23

Romance Completed 51694

Kereta Perodua Axianya dipandu perlahan. Tanpa hala tuju. Sebaik sahaja Ammar berlalu pergi, dia cepat-cepat mandi dan bersiap ala kadar. Mahu mengelakkan diri dari berjumpa Ammar yang akan datang lagi tengahari nanti.

Banyak pengakuan di Fac pernah dia baca. Untuk kes apabila pasangan berbuat onar serta berlakunya penceraian antara mereka. Mengatakan peluang kedua itu tak pernah salah andai betul pelakunya sudah berubah. Tapi bagaimana untuk kita tahu bahawa orang itu sudah betul berubah?

Sayang masih ada? Tentu, ada. Ammar manusia pertama yang tidak mempunyai pertalian darah dengannya yang disayangi sepenuh hati. Dia tidak pernah bercinta. Ammar adalah satu-satunya. Bukan mudah untuk mengumpul benci, mengusir sayang dihati yang sudah 6 tahun bertakhta.

Tapi jujurnya, setelah perlakuan demi perlakuan itu, dia sedar betapa selama berkahwin dengan Ammar betapa dia kurang menghargai diri sendiri. Dia utamakan Ammar, susah tak mengapa, asal masih bersama. Dia korban masa dan tenaga, lama-lama Ammar menuntut dia berkorban rasa dan cinta.

Lama berfikir membuatkan Julia terasa sesak. Dia mahukan tempat yang lapang. Kereta dihala ke Pantai Batu Hitam. Kurang sesak berbanding Pantai Balok. Apatah lagi diwaktu sekarang diamana orang-orang masih bekerja. Kereta sekadar di parkir dan dibuka sedikit pintunya. Menikmati angin. Dia menyedari MC yang diterimanya menuntut dia, sebagai penjawat awam yang sedang dalam cuti sakit, untuk kekal berada dirumah. Andai tertangkap, dia bakal dikenakan tindakan tatatertib.

Tapi sekarang, selagi Ammar masih disini, rumahnya bukan lagi tempat berlindung yang bagaikan syurga. Julia bersandar ditempat duduk pemandu dengan memejamkan matanya. Seketika kemudian, kedengaran pintu sebelah penumpang dibuka, kereta bergoyang sedikit menerima bebanan berat manusia yang masuk kekeretanya. Matanya dibuka melihat orang yang baru masuk.

Ammar!

Keluhan berat dilepaskan. Dia penat. Tak berminat untuk bergaduh sekarang. Matanya kembali dipejamkan. Kepalanya mulai berdenyut. Baru sekadar melihat Ammar kepalanya sudah sakit. Apatah lagi apabila mereka mulai bertekak nanti.

"Ju, abang nak minta maaf. Untuk hal pagi tadi" Tutur Ammar.

"Okey, saya maafkan. Awak pergilah balik KL" Balas Julia dengan suara yang perlahan.

"Abang ada kat sini sampai Ahad nanti. Abang nak pujuk Ju. Kita, rujuk semula, ye?" Pinta Ammar. Julia masih berdiam diri.

"...abang dah janji dengan diri abang, yang abang takkan berputus asa pujuk Ju rujuk semula" Sambung Ammar lagi.

"Tapi saya dah berputus asa dengan awak. Saya tak mampu nak terima awak semula" Walaupun dengan suaranya yang perlahan, ayat itu mampu menikam hati Ammar.

"Awak ingat tak lepas awak lafazkan talak dekat saya, saya merayu macam orang gila dekat awak. Saya tak berenggang dari telefon, sebab takut awak tunggu lama lepas awak balas mesej saya. Setiap masa saya akan tengok telefon, menunggu dapat mesej dari awak.

Tapi satu pun tak berbalas. Saya rasa macam orang yang bodoh. Saya rasa macam orang yang tak ada harga diri. Saya terdesak sangat nak awak kembali. Sebab awak satu-satunya orang yang saya ada dalam hidup selepas dibuang keluarga.

Tapi mesej yang saya dapat hanyalah dari girlfriend awak, yang PM saya dekat Fac. Hantar gambar awak sedang makan berdua dengan dia. Awak tahu tak betapa hancurnya hati saya?

Saya ingat lagi, ada satu hari dia PM saya gambar awak yang sedang check-in dekat kaunter hotel. Macam orang gila saya telefon awak hari tu. Saya tak nak awak buat benda yang haram lagi. Benda tu berdosa. Saya tak nak awak hanyut jauh. Tapi macam biasa, awak ignore calls saya. Awak reject je senang-senang. Lama-lama saya sedar, awak kan dah buang saya. Takkan awak nak jawab call saya, kan?

Saya dapat gambar awak ikut girlfriend awak balik kampung, jumpa mak ayah dia. Seharian saya menangis. Masa guna laptop, baru saya perasan, awak ada buat checklist untuk nikah dengan dia. Semuanya lengkap dalam senarai tu. Saya bandingkan dengan diri saya. Kita kahwin lari je. Nikah dekat Songkhla sana. Maskahwin tak sampai RM20 pun, sebab itu sahaja yang awak ada.

Saya mula sedar diri saya siapa. Betul lah apa yang orang cakap, orang yang bawa kita kahwin lari ni bukan orang yang betul-betul sayangkan kita. Saya je yang tak percaya" Julia tergelak kecil. Melindungi perasaan sebak yang mula bertandang.

"Awak tahu, dalam tempoh semua itu berlaku, saya dapat berita yang saya terpilih untuk menghadiri temuduga guru interim di Kuala Terengganu. Dengan keadaan diri yang tak ubah seperti kain buruk, dengan tak sediakan diri untuk apa-apa ujian dan temuduga, saya terpaksa kuatkan diri untuk pergi kesana.

Kalau ada markah untuk penampilan wajah dan muka, mesti saya tak lulus. Sebab mata bengkak. Muka sembap. Saya menangis tak berhenti. Habis ujian dan temuduga, saya balik ke KL. Dengan notis panggilan mahkamah menyambut saya. Tak tahu macam mana nak diterangkan perasaan tu dekat awak.

Selepas penceraian kita disahkan, saya balik kampung. Abah umi saya halau saya lagi, tak bagi saya masuk ke rumah pun. Saya faham. Saya yang salah. Memang patut pun mereka berkelakuan macam tu. Saya balik ke KL semula. Sambung kerja dekat kedai runcit mama Auni.

Sampailah tiba tarikh saya kena lapor diri ke sekolah ni. Kelam kabut cari rumah sewa, naik turun bas sebab tak ada kenderaan sendiri. 3 bulan ikat perut sebab gaji lambat masuk memandangkan proses gaji untuk guru baru sedikit lambat.

Awak tahu tak betapa teruknya duduk sendirian, dalam keadaan yang lapar, pada masa yang sama kita bersedih?"

Lupakan semua, Tidak semudah yang dikata.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience