2 Hajat Tok Teh

Family Series 57531

Sebuah kereta mewah buatan luar negara kelihatan memasuki perkarangan sebuah rumah banglo sebesar dan secantik istana zaman moden. Ketika kereta mewah itu bergerak perlahan menuju ke garaj, tabir di salah satu jendela bercermin gelap itu terkuak sedikit. Sepasang mata tua sedang mengintai di sebalik tabir tersebut sebelum terkocoh-kocoh bergerak menuju ke ruang tamu.

Tidak lama kemudian, seorang pemuda melangkah masuk sambil melepaskan butang baju kotnya. Kot berwarna biru gelap itu ditanggalkan dari tubuh lalu disangkut di bahu. Melangkah lurus melintasi ruang tamu sambil sesekali menggerakkan tengkuk ke kiri ke kanan, cuba melakukan sedikit regangan di bahagian yang terasa lenguh.

“Rhett Raffendy! Duduk dulu.”

Langkah kaki pemuda itu spontan terbantut. Sebuah keluhan halus dilepaskan sebelum arah kaki diubah. Punggung dilabuhkan bertentangan dengan seorang wanita tua berusia pertengahan 70an. Wajah yang semakin dipenuhi garis kasar itu ditenung seketika.

“Kenapa Tok Teh?” Dengan bermalasan, lelaki bernama Rhett Raffendy itu bertanya.

Tok Teh menarik nafas dalam-dalam. Sambil tubuh santai bersandar di penyandar sofa, seraut wajah tampan cucu kesayangannya itu ditelusuri dengan mendalam. Sebuah keluhan berat dibuang. Rhett merenung wajah tua di hadapannya itu dengan dahi bergaris halus.

“Kenapa ni, Tok Teh? Macam ada masalah berat je. Tok tak sihat ke?”

“Rumah ni… sunyi! Apatah lagi lepas kau tu dah masuk pejabat. Entah-entah tok ni mati mengejung dalam rumah ni pun keseorangan, tiada siapa yang sedar!” Rungut Tok Teh sambil tarik wajah cemberut.

“Janganlah cakap macam tu tok… papa dan mama pergi honeymoon cuma seminggu je. Nanti deorang balik, riuhlah rumah ni.”

“Honeymoon kepala otak kau! Dah tua bangka macam tu masih ada hati mahu merayap ke sana sini, tak padan dengan usia betul. Sepatutnya inilah masanya papa kau tu jaga tok ni, berbakti dan buat amal jariah kepada orang-orang di luar sana yang memerlukan bantuan. Bukan pergi melancong macam orang muda!”

Rhett tersenyum sumbang mendengar leteran pedas Tok Teh. Dia akui, ada benarnya kata-kata orang tua tu. Tetapi malas mahu menyokong apatah lagi membantah. Dia penat seharian menemu duga calon pekerja baru di syarikat tadi.

“Entahlah Tok Teh, I have no comment. Saya tak nak dikata anak derhaka nanti.”

“Hah, pandai kau kan! Langkah selamatlah tu. No comment konon. Ni… bagaimana dengan hari pertama kau di syarikat? Semua baik-baik saja ke?”

“Just okay!” Rhett jawab dengan muka tak berminat. Rasa sakit hati masih bersisa dek peristiwa yang berlaku semasa di dalam bilik temu duga pagi tadi.

“Just okay? Takkan tak terserempak dengan Cik Cinderella dari mata turun ke hati?” Rhett menjegil mata. Amboi, nenda ni kan! Macam tau-tau ada Cinderella tak jadi yang tinggalkan kasut hodoh di syarikat tadi.

“Apa Tok Teh cakap ni? Habis tu Zara tu saya nak letak dekat mana?”

“Zara Adelia tu? Tok tak rasa pun perempuan tu sungguh-sungguh nakkan kau, Rhett! Tengok saja sekarang, kau dah balik ke tanah air, yang dia masih mahu tinggal di luar negara tu dah kenapa?” Terbiut-biut bibir Tok Teh ketika berbicara. Nampak jelas rasa kurang senangnya terhadap teman wanita Rhett Raffendy.

“Dia kan masih ada setahun lagi sebelum tamat pengajian. Lepas tu dia baliklah. kami akan ikat tali pertunangan dan dalam tahun yang sama, kami akan kahwin dan beri tok cicit yang paling comel.” Yakin sungguh Rhett berkata. Sudah tentu dia yakin dengan keutuhan cinta mereka berdua. Semua sudah dibincangkan bersama teman wanitanya. Dia yakin, semuanya akan berjalan dengan lancar nanti.

“Baguslah kalau macam tu. Tok harap urusan kamu berdua dipermudahkan. Yela, kalau ada jodoh takkan ke mana. Tok takkan halang kalau itu pilihan kau walau pun tok sebenarnya tak berapa gemar dengan budak Zara tu. Tok takkan ulangi kesilapan lalu.”

Berkerut seribu dahi Rhett mendengar kata-kata Tok Teh. Ditenung wajah tua yang mulai dipenuhi rasa kesal itu.

“Kenapa Tok Teh? Tok buat apa sebelum ini?” Tok Teh mengeluh panjang. Wajah berkedut itu diraup dengan penuh kekesalan.

“Tok buat kesilapan besar suatu waktu dahulu. Dan tok benar-benar menyesal. Rhett, sebelum tok pergi tinggalkan dunia ni, tok nak minta bantuan kau supaya tok boleh tebus kesilapan tok dan minta maaf pada seseorang yang terluka teruk akibat perbuatan tok dahulu.”

Tergamam Rhett dengar permintaan Tok Teh itu. Melihat sebutir air mata mulai berguling ke pipi tua itu, Rhett bingkas bangun dan berpindah tempat duduk. Bahu Tok Teh dipeluk erat.

“Kenapa ni Tok Teh? Janganlah cakap macam tu. Tok kan nak tengok cicit tok? Dah, jangan nangis. Saya kan ada. Mintalah apa saja, saya akan berusaha untuk tunaikan. Jangan suruh saya kahwin dengan orang lain sudah!” Tergelak Tok Teh dengar. Rhett tersengih. Senang hati melihat tawa nenda kesayangannya.

“Tok nak saya buat apa?” Rhett terus tanya. Tok Teh terjeda sebentar. Sempat merenung jauh ke arah jendela.

“Tok nak kau cari bekas pembantu rumah yang pernah kerja di sini sekitar awal tahun 90an dulu.” Rhett tergamam lagi. Serius? Waktu tu dia belum pun diproses. Papa masih bujang kot! Di mana mahu dicarinya bekas pembantu rumah yang telah berpuluh tahun meninggalkan rumah itu? Entahkan masih hidup atau sudah diberi ucapan damailah engkau di sana!

“Sudah berpuluh tahun Tok Teh… macam mana mahu cari orang tu?”

“Ni, tok ada upah penyiasat peribadi. Dalam kertas ni ada tertulis alamat terakhir Mardhiah, bekas pembantu rumah tok dulu.” Sehelai kertas yang dihulur oleh Tok Teh disambut oleh Rhett. Kertas tersebut direnung sebentar sebelum bebola mata naik menentang sepasang mata tua itu.

“Di mana tempat ni Tok Teh? Tak pernah dengar pun sebelum ni.” Omel Rhett dengan wajah cemberut. Tak dia duga, rupanya dalam diam Tok Teh telah bertindak terlebih dahulu.

“Ianya sebuah perkampungan terpencil di ceruk negara. Tolong bawa Mardhiah bertemu tok. Ini permintaan terakhir tok, Rhett. Dan satu lagi, jangan beritahu pada papa dan mama. Faham tak ni? Biarlah ia menjadi rahsia kita berdua.”

Rhett memandang Tok Teh dengan wajah kurang mengerti. Mengapa perlu dirahsiakan? Serius, dia rasa permintaan nenda tak masuk akal langsung. Dari mencari orang yang dah berpuluh tahun tak jumpa hingga suruh dia rahsiakan dari keluarga. Semua tak masuk akal. Adakah nenda sudah nyanyuk?

Ditenung seraut wajah dipenuhi kedut yang sedang memandangnya dengan penuh mengharap itu. Rasanya tak sampai hati mahu menolak. Ah, dia buntu!

“Baiklah, saya akan cari orang tu sampai dapat. Cuma pergerakan saya terhad sekarang. Tok Teh tahu kan saya baru saja menggantikan papa? Saya tak boleh…”

“Tentang hal itu biar tok yang uruskan. Kau boleh mulakan pencarian esok.” Rhett yang agak terkejut dengan kata-kata bidasan Tok Teh terus memaku pandangan tidak percaya.

“Serius, Tok Teh?!” Naik seoktaf suara.

“Kau jangan pandang rendah pada tenaga tua ni ya! Sebelum papa dan kau, ni… orang tua ni yang membangunkan Lumia tu bersama arwah atuk kau tau!” Rhett langsung kemam bibir. Ya, itu memang tak mampu dia nafikan. Tapi, menyerahkan urusan syarikat bulat-bulat pada orang tua tu rasanya tak sanggup pula dia buat. Yela, dah tua kot! Nak dibebani pula dengan urusan syarikat yang punya beribu pekerja dan beberapa cawangan? Macam kejam pula!

“Take your time, I’ll be fine without you. Hanya seminggu, lepas tu papa kau akan ambil alih sementara kau selesaikan hal tu.” Rhett melepaskan sebuah keluhan.

“Yela, nendaku sayang. Doakan saya berjaya jumpa Puan Mardhiah tu dan bawa dia jumpa nenda tanpa sebarang halangan.” Itu kata-kata terakhir Rhett sebelum mereka berpisah malam itu. Kata-kata yang seharusnya dia kotakan kerana terlanjur dilafazkan.

Tapi, melaksanakan tak semudah perancangan. Kerana timbul masalah mengejut di syarikat, Rhett terpaksa menangguhkan pencarian. Tak sampai hati mengerah tenaga tua Tok Teh untuk selesaikan masalah mendadak itu. Kerana dia masih terlalu baru dan kurang berpengalaman, masalah yang timbul tidak mampu dia selesaikan segera.

Dari seminggu, ke sebulan. Kepulangan mama dan papa ke tanah air langsung tidak memberi Rhett kemudahan bila papanya lepas tangan dan serahkan bulat-bulat kepada dia untuk selesaikan semuanya. Lepas selesai satu masalah, timbul pula masalah lain. Lantaran kesibukan memanjang, masa terus berlalu tanpa disedari.

Suatu hari, Rhett Raffendy sampai lewat ke rumah. Seluruh tubuh terasa lemas dan lenguh kerana seharian masa dihabiskan di bilik pejabatnya. Suasana di ruang bawah sudah malap. Lampu utama telah dipadam. Hanya tinggal lampu kecil yang melekat di dinding dengan cahaya agak malap. Saat melalui ruang tamu, tiba-tiba bulu tengkuk mencanak. Lain macam perasaan bila terasa ada sepasang mata sedang merenung dia dengan tajam.

Langkah besarnya menjadi perlahan dan semakin kecil bukaannya. Ragu-ragu sama ada mahu teruskan melangkah atau berhenti untuk pastikan adakah rumahnya telah dicerobohi seseorang atau itu semua hanya ilusi kerana terlalu penat.

Briefcase hitam digenggam erat. Benda tu akan dia jadikan senjata sekiranya dia tiba-tiba diserang nanti. Perlahan, kepala dipusing ke arah ruang tamu.

“Dah hampir setahun, Rhett Raffendy! Apa kau mahu tok mati dulu baru kau kelam kabut nak tunaikan permintaaan tok tu ke hah?! Masa tu baru kau sibuk nak seru roh tok untuk jumpa Dhiah ke?!”

Ah, permintaaan Tok Teh!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience