Pantas Durrah terjaga daripada lena yang diganggu oleh bayangan seseorang. Matanya meliar memandang sekeliling. Baru dia tersedar bahawa dia tertidur di atas tikar sejadah selepas menunaikan solat sunat istikharah sebentar tadi. Wajah diraupkan. Telekung dan kain dilipat kemas lalu diletakkan ke atas birai katil. Jemari yang baru sahaja ingin melipat tikar sejadah terhenti tatkala wajah ‘seseorang’ yang mengganggu lenanya terlintas di fikiran.
Raid.
Dia dapat melihat Raid dengan jelas di dalam mimpinya. Di kala itu dia sedang berada di satu kawasan lapang yang serba putih dan kosong tanpa apa-apa. Baru sahaja dia ingin melangkah pergi, Raid hadir dengan seulas senyuman. Senyuman yang begitu menenangkan. Senyuman yang begitu mendamaikan. Senyuman yang seperti ingin memberitahu… bahawa mereka berkongsi satu perasaan aneh yang sama rentaknya.
Benarkah?
Bibirnya dia gigit lemah. Durrah tersenyum hambar seraya menggelengkan kepalanya. Sejadah dilipat dua dan kemudiannya digantung ke atas tempat penyidai di penjuru kamar tidurnya itu. ‘Duhai hati, tidak perlulah menabur harapan palsu kepada sesuatu yang tidak mungkin akan terjadi,’ bisik hatinya perlahan. Namun, mengapakah Raid perlu hadir di dalam mimpinya? Adakah itu hanya sebuah mainan tidur atau… satu petunjuk daripadaNya kepada hatinya yang sering menafikan semuanya? Menafikan bahawa hatinya sudah jatuh terhadap tingkah Raid, kata-kata Raid dan sikap ambil berat Raid terhadapnya.
“Aku serahkan semuanya kepadaMu, ya Rahim,” bisiknya perlahan.
Tudung dicapai. Cardigan dan stokin disarung. Durrah menghayunkan kaki untuk ke luar bilik namun langkahnya terhenti apabila Puan Rafidah mengetuk daun pintu lalu masuk ke dalam. Terserlah riak kegembiraan di wajah wanita separuh abad itu. Durrah tersenyum sama namun dahinya berkerut-kerut apabila jemarinya digenggam kemas oleh Puan Rafidah. Wajah itu direnung tidak berkejip. “Ibu? Ada apa-apa berita gembira yang ibu nak beritahu Durrah ke ni?” tekanya.
Ternyata wanita itu mengangguk. Durrah tergelak kecil.
“Beritahulah Durrah jugak, ibu. Durrah nak tahu jugak pasal berita tu. Sharing is caring!” gesanya teruja. Apalah agaknya berita gembira itu hinggakan tersenyum lebar wanita ini dibuatnya…
Puan Rafidah berdeham. “Durrah, kalau ibu tanya, Durrah jawab dengan jujur tau. Ibu tak mahu Durrah sembunyikan apa-apa daripada ibu lepas ni. Ibu nak Durrah bercakap benar,” panjang lebar kata-kata Puan Rafidah. Anak mata wanita itu dipandang lama dan tanpa berlengah Durrah menganggukkan kepala tanda setuju. Mereka sama-sama melabuhkan duduk di birai katil. Jemari Puan Rafidah masih erat menggenggam jemari runcingnya. “In Shaa Allah Durrah akan cuba jawab soalan ibu tu. Lagipun, untuk apa Durrah nak menipu ibu, kan?”
“Durrah…”
Durrah mendongak.
“Andai katalah… ada orang yang mahu memperisterikan Durrah, Durrah akan terima?”
Terkedu Durrah mendengar soalan ‘maut’ itu. Pantas sahaja jemarinya ditarik daripada terus digenggam oleh Puan Rafidah. Mulutnya terdiam lama dengan lidah yang tidak mampu untuk membalas. Terasa dunianya agak gelap untuk seketika. Tentu sahaja ‘orang’ itu menaruh harapan yang tinggi terhadap keluarga Puan Rafidah. Tetapi siapa sahaja yang tahu tentang dia di sini? Adakah Imtiyaz sendiri yang hadir dan menyatakan hasratnya itu untuk merujuk kembali? Atau ada mana-mana lelaki lain yang datang membawa hajat itu? “Ibu… Durrah… Durrah tak tahu.”
“Durrah takut?”
Diam. Sungguh, dia langsung tidak tahu hendak membalas apa!
“Mari sini ikut ibu,” jemari ditarik lembut. Hendak tak hendak terpaksa juga dia menggagahkan sepasang kaki untuk dihayunkan. Durrah tersentak apabila mendapati dua susuk tubuh sedang duduk di ruang tamu. Wajahnya yang sudah membahang malu ditundukkan sehabis boleh. Kalau boleh, biar tidak dapat memandang sesiapa yang ada di hadapan mata! Usai itu, dia dan Puan Rafidah duduk bertentangan dengan Raid dan Encik Razak. Raid yang tampak ringkas berkopiah itu hanya tersenyum nipis. Senyuman yang menambahkan debaran di hati Durrah. Namun segera Durrah beristighfar, tidak mahu terus-terusan hanyut di dalam perasaan aneh ini lagi. Tidak akan sesekali.
“Durrah, sayang…”
“Iii… ibu?”
“Sebenarnya orang yang ibu cakapkan itu ialah…”
“Saya yang ingin memperisterikan awak, Durrah,” celah Raid tenang, tanpa ada riak takut atau gelisah di wajahnya. Bingkas dia bangun daripada duduknya. “Saya dah berbincang dan menyatakan hasrat saya kepada ibu dan kepada ayah. Ayah dan ibu pun setuju. Lagipun, ibu memang sayangkan awak. Jujur saya katakan, selama ini saya tak terfikir langsung yang saya ni cukup sempurna untuk gadis seperti awak. Tapi saya akan cuba menjadi lebih baik di sisi awak, sebagai Adam, sebagai lelaki yang halal dalam agama Allah. Izinkan saya… untuk menghalalkan hubungan kita? Izinkan saya untuk menjaga, melindungi dan memelihara awak, Durrah?”
Pecah empangan mata yang bertakung. Air mata Durrah perlahan-lahan gugur. Hatinya cukup tersentuh melihat betapa beraninya Raid mengakui dan meluahkan semuanya di hadapan ibu dan ayah. Panas terasa pipinya kini. “Tapi… ta… tapi saya…”
“Awak tak setujukah?”
Durrah menggeleng. “Tapi… saya ni janda. Saya tak nak reputasi dan nama awak terjejas disebabkan status saya. Saya tak nak jiran-jiran mengata keluarga awak, mengata ayah dan ibu yang… awak berkahwin dengan seorang janda,” ujarnya merendah diri. Kerdil sungguh diri ini jika hendak dibandingkan dengan Raid.
Raid senyum lagi.
“Mulut manusia kita tak boleh nak tutup sampai bila-bila dan orang akan terus mengata. Yang penting, apa yang kita buat ni tujuannya adalah untuk menghalalkan hubungan yang haram. Untuk menyatukan Adam dan Hawa. Tak gitu, Puan Rafidahku sayang?” sakat Encik Razak dan mencuit hidung mancung si isteri. Terjerit kecil isterinya itu. Jarinya pantas mencubit manja lengan Encik Razak dengan bibir yang dicebikkan. Geram dan malu sebenarnya. “Apalah abang ni. Malu dekat anak-anak…”
“Alaa… nanti dah kahwin mesti dah biasalah tu.”
Merah padam wajah Durrah dibuatnya. Wajah Raid dipandang sekilas. Lelaki itu membetulkan duduk dan menengadah perlahan. “Awak sudi terima saya?”
Durrah membisu, lama.
“Durrah?” soal Puan Rafidah, bimbang andai kata gadis itu tidak bersetuju.
“Kalau Raid jodoh yang Allah tetapkan untuk Durrah, Durrah tak akan menolak,” balas Durrah malu-malu akhirnya dengan wajah yang ditundukkan. Tersenyum lebar Encik Razak dan isterinya mendengar jawapan itu. Lega kerana Durrah menerima. Raid meraupkan wajahnya dengan ucapan syukur yang tidak putus-putus dilafazkan dek hati dan bibir. Alhamdulillah, nampaknya perasaan aneh yang menghantui selama ini bakal dicurahkan kepada orang yang akan menjadi halal baginya kelak. In Shaa Allah sekiranya semua dipermudahkan Ilahi…
Share this novel