6

Romance Series 93218

Hari berganti hari, minggu berganti minggu. Hubungan Aayra dan Harraz dilihat semakin lama semakin mesra. Adakalanya mereka berdua sering dilihat bersama ke sana dan ke sini. Kemesraan yang terjalin di antara mereka ini turut mendapat perhatian dan jolokan di kalangan rakan - rakan sekerja mereka. Rata - ratanya seakan merestui hubungan yang terjalin di antara Aayra dan Harraz. Walaupun puas Aayra menyangkal, namun mereka tetap juga memperkatakan hal yang sama. Jujur Aayra katakan, pada mulanya dia agak malu dan janggal apabila sering dikaitkan dengan Harraz. Namun lama kelamaan telinganya seakan sudah menjadi lali dengan gosip liar seperti itu. Akhirnya dia hanya mampu tersenyum setiap kali namanya dikaitkan dengan Harraz. Bahkan Harraz juga turut melakukan perkara yang sama.

Seperti yang dijanjikan, hari ini Aayra dan Harraz ingin keluar bersama untuk menonton wayang. Seawal jam 10 pagi lagi Harraz sudah berdiri terpacak di hadapan rumah Aayra. Setelah dijemput masuk oleh Encik Nadzmi dan Puan Husna, mereka berbual - bual mesra di ruang tamu sementara menanti Aayra bersiap. Kemesraan yang terjalin di antara Encik Nadzmi dan Harraz memang tidak dapat disangkalkan lagi. Bagi Encik Nadzmi dan Puan Husna, mereka sangat menyukai sikap kesopanan dan kesantunan yang ditunjukkan Harraz kepada mereka. Apatah lagi anak muda itu begitu pandai mengambil hati mereka saat pertama kali bersua muka dahulu. Malah mereka sering memuji - muji sikap Harraz itu di hadapan Aayra. Bagi mereka Harraz memang pandai membawa diri saat berada di hadapan orang tua. Rasa hormatnya kepada orang tua juga sangat tinggi dan sikap itu memang seharusnya dipuji. Justeru itu jauh di sudut hati mereka, Encik Nadzmi dan Puan Husna sering berdoa agar Aayra dipertemukan jodoh dengan orang yang sebaik Harraz.

Hampir 10 minit menunggu, akhirnya Aayra turun dari biliknya dengan penampilan yang sangat ringkas dan kemas. Dia hanya mengenakan kemeja denim labuh paras lutut bersama - sama seluar jeans hitam. Manakala untuk wajahnya pula, Aayra lebih gemar dilihat dengan gaya naked face. Sejak dari dahulu lagi Aayra memang kurang gemar menggayakan make up ke wajahnya. Dia lebih selesa memakai foundation, bedak dan blusher sahaja. Bagi Aayra itu sudah cukup untuk membuatkan penampilannya tampak berkeyakinan.

Sebaik meminta izin untuk keluar seketika, Aayra dan Harraz bersalam - salaman dengan Encik Nadzmi dan Puan Husna. Seterusnya langkah kaki langsung dibawa menuju ke arah kereta BMW i8 berwarna putih milik Harraz. Aayra melambai - lambai tangan ke arah kedua orang tuanya sebelum kereta mewah itu meluncur laju meninggalkan kawasan perumahan itu.

***************************************

Seusai menonton wayang, Aayra dan Harraz langsung menuju ke restoran TGI Friday yang terdapat di dalam mall tersebut. Perut masing - masing sudah mula berkeroncong minta diisi. Apatah lagi mereka berdua langsung belum menjamah sebarang makanan sebelum menonton tadi. Sebaik pesanan dibuat, Aayra dan Harraz masing - masing berbual mengenai aktiviti mereka pada hujung minggu itu. Kedua - duanya tampak begitu mesra sekali bagaikan merpati dua sejoli. Sedang asyik mereka berbual, tiba - tiba meja mereka didekati oleh sepasang kekasih.

“What a small world, Harraz!! Tak sangka jumpa you dekat sini. Amboi dating dengan buah hati nampak? Dalam diam - diam dah ada buah hati kan sekarang? Tak bagi tahu kita orang pun." Tegur Ramona dengan mesra dan tanpa segan silu tangannya memaut bahu Harraz dengat erat.

Aayra gugup. Sepantas kilat dia menundukkan wajahnya ke bawah. Sebolehnya dia tidak mahu pasangan di hadapannya itu menyedari akan dirinya di situ. Walaupun ianya agak sukar namun Aayra tetap berdoa agar mereka berdua segera berlalu dari situ tanpa perlu melihat siapa dirinya.

Harraz membariskan senyuman terpaksa. Dia cuba untuk berlagak tenang walaupun pada hakikatnya Harraz juga agak terperanjat saat melihat keberadaan Ezmal dan Ramona di situ. Sesekali matanya mencuri pandang ke arah Aayra yang hanya menunduk sejak tadi. Jelas terpancar keresahan dari raut wajahnya. Harraz sedaya upaya cuba mengalihkan perhatian Ramona dan Ezmal dari bertanyakan tentang diri gadis itu . Namun ternyata usahanya itu hanya sia - sia. Kini perhatian Ramona sudah tertumpu ke arah Aayra.

“By the way, you tak nak kenalkan ke girlfriend you ni dekat kita orang?" Soal Ramona penuh teruja.

Aayra semakin resah saat telinganya menangkap butir soalan itu. Tubuhnya terasa menggigil dan peluh dingin mula memercik di seluruh tapak tangannya. Saat ini dia mula menyedari bahawa semua pandangan sedang tertumpu ke arahnya. Harraz semakin dihantui perasaan bersalah. Sejujurnya dia sendiri tidak tahu bagaimana caranya lagi untuk mengelak dari terus menjawab soalan Ramona itu. Keadaan dirinya saat ini tidak ubah seperti ditelan mati emak, diluah mati bapa. Akhirnya secara perlahan - lahan Harraz memberanikan diri untuk bersuara.

“Err, lupa pula I nak kenalkan. By the way, this Aayra Medina and Aayra this is Ramona, Ezmal's fiance." Ujar Harraz serba salah.

Umpama sebuah batu yang menghimpap dirinya, Ezmal seakan terkedu sebaik mendengar nama itu diperkenalkan. Sungguh dia tidak menyangka kekasih Harraz itu adalah PA nya sendiri dan entah sejak bila mereka menjalinkan hubungan pun dia tidak pasti. Ezmal pantas menoleh ke arah Aayra yang dilihat hanya menunduk sejak tadi dan kini pandangan mata mereka bersatu.

Ramona yang sejak tadi kelihatan begitu teruja untuk mengenali siapakah gerangan wanita yang telah berjaya mencuri hati Harraz ternyata sedikit terkejut dengan kenyataan itu. Serta merta wajahnya berubah lantas bibirnya menghadiahkan senyuman sinis ke arah Aayra.

“Hi!" Ucap Aayra ringkas. Tangan dihulur untuk bersalaman dengan Ramona. Malangnya huluran tangannya langsung tidak disambut oleh wanita seksi itu.

“You?? What a small world!! Tak sangka betul. Dalam ramai - ramai perempuan, you juga yang jadi pilihan hati Harraz. Not bad juga taste you ni kan? Nak lelaki kaya sahaja. No wonder la hari tu you beria - ia halang I dari jumpa tunang I. Rupa - rupanya you ada hati nak tackle tunang I sebenarnya kan? Bila dah kena rejected, terus cari Harraz pula ye? Dasar perempuan tak ada harga diri." Begitu lantang sekali Ramona bersuara.

Ternyata tindakannya itu sedikit sebanyak telah mengundang perhatian beberapa orang pelanggan di situ.

“Stop it, Ramona!! Please keep your words in mind!! You tak berhak untuk menghina Aayra sampai macam tu sekali.” Tengking Harraz hilang sabar.

Ramona dan Ezmal masing - masing terkejut melihat tindakan Harraz. Selama ini belum pernah mereka melihat Harraz berang seperti itu. Lebih menggerunkan lagi apabila wajah Harraz sudah mula bertukar merah akibat menahan marah. Tangannya digenggam erat seperti ingin menghadiahkan tumbukan padu ke arah bibir Ramona. Namun Aayra yang mula menyedari akan hal itu segera menenangkan Harraz.

“What's wrong with you, Harraz? Tergamak kau tengking Ramona sampai macam tu sekali? Tak kanlah disebabkan perempuan ni, kau sanggup nak tinggikan suara dengan kita orang? Come on, Harraz!! Benda boleh settle kan?" Kali ini Ezmal mula bersuara bagi pihak Ramona.

“Kau masih boleh tanya apa masalah aku sekarang ni, Mal? Hei, Ezmal!! Kau tak dengar ke apa yang tunang kau ni dah hina si Aayra tu tadi? Eh, seriously aku tak fahamlah apa masalah korang berdua ni. Apa sebenarnya salah si Aayra ni dekat korang, eh? Apa hak perempuan ni nak hina Aayra sampai macam tu sekali? Apa yang dia tak puas hati sangat dengan Aayra ni? Dan yang kau sekarang ni boleh pretend macam takde apa - apa yang terjadi ni kenapa? Mana pergi sifat toleransi kau selama ni? Tolong jangan jadi bodoh boleh tak Mal? Jangan disebabkan rasa cinta dan sayang kau terhadap Ramona terlalu mendalam, sampai kau dah tak boleh nak bezakan yang mana betul dan yang mana salah!” Kali ini Harraz memulangkan paku buah keras kepada Ezmal.

Masing - masing terkedu saat mendengar butir bicara Harraz. Wajah Ramona serta merta berubah pucat. Buat pertama kalinya dia merasakan api kemarahan Harraz terhadapnya terlalu menebal. Bila - bila masa sahaja lelaki itu bisa menyerangnya. Sejujurnya Ramona berasa malu apabila diperlakukan seperti itu. Seumur hidupnya, belum pernah ada sesiapa pun yang berani menengkingnya di hadapan orang ramai seperti itu. Dalam diam - diam, Ramona mula menyimpan dendam terhadap Aayra. Jika tidak kerana perempuan itu, pasti Harraz tidak akan memalukannya seperti itu.

“Eh, sudahlah. Tak guna cakap lebih - lebih dengan korang ni sebenarnya. Buang masa aku je. Jom sayang. We go find another restaurant. Saya dah hilang selera nak makan dekat sini. Kita cari tempat lain aje ok?" Harraz mula mengeluarkan beberapa keping not RM50 lalu diletakkan di atas meja. Sejurus itu dia menggenggam erat jari jemari Aayra lalu mereka berlalu pergi dari situ.

Aayra kaku namun diturutkan jua langkah Harraz meninggalkan tempat itu. Jari jemari yang digenggam kemas oleh Harraz dibiarkan sahaja berada di dalam genggaman lelaki itu. Entah mengapa, secara tiba - tiba jantung Aayra berdegup kencang. Jiwanya terasa terbuai - buai dengan perbuatan Harraz itu. Malah hatinya juga berbunga - bunga saat mengenang kembali akan tindakan Harraz mempertahankan dirinya di hadapan Ezmal dan Ramona sebentar tadi. Dalam diam - diam Aayra tersenyum penuh makna.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience