BAB 8

Humor Completed 6445

Mendung dan gelap! Tak menunggu lama, Nurul Ain berkemas dan terus

berlalu meninggalkan kawasan itu. Mungkin... Zeek tak datang kot hari ini.

Zeek tunduk dengan tangan menekup muka. Jiwanya resah! Tadi dari

bahagian Kecemasan, ayahnya di bawa ke Unit Pengimejan Diagnostik untuk

menjalankan CT Scan di bahagian kepala. Kata doktor, ada kemungkinan

ayahnya diserang strok kali kedua. Ya Allah! Besarnya dugaanMu kepada

kami. Dan sekarang... ayahnya telah dimasukkan ke bilik bedah untuk

menjalani pembedahan membuang darah beku, kali kedua.

Bunyi derap kaki yang menghampirinya buat dia panggung wajah. Alif

datang bersama adiknya yang dia minta Alif jemput di Jitra, “Angah!”

Si gadis yang dipanggil angah terus meluru kepadanya, “Along! Macam mana

abah?”

Zeek tak menjawab. Dia cuma mampu menggeleng, tanda tidak tahu.

“Along!” Adni menggoncangkan lengan Zeek! “Macam mana abah?”

Nyata, Adni tidak mengerti maksud gelengan Zeek tadi! Walaubagaimanapun,

Zeek masih kaku. Tiada tanda mahu menjawab.

“For God’s sake, along! How’s abah?!” Adni meninggikan suara, buat

pertama kalinya pada Zeek, “Susah sangat ke along nak buka mulut?”

Zeek terpempan! “Along tak tahu! Along dah menggeleng tadi, kan?!” Zeek

turut meninggikan suaranya!

“Along ingat along geleng macam tu, angah faham maksud along?!” Adni

masih terus memuntahkan amarahnya kepada Zeek meskipun air matanya masih

mengalir, “C’mon lah, along! Cuba jangan jadi berat mulut sangat waktu

macam ni!”

“Angah! Dahlah tu! Along kan memang macam tu,” Acha yang sedari tadi

hanya jadi pemerhati, memegang lengan Adni, menahan Adni dari terus

memarahi Zeek, “Let it go, angah! Abah tengah bertarung nyawa kat dalam

tu! Perlu ke angah dengan along nak bergaduh sekarang?”

Adni terdiam! Dia dah tersedar, dia sudah terlebih. Zeek pula tanpa kata

terus meninggalkan ruang menunggu! Dia tidak betah di situ! Dia jarang

marah tapi hatinya jadi panas tadi. Sikap Adni yang seperti itu tadi

telah menaikkan darahnya dan dia perlu pergi dari situ untuk menenangkan

dirinya. Biasalah! Waktu tegang seperti ini, syaitan mula membisikkan

kata-kata hasutan supaya dia hilang kesabaran. Sebelum dia betul-betul

hilang sabar, lebih baik dia pergi mencari ketenangannya semula.

Alif mendekati Zeek yang sedang menyarung kasut Vans sebaik sahaja dia

keluar dari surau hospital, “Zeek!”

Zeek panggung kepala dan dia ukir senyum tawar.

“Hang kuat, bro! Hang kuat!” Ujar Alif sambil menepuk bahu Zeek.

Zeek tunduk. Tanpa dapat ditahan lagi air matanya mengalir, “Abah aku,

Alif! Abah aku...”

Alif turut merasakan sebak di dalam dadanya. Dia duduk di sebelah Zeek

lalu dipeluk bahu sahabatnya itu, “Hang kena kuat, untuk umi hang. Untuk

adik-beradik hang dan yang pasti untuk abah hang! Hang tak boleh macam ni.”

“Aku takut, Alif... aku takut!” Tanpa menghiraukan pandangan mata orang,

Zeek merebahkan kepalanya di bahu Alif.

Alif tak dapat menahan air matanya mengalir. Rintihan sahabat baiknya

itu buat dia hilang kata-kata. Dia tahu, di depan semua orang Zeek

selalu mengukir senyum dan jarang bersuara. Dia tahu Zeek tahan suaranya

kerana dia tak mahu merintih dan mengeluh. Dia tak mahu adik-adiknya dan

uminya tahu rasa hatinya yang sebenar. Sebagai yang sulung, dia harus

tunjuk dia kuat dan sentiasa tenang sedangkan dia tidak begitu! Tiada

siapa tahu, Zeek sebenarnya selalu menangis di dalam solatnya.

Di hujung solatnya, pasti akan ada air mata yang mengalir ke pipi

seorang Muhammad Afif Zikry. Dia manusia biasa, punya rasa. Siapa yang

mampu kekal tenang bila lihat abah sendiri terlantar di atas katil?

Siapa yang mampu kekal tenang bila keluarga yang selama ini bergantung

dengan seorang lelaki bergelar ayah dan suami, jadi kelam-kabut apabila

ketua keluarga itu jatuh sakit? Sebenarnya beban yang tergalas di

bahunya terasa sangat berat. Berat untuknya menjadi ketua keluarga

menggantikan abahnya tapi apa pilihan dia ada? Allah pilih dia menjadi

yang sulung di dalam keluarga maka dia harus menjadi ketua! Umi perlukan

dia, adik-adik perlukan dia dan abah pun perlukan dia!

“Alif, aku takut kalau abah aku...” Zeek ketap bibir. Dia mati kata. Tak

sanggup rasanya nak meluahkan apa yang bermain di mindanya kala itu.

“Doa yang baik-baik saja. Doa pada Allah. Ujian ini Dia bagi kat hang

sekeluarga sebab Dia nak hangpa satu keluarga untuk terus berdoa dan

meminta kepada Dia. Dia menguji sebab Dia sayangkan kita. Dia mendengar

setiap doa kita, Zeek!” Alif hela nafas, panjang. Berat hatinya nak

cakap tapi harus dia cakap juga, walaupun dia tahu Zeek pasti sudah

tahu, “Dan andai kata Allah tarik nyawa abah hang, hang kena reda. Hang

kena terima walaupun pahit.”

Zeek telan liur yang terasa kesat. Kenyataan dari Alif itu buat dia

semakin takut menerima hakikat. Andai itu benar terjadi... mampukah dia

terima hakikat itu dengan hati lapang?

Tiba-tiba telefon pintarnya bergetar di dalam poket seluar dan segera

dia capai. Nama Amli terpampang di skrin. Jantungnya terus berdegup

laju. Jarinya menarik icon hijau di atas skrin lalu telefon dilekapkan ke telinga. Baru dia nak buka mulut, kata-katanya mati sendiri. Telefon

pintar itu terjatuh dari tangannya. Matanya dipejamkan. Setitis air mata

jatuh ke pipinya. Abah...

“Along... abah dah tak ada...”kala itu, suara Amli berselang-seli

dengan sendu yang kuat.

Hanya sebaris ayat itu, dia tahu. Abah sudah pergi dan tidak akan

kembali lagi...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience