33

Romance Series 93218

Ramona semakin gelisah. Apa sahaja yang dilakukannya hari ini, semuanya serba tidak menjadi. Sejak tadi dia hanya mundar mandir di hadapan cermin. Sesekali tangannya mengusap - usap perutnya yang semakin membesar. Jika mengikut perkiraannya, kandungannya kini sudah mencecah usia 4 bulan. Namun sehingga kini dia masih belum menemui sebarang jalan penyelesaian untuk masalah yang dihadapinya. Kebimbangan mula menghantui hidup Ramona.

Sejak kejadian Ezmal memutuskan pertunangan mereka tempoh hari, Ramona sudah tidak lagi menjejakkan kakinya di rumah agam itu. Walaupun berkali - kali Puan Sri Elise cuba memujuknya, namun Ramona tetap menolak. Alasan demi alasan tercipta. Semuanya demi menutup sebuah rahsia besar yang sedang ditanggungnya. Ramona tekad. Walau apa pun yang terjadi, dia tetap mahu merahsiakan perkara ini dari pengetahuan keluarga itu. Tambahan pula anak yang dikandungnya itu bukanlah hasil dari benih Ezmal mahupun Yasir. Jadi Tan Sri Zamir dan Puan Sri Elise tidak berhak mengetahuinya.

Ramona berjalan ke katil. Telefon bimbitnya dicapai. Dia cuba mendail nombor Yasir, namun panggilan itu tidak dijawab. Ramona mendengus. Sejak berita kehamilannya tersebar, Yasir tidak lagi menghubunginya. Puas dia cuba mendapatkan lelaki itu, malangnya tidak satu pun panggilan atau mesejnya dijawab.

“Dasar jantan tak guna!! Dulu masa mula - mula kau nak dapatkan aku, macam - macam yang kau janjikan. Sehidup semati konon. Dasar penipu. Pergi mampuslah kau!!!!" Pekik Ramona kuat.

Ramona semakin bengang. Lantas telefon bimbit di tangannya itu langsung dicampak ke dinding dengan sekuat hati. Ternyata amarahnya sudah tidak dapat dikawal lagi. Ramona benar - benar buntu. Dia tidak tahu bagaimana caranya lagi untuk dia menyelesaikan masalah ini. Kehidupannya menjadi kucar kacir sebaik dirinya disahkan mengandung buat kali ke tiga. Lebih merunsingkan apabila dia dinasihatkan oleh doktor agar tidak melakukan sebarang proses pengguguran lagi untuk kali ini. Masih terngiang - ngiang di telinganya akan nasihat doktor tempoh hari.

“Ingat Ramona!! Awak tak boleh gugurkan kandungan ini lagi. Ianya akan membahayakan nyawa awak sendiri. Lagipun sampai bila awak nak berterusan macam ni? Tak ada sedikit pun ke perasaan kasih awak terhadap bayi ini? Apa dosa dia terhadap awak?" Soal doktor muda yang bernama Humaira itu.

Ramona tidak menjawab. Otaknya ligat memikirkan bagaimana caranya lagi untuk dia menggugurkan kandungan itu sendiri tanpa bantuan dari doktor itu. Sejujurnya dia masih belum bersedia untuk menerima kehadiran bayi itu di dalam kehidupan sehariannya. Masih banyak hal dan perkara yang ingin dilakukannya sebelum dia betul - betul mengambil keputusan untuk mengandung. Lagi pula bayi yang dikandungnya ini bukan hasil dari hubungan yang sah mahupun dari benih lelaki yang dicintainya. Jadi mengapa dia perlu menanggung bayi itu jika hati dan jiwanya tidak merelakan? Tidak. Ramona tekad. Dia harus lakukan sesuatu agar bayi di dalam kandungannya itu gugur dengan sendirinya.

Lamunan Ramona terhenti sebaik telinganya menangkap bunyi ketukan di pintu. Sayup - sayup kedengaran namanya dipanggil. Ramona mendengus perlahan. Panggilan itu dibiarkan berlalu tanpa sahutan. Malas dia mahu melayan. Lagi - lagi dalam keadaan fikirannya yang sedang berserabut sebegini. Namun semakin lama ketukan di pintu itu kedengaran semakin kuat. Namanya dipekik - pekik dari luar. Ramona masih dengan kedegilannya. Panggilan itu langsung tidak dihiraukannya. Faham benar apa yang dimahukan Zafriel saat ini. Tidak lain tidak bukan pasti mahu melempiaskan nafsunya yang tidak berkesudahan itu.

Zafriel Luqman Bin Dato Hamdan. Satu nama yang tidak asing lagi buat Ramona. Ketampanan dan kekayaan yang dimiliki jejaka itu sering menjadi igauan setiap gadis yang memandangnya. Ramona juga tidak terkecuali. Kali pertama mereka bersua muka di dalam sebuah majlis, hati Ramona sudah mula tertawan. Keinginannya untuk mengenali Zafriel semakin membuak - buak setelah mendapat tahu siapakah lelaki itu sebenarnya. Dari apa yang Ramona ketahui, Zafriel merupakan pemilik terbesar sebuah agensi permodelan yang terkemuka di Kuala Lumpur. Sejak dari itu, Ramona mula memasang niat untuk mendekati lelaki itu dan usahanya telah menemui kejayaan apabila Zafriel juga menunjukkan minat yang sama sepertinya. Maka bermulalah detik - detik perkenalan di antara mereka berdua.

Dari hari ke hari hubungan mereka semakin mesra. Bahkan sejak dia mengenali jejaka itu, Ramona tidak henti - henti menerima tawaran model dari kebanyakkan syarikat. Lebih menarik lagi, dia turut terpilih untuk menyertai satu fashion show di Milan. Semuanya hasil dari bantuan Zafriel. Namun semua itu tidak diberikan secara percuma. Sebagai ganjaran, Ramona diminta untuk melayani nafsunya serakahnya tanpa gagal. Pada mulanya Ramona tidak menolak kerana semua itu bukan masalah besar buat dirinya. Lagi pula selama ini pun dia sudah biasa melayani lelaki - lelaki lain demi untuk kepentingannya.

Malangnya langit tidak selalunya cerah. Semakin dia mengenali Zafriel, semakin Ramona terseksa. Ini kerana kehidupannya tidak ubah seperti pelacur. Hampir setiap masa Zafriel akan datang menemuinya hanya untuk melempiaskan nafsu serakahnya. Jika dia menolak, Zafriel pasti akan mengamuk dan kesudahannya dia juga yang akan mendapat sakit. Sejak dari itu, Ramona sering mencipta alasan demi untuk menyelamatkan dirinya dari menjadi mangsa nafsu serakah Zafriel. Puas dia cuba untuk menjauhkan dirinya dari Zafriel, namun lelaki itu tidak pernah berputus asa mengejarnya.

“Mona, buka pintu ni sekarang!! Jangan sampai aku pecahkan pintu ni, Mona!!" Jerit Zafriel dari luar.

“Kau nak apa sial?? Kan aku dah cakap jangan ganggu aku!! Aku tak nak!! Kau tak tengok ke keadaan aku sekarang ni macam mana?? Itupun kau masih juga nak aku layan kau?? Nafsu binatang ke kau ni hah???" Lawan Ramona dari dalam biliknya.

“Kau yang degil, Mona!! Aku suruh kau gugurkan kandungan tu dari awal lagi kan? Tapi kau yang tak nak dengar cakap aku. Sekarang aku tak peduli. Aku nak kau layan aku sekarang, Mona!! Buka pintu ni sekarang!!! Kalau tak, kau juga yang akan dapat malu. Kau pilih mana yang kau nak sekarang, Mona!! Kali ini suara Zafriel semakin meninggi.

Ramona tersenyum sinis. Sejujurnya dia sudah lali dengan ugutan itu. Ugutan itu jugalah yang sering digunakan Zafriel untuk mendapatkan apa yang diingininya selama ini. Jika dahulu mungkin dia agak bimbang sekiranya Zafriel menyebarkan video
lucah mereka bersama kerana hal itu bisa menghancurkan masa depannya. Namun kini semua ugutan itu tidak berbekas lagi di hatinya. Bagi Ramona, Zafriel tidak mungkin akan melakukan semua itu kerana ianya umpama membuka pekungnya sendiri. Tambahan pula bapanya bukan calang - calang orang. Dato Hamdan merupakan ahli perniagaan yang terkenal dan dikenali. Jadi mana mungkin Zafriel akan melakukan sesuatu yang bisa menjatuhkan nama baik bapanya sendiri. Sejak dari itu, Ramona sudah tidak lagi takut dengan ugutan itu.

Lama kelamaan, suara pekikan Zafriel sudah tidak lagi kedengaran di luar pintu itu. Ramona yakin lelaki itu sudah berlalu pergi dari situ. Dia menarik nafas lega. Sekurang - kurangnya dia sidah terselamat dari menjadi mangsa pelempias nafsu Zafriel. Tidak semena - mena, Ramona memegang perutnya. Ya. Dia yakin seratus peratus bahawa bayi di dalam kandungannya ini adalah anak kepada Zafriel kerana dia lah lelaki terakhir yang bersamanya sebelum dia disahkan mengandung. Betapa malangnya nasib bayi di dalam kandungannya ini kerana dikurniakan ibu dan bapa seperti mereka. Justeru itu dia tekad untuk tetap menggugurkannya walau apa cara sekali pun. Mana mungkin dia sanggup membiarkan anak itu lahir dalam keadaan dirinya yang begitu hanyut bergelumang dosa. Dari membiarkan kelahirannya dicemuh, lebih baik dia mati. Akhirnya Ramona terlelap dek keletihan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience