40

Romance Series 93218

Hari demi hari hubungan Ezmal dan Ramona kembali pulih seperti sedia kala. Kemesraan yang terjalin di antara mereka memang tidak dapat disangkalkan lagi. Setiap hari Ezmal akan datang mengunjungi Ramona di hospital tanpa gagal. Namun bagi Ezmal, semua itu dilakukan atas dasar tanggungjawab sebagai seorang sahabat. Tiada lagi dendam dan benci terhadap Ramona yang menyelubungi dirinya. Lagi pula apalah haknya untuk terus menghukum akan kesalahan yang dilakukan Ramona sedangkan Ramona sendiri sudah menerima pengajaran di atas perbuatannya sendiri.

Ezmal menolak daun pintu perlahan. Langkahnya terhenti sebaik melihat susuk tubuh Aayra yang turut berada di dalam bilik itu. Pandangan mereka bersatu. Lama mereka berkeadaan begitu sebelum Ezmal mengalihkan pandangannya ke arah lain. Aayra hanya tersenyum kecil sebelum pandangannya kembali tertumpu ke arah Ramona yang sedang asyik lena diulit mimpi.

“Dah lama awak sampai?" Soal Ezmal membuka bicara.

“Baru je lagi. Kerusi pun belum panas lagi ni." Balas Aayra bersahaja.

Ezmal mengangguk perlahan. Bekalan makanan yang dibawa untuk Ramona kemudian diletakkan di atas meja kecil di sisi katil Ramona. Wajah pucat wanita itu ditatap dengan perasaan sayu. Kebelakangan ini kesihatan Ramona semakin merosot. Pergerakannya juga sudah agak terbatas. Hal ini juga telah membuatkan Ramona sudah tidak lagi berkemampuan untuk melakukan apa - apa untuk dirinya sendiri. Semuanya harus dibantu. Saat berdepan dengan situasi seperti itu, sudah pasti ianya agak menganggu emosi Ramona.

“Harraz tak datang sekali ke? Tak nampak pun dia kat luar tadi?" Soal Ezmal lagi.

“Harraz ada je kat rumah tu. Dia tolong jagakan anak - anak. Lagipun tak sesuai pulak nak bawak budak - budak tu ke sini kan. Itu yang saya datang sorang je tu." Cerita Aayra panjang lebar.

Aayra sengaja mencipta suasana ceria di antara mereka. Sebolehnya dia tidak mahu kelihatan begitu kekok saat berdepan dengan lelaki di hadapannya ini. Riak wajah Ezmal juga sudah mula kelihatan sedikit tenang berbanding di awal tadi.

Suasana yang sunyi sejak tadi kini sudah mula bertukar rentak. Aayra dan Ezmal dilihat begitu ramah berbual antara satu sama lain. Masing - masing begitu sibuk berkongsi cerita mengenai kehidupan masing - masing. Tanpa mereka sedar, setiap tingkah laku dan perbualan mereka itu telah diintai dan didengari oleh Ramona dalam diam. Bibirnya menguntum senyum. Sejak dari awal tadi lagi dia memang sengaja pura - pura tidur. Semua itu dilakukan kerana dia ingin memberi peluang untuk Aayra dan Ezmal meluangkan masa bersama.

Ramona tahu apa yang dilakukannya itu adalah salah. Namun hanya itu sahaja peluang yang dia ada untuk mempertemukan Aayra dan Ezmal tanpa Harraz di sisi. Lagipun Ramona tahu, memang inilah peluang yang dinanti - nanti kan Ezmal selama ini. Lihat sahaja air muka lelaki itu ketika ini. Kelihatan begitu berseri - seri sekali. Pasti terubat rindu dan lukanya saat menatap wajah Aayra sebegitu. Entah mengapa hati Ramona tiba - tiba dibaluti rasa sayu. Sayu melihatkan penderitaan yang ditanggung Ezmal. Ramona tahu dalam diam Ezmal sangat menyintai Aayra. Disebabkan hal ini jugalah hubungan mereka semakin renggang. Jika dahulu mungkin dia berasa tercabar dan marah setiap kali terpandangkan Aayra. Tapi kini Ramona mula mengerti mengapa Aayra begitu istimewa di mata Ezmal. Namun apalah dayanya untuk menyatukan mereka berdua. Seperti yang sedia maklum, Aayra sudah pun mendirikan rumahtangganya bersama Harraz. Jadi mana mungkin dia memisahkan kedua pasangan suami isteri itu untuk kebahagiaan Ezmal. Tambahan pula Harraz sudah cukup sempurna di mata Aayra. Mana mungkin Aayra sanggup mencurangi suaminya.

Bunyi deheman Ramona telah menyedarkan Aayra dan Ezmal dari perbualan panjang mereka. Serta merta mereka mendekati Ramona. Kelihatan wanita itu seperti baru sedar dari tidurnya. Lantas Aayra membantu menaikkan katil Ramona agar lebih selesa kedudukannya.

“Dah lama korang berdua sampai?" Soal Ramona dalam kepayahan.

“Lamalah juga. Sempatlah berborak panjang kat situ tadi." Balas Aayra ceria seraya memandang ke arah Ezmal. Pandangan mereka bersatu dan Ezmal menghadiahkan senyuman buatnya.

Ramona yang menyedari akan situasi itu turut tersenyum penuh makna. Namun dia pura - pura tidak perasan akannya.

“Maaflah buat korang berdua tertunggu. Mona betul - betul letih lepas makan ubat tadi. Itu yang terus tertidur." Cerita Ramona dengan nada yang tersekat - sekat.

“It's ok, Mona. We understand your condition. You deserved to get a good rest. By the way, have you take your lunch? I ada belikan spaghetti carbonara yang you suka tu. Nak makan tak? I suapkan ye?" Pelawa Ezmal seraya menghidangkan makanan yang dibelinya sebelum datang ke sini tadi ke dalam pinggan.

Ramona tersenyum gembira. Ezmal seperti sangat memahami keinginannya. Sebenarnya sudah lama tekaknya teringin untuk menjamah makanan kegemarannya itu namun tidak sekali pun dia berani menyuarakan hal itu kepada Ezmal mahupun Aayra. Dia tidak mahu menyusahkan mereka di saat dirinya sebegini. Baginya sudah cukup dengan segala kebaikan yang mereka lakukan kepadanya sepanjang dia berada di dalam wad ini. Jadi mana mungkin dia sanggup untuk membebankan mereka lagi.

Melihatkan kemesraan yang terjalin di antara Ramona dan Ezmal membuatkan Aayra tersenyum bahagia. Akhirnya apa yang diimpikan Ramona selama ini bisa menjadi kenyataan walaupun ianya hanya sementara. Sekurang - kurangnya Ezmal sudah melakukan yang terbaik buat Ramona sebelum wanita itu pergi buat selamanya. Betapa mulianya hati lelaki itu dirasakan Aayra. Ezmal sanggup membuang perasaan benci dan dendamnya terhadap Ramona demi menjaga wanita itu. Malah Aayra yakin walau tidak banyak tetapi perasaan sayang Ezmal terhadap Ramona masih bersisa di dalam hatinya. Jadi tidak mustahil lah mengapa Ezmal masih boleh berbaik dengan Ramona saat ini.

Sebaik Ezmal habis menyuapkan makanan kepada Ramona, kini giliran Aayra pula membantu Ramona membersihkan diri. Tanpa paksaan, Ezmal membantu mengangkat Ramona dari katilnya lalu
diletakkan ke atas wheelchair yang disediakan oleh pihak hospital. Melihatkan situasi itu, Aayra sekali lagi tersenyum. Betapa dia sangat memuji keprihatinan yang ditunjukkan Ezmal. Tanpa membuang masa, Aayra terus membawa Ramona ke dalam bilik air yang terdapat di dalam bilik itu. Memang sejak dari awal lagi Aayra meminta supaya Ramona diletakkan di dalam bilik khas yang mempunyai segala kelengkapan yang lengkap. Jadi tidak perlulah mereka ke sana ke sini bagi mendapatkan sebarang bantuan untuk Ramona.

Hampir dua jam lebih mereka berada di situ, akhirnya Ezmal meminta diri untuk pulang. Pada asalnya Aayra juga turut sama meminta diri untuk pulang ke rumah. Namun ianya dihalang oleh Ramona.

“Boleh awak temankan saya sekejap? Ada hal penting yang nak saya sampaikan kepada awak." Ujar Ramona perlahan. Namun dari nadanya, ianya penuh dengan pengharapan.

Pada mulanya Aayra agak berat untuk bersetuju dengan permintaan Ramona itu. Namun setelah mendapat kebenaran dari Harraz, akhrinya Aayra bersetuju. Lagi pula dia sangat yakin pasti ada sesuatu yang amat penting yang ingin disampaikan Ramona kepadanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience