BB - BAB 6

Drama Completed 309212

GENAP seminggu Qaireena bekerja sebagai penghantar makanan, walaupun menunggang skuter di bawah panas terik matahari dan adakalanya dia basah kuyup bermandikan hujan, namun semangatnya tidak pernah luntur, demi mencari wang bagi menampung kos pembedahan Qaisara dan menyara kehidupan mereka dua beradik.

Hari itu Qaireena menerima duit gaji pertamanya sebagai penghantar makanan.  Senyuman terukir dibibir saat melihat hasil titik peluhnya sendiri berada di tangan.  Terasa segala penat lelahnya hilang serta merta.

"Alhamdulillah, terima kasih atas kurniaan rezeki-Mu ini ya Allah".  Ucap Qaireena sendirian.

Malam itu, dia pulang ke rumah dengan wajah yang ceria.  Sampai sahaja di rumah, dia terus melangkah ke bilik Qaisara untuk melihat adiknya itu.

"Sara buat apa tu?". Soal Qaireena bersama senyuman sambil melabuhkan punggungnya di birai katil Qaisara.

"Sara tengah edit gambar-gambar kita semasa bercuti dengan arwah ibu dekat Pahang tempoh hari.  Nanti bila dah siap, Kak Reen tolong hantar dekat kedai cetak ya.  Sara nak buat photobook, nak jadikan kenang-kenangan".  Jawab Qaisara dengan senyuman.

"Baiklah, nanti Kak Reen hantarkan dekat kedai cetak ya.  Sara dah makan?".  Wajah adiknya yang pucat itu dipandang.

"Belum lagi, Sara tunggu Kak Reen nak makan sama".  Kata Qaisara.

"Lain kali jangan tunggu Kak Reen, Sara makan je dulu.  Nanti lewat pula Sara nak makan ubat kalau Sara tunggu Kak Reen".  Ujar Qaireena.

"Okay. Tapi Kak Reen janganlah selalu sangat balik lewat malam, bahayalah Kak Reen bawa skuter sorang-sorang, perempuan pula tu".  Pesan Qaisara.

Qaireena hanya senyum memandang Qaisara kemudian kepalanya dianggukkan.

"Kak Reen pergi mandi dulu ya, lepas tu kita makan sama-sama.  Kak Reen ada beli sup tom yam kegemaran Sara tau". 

"Iyalah".  Jawab Qaisara dengan senyuman.

Qaireena kemudian melangkah keluar dari bilik Qaisara.  Baru sahaja dia menutup pintu bilik adiknya itu, Puan Azarina terus mendekatinya.

"Awal Reen balik hari ni, Reen dah makan?".  Soal Puan Azarina dengan mesra.

"Belum lagi, nak bersihkan diri dulu".  Jawab Qaireena sambil memandang ibu saudaranya itu.

"Reen, Mak Ngah ada benda nak minta tolong daripada Reen ni".  Kata Puan Azarina.

"Apa dia?".  Soal Qaireena.  Dalam hatinya seolah-olah dapat meneka pertolongan apa yang dimahukan oleh wanita itu.

"Mak Ngah nak pinjam duit lima ratus ringgit?".  Pintanya tanpa rasa segan.  Senyuman masih lagi menghiasi bibirnya.

Qaireena mengeluh saat mendengar permintaan wanita itu.  Dia kemudian menyeluk saku seluar yang dipakainya, dua keping duit lima puluh ringgit dikeluarkan dan dihulurkan kepada ibu saudaranya itu.

"Ini je yang Reen mampu berikan pada Mak Ngah.  Reen tak ada duit sebanyak tu, lagipun Reen baru bekerja seminggu".  Kata Qaireena.  Sungguh dia geram dengan wanita itu yang sesuka hati sahaja meminta wang daripadanya.

"Tapi seratus ringgit ni tak cukuplah Reen.  Duit simpanan arwah ibu Reen kan banyak, bagilah Mak Ngah pinjam duit tu dulu, nanti bila Pak Ngah dah gaji Mak Ngah bayarlah semula".  Rungut Puan Azarina sambil memandang wajah Qaireena.

"Maaflah Mak Ngah, duit tu arwah ibu simpan untuk membiayai kos pembedahan Sara, itupun masih belum mencukupi lagi dan Reen tengah berusaha untuk tambah duit tu".  Jelas Qaireena.  Rasa marahnya cuba ditahan kerana tidak mahu dikatakan tidak menghormati wanita itu.

"Duit kumpulan wang simpanan pekerja ibu Reen tak lama lagi keluarkan, apa pula yang tak cukupnya.  Takkanlah dengan ibu saudara sendiri pun Reen nak berkira, lagipun Mak Ngah yang tolong jagakan Sara bila Reen keluar bekerja".  Ungkit Puan Azarina.

"Mak Ngah, bukan Reen yang minta Mak Ngah tinggal di sini.  Reen juga tak minta Mak Ngah tolong jagakan Sara.  Sebelum ni Reen dah beritahu pada Mak Ngah kan yang Reen tak mampu nak bayar upah Mak Ngah kalau Mak Ngah tolong jagakan Sara, tapi Mak Ngah sendiri yang berkeras nak tinggal di sini dan sekarang Mak Ngah nak mengungkit pula pada Reen?".  Ujar Qaireena.  Dia sudah mula hilang sabar dengan wanita itu.

Puan Azarina sedikit tersentak mendengar kata-kata Qaireena itu.  Dia tidak menyangka anak saudaranya itu berani berkata begitu.  Sikap Qaireena benar-benar berbeza dengan sikap ibunya yang hanya menurut apa sahaja yang diminta dari wanita itu.

"Kalau Reen tak dapat tolong tak apalah". Kata Puan Azarina kemudian berlalu dari situ sambil menjeling Qaireena.

"Ada anak saudara pun tak mengenang budi, tak boleh langsung membantu keluarga yang memerlukan".  Bebel Puan Azarina sendiri ketika dia berlalu menuju ke biliknya.

Qaireena juga terus menapak menuju ke biliknya.  Bukannya dia tidak mendengar bebelan wanita itu, namun dia malas mahu berbalas kata lagi, bimbang nanti dia tidak dapat menahan rasa marahnya pada wanita yang bergelar ibu saudaranya itu. Baginya juga, tiada guna berbalas kata dengan manusia yang bercakap tidak menggunakan akal fikiran.

••••••••••

BIHUN yang digorengnya sebentar tadi diletakkan di atas meja makan bersama telur mata.  Dia kemudian membancuh teh panas dan turut diletak di atas meja sebelum dia berlalu ke bilik untuk menukar pakaian kerjanya.

Begitulah rutin Qaireena setiap hari semenjak dia mula bekerja.  Sebelum keluar dari rumah, Qaireena akan menyiapkan sarapan pagi buat Qaisara dan memasak hidangan untuk makan tengah hari adiknya itu.  Walaupun Puan Azarina tinggal bersama mereka, namun dia tidak mahu berharap pada wanita itu untuk membantunya menjaga Qaisara.  Qaireena tidak mahu menjadi seperti arwah ibunya yang terlalu banyak terhutang budi pada ibu saudaranya itu dan akhirnya Puan Qamariyah dipergunakan.  Apa sahaja permintaan adik kepada arwah ayahnya itu terpaksa ditunaikan oleh ibunya, jika tidak wanita itu akan mula mengungkit segala apa yang pernah dilakukannya untuk menolong Puan Qamariyah, sama seperti apa yang berlaku kepada dirinya semalam. 

"Sara, Kak Reen pergi dulu ya, jangan lupa sarapan pagi dan makan ubat".  Pesan Qaireena sambil menyarungkan kasut sneakers ke kakinya.

"Baiklah Kak Reen, sekejap lagi Sara pergi sarapan.  Kak Reen tu hati-hati bawa skuter dan jangan balik lewat malam sangat".  Kata Qaisara pula.  Qaireena senyum memandang adiknya itu.

"In Shaa Allah Kak Reen akan balik awal sikit malam ni.  Sara jaga diri, kalau ada apa-apa terus call Kak Reen ya.  Dan lagi satu, kalau Mak Ngah atau Pak Ngah minta duit dari Sara, bagitahu dekat mereka yang Kak Reen tak tinggalkan duit langsung pada Sara".  Ujar Qaireena. 

Qaisara senyum kemudian menganggukkan kepalanya.  Dia memandang Qaireena keluar dari pagar rumah mereka sehingga hilang dari pandangan matanya barulah dia melangkah masuk ke dalam rumah.

~~~

Qaireena berdiri bersandar di skuternya dihadapan sebuah cafe sementara menunggu pesanan makanan pelanggannya disiapkan oleh cafe tersebut.

"Hai, kau orang baru ke?".  Soal seorang wanita yang juga memakai tshirt seragam yang sama seperti Qaireena dan turut menunggu pesanan dari cafe yang sama.

"Hai, ya orang baru.  Baru seminggu bekerja".  Jawab Qaireena dengan senyuman.

"Oh patutlah, sebab tak pernah nampak kau dekat sini sebelum ni.  Nama aku Aqilah Farwizah, boleh panggil Qila je".  Kata Aqilah sambil menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Qaireena.

"Aku Qaireena Azalea, boleh panggil Reen je".  Sambil menyambut huluran tangan Aqilah bersama senyuman di bibir.

"Umur kau berapa?".  Tanya Aqilah mesra.

"20 tahun".  Jawab Qaireena.

"Eh, kita sebayalah".  Kata Aqilah sambil tersenyum memandang Qaireena.

"Tak sangka pula ada juga orang yang sebaya aku pun dah bekerja.  Yalah, majoriti yang sebaya kita ni sedang menikmati kehidupan di universiti dan berhempas pulas untuk memiliki segulung diploma ataupun segulung ijazah".  Tutur Qaireena bersama senyuman dibibir.

"Well, jalan cerita hidup setiap orang berbeza.  Ada yang bertuah, ada yang tak".  Ujar Aqilah sambil matanya melirik ke dalam cafe untuk melihat sama ada pesanan pelanggannya sudah siap atau belum.

Qaireena tersenyum dan mengangguk.  Pandangannya juga turut dihalakan ke dalam cafe tersebut.  Tidak lama kemudian loceng kecil yang berada di atas meja tempat meletakkan pesanan yang sudah siap, dibunyikan oleh pelayan cafe itu menandakan bahawa ada pesanan yang sudahpun siap.

"Eh pesanan aku dah siap lah, aku pergi dulu ya, nanti ada masa kita borak lagi".  Kata Aqilah sambil melangkah masuk ke dalam cafe tersebut untuk mengambil pesanan pelanggannya.

"Baiklah".  Jawab Qaireena sambil mengukir senyuman.

Beberapa minit kemudian, pesanan Qaireena pula siap.  Bungkusan makanan itu dimasukkan ke dalam beg penyimpanan makanan yang diletakkan di belakangnya.  Dia mendongakkan kepalanya sedikit ke atas.  Dilihatnya awan mula berarak kelabu, menandakan sebentar lagi bumi bakal dibasahi hujan.  Helmet disarungkan ke kepala kemudian dia terus berlalu dari situ.

Belum pun sampai ke tempat yang ditujunya, hujan lebat sudah membasahi bumi.  Qaireena berhenti seketika di perhentian bas untuk menyarungkan baju hujannya kemudian barulah dia meneruskan perjalanan.

Memandangkan Qaireena sudah agak lewat dari masa yang dijanjikannya untuk menghantar pesanan tersebut, dia tergesa-gesa mahu memakirkan skuternya di hadapan bangunan itu.  Namun baru sahaja dia mahu membelokkan skuternya untuk masuk ke kawasan parkir, dia terlanggar sebuah kereta yang sudah berparkir di situ.

"Allah".  Jerit Qaireena kecil.  Cepat-cepat dia turun dari skuternya untuk melihat keadaan kereta yang dilanggarnya itu.

Qaireena tekun membelek keadaan kereta tersebut, namun tidak lama kemudian dia teringat akan pesanan makanan yang perlu dihantarnya ke tingkat atas.  Terus dia berpaling dan menurunkan beg penyimpanan makanan yang disandang di belakangnya ke atas tempat duduk skuternya.  Bungkusan makanan di keluarkan dari beg tersebut. 

Lelaki yang baru sahaja keluar dari perut kereta yang dilanggarnya tadi dipandang. 

"Encik tunggu sekejap boleh? Saya nak hantar pesanan ni dekat tingkat atas, saya dah lambatlah Encik.  Jangan risau, saya takkan lari, saya tahu saya yang salah. Give me five minutes okay?".  Kata Qaireena sambil memandang lelaki tersebut. 

Wajah serius lelaki itu langsung tidak dipedulikannya. Tanpa menunggu jawapan balas dari lelaki tersebut, Qaireena berlari masuk ke dalam bangunan untuk menghantar pesanan makanan pelanggannya.

"Dah langgar kereta aku, dia boleh suruh aku tunggu pula?".  Sambil memandang kelibat Qaireena yang berlari masuk ke dalam bangunan.

"Habislah aku kali ni, kereta mahal pula tu".  Bebel Qaireena sendirian di sepanjang jalan dia mahu menghantar pesanan pelanggannya.

Happy reading korang, sorry lambat update, masa PKP pun Jue kena datang bekerja dekat office so memang sibuk sikit. Jangan lupa follow IG Jue ye jue_s.86 :-)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience