Aku, Dia dan Adam Taylor

Romance Completed 117449

BAB 27          

“SALLYNA... apa yang kau buat ni akan mengeruhkan lagi keadaan. Jangan fikirkan tentang diri sendiri.”

            “Harry... semuanya akan kembali seperti dulu tak lama lagi. Keluarga kita mesti akan faham bila kita jelaskan kepada mereka.” Sallyna terus menangis hiba.

            “Baliklah dulu, tak baik macam ni.” Harry menjarakkan dirinya dari wanita itu.

            “Tapi...”

            “Kita akan bincang kemudian.” pujuk Harry. Sallyna menyeka air matanya dengan senyuman yang sedikit mekar di bibir. Harapannya sedikit berbunga, walaupun tidaklah semekar mana. Dia pasti akan menyiramnya dengan penuh kasih dan cinta supaya ia akan terus berkembang mewangi setaman impiannya.

            Setelah Sallyna keluar dari bilik itu Encik Yusuf masuk dan terus mendapatkan tuan mudanya yang sedang termenung di sofa. Melihat kehadiran pembantunya itu Harry bingkas bangun.

            “Mana dia?” soal Harry dengan pantas.

            “Er...” Encik Yusuf agak tergagap apabila melihat wajah Harry yang tegang itu.

            “Where’s she?” Soalnya lagi dengan kerutan di dahi.

            “Dia suruh saya bagi ni kepada tuan muda, dia ucapkan terima kasih”

            “Saya suruh dia hantar sendiri kan?!” Harry mula berang.

            “Mungkin dia ada hal lain jadi tak boleh datang.” Encik Yusuf terpaksa berhelah kerana akur dengan pesanan gadis muda itu tadi.

            “Apa?!” Wajah Harry bertukar warna. Dia menyuruh pembantunya itu beredar.

            Harry duduk dengan wajah yang makin tegang. “Kau... kau tak nak jumpa aku?” Harry mengetap bibirnya. “Adakah aku ni bodoh sangat...” Harry menatap kotak hadiah itu dengan perasaan menyesal.

**********

            AKU berjalan seorang diri dengan fikiranku yang kosong. Tiada hala tuju. Orang yang lalu lalang di situ tidak aku pedulikan lagi sehingga aku hampir melanggar bahu mereka. Penat berjalan aku duduk di sebuah kerusi rehat bertentangan dengan sebuah pokok besar yang mengeluarkan bunga berwarna unggu menghiasi jalan yang sibuk itu.

            “Bodohnya aku... masih nak jumpa dia walaupun dah tahu hal macam ni akan berlaku.” Tak semena-mena air mataku gugur. Ah, sakitnya hati...

            Lama juga aku termenung di situ sehingga beberapa waktu. Nur Marhaya yang tabah semakin lemah kerana cinta yang tak mungkin digapainya...

***********

            HARRY berjalan menuju ke dewan di mana berlangsungnya wawancara sempena kepulangannya. Wajahnya bertukar tegang, Encik Yusuf yang berjalan di sebelahnya hanya diam seribu bahasa. Tidak berani menegur lelaki itu yang sudah bertukar serius. Sambutan di hadapan pintu masuk dewan sudah meriah, pihak wartawan mula menangkap gambarnya yang segak mengenakan sut gelap. Ketika inilah Harry berpura-pura tersenyum walaupun hatinya sebenarnya masih panas.

            Harry berjalan menuju ke pentas yang sudah disediakan kerusi dan meja untuknya duduk. Di kiri dan kanannya orang kuat dalam Majlis Sukan Negara dan menteri-menteri yang terlibat. Harry bersalam dengan tetamu kehormat yang lain sebelum duduk di kerusinya. Wawancara dimulakan dengan pelbagai soalan tentang pengalamannya sepanjang berada di gelanggang sukan Olimpik kali itu serta soalan-soalan lazim yang lain.

            Harry menjawab dengan tenang. Setiap butir bicaranya dirakam. Wajahnya tidak seceria sebelum ini namun masih mempamerkan senyumannya. Seluruh hadirin bertepuk tangan apabila Harry mengangkat pingat emas Olimpik pertama negara itu.

            “Saya sangat menghargai semua ucapan tahniah dari pelbagai pihak dan juga sokongan-sokongan anda semua atas kejayaan saya kali ini. Sememangnya cita-cita dari zaman remaja ingin mencipta sejarah dalam bidang sukan renang untuk negara. Suatu masa dulu saya pernah cedera, dan saya hampir ingin melupakan impian saya. Tetapi tidak sangka, kecederaan saya dapat dipulihkan dan saya terus berjuang untuk mencapai cita-cita saya. Walaupun saya menghabiskan masa yang lama berlatih di luar negara, tetapi saya tidak lupakan sokongan dari rakyat Malaysia dan pihak-pihak yang terlibat.” Ucap Harry dengan tenang.

            “Adakah selepas ini anda akan terus berlatih di luar negara?” soal salah seorang dari wartawan yang hadir.

            “Saya akan berehat untuk satu masa yang agak lama. Saya terlalu letih dengan latihan saya sebelum menyertai Olimpik. Semua pihak sudah bersetuju untuk memberi cuti kepada saya.”

            Selesai wawancara bersama pelbagai wakil media itu Harry pulang semula ke biliknya. Wajahnya yang terpaksa senyum di depan wartawan tadi kembali serius semula. Pembantunya membaca catatan aktivitinya esok hari. Pelbagai majlis perlu dihadirinya, dan yang paling penting sesi bertemu dengan pemerintah negara. Harry sedar tiada masa untuknya memikirkan hal-hal peribadi selagi semuanya tidak selesai. Mengikut catatan jadualnya padat sehingga minggu depan.

            Telefonnya berbunyi dan Encik Yusuf terus mengangkatnya.Harry hanya baring di sofa panjang sambil memejamkan mata. Dia sudah keletihan yang teramat sangat.          

            “Tuan muda, panggilan dari Jepun.” Ujar Encik Yusuf dengan hati-hati. Dia sedar Harry selalu mengelak jika mendapat panggilan dari Jepun atau dengan erti kata lain... panggilan dari mamanya, Madan Laura.

            “Cakap saya sibuk.”

            “Tapi tuan muda... ini panggilan yang ke lima untuk hari ni.” Encik Yusuf menjadi serba salah pula untuk terus mereka alasan.

            Harry mengeluh. Mamanya memang bijak, sehingga pembantu peribadinya sendiri adalah ‘orang’ mamanya sendiri. Sebab itulah sentiasa memanggilnya tuan muda dan melayannya dengan penuh protokol! Jika dia menolak untuk melantik pembantu peribadinya itu, pasti perjanjian dengan mamanya akan menjadi semakin sukar. Dirinya benar-benar dalam pengawasan. Namun, Encik Yusuf sedikit berbeza orangnya, dia lebih mengerti Harry. Malah Harry percayakan lelaki itu kerana banyak berjasa kepadanya.

            “Okey...” dengan  berat Harry menghulurkan tangan sambil bangun dari perbaringan.

            Encik Yusuf tersenyum lalu menyerahkan telefon itu kepada tuan mudanya.

            “Hello, mama.” Harry menyapa dengan suara mendatar.

            “Sibuk sepanjang hari ye, sampai tak boleh nak jawab panggilan mama dari pagi tadi.” Suara Laura jelas kedengaran tegas walaupun jarak di antara mereka beribu batu.

            “Yup, I’m quite busy mama. So, I’m sorry...” Harry cuba menyembunyikan suara penuh penipuannya. Sedangkan dari pagi sehingga ke petang sebelum majlis temu bual rasminya dia hanya berehat di bilik.

            “Anggaplah mama pecaya.” Sinis suara Laura sebagai reaksi daripada jawapan anak tunggalnya itu.

            Harry hanya terdiam. Malas mahu membalas.

            “Well... mama tahu memang berat untuk kamu nak lepaskan apa yang kamu ada sekarang. Tapi perjanjian kita tak akan terbatal selagi mama masih bernafas. Selepas cuti kamu dari latihan berakhir umumkan segera persaraan kamu. Mama faham kalau kamu umumkan sekarang keadaan akan mengejutkan semua orang. Lepas semuanya selesai, mama nak kamu pulang ke Jepun untuk terima amanah yang lebih besar dari apa yang kamu ada sekarang.” panjang lebar Laura bersyarah sehingga Harry memejamkan matanya sambil memegang kepala.

            “Saya faham mama.” sepatah jawapannya.

            “Mama akan pastikan semuanya berjalan dengan lancar, Tuan Muda Harry.”

            Harry termenung lama selepas berbual dengan mamanya. Encik Yusuf keluar dari suitenya itu untuk memberi ruang kepada tuan mudanya itu menenangkan fikiran. Perjanjian lapan tahun lalu akhirnya akan berakhir. Atas bantuan Sir Adam Taylor, mamanya terpaksa mengalah dengan membuat satu perjanjian. Dia akan terus serius dalam sukan renang untuk tempoh yang sudah ditetapkan, iaitu sehingga Olimpik Jepun yang akan berlangsung lapan tahun dari waktu itu, sementara itu dia juga akan sambung belajar sehingga mendapat ijazah. Sama ada dia berjaya atau tidak di dalam sukan itu, itulah limit yang sudah ditetapkan mamanya. Selepas tamatnya tempoh itu Harry akan terus bersara dan kembali ke kehidupan sebenarnya sebagai pewaris empayar Taylor. Berat hatinya untuk menerima hakikat itu, cintanya terhadap sukan renang sungguh dalam. Tidak disangka air matanya gugur jua. Dia terpaksa melepaskan semuanya...

*********

            RAY melihat wajah Sallyna yang kembali kelihatan berseri kerana sebelum ini wanita cantik itu agak pucat dan lesu. Mereka bertemu di sebuah restoran Italy yang agak privasi. Walaupun terikat dengan tali pertunangan mereka kelihatan tidak lebih dari seorang teman biasa. Ray menuangkan air kosong ke dalam gelas Sallyna lalu mempelawa wanita itu membasahkan tekak sementara menunggu hidangan mereka tiba. Sallyna menyucapkan terima kasih lalu mengangkat gelas kaca itu ke bibirnya dengan tertib.

            “I like your smile...” puji Ray sambil tersenyum menampakkan lesung pipitnya.

            Sallyna menjauhkan bibirnya dari gelas kaca itu seraya ketawa kecil. “You cakap macamlah I ni baru hidup semula.”

            “Nampaknya macam tu jugaklah...” Ray masih selamba.

            “I nak Harry datang ke pangkuan I... walau macam mana caranya pun.” Ujar Sallyna, wajahnya juga kembali seperti serius. Namun wajahnya tidak kelihatan keruh seperti sebelum ini.

            “You pasti perasaan Harry... masih untuk you?” soalan Ray kali ini agak menyentakkan Sallyna.

            “I akan pastikan...”

            “I ada satu permintaan kat you.” Ray memandang wajah Sallyna tepat.

            “What?”

            “Tolong layan Aya dengan baik. Dia dah banyak berkorban...”

            Sallyna tersenyum disertakan ketawa kecil. “Aya tu budak baik, sudah pasti akan layan dia dengan baik.”

            Ray mengangguk. Sallyna mengecilkan matanya memandang tunangnya itu.

            “Do you love her?”

            Ray tersentak dengan hebat sekali mendengar soalan Sallyna. “Sally... I tak suka you fikirkan masalah peribadi I.”

            “Well... I’m sorry.” Sallyna hanya tersenyum panjang sambil mengangkat bahunya tanda tidak kisah.

**********   

AKU tidak tahu ke mana hala tuju aku sekarang ini. Tetapi perjalan jauh menaiki kereta api dalam keadaan ‘jiwa terbang’ sebenarnya telah membawa aku ke sebuah tempat. Tanpa aku sedari perjalananku ini agak jauh dari kesibukan kota. Kenapa hati aku ketika ini seribu kali lebih sakit ketika Harry pergi tanpa sepatah kata lapan tahun lalu? Ah... layakkah aku berperasaan begini?

            Kakiku berhenti apabila seorang lelaki berpakaian kemas menghalang jalanku di pintu pagar yang dikawal ketat. Aku mendongak melihat lelaki itu tanpa mengeluarkan suara. Aku rasa suara aku turut hilang dek kecederaan di bahagian paling lemahku, iaitu hati.

            “Cik siapa? Ada apa ingin masuk ke sini?” soal lelaki bertubuh tegap itu.

            “Saya...” suaraku hanya keluar perlahan. Tiba-tiba aku mula tersedar. Apa aku buat di sini? Kakiku berganjak dengan sendiri selangkah ke belakang, mataku tepat menghala ke bangunan utama di hadapanku yang tertulis dengan jelas Adam Taylor High School!

            “Kalau cik pelawat sila berikan nama untuk saya hubungi pihak pengurusan.”

            Kenapa tiba-tiba aku datang ke sini?? Tak ada tempat lain ke?

            “Cik?!” kali ini lelaki itu menguatkan suaranya untuk mengalih perhatianku yang hanya memandang terus ke bangunan sekolah tersohor di hadapanku itu.

            Aku benar-benar tersentak kali ini sehingga hampir terangkat tubuhku mendengar sergahan yang begitu dekat dengan telingaku itu. Aku terus mengucapkan kata maaf kepadanya.

            “Saya cuma nak melawat...” akhirnya keluar juga suaraku setelah sekian waktu.

            Lelaki itu merenung aku dalam. Dahinya turut berkerut. “Nak melawat siapa? Awak ahli keluarga pelajar sekolah ni ke?” sudah pasti lelaki itu terfikir keadaan aku yang sebegini mana mungkin akan ada ahli keluarga yang belajar di sekolah ini.

            “Saya bukan nak lawat pelajar... saya cuma nak melawat sekolah ni.” luahku terus terang. Aduh... entah kenapa aku tiba-tiba rasa menyesal kerana datang ke sini. Ingin saja aku berpatah balik.

            “Nak lawat sekolah? Cik ni wartawan ke?”

            “Saya... saya... nak jumpa abang saya. Dia tenaga pengajar di sekolah ni.” keluar juga alasan yang munasabah dari otakku yang masih tidak sihat ini. Mujurlah...

            Abang Is masih ada kelas dan aku memang berharap perkara itu berlaku. Kerana aku datang ini memang tujuan utamaku untuk membawa hati, tetapi menggunakan alasan itu sahajalah yang paling baik pun. Bukan senang untuk menembus masuk ke sekolah elit ini. Lapan tahun lalu aku sudah berjanji yang aku tidak akan datang lagi ke sini. Tetapi kali ini hatiku benar-benar ditarik untuk ke sini.

            Kaki melangkah teratur menuju ke bangunan seni dan sukan yang terletak tidak jauh dari blok-blok kelas. Ketika aku melalui di bilik persembahan orkestra aku menjenguk sedikit ke dalam. Sekumpulan pelajar sedang berlatih bermain alat muzik dengan guru mereka yang berdiri di pentas. Aku tersenyum. Keadaan di sini tidak jauh berubah dari dulu. Kini aku melewati bilik latihan ballet pula, pelajar-pelajar perempuan yang cantik menawan memakai pakaian yang comel menari berpusing-pusing tanpa ada kesilapan. Seperti mereka sedang berlatih untuk sebuah pertandingan yang penting tidak lama lagi.

            Kini aku tiba juga di kolam renang tertutup yang dahulunya dikhaskan untuk seseorang. Pintunya tidak berkunci! Adakah memang sedang menunggu kedatanganku?! Huhuhu...

            Aku masuk dan melihat pemandangan yang tidak banyak berubah. Air kolam kelihatan tenang. Aku duduk sambil menjulurkan kaki ke dalam air. Satu persatu memori lapan tahun lalu bermain di kotak fikiranku. Kadangkala aku tersenyum apabila mengingati peristiwa yang melucukan. Tetapi, tiba-tiba ingatanku kembali ke satu peristiwa lalu. Di mana aku teruk dimarahi Abang Is setelah pulang dari lapangan terbang ketika cuba untuk berjumpa Harry. Peristiwa itulah yang membuatkan aku sedar akan segala-galanya. Abang...

**********

Lapan tahun lalu...

            “Aku dah agak kau akan buat kerja bodoh macam ni lagi! Kawan kau tu memang abang tak sepatutnya percaya dari awal. Berani kau pergi jumpa tuan muda lagi. Kau memang tak serik ke, Aya!”

            Aku menggeleng kepala sambil menangis teresak-esak. Adik-adiku hanya berdiri di tepi tangga tidak berani masuk campur apabila Abang Is menyembur kemarahannya kepadaku. Aku baru pulang ke rumah dari lapangan terbang. Aku terpaksa memberitahu perkara sebenar kerana tidak mahu Abang Is laporkan kejadian kami ditangkap polis itu kepada Ayah. Sungguh perkara ini telah membangkitkan kemarahan Abang Is ke tahap yang kemuncak.

            “Senior Ray tak bersalah. Saya yang ingin jumpa Harry, jadi tolong jangan salahkan sesiapa.”

            Abang Is menoleh kepada adik-adikku memberi isyarat supaya mereka masuk ke bilik. Mereka akur dan terus berjalan masuk ke bilik masing-masing. Aku duduk bersimpuh di lantai sedang Abang Is berdiri tegak di depanku dengan wajahnya yang merah.

            “Abang... saya cuma nak minta maaf kepada dia, saya bukan nak halang dia pergi.”

            “Nur Marhaya... jawab soalan abang. Adakah kau dah jatuh hati kepada tuan muda?” soal Abang Is dengan nada perlahan tetapi cukup tegas.

            Aku menelan liur, mengesat air mata yang masih mengalir manakala bibirku terketar-ketar seperti kesejukan di lautan Pasifik.

            “Jawab!” jerkah Abang Is lebih lantang sehingga terangkat badanku kerana terlampau terkejut.

            “Saya... memang sukakan dia.” aku mengaku juga akhirnya di depan abangku. Biarlah apa yang akan berlaku, menipu juga tidak dapat menyelesaikan masalah. Begitu juga dengan bercakap benar. Jadi, apapun aku tetap tak mampu mengubah apa-apa.

            Wajah Abang Is semakin tegang apabila mendengar pengakuanku itu. Dia memaling wajahnya tidak mahu memandang wajahku. Sakit benar hatinya.

            “Abang bukannya kejam....” tiba-tiba suara Abang Is berubah lembut. Dia mengeluh berat sehingga aku dapat melihat wajahnya yang juga berubah keruh.

            “Dengar sini baik-baik. Lepas ni abang dah tak nak cakap perkara ini lagi. Jadi, tolong dengar baik-baik.”

            Aku mengangguk perlahan, suaraku masih tersekat. Hanya esakan kecil yang masih kedengaran. Aku tidak mampu mengawalnya lagi. Hatiku benar-benar pilu.

            “Walaupun kita tak boleh kawal diri kita untuk jatuh cinta kepada keluarga golongan atasan. Tetapi... kita tak boleh memiliki mereka. Ini kata-kata ayah kepada abang...”

            “Apa?” aku tidak mengerti.

            “Ayah mungkin dah tahu perkara macam ni akan terjadi di antara kita. Jadi, ayah dah pesan kepada abang awal-awal lagi...”

            “Saya masih tak faham...” aku semakin keliru.

            “Walau apa pun perasaan kau kepada tuan muda, kau kena lupakannya. Jangan pernah berharap walaupun dia turut menyukai kau.”

            Aku bangun berdiri berhadapan dengan Abang Is. “Kenapa? Kenapa saya tak boleh...?”

            “Jangan terlalu bodoh, Aya. Keluarga tuan muda tak akan sama sekali membenarkan anak mereka bersama dengan golongan biasa seperti kita!”

            “Tapi...”

            “Ya, kalau tuan muda dah jatuh cinta kepada kau. Dia akan buat apa saja untuk bersama kau termasuklah membelakangkan keluarga dia. Adakah kau begitu pentingkan diri? Itu ke balasan yang sepatutnya kau beri ke atas kebaikkan keluarga mereka kepada kita selama ni. Adakah kau akan gembira melihat keluarga mereka berpecah-belah kerana kau? Apa kau fikir ayah tak ada maruah, setelah berapa banyak Sir Adam membantu keluarga kita... akhirnya kau membuat onar dalam keluarga mereka!”

            Aku rasakan badanku menggigil dengan kuat sehingga aku terpaksa memeluk tubuhku sendiri.

            “Ayah tak akan maafkan kau kalau perkara ini terjadi...”

            “Jadi apa saya patut buat...?” kali lebih kuat aku meraung sehingga aku terjatuh kembali ke lantai.

            “Lupakan perasaan kau kepada tuan muda. Ataupun berpura-pura tidak menyukai dia. Jangan sampai dia jatuh hati kepada kau. Ingat... seumur hidup pun, kau memang tak layak hidup bersama dia. Kalau tuan muda lari bersama kau, ayah, abang dah seluruh keluarga Sir Adam tak akan memaafkan kau. Jadi, jangan pentingkan diri...”

            Abang Is memandangku tepat. “Kalau boleh... jangan libatkan diri dalam golongan bangsawan lagi.”

            “Kalau macam tu, kenapa benarkan saya masuk dalam rumah Sir Adam. Mengapa setuju jadikan saya cucu angkat Sir Adam!”

            “Akhirnya kau sendiri dah faham. Walaupun ayah dan abang tak suka, tapi siapa kita nak bantah cakap tuan kita! Ingat Aya, kita banyak berhutang budi dengan mereka... jangan buat sesuatu yang boleh mencemarkan nama baik keluarga mereka seperti mana kau dah buat tempoh hari!”

            “Saya faham... saya faham. Jangan cakap lagi.” Aku gagahkan diri untuk bangun berdiri.

            “Sebenarnya... semua ini untuk kebaikkan kau jugak. Lebih baik putus asa sekarang, daripada merana di kemudian hari.” setelah mengukapkan ayat itu Abang Is terus melangkah menaikki tangga menuju ke biliknya.

            Aku berdiri tengah ruang tamu itu sambil mataku merenung ke lantai. Air mataku gugur satu persatu. Kita boleh jatuh cinta kepada mereka, tapi kita tak boleh memiliki mereka... hati kecilku mengulang kata-kata ayahku yang disampaikan oleh Abang Is tadi. Ayah...

**********

            DERINGAN telefon bimbitku membuatkan segala bayangan aku terbang dan berkecai. Aku benar-benar terkejut! Air mataku masih mengalir lagi...

            “Abang...” bibirku terketar-ketar menyambut sapaan abangku di corong telefon.

            Bangku panjang yang boleh memuatkan tiga orang itu berada di tepi padang yang terbentang luas. Aku duduk sambil memerhati pemandangan yang menghijau di hadapanku. Angin sepoi-sepoi bahasa menyambut salamku. Sudah lama aku tidak menyedut udara sesegar ini. Bunyi derapan kasut dari belakang membuatkanku tersenyum kecil. Aku bangun berdiri dan menoleh kebelakangku dengan pantas.

            “Abang!” aku menyeru namanya yang sudah semakin hampir denganku.

            “Aya...” Abang Is tersenyum gembira dan aku terus berlari memeluknya kejap.

            “Saya rindukan abang.” air mataku yang sememangnya sejak tadi di tahan mengalir juga tanpa dapat dihalang lagi. Hubungan kami kembali menjadi rapat dan mesra setelah peristiwa itu. Aku telah memahami setiap nasihat Abang Is yang sememangnya demi kebaikkan aku sendiri dan bukannya sesiapa. Walaupun pada mata kasar seolah-olah ingin melindungi keluarga Harry, tetapi hakikatnya Abang Is lebih risau jika aku yang merana di kemudian hari kerana sudah jatuh hati pada orang yang salah.

            “Adik abang ni dah makin cantik.” Abang Is melepaskan pelukan tetapi masih memegang bahuku.

            “Abang semakin kacak. Mesti...” belum sempat aku menghabiskan ayat sudah kedengaran bunyi bising di belakangnya. Aku menjenguk ke arah datangnya bunyi suara itu, sungguh aku terkejut apabila beberapa pelajar perempuan yang mengendap kami di sebalik blog bangunan, pokok, malah dari dalam kelas. Mereka membuka tingkap seluas-luasnya sambil menjerit.

            “Cikgu!!!”

            “Siapa perempuan tu!!”

            “Haish...” aku mengeluh sambil mengerutkan dahi memandang wajah kacak abangku yang sudah menjadi guru kegilaan ramai ini!

            “Lebih baik kita pergi ke tempat yang lebih selamat sebelum kau kena baling kasut.” selamba Abang Is menarik tanganku menuju ke bangunan pejabatnya. Sepanjang jalan itu aku melihat pelajar-pelajar perempuan berwajah mencuka dan sakit hati.

            “Memang sangat menakutkan!” luahku apabila aku sudah berada di salam pejabat Abang Is.

            “Dulu, abang ada buat kelas tusyen untuk seorang pelajar perempuan yang gagal setiap kali ujian subjek abang. Lepas itu, semua pelajar perempuan kelas abang gagal dalam ujian. Memang sangat menakutkan...”

            “Hahaha!” meletus tawaku kali ini mendengar ceritanya. “Dia orang sanggup gagal kerana nak tengok muka abang dalam kelas tusyen?!”

            “Kalau bukan kerana kontrak, abang tak sanggup nak teruskan lagi.” Abang Is tersenyum penat.

            “Ada kes cedera tak?” soalku berminat. “Apa maksud abang yang saya akan kena baling kasut?”

            Abang Is terus ketawa. “Kawan abang masa di universiti dulu datang jenguk abang kat sini, kebetulan dia kerja di sekitar sini. Budak-budak tu dah menghalau dia dengan tragis.”

            Ternganga aku kali ini. “Kalau macam tu macam mana saya nak balik ni?”

            “Ada pintu pagar belakang yang tersorok. Aya boleh guna jalan belakang yang jauh dari blok kelas.”

            “Apa?!!” aku terus bangun berdiri. Aku bukan pencuri! Jauh sekali budak nak lari sekolah!

            “Tapi saya kan adik abang.”

            “Kalau macam tu keluar la beritahu dia orang perkara sebenar dan guna pintu pagar utama.” Abang Is hanya tersenyum mencabarku.

            Tanpa di suruh aku berjalan ke tingkap biliknya dan menyelak langsir. Terbeliak mataku melihat begitu ramai pelajar perempuan yang berkumpul di jalan menuju pintu pagar utama.

            “Saya menyesal datang jumpa abang!!!” 

p/s: Perjalan Aya untuk bersama Harry pasti sukar bukan? tapi berilah Aya semangat untuk menghadapinya okay!! hehehe..^_^

           

           

           

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience