedua tangannya. Malu apabila Eirfan membangkitkan soal perasaan. Aduhh! Berbahang wajahnya saat itu.

"Ha ha ha..Awak ni comellah Love!" Senang hati Eirfan. Bahagia rasanya apabila berada di sisi gadis itu. Dia ingin perasaan itu selama-lamanya.

"Awak ni.." Natrah tak sudahkan ayatnya. Dia mengalih tangan dari wajahnya. Ternyata wajahnya masih merah padam. Malunya masih bersisa.

"Suka buat saya malu!" sambungnya lagi. Tetapi dia suka! Ha ha ha!

"Lepas ni tak payahlah nak malu dengan saya. Sebab lepas ni kita akan kongsi banyak benda bersama" Eirfan pamer senyum nakal.

Mendengarkan itu, jantung Natrah terasa terus saja jatuh. Dah tak dapat diselamatkan lagi. Wajahnya yang kemerahan sudah hangat rasanya. Tak tahu nak sorok mana dah wajah tu!

"Awak tak jawab lagi soalan saya" Natrah tukar topik perbualan. Semakin lama mereka berdebat soal perasaan, entah berapa banyak kali jantungnya kena jatuh tak mampu diselamatkan lagi. Adehh!

"Saya tidur rumah El. Dia kan ada banyak rumah. Dalam 3 ke 4 buah macam tu. Actually tu rumah sewa. Tapi disebabkan dia tengok saya macam tak terurus ,jadi dia benarkan saya tinggal situ. Kira saya menyewa rumah dialah"

Sejak peristiwa sedih tempoh hari, Eirfan banyak meluah rasa kepada Mikael. Untung saja Mikael mahu membantunya walaupun dia juga sibuk dengan persiapan perkahwinannya.

"Ohh macam tu. Baik betul Mikael tu kan?"

"Aah. Dia dan Aliya memang baik. Dari zaman U lagi. Tak lokek dan tak berkira. Saya ni kadang-kadang rasa malu nak mintak tolong dengan dorang. Tapi itulah. Aliya tu bijak. Dia pandai baca air muka saya. Dan dia tahu saya ada masalah atau tak. So macam tu lah.."

"Dulu saya ingatkan awak ada something dengan Aliya" Dan gara-gara salah faham tersebut, Natrah sanggup melarikan diri dari Eirfan tanpa mendengar sebarang penjelasan dari lelaki itu. Yang lebih parah, dia melarikan diri bersama Ehsan pulak tu! Tapi atas alasan kerjalah..

"Ya.. Sampaikan ada orang tu sanggup lari dengan bos tersayang dia tu" Eirfan sengaja menekan perkataan 'tersayang' tersebut. Ketika perkara itu terjadi, dia benar-benar cemburu. Nasib baik Natrah tak menggedik dengan Ehsan. Kalau tak, dia siku-siku si Ara tu! Ha ha ha

"Alaaa.. bukan larilah! Kita pergi atas urusan kerja" Natrah membela diri.

"Yelah-yelah. Bercakap dengan dia ni kan memang tak pernah nak menang" rungut Eirfan lagi.

Natrah sudah tergelak.

"Atok awak macam mana?" Natrah teringat yang Eirfan ada bercerita mengenai Tuan Kassim yang saat ini sedang terlantar koma di hospital.

"Masih sama. Nothing change! Tapi saya akan terus jaga dia sampai dia sedar. Dan pergi lepas je dia sedar. Sebab tu janji saya pada Datuk Elias" Ada nada getaran saat mengungkap itu. Peritnya rasa jika dia harus meninggalkan Tuan Kassim yang selama ini telah menjaga dan membelanya.


Natrah mengeluh panjang. Dia benar-benar kasihankan nasib yang menimpa diri Eirfan. Dia tak habis fikir dengan apa yang barusan terjadi. Ada juga rupanya ibu bapa yang membenci anak kandung sendiri. Itukan anak yang lahir dari hubungan halal dan yang direlakan. Kalau tak suka dengan kelahiran anak tu, kenapa nak relakan hubungan tersebut? Hmmm.. manusia yang kaya-raya tetapi pemikiran cetek sekali!

"Kita doakan je semoga Allah permudahkan segalanya. So lepas ni apa yang awak akan buat?"

"Lepas ni?"

Laju Natrah mengangguk, menjawab pertanyaan Eirfan. Dia ingin mengetahui setiap perjalanan dan perancangan lelaki itu. Dia tak mahu terlepas apa-apa.

"Tengok muka awak je kot. Tanam anggur!" sahut Eirfan, diiringi tawanya.

"Wan Amirul Eirfan! That is not funny" Radang Natrah. Punyalah serius dia tadah muka, alih-alih Eirfan buat show Maharaja Lawak pulak! Hishh, gerammm!

"Ha ha ha! Janganlah serius sangat. Okey-okey, sorry! Hmm.. saya kerja dengan El je lepas ni. Tapi tu pun kerja kat bengkel kereta dia. Dan sebelah bengkel dia tu pulak ada kedai car wash. Dan dua-dua kedai tu dia punya. Dia nak saya uruskan kedua-dua kedai tu"

Itu yang dibincangkan Mikael dengannya tempoh hari. Dia sangat bersyukur kerana Mikael masih sudi membantunya sehingga ke tahap itu. Sejujurnya dia juga tak tahu dan buntu harus mencari jalan penyelesaiannya. Tetapi Allah hadirkan insan sebaik Mikael. Hanya doa yang mampu dia titipkan buat sahabat terbaiknya itu.

"Tapi saya tak mampu nak penuhi keinginan awak lepas ni. Dan saya tak mampu nak jadi macam Ehsan yang..."

"Kaya-raya dan ada semuanya?" Laju saja Natrah mencantas. Dia tahu apa yang bermain di dalam fikiran lelaki itu. Dan sejujurnya dia tidak menyukai itu. Dia sayangkan Eirfan seikhlas hati, bahkan selama ini dia tidak pernah tahu pun yang Eirfan itu anak orang kaya.

"Apa gunanya kaya tapi tak bersyukur? Apa gunanya kaya tapi hati busuk? Saya tak pernah pandang awak macam tu pun. Awak janganlah fikir macam tu. Saya tak suka. Dan jangan pernah bandingkan diri awak dengan Ehsan. Saya tak suka tahu tak?"

Omongan Natrah melegakan hati Eirfan. Dia bukannya apa. Dia cuma takut sekiranya Ehsan bertindak di luar kawalan. Dia tahu persis Ehsan itu semacam apa. Lelaki itu bisa melakukan sesuatu di luar jangkaan. Dan untuk menewaskan dia, Eirfan tahu yang Ehsan takkan pernah ingin kalah!

"Kiranya kita dah declare lah ni kan?" Eirfan tayang senyum bahagia.

Natrah menoleh ke luar tingkap. Malu untuk menatap wajah itu terus-menerus. Eirfan! Lelaki itu selalu saja bisa membuatkan wajahnya membahang dan jantungnya jatuh!

MEREKA tiba di perkarangan rumah agam Datuk Elias. Eirfan memarking keretanya jauh dari halaman rumah. Sebenarnya dia juga gementar untuk ketemu Datuk Elias setelah apa yang terjadi tempoh hari. Tetapi dia kembali untuk mengambil pakaian dan barang-barangnya.

"Awak nak saya temankan awak?" Natrah pelawa diri. Dia dapat merasakan debaran dan ketakutan lelaki itu.

"It's okay Love! Saya boleh uruskan sendiri" Eirfan tersenyum sebelum melangkah keluar dari kereta.

Langkah Eirfan mati apabila Datin Jenny dengan wajah bengisnya muncul di hadapan pintu rumah secara tiba-tiba. Dia membawa bagasi Eirfan lalu melemparkannya di hadapan Eirfan. Terpinga-pinga Eirfan dibuatnya.

"Nah! Dalam beg tu ada semua baju dan barang-barang kau. Kau tak payah nak masuk dalam. Nanti tak pasal-pasal sial kau tu terpalit pada kami semua. Lagipun kau dah tak tinggal sini lagi kan? Suami aku dah halau kau keluar. Jadi jangan pernah berfikir nak kembali ke sini!"

Riak wajah Eirfan tenang sahaja. Dia memang boleh mengagak akan menerima layanan 'lima bintang' itu dari Datin Jenny. Tetapi tidak pula dia menyangka ianya seburuk itu.

Natrah menghampiri. Dia terkesima dengan perilaku Datin Jenny terhadap Eirfan. Disebabkan itulah, dia bergegas mendapatkan Eirfan kerana risau keadaan akan bertambah buruk.

"Datin ni takde adab ke? Main campak-campak barang? Tak boleh ke bagi dengan baik?" Natrah sudah meradang. Pantang dia apabila berhadapan dengan orang kurang adab seperti itu. Patut sahajalah Ehsan berperangai seperti itu. Bagaimana acuan begitulah kuihnya!


Terjegil mata Datin Jenny dengan sikap berani Natrah itu. Dia sudah berdiri bercekak pinggang, berhadapan mereka berdua.


"Kau siapa haa? Nak bagi nasihat pada aku? Kau tu muda lagi. Tunjukkan sikap hormat kau pada aku! Dasar anak takde adab!"


"Anak takde adab? Sekarang ni siapa yang takde adab? Saya ke Datin? Kalau betul saya tak beradab, Datin sebagai orang lagi tua patut tunjukkan mana satu adab yang baik! Dan untuk sikap Datin seperti ini, maaflah saya takkan tunjuk hormat saya!" tukas Natrah dengan wajah merahnya. Sakit pula hati dengan perangai Datin Jenny itu.

"Kurang ajar betul kau ni kan?!" Wajah Datin Jenny sudah kemerahan dek kerana malu ditegur oleh Natrah sebegitu.

"Ye, memang saya kurang ajar! Tapi pada orang macam Datin saja!"

"Love, dahlah! Jom, kita blah!" ujar Eirfan. Dia tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan yang semakin tegang itu. Tangan Natrah ditarik tetapi Natrah menepisnya.

"Saya nak cakap satu benda pada Datin. Datin banggalah dengan apa yang Datin ada sekarang. Tapi Datin kena ingat. Kita ni tak selamanya hidup mendongak langit. Ada masa kita rebah ke tanah jugak! Dan Datin kena ingat. Orang yang makan harta anak yatim, hidup dia takkan tenang sampai bila-bila"

Seusai mengungkap itu, Natrah menarik tangan Eirfan dan berlalu ke kereta. Puas hatinya sudah dapat melepaskan segala yang terbuku di hati.

Datin Jenny menggigit bibir. Geram tak sudah dia dengan kata-kata Natrah tersebut. Rasa macam maruahnya direndah-rendahkan oleh gadis itu. Arghh!!!

Segala yang terjadi, rupa-rupanya mendapat perhatian Ehsan dari ruang rehat tingkat atas. Dari tadi dia perhatikan tingkah Natrah dan Eirfan. Benarlah dugaannya, mereka memang menjalinkan hubungan. Hatinya cemburu dan rasa tercabar. Namun perasaan sakit hati lebih menguasai. Dia akan pastikan Eirfan melolong dan menangisi segala-galanya. Tengoklah apa yang akan dilakukannya!

"SIAPA nama Datin Dingin tu?"


Berkerut dahi Eirfan mendengar pertanyaan tersebut. Datin Dingin? Nak tergelak pun ada!

"Datin Dingin?"

"Ye arr! Datin Dinginlah! Datin yang tadi tu. Muka dia tu dingin semacam je. Macam baru keluar dari peti ais. Entah berapa lama agaknya dia terkunci dalam peti ais tu" bebel Natrah. Perasaan geram dia masih bersisa. Mengenangkan Eirfanlah, dia mengalah saja. Jika tidak, habis Datin itu dia kerjakan. Eeeee..

Mendengarkan kata-kata Natrah, tawa Eirfan pecah. Rasa lucu saja tatkala Natrah berhujah seperti itu. Setiap orang yang dia tak suka, akan ada nama panggilan yang dia ciptakan. Hailahh Natrah! Nasib baik sayang...

"Awak ni kan... Ada-ada je nama panggilan awak bagi kan?"

"Siapa suruh dia cari pasal dengan saya? Eeee geramlah! Macam manalah awak boleh bertahan dengan dia tu? Perangai tak serupa dengan nama!"

"Dari kecik lagi saya dah terbiasa dengan dorang Love! So it's not a big deal for me" Eirfan senyum namun tampak tawar sangat.

"Tak payahlah nak senyum macam tu! Nampak basi tahu tak?"

Eirfan gelak.

Natrah mengeluh. Dia rasa kasihan dengan nasib Eirfan. Entah berapa banyak kali dia kena hadap kata-kata makian dan kesat dari mereka. Kalau dia, memang dia tak tahan! Lebih baik larikan diri dari rumah dari terus menatap muka-muka tak semengah mereka tu!

"Mesti banyak yang awak dah terima kan?"

Eirfan menoleh ke arah Natrah. Kemudian, sebuah senyuman dia hadiahkan buat gadis itu. Cukup dengan senyuman membuatkan Natrah memahami betapa dalamnya luka dan kesedihan lelaki itu.

"Dunia ni kadang-kadang tak adil kan?" rintih Natrah dengan keluhan panjang.

"Kenapa pulak?"

"Ye. Dunia tak adil. Sebab orang baik macam awak kena hadap orang-orang tak baik macam si Ehsan dan Datin Dingin tu. Sedangkan Ehsan pulak dikelilingi dengan kemewahan"

"Tak baik cakap macam tu. Tu umpama awak mengeluh dengan kejadian yang Allah dah bagi. Awak tahu tak ,orang baik ni biasanya memang banyak dugaan dia kena hadapi. Dan kalau dia kuat, Allah akan gantikan dengan ganjaran yang lagi hebat. Sedangkan orang macam Ehsan tu terima segala kemewahan sebab Allah nak uji sejauh mana keimanan dia dan rasa syukur dia pada Allah"

Natrah mendiamkan diri menerima setiap tazkirah dari lelaki pujaannya. Memang dia tidak nafikan itu tetapi adakalanya dia merasa betapa kejam dan tidak adilnya dunia pada orang-orang baik seperti Eirfan. Tapi itulah, benar kata Eirfan. Orang baik memang banyak dugaannya. So, hadap sajalah!

"Kalau boleh, lepas ni banyakkan bersabar dan jangan melawan sangat dengan dorang. Tak baik"

Nasihat Eirfan membuatkan Natrah mencebik bibirnya. Sabar? Boleh sabar ke kalau hadap orang macam tu? Kalau bagi Eirfan, mungkin boleh tetapi tidak dia!

"Love, dengar tak saya cakap ni?"

"Tengok arr.. Kalau mulut ni berat je, taklah menjawabnya"

"Api tak baik lawan dengan api tahu tak? Api kena lawan dengan air"

"Yelah ustaz Wan Amirul Eirfan! Nanti saya banyakkan bersabar bila berdepan dengan orang macam tu. Tapi....saya tak boleh janji. Nanti kalau saya berjanji dan saya mungkiri, kan ke dah jatuh munafik hukumnya? Jadi maaf ye? Saya tak boleh janji"

Bibir Eirfan menyenget dengan senyuman. Dia sudah mengagak reaksi dan jawapan dari gadis itu. Emosi Natrah memang tak boleh dicabar. Kalau dicabar, teruklah akibatnya!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience