BAB 12

Romance Completed 3555

“Errr… maafkan abang. Bukan niat abang nak ungkit semua perkara ni. Abang sayangkan Aish. Abang nak Aish faham, hidup ini sebenarnya adalah lautan masalah. Kalau kita tak pandai mengemudi, pasti biduk karam dipukul gelombang.”

“Sudahlah. Aish tak mahu dengar. Aish nak balik sekarang jugak!”

Aishah Amalina bangun mahu meninggalkan Carl Rudyanshah. Belum sempat dia melangkah pergi, lelaki itu menarik lengannya. Mata mereka kembali bersatu.

“Nanti dulu Aish. Bukan begini yang abang mahu dalam pertemuan kita petang ni. Janganlah bertindak melulu macam ni. Kalau abang salah, abang minta maaf. Niat abang hanyalah untuk kebaikan kita bersama.”

Tidak ada jawapan daripada Aishah Amalina. Kelopak matanya nampak basah. Bibirnya diketap menahan sebak yang bergulung di dada. Carl Rudyanshah mengeluarkan satu bungkusan kecil dari beg kertas yang dibawa bersamanya tadi. Tanpa banyak soal, bungkusan itu disatukan dalam genggaman tangan Aishah Amalina.

“Ikhlas dari abang untuk Aish …”

Saat itu memang sungguh menyayat hati Aishah Amalina. Air mata memang tidak terbendung lagi. Dibiarkan air jernih itu turun ke lurah pipi. Bungkusan itu dibuka tanpa diminta oleh Aishah Amalina. Sehelai selendang berwarna ungu bertatahkan batu-batu swarovski kemas di tangannya. Hati perempuan itu sudah terguris. Ditarik tangannya sekuat tenaga demi meleraikan pegangan kemas daripada lelaki itu.

“Sudahlah… abang jangan nak perli-perli Aish lagi. Aish memang bukan perempuan yang baik. Tudung yang cantik ini belum tentu dapat membuka hati Aish untuk memakainya. Jangan nak paksa Aish selagi Aish tak bersedia…”

Aishah Amalina terus melangkah pergi meninggalkan Carl Rudyanshah termangu-mangu bersendirian. Jiwanya diranduk rasa bersalah. Termenung sejenak dia memikirkan apa yang telah dilakukan terhadap tunangannya itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience