‘’Semua murid beratur di depan sekarang. Kita dah nak balik ni,” arah
Cikgu Jannah.
Kami semua bangkit dari kerusi sambil menggalas beg sekolah
lalu mula beratur memanjang di hadapan pintu keluar.
“Angkat tangan dan letak kat atas bahu kawan,” arah Cikgu
Jannah lagi.
Kmi menurut. Barisan kami luruskan.
“Aidil, mulakan,” arah Cikgu Norlia pula.
“Terima kasih, cikgu!” jerit Aidil selaku ketua.
Kami turut mengikut kata-kata Aidil.
“Sekarang boleh nyanyi. Satu, dua, tiga, nyanyi!” arah Cikgu
Norlia.
Dengan bersemangat, kami mula menyanyi.
Selamat pulang, selamat pulang
Saya nak pulang, saya nak pulang Esok jumpa lagi
Usai menyanyi, seorang demi seorang menyalami tangan Cikgu
Norlia dan Cikgu Jannah lalu melangkah pulang ke rumah masing-masing.
Tiada sesiapa yang datang menjemput aku kerana sekolahku hanya selang
tiga buah rumah saja dari rumahku. Ayah dan ibu pula bekerja, manakala
Along pula bersekolah.
*****
*SAMPAI*saja di hadapan rumah, aku melangkah ke rumah jiran sebelah
untuk meminta kunci rumah. Ibu memang menyerahkan kunci rumah kepada
jiranku untuk memudahkan aku masuk ke dalam rumah.
“Assalamualaikum...” Aku memberi salam.
Beberapa saat menunggu, pintu rumah dibuka oleh Mak Cik
Arfah. “Waalaikumussalam... Mia nak ambil kunci rumah ya? Sekejap ya.”
Mak Cik Arfah berlalu semula ke dalam untuk mengambil kunci. Kemudian
dia menyerahkannya kepadaku. “Tak nak masuk dulu ke? Mari makan dulu,”
pelawa Mak Cik Arfah. Memang sudah menjadi kebiasaanku untuk makan
dahulu di rumah Mak Cik Arfah, sementara menanti ibu dan ayah pulang.
“Mia puasa hari ni,” jawabku sambil tersenyum.
“Oh.. dah puasa, ya? Baguslah, kecik-kecik dah diajar
berpuasa.” Mak Cik Arfah mengusap kepalaku.
“Mia balik dulu ya mak cik.” Aku menyalami tangannya lalu
melangkah ke rumahku. Ketika aku sedang membuka pintu rumah, Mak Cik
Arfah masih lagi memerhatikanku.
Aku meletakkan beg di atas lantai lalu merebahkan diri di
atas sofa, keletihan berpuasa. Lemah segala sendiku, dengan perut yang
berbunyi lagi. Baru saja ingin melelapkan mata, pintu rumah terbuka. Aku
mengalihkan mata ke pintu.
Along melangkah masuk lalu menutup semula pintu rumah. Along
duduk di sofa berhadapan denganku sambil merenungku yang sudah lembik.
“Tak tukar baju lagi ke?” soal along.
“Kejap lagilah. Mia penat ni.” Aku bersuara lemah.
“Lapar ke?” soal along lagi.
Aku mengangguk lemah. Mataku sudah tertutup sedikit.
“Nak makan ke? Kalau nak, along boleh gorengkan telur,”
tawarnya.
“Tak nak... nanti tak dapat duit,” tolakku.
“Tak nak sudah. Along naik atas dulu.”
*****
‘’Adui budak ni, apahallah liat sangat anak dara sorang ni. Mia bangun... kenapa tidur kat sini ni? Dengan baju sekolah tak
bersalin.”
Dengan lemah, aku membuka mata. “Ibu...” Aku memejam mataku
kembali.
“Mia, bangun...” Ibu menepuk perlahan pipiku.
“Hmm...” Itu saja yang aku suarakan.
“Pergi naik atas mandi, kejap lagi ibu nak ajak Mia pergi
bazar ramadhan.”
Sepantas kilat aku bangun. Hilang terus rasa mengantukku.
“Kita nak pergi bazar ramadhan ke ibu?” tanya aku teruja.
“Amboi, sebut bazar ramadhan je, terus segar ya. Pergi
mandi dulu,” arah ibu.
Aku bangkit dari sofa, mengangkat beg lalu naik ke bilikku.
Masuk saja di bilik, aku mencapai tuala dan melangkah ke bilik mandi.
Selesai mandi dan berpakaian, aku turun semula ke bawah, mencari ibu.
Bunyi bising di dapur membawa langkah kakiku ke dapur. Aku
lihat ibu sedang memasak. “Ibu cakap nak pergi bazar ramadhan?” soalku
“Lepas ibu habis masak, kita pergi ya. Mia pergilah tengok
tv dulu.”
Aku melangkah ke ruang tamu. Televisyen kubuka, rancangan
kartun kucari. Aku menonton sambil menunggu ibu menyudahkan kerjanya.
“Jom Mia,” ajak ibu setelah setengah jam aku menunggu.
Aku mula mematikan televisyen dan mendapatkan ibu.
Ibu melangkah ke tangga lalu mendongakkan kepalanya ke atas.
“Along... ooo, along,” jerit ibu dari bawah tangga.
“Ya, ibu?” Along muncul di tangga teratas dan menjengukkan
mukanya ke bawah.
“Ibu dengan Mia nak pergi bazar ni. Nak ikut tak?” pelawa ibu.
“Tak naklah ibu. Nanti tolong belikan Along kebab ayam
boleh?” pesan along
“Yalah, nanti ibu belikan. Duduk rumah elok-elok. Tunggu
ayah balik tau.” Usai memberi pesanan, ibu menarik tanganku.
Share this novel