Empat bulan selepas peristiwa itu.
TIHANI termenung di meja kerja sambil diperhati rakan baiknya, Kinah. Kinah rakan sekerjanya di firma guaman Aziz and Co yang terletak di sebuah kawasan elit.
“Mengapa kau termenung... Mengapa kau bersedih... Hiburkanlah hatimu... Gembira selalu…” Kinah menyanyikan lagu Jeffydin, Termenung sambil menari ala-ala tarian 60-an.
Terhambur gelak ketawa dari mulut Tihani tatkala melihat rakannya itu.
Rakan yang sentiasa menghiburkan hatinya di kala dirundung kesedihan. Rakan yang sentiasa ada di kala dia kesusahan. Namun, tidak semua rahsia rumah tangganya diceritakan kepada Kinah. Bukan tidak percaya. Tapi, aib perlu dijaga. Walaupun dia terseksa dengan perjalanan hidupnya.
“Haaa... Macam tulah. Baru cantik. Apa yang kau fikirkan, Hani?” soal Kinah ingin tahu. Punggung dilabuhkan semula ke kerusinya.
“Zaid…” Bagaimana mahu dia memulakan cerita. Pasti Kinah akan menghambur marah jika nama lelaki itu masih meniti di bibirnya.
“Hah, dia mahu apa lagi dari kau? Atau dia sudah gila talak?” Kinah bangun semula daripada duduknya. Senyuman yang terukir tadi terus hilang daripada wajahnya. Tihani menelan air liur. Takut untuk meneruskan kata.
“Ya. Dia mahu aku kembali pada dia,” tutur Tihani perlahan. Membuntang mata Kinah melihat Tihani. Ala-ala Nyonya Mansur di dalam filem Ibu mertuaku. Tihani menahan senyum.
“Bagaimana caranya? Dia sudah ceraikan kau dengan talak tiga, Hani! Sekarang sudah gila talak. Jangan kau layan dia, Hani. Teruskan kehidupan kau yang sekarang ni. Lebih bahagia, kan?” Kinah berjalan mendekati Tihani yang masih termangu-mangu mendengar kata-katanya itu.
“Hani, kau sahabat aku. Aku sayangkan kau. Jangan kau terperangkap lagi dengan lelaki macam Zaid tu,” nasihat Kinah sambil memegang bahu Tihani. Dia tahu hati Tihani berbelah-bahagi.
“Aku buntu Kinah. Abah aku beritahu yang Zaid balik berjumpa abah di kampung. Merayu pada abah, supaya pujuk aku.” Tihani memandang wajah Kinah dengan sayu. Kalau melibatkan abah, Tihani kalah. Wajah abah yang semakin di mamah usia itu terbayang-bayang di matanya. Hatinya menjadi sayu.
Zaid tahu kelemahannya. Walaupun sudah ditolak berkali-kali daripada menerima cadangan Zaid untuk mencari ‘cina buta’ yang boleh mengahwininya untuk satu malam. Tihani kalah apabila abah sendiri yang memujuknya.
“Habis apa abah kau cakap?” Kinah mula tidak senang hati. Wajah sayu Tihani direnung lama.
“Abah suruh aku terima cadangan Zaid. Cari ‘cina buta’ untuk aku kahwin satu malam,” tutur Tihani perlahan. Dia bersedia jika Kinah menghambur kata-kata kesat terhadapnya.
“Kau jangan, Hani! Kau jangan terpujuk dengan kata-kata lelaki bangsat tu! Aku takkan benarkan kau jadi perempuan bodoh yang ikut telunjuk lelaki seperti Zaid tu!” Kinah menggila dengan kata-kata. Sungguh sakit hati dirasakan olehnya. Dia sendiri melihat bagaimana wajah Tihani membengkak dan lebam sana sini dipukul lelaki bernafsu binatang itu.
“Kinah, aku tak cakap pun yang aku setuju. Aku tahu kau sayangkan aku. Tapi, janganlah kata aku perempuan bodoh. Sedih aku.” Tihani cuba merajuk. Dia tahu Kinah tidak bermaksud berkata begitu kepadanya.
“Maafkan aku, Hani. Aku terlalu emosi. Aku harap kau jangan terpujuk dengan kata-kata Zaid. Abah kau pun sama. Jangan dilayan Zaid tu. Pesan pada abah kau.” Kinah kembali ke mejanya yang terletak di hadapan meja Tihani. Mereka hanya dipisahkan dengan sekeping papan penghadang yang tingginya hanya tiga perempat badan.
“Baiklah. Terima kasih atas nasihat kau.” Tihani tersenyum tawar. Dia kembali menyambung kerja yang tertangguh sebentar tadi.
“Tihani, you tolong buka fail baru untuk jual beli rumah. Nama klien Megat Ariff bin Megat Aman.” Sekeping kertas diletakkan di atas meja Tihani.
Encik Aziz, lelaki berusia hampir mencecah 50-an. Namun masih segak dan kacak. Pemilik firma guaman yang sudah berbelas tahun menapak di kawasan elit itu. Kebanyakan klien firma tersebut juga terdiri daripada golongan elit yang berpangkat dan berdarjat tinggi.
“Baik, Encik Aziz.” Tihani bangun dan mengambil fail yang masih baru dari rak di belakangnya. Di hadapan fail tersebut di tulis nama klien dan nombor rujukan fail tersebut. Kemudian, diserahkan kepada Encik Aziz yang sabar menunggu di situ.
“Thanks, Tihani. Macam mana kes you dengan bekas suami you?” soal Encik Aziz tiba-tiba. Dia memandang wajah wanita di hadapannya itu dengan senyuman. Dia mengetahui cerita tentang Tihani, apabila wanita itu datang ke pejabat dengan wajah yang bengkak dan lebam 4 bulan yang lepas. Dia simpati dengan nasib yang menimpa pekerjanya itu.
“Dah selesai Encik Aziz. Terima kasih bertanya.” Tihani menjawab seringkas yang boleh. Dia juga tidak mahu bosnya itu bertanya dengan lebih lanjut lagi. Tihani cuba tersenyum ketika memandang wajah lelaki di hadapannya itu.
“Alhamdulillah. I doakan segalanya dipermudahkan untuk you. If anything you perlukan pertolongan, let me know.” Encik Aziz mengambil fail tersebut dari tangan Tihani dan berlalu masuk ke biliknya.
Tihani melepaskan keluhan berat. Sikap prihatin Encik Aziz menyentuh hatinya. Seolah-olah seorang bapa yang mengambil berat terhadap anak perempuannya. Interkom di meja Tihani berbunyi. Dia menekan butang berwarna hijau.
“Kak Hani, Datin Rosmiza nak bercakap dengan akak. Boleh Mira sambungkan pada akak?” soal Mira. Seorang gadis cantik berusia 20-an yang bekerja sebagai penyambut tetamu di firma guaman itu.
“Boleh Mira.” Tihani mencapai fail Datin Rosmiza dan menyelak segala butiran yang terdapat di dalam fail tersebut. Sekali lagi interkom di mejanya berbunyi. Gagang diangkat dan diletakkan ke telinga kiri sambil tangan kanannya menyelak status fail tersebut.
“Hi, Hani. Can I know my fail status? Semalam I call. Mereka kata you tiada di pejabat.” Datin Rosmiza menutur lembut. “Ya, Datin. Maaf semalam saya cuti uruskan sesuatu.” Tihani sekadar berbahasa.
“Buat masa sekarang, kami masih menunggu kelulusan dari pihak bank. Mungkin ambil masa dalam dua tiga hari lagi, Datin.” Tihani membelek nota kecil yang dilekatkan di fail tersebut.
Payment is delayed due to an outstanding debt. Under investigate. Nota tersebut ditulis oleh Encik Aziz sendiri. Tihani sudah dipesan untuk tidak memberitahu tentang siasatan itu kepada Datin Rosmiza.
“Apa masalahnya? Kenapa masih pending sehingga hari ni? Atau you langsung tak buat kerja, Hani?” Suara wanita itu masih lembut tetapi keras dengan ayat kecaman.
“I nak bercakap dengan Aziz. Please connect my call to him!” tegas bunyinya.
“Baik, Datin. Tunggu sebentar ya.” Tihani menekan butang hijau. Dia menunggu panggilannya dijawab oleh Encik Aziz.
Encik Aziz melihat kerlipan lampu di interkomnya dan di skrin digital tersebut terpapar nama Tihani. Dia menekan butang berwarna hijau itu.
“Ya, Hani.” Matanya kembali tertumpu kepada skrin komputernya. Meneruskan pembacaan tentang kes yang akan berlangsung esok.
“Encik Aziz, Datin Rosmiza di talian. Dia mahu bercakap dengan Encik,” jawab Tihani.
“Datin Rosmiza?” Jari telunjuknya diketuk pada tetikus yang dipegang sedari tadi. Nafas ditarik dalam dan dilepaskan perlahan.
“Ya, encik.” Tihani menunggu keputusan daripada Encik Aziz dengan sabar.
“Baik. Sambungkan panggilan Datin kepada I. Lagi satu, boleh you hantar fail Datin?” tutur Encik Aziz perlahan. Kedengaran suaranya sedikit bimbang di hujung talian.
“Boleh, Encik Aziz.” Tanpa menunggu lebih lama, panggilan disambung. Tihani membawa fail tersebut dan berjalan menuju ke arah bilik Encik Aziz yang terletak bersebelahan surau pejabat. Pintu bilik Encik Aziz di ketuk perlahan. Kendengaran suara garau lelaki itu memberi keizinan untuk masuk. Daun pintu ditolak dan kaki Tihani melangkah masuk ke dalam bilik. Bau haruman epal hijau yang keluar dari diffuser menusuk ke dalam hidung Tihani. Segar sungguh bauan di dalam bilik itu.
Tihani memberikan senyuman kepada Encik Aziz yang sedang bercakap dengan Datin Rosmiza di talian telefon. File diserahkan ke tangan Encik Aziz. Lelaki itu menyambutnya dan memberikan isyarat terima kasih kepada Tihani. Tihani menganggukkan kepalanya sambil melangkah keluar dan pintu ditutup semula.
“Yes, Datin Rosmiza. What can I help you?” soal Encik Aziz dengan suara yang tenang.
“Kenapa I punya fail still pending? Staf you tak buat kerja ke?” Datin Rosmiza menghambur marah sebaik sahaja panggilan disambungkan.
“Actually Datin, my staff are already checking and you still have a debt with the bank. So, before they proceed with the new loans, you have to settle all the remaining debt.” Encik Aziz dengan tenang dan lembut menjelaskan permasalahan tersebut kepada si pemilik fail.
“What? I already paid off all my loans before I applied for a new loan, okay. How dare you say I still have a debt?” Datin Rosmiza mula menyinga di talian. Terasa air mukanya jatuh apabila Encik Aziz memaklumkan perkara tersebut kepadanya.
“Kalau Datin tidak percaya, I akan minta staf saya fakskan letter from the bank kepada Datin.” Encik Aziz membalas dengan tenang. Dia sudah mengagak bahawa Datin Rosmiza tidak percaya akan kata-katanya. Mujur dia sendiri yang menerang perkara tersebut kepada Datin Rosmiza. Jika Tihani yang menerangkan, pasti wanita itu dimarahi dengan lebih teruk oleh Datin Rosmiza.
“Fax it now!” Panggilan ditamatkan tiba-tiba. Encik Aziz termangu sendiri. Dia tersenyum. Sudah biasa melayani kerenah manusia berpangkat yang mahu dilayan seperti raja. Belasan tahun dia mengusahakan firma guaman tersebut. Pelbagai kerenah golongan elit yang sudah menjadi asam garam hidupnya dalam perniagaan. Setakat dihambur kata-kata keji dan hinaan, itu sudah menjadi makanan dalam hidupnya. Semua pengalaman itu mengajar dia erti ihsan kepada manusia lain.
TIHANI menguis-uis makanan di hadapannya. Dia menyuap sedikit demi sedikit ke dalam mulutnya. Tiada selera untuk makan. Kinah dan Mira berpandangan ketika melihat tingkah Tihani itu. Kinah menggelengkan kepalanya.
“Tak baik menghadap rezeki dengan muka begitu, Hani,” tegur Kinah. Dia menghirup air teh panas yang masih penuh itu sedikit. Masih terasa panasnya. Diletakkan semula gelas sambil memerhati sekeliling restoran itu.
“Aku kena balik ke kampung minggu ini.” Tihani mula mengeluh. Dia dapat meneka sebab abahnya menyuruh dia pulang ke kampung.
Kinah turut mengeluh. Kepala digelengkan sekali lagi. Dia juga dapat meneka apa yang orang tua Tihani itu mahukan. Entah apa yang Zaid telah katakan kepada orang tua itu. Jika difikirkan, mahu sahaja Kinah membunuh lelaki yang telah membuat sahabatnya itu terseksa.
“Kak, tolak sahaja permintaan abah akak itu. Katakan sahaja akak sudah tiada hati pada bekas suami akak. Atau akak beritahu sahaja yang akak sudah ada pengganti.” Gadis itu mula memberi cadangan. Kalau semudah itu, tentu Tihani tidak akan bersusah hati sebegini.
“Kau ingat mudah Kak Hani kau ni cakap begitu pada abahnya? Abah Kak Hani ni bukan dia peduli perasaan anak-anaknya. Yang dia tahu, dia dapat duit.” Kinah menghamburkan amarahnya. Sungguh sudah tidak tertahan lagi sakit hatinya itu.
“Kinah, itu kan abah aku,” tutur Tihani lembut. Walaupun abah bersikap sebegitu, namun Tihani tetap menyayangi abahnya. Mungkin atas desakan daripada Zaid menyebabkan abah bersikap begitu.
“Apa pun, Mira harap akak buat keputusan yang baik untuk diri akak,” ucap Mira sambil memegang tangan Tihani yang berada di atas meja. Tihani tersenyum pahit.
“Maafkan aku, Hani. Aku pun sama seperti Mira. Aku harap kau tidak buat keputusan yang salah. Jangan perbodohkan diri sendiri lagi!” Kinah memberi amaran. Tihani menghela nafas berat apabila mendengar kata-kata Kinah itu. Sungguh wanita itu tidak mahu dia kembali kepada bekas suaminya, Zaid.
ENCIK AZIZ bersalaman menyambut lelaki yang sudah lama dikenalinya itu. Salah seorang anak Toh Puan Ulya. Keluarga tersebut sering menggunakan khidmat guaman Encik Aziz untuk segala urusan berkaitan undang-undang dan sebagainya.
“Bonda Ariff sihat?” soal Encik Aziz sambil tersenyum memandang lelaki itu. Megat Ariff yang memakai baju kemeja lengan panjang berjenama Polo Ralph Lauren berwarna hitam itu kelihatan sangat segak dan bergaya.
“Alhamdulillah, Uncle. Bonda sihat,” balas Megat Ariff sambil membuka kaca mata hitamnya dan disangkut ke kolar baju.
“Uncle sihat?” soal Megat Ariff sambil menyebak rambut hadapan yang menutupi sedikit matanya. Potongan rambut jenis texture comb over itu, sesuai dengan bentuk wajah Megat Ariff. Wajah yang sedikit berjambang dan kumis yang rapi itu, tampak maskulin di mata setiap wanita yang melihatnya.
“Alhamdulillah, uncle sihat,” balas Encik Aziz sambil tersenyum. Seawal usia 30 tahun, pemuda di hadapannya itu telah mempunyai beberapa buah syarikat kontraktor dan sebuah kelab golf yang terletak di Port Dickson hasil usahanya sendiri. Encik Aziz kagum dengan kejayaan yang Megat Ariff capai di usia sebegini.
“Ariff datang sini sebab nak ambil fail kelab golf dekat Port Dickson tu. Boleh, uncle?” soal Megat Ariff tersenyum. Dia lega kerana kelab golf tersebut telah menjadi seratus peratus hak miliknya. Segala pinjaman telah selesai dibayar kepada pihak bank.
“Boleh, Ariff. Cuma uncle kena minta staf uncle carikan dulu,” balas Encik Aziz sambil menekan butang hijau interkomnya.
“Ya, Encik Aziz.” Tihani membetulkan duduknya sambil menjawab panggilan daripada Encik Aziz itu.
“Hani, masuk bilik I sekejap,” pinta Encik Aziz ringkas. Tanpa membuang masa, Tihani berjalan menuju ke bilik Encik Aziz. Dia mengetuk pintu tersebut sebelum masuk ke dalam.
“Ya, Encik Aziz.” Tihani berdiri di belakang Megat Ariff yang sedang sibuk melihat ke skrin telefon bimbitnya. “You tolong carikan fail ni.” Encik Aziz menyerahkan sekeping kertas kepada Tihani. Tihani mengambilnya dari tangan Encik Aziz sambil melihat kertas tersebut. Tiba-tiba...
“Excuse me. There is a blood on your skirt, miss,” tegur Megat Ariff apabila melihat ada kesan tompokan darah di kain yang Tihani pakai itu. Wajah Tihani berubah. Cepat-cepat dia berundur ke belakang dan membelek kainnya.
Period! Cis! “It’s okay Tihani. You minta Mira carikan fail tu untuk I. You selesaikan hal you dulu,” celah Encik Aziz sambil matanya melihat ke arah skrin komputer.
“It’s okay, Miss Tihani. I boleh tunggu,” ucap Megat Ariff sambil menoleh sedikit ke arah Tihani yang sudah membeku di belakangnya. Megat Ariff tersengih sendiri apabila melihat wanita itu jalan berundur. Tihani cepat-cepat mengambil sesuatu dari beg tangannya dan dia menuju ke bilik air. Wajahnya terasa panas kerana ditegur lelaki tadi. Isy... Malunya!
Setelah selesai semuanya, Tihani pergi ke bilik fail dan mencari nombor rujukan dan nama fail tersebut. Beberapa minit kemudian, Tihani kembali ke bilik Encik Aziz dan menyerahkan fail itu kepada Encik Ariff.
“Thanks, Tihani,” ucap Encik Aziz sambil membelek fail tersebut. Dia membaca setiap isi kandungan fail itu untuk memastikan bahawa segala dokumen di dalamnya telah lengkap.
“Okey,” balas Tihani sambil memandang sekilas ke arah lelaki yang berada di hadapan Encik Aziz itu. Megat Ariff memandang wajah Tihani sambil tersenyum. Dia perasan wanita itu mencuri pandang ke arahnya. Wajah Tihani merona merah apabila lelaki itu tersenyum ke arahnya. Cepat-cepat dia melangkah keluar dari situ.
“Okey Ariff. Semuanya dah complete. And all is yours. Tahniah. Kelab golf dah jadi milik Ariff sepenuhnya,” ucap Encik Aziz sambil menyerahkan fail tersebut kepada Megat Ariff. Megat Ariff tersenyum puas.
“Thanks, uncle sebab uruskan fail Ariff ni,” ucap Megat Ariff. Dia mengambil fail tersebut dari tangan Encik Aziz. Sekali lagi dia tersenyum melihat fail itu sudah pun berada di genggaman tangannya.
“Rumah yang Ariff beli di Hulu Langat tu memang Ariff nak pindah situ ke?” soal Encik Aziz teringat akan fail baru yang dibuka pagi tadi atas nama Megat Ariff.
“Oh itu. Ariff ingat nak buat homestay yang ada pool dekat sana.” Megat Ariff memandang wajah Encik Aziz yang turut teruja mendengar cadangannya itu.
“Wah, bagus idea tu. Bila nak start renovate rumah di situ?” soal Encik Aziz sambil mengambil sesuatu dari lacinya.
“Proceed je semua, Ariff terus start.” Megat Ariff tersenyum sambil sekali-sekala menyebak rambutnya ke belakang.
“Ni ada beberapa name card kontraktor yang uncle kenal dan pernah berurusan dengan mereka. Ariff bolehlah minta sebut harga pada mereka untuk projek rumah Ariff tu.” Encik Aziz menghulurkan beberapa keping kad business kepada Megat Ariff. Megat Ariff mengambilnya lalu dibelek kad-kad tersebut sambil menganggukkan kepalanya. “Thanks, uncle. Nanti Ariff akan minta quotation pada mereka,” balas Megat Ariff sambil menyimpan kad-kad tersebut ke dalam card holdernya. Dia tersenyum sambil bangun daripada duduknya.
“Okeylah, uncle, got to go. Ariff ada meeting dekat business suite depan ni,” ujar Megat Ariff sambil menghulurkan tangannya kepada Encik Aziz. Encik Aziz turut bangun dan menyambut huluran tangan Megat Ariff sambil tersenyum.
“Baiklah. Fail Ariff tu nanti, Tihani yang akan uruskan. Jadi, kalau Ariff nak tahu status fail, Ariff boleh tanya pada Tihani,” jelas Encik Aziz sambil tersenyum. Dia kagum dengan kerajinan pemuda itu yang tidak jemu membeli aset dan mengubahnya menjadi perniagaan.
“Alright, uncle. Ariff pergi dulu.” Megat Ariff berjalan ke pintu keluar sambil memakai semula kaca mata hitamnya. Dia berjalan melintasi Tihani sambil menoleh sekilas ke arah wanita itu. Tihani yang masih tekun menaip sesuatu di komputer, tidak perasan akan pandangan lelaki itu kepadanya. Kinah pula terjengah-jengah kepalanya mencuri pandang ke arah Megat Ariff.
Sebaik sahaja Megat Ariff keluar dari pejabat itu, Mira yang berada di tempat menyambut tetamu, meluru masuk ke dalam.
“Handsomenyaaa...” Mira tanpa segan-silu memuji Megat Ariff di hadapan Kinah dan Tihani. Kinah turut tersenyum mengiakan kata-kata Mira itu. Tihani pula, meneruskan kerja tanpa mencelah apa-apa.
“Megat Ariff nama dia tak silap akak. Dia banyak fail dekat sini. Banyak aset tu.” Kinah tersengih-sengih ketika menceritakan tentang Megat Ariff.
“Untung siapa dapat dia kan, Kak? Kalaulah Mira dapat kahwin dengan dia, tak payah Mira kerja. Duduk rumah, jadi suri di hati Megat Ariff je.” Mira berangan-angan. Tihani tersenyum mendengar kata-kata Mira itu.
“Sudahlah! Jangan nak berangan. Megat Ariff itu, seleranya tinggi. Tak pandang wanita-wanita macam kita ini.” Kinah meneruskan kerjanya semula. Cukuplah hanya memuji keindahan ciptaan Allah. Bukan untuk memiliki. Mira menarik muka masam.
“Akak ni, Mira baru nak berangan. Potong betul!” Gadis itu kembali semula ke mejanya di ruangan penyambut tetamu. Tihani dan Kinah hanya ketawa mendengar bebelan gadis itu.
TIHANI melihat jam di tangan, hampir pukul 5.00 petang. Dia mengemas meja dan beg tangannya. Encik Aziz sudah pun pulang seawal pukul 4.00 petang kerana ada kes yang akan bersidang pada esok pagi.
“Kau lewat lagi ke nak balik, Kinah? Aku dah nak balik ni,” soal Tihani sambil mengambil beg tangannya dan diletak ke bahu. Tudungnya dibetulkan sedikit.
“Kau baliklah dulu, Hani. Aku ada lagi sedikit perkara nak diuruskan.” Kinah hanya memandang sekilas ke arah Tihani. Matanya kembali tertumpu pada skrin komputer.
“Baiklah. Aku balik dulu.” Tihani berjalan menuju ke pintu keluar. Di toleh ke meja penyambut tetamu. Mira sudah tiada di situ.
Tihani keluar dari pejabat sambil berjalan menuju ke hentian bas. Seperti biasa, hanya dia keseorangan menunggu bas di situ. Bas juga hanya melalui kawasan itu dua jam sekali. Tihani tidak boleh terlepas bas, jika tidak dia harus menunggu dua jam lagi untuk bas seterusnya.
Tiba-tiba, sebuah kereta berhenti di hentian bas tersebut. Seorang lelaki berkulit kuning langsat dan berwajah sedikit bengis keluar dari kereta tersebut dan menghampiri Tihani.
“Mari abang hantar, Hani.” Zaid dengan selamba menarik tangan Tihani dengan kasar. Tihani menarik semula tangannya daripada dipegang lelaki itu. Zaid menjengilkan matanya apabila Tihani membantah kemahuannya.
“Saya tak nak! Jangan ganggu saya lagi!” tegas Tihani sambil menjauhkan dirinya daripada Zaid. Lelaki itu masih tidak berputus asa untuk memaksa wanita itu. Direntap sekali lagi tangan Tihani dengan kasar.
“Lepaslah! Tolong! Tolong!” jerit Tihani dengan kuat. Walaupun dia tahu suaranya mustahil akan didengari oleh orang, namun sengaja dia menjerit untuk menimbulkan panik pada Zaid agar lelaki itu menjauhinya.
Sreettt! Sebuah kereta jenis Audi S5 Cabriolet berwarna navy blue berhenti secara mengejut di belakang kereta Zaid. Seorang lelaki keluar dari kereta tersebut dan menghampiri Zaid dan Tihani dengan penuh gaya.
Share this novel