Kawasan yang agak berbukit itu, menyukarkan pergerakan mereka.
“Tolaklah kuat sikit! Macam tak bergerak saja ni!”
“Dah tolaklah ni. Berpeluh habis dah ni!”
“Kenapa berat semacam motor ni? Aku dah free gear…”
“Jangan benda tu menumpang sudah!”
“Hissy… tak sayang mulut!”
“Alah… aku gurau saja. Rileklah beb!”
“Aku rasa nak terkucil ni, kau boleh gurau-gurau pulak. Nak gurau tunggu
esok boleh?”
Senyap seketika. Kudin tergelak dalam hati. Barulah dia sedar bahawa
Alim juga seorang yang penakut. Ingatkan dia sahaja yang takut bila
bercerita soal misteri berkaitan dengan saka mahu pun kisah seram. Apa
lagi kalau disebut cerita hantu. Kena pula waktunya seperti yang mereka
lalui sekarang. Rumah buruk tinggal Aki Meon semakin hampir dilewati.
Nampak gelap dan tiada sebarang cahaya api seperti yang dilihat Kudin
sebentar tadi.
“Gelap semacam jer! Betulkah apa yang kau tengok tadi?”
“Mata aku tak rabun lagi beb! Kau pun tengok tadikan?”
“Iyelah… pelik!”
“Dia nak main-main dengan kita pulak!”
“Siapa?”
“Sendiri mahu ingatlah!”
Menapak beberapa langkah ke hadapan, kaki mereka terhenti. Kudin dan
Alim benar-benar tergamam. Di hujung jalan ada satu cahaya lilin sedang
terkedip-kedip ditiup angin. Alim mula rasa tidak sedap hati. Kudin
terkumat kamit mulutnya membaca ayat-ayat yang terlintas di kepala. Di
sebalik api lilin itu ada satu lembaga sedang duduk berteleku di tanah.
Wajahnya tidak jelas, dan yang pasti lembaga itu hanya berselubung
dengan kain. Dan kain itu berwarna putih. Serta merta kaki Alim sudah
mula mengeletar. Seram sejuk sampai seluruh anggota badannya.
“Bau apa ni?” Kudin berbisik di telinga Alim.
“Aku… aku dah terkencinglah!”
“Patutlah… semacam jer baunya…”
“Dah terkucil… nak buat macam mana!”
“Lain kali jangan nak perli-perli aku. Terbukti siapa yang penakut
sekarang!”
Kedengaran satu suara sedang menyapa. Berderau darah Alim dan Kudin
apabila sapaan itu mencucuk cuping telinganya. Sudahlah keadaan ketika
agak samar, suasana sunyi dan sepi. Apa sahaja yang berbunyi pasti cepat
ditangkap oleh pendengaran telinga. Apa lagi kalau diri diselubungi rasa
ketakutan yang amat sangat. Ada peluh jantan mula menitis di dahi
masing-masing.
“Tolak motor bang? Nak tolong boleh?”
Share this novel