Bab 4

Humor Completed 15666

“Kira, ibu minta maaf. Ibu tahu Kira dah besar. Tak layak didesak. Ibu menyesal, Kira. Menyesal sungguh. Kalaulah ibu tak mendesak Kira supaya berhenti melakukan kerja-kerja Kira, tentu Kira tak lari dari rumah. Tentu Kira tak ada di sini. Sekarang ibu menyesal sangat. Kira, bangunlah nak. Kalau Kira nak terus jadi fashion designer pun ibu takkan sesekali melarang lagi. Ibu takkan paksa Kira jadi pegawai bank atau apa-apa. Kira, bangunlah…” sebak suara ibuku.

Ya Allah, ibu… sayunya hati ini bila mendengar kata-kata maaf dari ibu. Bukankah Kira yang sepatutnya meminta maaf? Kira membesarkan hal yang kecil. Kira tak patut bertindak sampai begitu. Lihatlah balasanNya pada Kira sekarang? Kira tak mampu bergerak lagi, ibu! Kira lumpuh! Kira tak boleh melihat! Kira tak boleh bersuara. Sewaktu Kira boleh melihat dulu, Kira tak lihat wajah ibu. Sewaktu Kira boleh berkata-kata dulu, Kira melawan cakap ibu. Sewaktu Kira boleh mendengar dulu, Kira lebih memilih untuk mendengar kata kawan-kawan berbanding suara ibu. Sekarang? Kira cuma nak ibu!

“Mak cik, sabar ya. Pasti ada hikmahnya,” si doktor masih tidak beredar rupa-rupanya. Masih di situ. Ya Allah! Malu aku berganda. Luahan hati ibu menunjukkan yang aku ini benar-benar seorang anak derhaka. Ibu, maafkan Kira bu…

“Mak cik dah banyak buat salah pada dia. Mak cik selalu suruh dia jadi apa yang mak cik nak dia jadi. Dia tak pernah membantah langsung kata-kata mak cik. Sedikit pun tak pernah sampailah hari semalam… mak cik tak suka dia leka dengan dunia seninya. Mak cik lebih suka dia menjadi pegawai bank. Mak cik cuma nakkan yang terbaik dalam hidup dia tanpa menyedari yang dia memang sedang berusaha untuk menjadi yang terbaik…

Buat pertama kalinya, dia meminta mak cik merestui minatnya. Tapi.. mak cik marah-marah dan perbualan kami menjadi perbalahan besar. Dia berlari keluar dari rumah dan dalam masa yang sama, di waktu hujan begitu. Sebuah kereta meluncur laju, mak cik nampak dengan mata kepala mak cik sendiri… dia dilanggar dan mak cik tak dapat buat apa-apa. Ya Allah! Kasihan sungguh anak aku,” ibuku meraung.

Dadaku sebak! Sebak sangat. Ibu. Janganlah berkata macam tu. Berhenti menyalahkan diri ibu. Kira yang salah. Kira yang derhaka. Kenapa ibu mesti menyalahkan diri ibu? Disebabkan Kira tak pernah membantahlah Kira tak pernah tercedera sehingga semalam, bu. Sehingga semalam! Aku hendak menangis! Tapi… mata bagaikan kering. Tak mampu mengalirkan air mata. Aku berterusan kaku. Ibu, air mata pun Kira tak mampu titiskan. Inikah balasan dunia Kira, ibu?

“Mak cik banyakkan berdoa pada Allah. Semua ni berlaku sebagai pengajaran pada mak cik dan mungkin pengajaran pada anak mak cik. Jangan salahkan qada’ dan qadarnya. Benda dah jadi. Saya tahu Cik Kira mendengar. Dan jika saya betul, dia tentu tak nak dengar mak cik menangis begini. Dia tentu nak mak cik beri sokongan padanya dan tidak menyalahkan diri mak cik,” si doktor menenangkan ibuku. Alhamdulillah! Si doktor dapat membaca isi hatiku. Memang itulah yang aku harapkan! Aku harapkan agar ibu berhenti menangis.

“Mak cik menyesal, doktor. Kalaulah mak cik tak desak dia…” mak aku bersuara perlahan. Menyesali kata-katanya. Sedangkan akulah yang sepatutnya menyesali tindakanku yang telah menderhaka kepada ibu. Ibu tak patut menangisi seorang anak yang biadap seperti aku!

“Semua yang berlaku pasti ada hikmahnya. Mak cik bertenang ya? Keadaan anak mak cik ni yang mak cik perlu risaukan. Dia tentu tak mahu mak cik menangis begini. Anggaplah ini ujian daripadaNya untuk kebahagiaan di masa akan datang,” si doktor memujuk lagi.

“Terima kasih, doktor,” ibuku sudah semakin tenang. Terima kasih, doktor sebab dah tenangkan perasaan ibu saya…

“Sama-sama. Err, mak cik…” panggil si doktor.

“Ya saya,” ibuku menyahut.

“Saya minta maaf sebab saya yang mengambil alih tugas merawat dia. Saya minta maaf sebab terpaksa merawat bahagian dadanya. Bukan niat saya nak…” tergagap-gagap si doktor cuba menerangkan hal itu kepada ibuku.

“Tak apa, doktor. Itu dah memang tugas, doktor. Mak cik faham,” ibuku memahami tetapi aku? Dia dah melihat dadaku? DADA?! Kalau kaki, aku boleh terima lagi. Ini, aset terpentingku. Bagaimana rupa dadaku? Banyakkah kesan belahan dan jahitannya? Ibu… teruk aib yang Kira terima ni, ibu! Kenapa mesti doktor ini yang merawatku? Kenapa tidak doktor perempuan? Kenapa mesti dia? Malunya aku! Aibku… astaghfirullahalazim. Aku nak menangis pun aku tak mampu tetapi… aku memang perlu menangis. Aibku!

“Baiklah mak cik. Terima kasih sangat-sangat sudi faham tugas saya. Tak semua ahli keluarga faham tempat seorang doktor. Terima kasih banyak-banyak. Saya akan datang semula untuk melihat perkembangan Cik Aiza Kirana. Sama-sama kita doakan kesembuhan dia, ya mak cik? Kuatkan diri. Beri dia semangat,” si doktor masih sudi menenangkan ibuku. Aku berasa sedikit lega. Sekurang-kurangnya ada yang sudi ‘menggantikan’ tempatku. Buat ibuku rasa selesa sedikit.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience