BAB 1

Horror & Thriller Completed 659

Batang rokok disepit pada celah bibir sambil kedua-dua belah tangan memusing stering. Kenapa macet sangat ni? Ada rumah terbuka di depan sanakah? Dia berdengus. Puas memulas stering, tayar kereta kembali lurus ke depan. Maka tangan kanan pantas mengepit rokok yang tinggal separuh. Asap dihembus keluar dari hidung dan mulut. Pergerakan kenderaan mula sedikit lancar. Dari jauh dia ternampak seorang polis trafik sedang mengawal lalu lintas.

Dia mengangkat tangan tanda terima kasih kepada pegawai polis itu yang membukakan jalan kepadanya untuk memasuki lorong sempit. Seorang polis berseragam biru gelap mengalihkan penghadang jalan sebaik sahaja ternampak keretanya. Orang banyak berpusu-pusu menjengah-jengah di sebalik penghadang jalan dan tali kuning yang direntang.

Oh... bukan rumah terbuka. Tetapi rakyat Malaysia yang terlebih prihatin sengaja memberhentikan kenderaan di bahu jalan. Masing-masing sibuk mahu tahu kejadian yang berlaku di situ. Bukannya dapat tengok pun. Buang masa sahaja mereka menunggu dan terjengah-jengah.

Kereta diberhentikan di bawah pokok kelapa. Sewaktu keluar dari kenderaan, dia mendongak ke atas hendak melihat kalau-kalau ada pelepah nyiur tua atau kepala tua. Bimbang kalau jatuh terkena pula pada cermin kereta. Hendak meletakkan kereta di tempat lain, memang tiada ruang. Halaman yang separuh luas itu telah dipenuhi kereta peronda dan ambulans.

Izz Shazzy menebarkan pandangannya ke kawasan sekeliling. Jika tanpa kehadiran kereta peronda dan ambulans, pasti rumah ini sangat aman dan damai. Separuh lamannya ditutupi batu-batu putih dan separuh lagi dengan rumput karpet. Pohon nyiur barbaris di sekeliling laman yang berbentuk seakan-akan empat segi. Rumah kampung yang dibuat daripada kayu berwarna coklat gelap itu beratapkan bumbung zink. Lampu kelip-kelip yang tidak bernyala digantung mengelilingi rumah. Manakala pelita minyak tanah yang dipasang pada batang buluh disusun di sekeliling laman. Pasti suasana malam rumah ini meriah.

Malangnya kemeriahan itu sirna dengan kehadiran kenderaan berlampu biru merah di bumbung dan bersiren. Entah apa yang telah berlaku di rumah ini pada pagi hari pertama bulan Syawal?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience