Chapter 53

Mystery Completed 14816

Bab 53

Saat dia keluar dari kereta, dia melihat Puan Salimah sedang menyapu ruang porch. Ruang itu kosong tiada kereta Amalina ataupun kereta Encik Hamdan. Amalina memang tiada di situ. Dia berdiri sahaja di hadapan pagar, berharap Puan Salimah menyedari kehadirannya.

Puan Salimah memandang ke arah pintu pagar. Dahinya berkerut melihat anak muda itu sudah berubah. Rambutnya pendek dan kemas. Pakaiannya juga sudah lain, berkemeja dan tali leher diikat longgar. Dia nampak kereta Leo ada di seberang jalan.

Puan Salimah mendekati pintu pagar rumahnya.

“Assalamualaikum, makcik.”

“Waalaikumusalam.”

“Amalina ada makcik?”

Puan Salimah diam sejenak, kemudian dia menggeleng lemah.

“Dia ke mana?”

Puan Salimah terus diam. Wajahnya nampak sugul.

“Lebih baik kau jangan cari Alin lagi, Leo. Alin tak ada di sini… dia di kampung. Pakcik kau suruh dia duduk di sana. Dia juga sudah berhenti kerja. Pakcik yang paksa dia buat tu semua, walaupun dia tak mahu!”

“Oh! Tuhan!” keluh Leo.

“Semuanya kerana saya ke?”

Puan Salimah mengangguk.

“Makcik, pakcik sanggup menghukum Alin macam tu? Kalau pun pakcik tak sukakan saya, janganlah sampai pakcik menghancurkan karier Alin. Alin sukakan kerjanya… Alin cintakan buku dan penulisan. Jangan halang dia menerokai dan mencari kepuasan makcik. Ianya sama seperti membunuh. Membunuh naluri dan bakat besar yang ada dalam dirinya. Tak apa kalau pakcik tak suka. Tak apa kalau pakcik pinta hubungan kami berakhir… saya terima.”

“Leo! Kau ni terlalu baik nak,” kata Puan Salimah terharu.

“Saya pergi dulu makcik. Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam.” balas Puan Salimah, memerhati Leo yang berjalan menghala ke kereta.

Hatinya rasa sebak melihat anak muda itu. Wajahnya begitu kosong dan hampa. Namun dia kelihatan sangat tabah dengan dugaan yang menimpanya. Leo… Leo, percayalah nak! Makcik tak menghalang perhubungan kau dan Amalina. Tapi pakcik kau… terlalu keras dan tegas dalam soal keturunan!

*****

“Balik-balik je terus termenung panjang! Ni mesti tak dapat jumpa Amalina.” teka Affendi sambil duduk di sisi Leo.

Wajah temannya itu direnung dalam-dalam. Cawan berisi air teh sudah lama dingin tidak berusik. Affendi mengelengkan kepalanya.

“Apa hal ni?” tanya Affendi lagi tidak putus asa biarpun Leo hanya diam tidak membalas kata-katanya tadi.

“Ayah Alin. Dia halang perhubungan kami.” kata Leo.

Affendi mengangguk sahaja.

“Aku tak sangka betul! Dia sanggup hukum Alin, paksa dia berhenti kerja. Lepas tu hantar Alin balik kampung. Macam lah aku jahat sangat, dah rosakkan anak dia. Dia pandang hina sangat dekat aku, Fendi! Aku ni tak layak jadi menantu dia.”

“Leo! Tenanglah. Dia hanya salah faham. Dia tak tahu hal yang sebenarnya. Biar aku pergi jumpa dia, terangkan semuanya. Pasti dia akan terima kau, Leo.”

“Tak payahlah! Aku frust dengan sikap dia tu! Terlalu memandang asal usul dan keturunan.”

“Tapi Leo, dalam agama pun disuruh mengutamakan keturunan yang baik, supaya mendapat zuriat yang baik. Keturunan mestilah sekufu. Dengan kedudukan kau sekarang, kau malah lebih tinggi tarafnya daripada dia sendiri.”

“Tu lah… Tapi dia tak tahu apa-apa! Kalau dia tahu, mungkin dia terus terima aku! Itulah yang tak bestnya! Terima kerana aku keturunan Datuk Omar! Agh! Hari esok aku nak balik jumpa Mak Upeh. Aku nak bawa Mak Upeh duduk di sini. Rumah papa pun kosong sekarang. Makcik Suriati pun dah kena berkas.” kata Leo mulai merancang masa depannya.

“Kau dengan makcik pun pindah sekali, duduk dengan aku.”

“Terima kasih banyak-banyak Leo. Mak aku tu sayangkan rumah ni, ada kenangan dia dengan ayah aku dulu. Aku pun macam tu… sayangkan rumah ni. Kalau kau nak balik ke rumah papa kau, suka hatilah. Aku tak halang. Itulah yang sebaik-baiknya, bawa Mak Upeh tinggal dengan kau. Dia banyak berjasa pada kau. Kaulah yang harus membelanya… menjaga dia, menghabiskan sisa-sisa umurnya.”

Leo mengangguk.

“Esok aku akan ke sana.”

“Pergilah!” kata Effendi.

Esok aku pun ada rancangan! Bisiknya di dalam hati.

*****

Puan Faridah bersalaman dengan Puan Salimah. Kedua-duanya sudah bercakap di dalam telefon beberapa hari lalu. Pertemuan itu bagi mengotakan janji ingin berkunjung, membawa hajat daripada ‘anak’nya.

“Anak angkat saya tu, Zakuan namanya. Dia anak yatim piatu, Encik Hamdan, Puan Salimah. Bapanya Datuk Omar dan isterinya Datin Zaidah, sudah kembali ke rahmatullah,” kata Puan Faridah memulakan bicara.

Dia menjeling Affendi yang duduk di sisinya. Sejak tadi, Affendi hanya diam sahaja, membiarkan emaknya bercakap.

Encik Hamdan mengangguk sahaja. Dia bagaikan dapat meneka tujuan Puan Faridah membuka sejarah anak angkatnya itu.

...bersambung

Bab akan datang:

Adakah Encik Hamdan dan Puan Salimah akan menerima Zakuan (Leo)?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience