Sahabat Hingga Hujung Nyawa...
Lima sahabat pulang dari sekolah bersama. Syaukie, Azrul, Aiman, Lyana dan Intan. Masing-masing sudah berjanji untuk bersahabat hingga hujung nyawa. Takkan ada perasaan cinta antara mereka berlima. Biar apa pun yang akan terjadi, mereka akan bersahabat untuk selamanya.
Masa akhirnya memisahkan mereka. Masing-masing membawa haluan sendiri dan melanjutkan pelajaran. Bila masing-masing membina kerjaya, hanya Intan yang tiada apa-apa. Hidupnya dirundung duka. Nasibnya tak sebaik sahabatnya yang lain. Intan rasa rendah diri dengan keadaannya. Dia menyepikan diri dan terus bersembunyi dari sahabat-sahabatnya yang lain.
Intan bertemu jodoh. Nasibnya terbela seketika. Namun, kebahagiaannya tak lama, kerana dia tidak disukai ibu mertua. Malangkah Nasibnya? Bila peristiwa malang terus menghantui hidupnya. Intan menjadi yatim piatu. Intan diceraikan dan anaknya dirampas.
Saat Intan bertemu kembali dengan sahabat-sahabatnya, dia rasakan bagai bernyawa semula. Nasibnya terbela kerana sahabat-sahabatnya tak pernah melupakan dirinya. Mereka membantu Intan untuk merampas kembali anaknya. Ammar suami Intan terpaksa beralah. Ibu mertuanya juga, tidak boleh bertindak sesuka hati lagi. Kini, Intan bahagia bersama anaknya.
Namun, saat bahagia menguliti diri, malang mendatangi sekali lagi. Intan disahkan mengidap barah otak tahap empat. Sudah tak mampu diubati lagi. Sahabat-sahabatnya bersedih hati. Hari-hari Intan dilawati untuk memberikan Intan kekuatan, agar Intan terus tabah. Intan Nasuha Binti Ikbal, jiwamu harus kuat untuk merentasi rintangan ini.
‘’Intan, kau okey hari ini?’’ Lyana yang baru saja sampai menyoal Intan yang terlantar di katil hospital. Intan hanya tersenyum hambar. Hari ini kesihatannya semakin merudum. Sudah dua kali dia tidak sedarkan diri kerana mengalami kesakitan yang teramat sangat. Dia seakan dapat merasa umurnya sudah tidak lama, di atas dunia ini.
‘’Aku okey, terima kasihlah, sebab korang semua sentiasa di sisi aku saat-saat yang macam ni. Anak aku tak datang hari ni?’’ sempat lagi Intan bertanyakan anak kesayangannya. Saat-saat seperti ini, dia ingin sentiasa berada di sisi anaknya itu. Anak yang sudah lama hilang dari pelukannya.
‘’Kitakan dah berjanji, bersahabat hingga hujung nyawa. Kau dalam keadaan macam ni, takkan kami tak datang ziarah. Aku sayang kau Intan. Kau sahabat aku di dunia dan akhirat.’’ Lyana berkata perlahan sambil membelai wajah Intan yang pucat lesi. Tersentuh hatinya melihat kedaan Intan ketika ini. Air mata yang sedang bertakung ditahannya agar tidak gugur.
‘’Aku sayang kau juga Yana. Aku sayang korang semua. Korang semua sahabat terbaik yang aku ada. Aku, aku...’’ nafas Intan menjadi semput tiba-tiba. Dadanya sesak dan Intan sukar bernafas.
‘’Intan..’’ Azrul memanggil. Hatinya diburu cemas melihat Intan yang nazak.
‘’Intan, mengucap Intan. Ash-Hadu An La Ilaha Illallah Waas-Hadu Anna Muhammada Rosulullah...’’ Aiman mengajar Intan mengucap dua kalimah syahadah sambil membisikkannya di tepi telinga Intan.
‘’Intan Nasuha..ingat Allah Intan.’’ Azrul memanggil Intan lagi dan mengingatkan Intan tentang Allah. Nafas Intan semakin lelah dan akhirnya Intan sudah terkulai lemah di atas katil hospital.
Syaukie sudah tidak dapat menahan sebak. Dia menangis tanpa sedar. Lyana juga sudah mula teresak. Azrul dan Aiman cuba berlagak tabah dan menahan air mata dari gugur. Suasana dalam wad menjadi hening. Lagu sedih dimainkan dan..
‘’Cut...’’ kedengaran suara pengarah memberikan arahan.
Intan kembali membuka mata dan wad yang menjadi lokasi pengambaran mereka kembali menjadi riuh dengan gelak ketawa lima orang sahabat. Akhirnya kisah mereka berjaya difilemkan. Dengan Tajuk Sahabat Hingga Hujung Nyawa. Penulis skripnya adalah Intan Nasuha. Penerbitnya adalah Aiman Azahari dan watak utamanya adalah Azrul, Lyana dan Syaukie.
Sekarang Intan sudah menjadi terkenal setelah menceburkan diri dalam bidang lakonan. Ibu mertuanya tidak mencemuh dia lagi. Dan anak Intan sudah boleh dilawatinya bila-bila masa saja. Ammar pula dalam proses bercerai dengan isterinya dan akan berkahwin semula dengan Intan selepas dia bercerai dengan isterinya nanti. Jodoh Ammar bersama Intan masih ada. Intan sendiri masih menyayangi Ammar dan tak sanggup untuk mengkhianati cinta mereka.
*********Tamat Sudah************
Nota cinta buat pembaca. Malangkah Nasibku? Sebenarnya, nasib semua orang sama saja, biar bagaimana halangan dan ujian yang dialaminya. Tiada yang bernasib malang di dunia ini. Allah menguji bukan kerana kita bernasib malang. Allah menguji kerana ingin memberikan yang lebih baik untuk kita. Allah ingin menjadikan kita hambaNYA yang sentiasa Redha. Allah ingin melihat kita bahagia di akhirat sana. Dunia ini adalah pentas ujian. Andai kita berjaya mengharungi setiap ujian dengan tabah dan sabar. Sentiasa Redha dan masih menjadi hambaNYA yang beriman dan bertaqwa hingga ke hujung nyawa. In Sha Allah, pasti ada ganjarannya di Akhirat nanti.
^_________^
Share this novel