"Maksu, Ain minta maaf...."
Akhirnya, dia kembali!
Ain memeluk erat tubuh maksu. Terhinjut-hinjut dia menangis di bahu maksu melepaskan kerinduan. Sudah lapan tahun dia berjumpa dengan wanita dan keluarga yang membesarkan dia. Semasa di rumah tok wan minggu lepas, dia sudah berbincang dari hati ke hati dengan Amar. Lelaki itu mahu mulakan hidup baru dengan Ain. Tetapi bagi Ain, dia akan buat keputusan setelah Amar menuruti syaratnya.
Syaratnya, sebelum Ain buat keputusan, kena balik Melaka dulu.
"Ain, Ain... Apalah nasib Ain ni. Maksu ingatkan Ain bahagia. Maafkan maksu ya sebab dah lepaskan Ain pergi. Kalau maksu tahu Ain terseksa, maksu tak benarkan Ain kahwin. Maksu minta maaf banyak-banyak."
"Semua dah jadi, maksu. Ain ok. Ada hikmah semuanya ni..."
Berjam-jam mereka di dalam bilik. Ain ceritakan semuanya kepada maksu. Tiada satu pun yang disembunyikan. Memang maksu rasa bersalah sangat. Pada masa pinangan itu datang, memang maksu rasa ada yang tak kena. Ain bukannya gadis yang hidup pada zaman dulu yang mana pasangan hidup orang tua pilihkan. Tetapi mengingatkan kesungguhan orang tua Amar yang datang pada hari itu, maksu rasakan mereka benar-benar ikhlas terutama sekali bakal suami Ain. Rupa-rupanya ada agenda yang tersembunyi. Kasihan sungguh anak saudaranya yang malang ini.
"Jadi, sekarang Ain macam mana?" tanya maksu.
"Ain sayangkan dia maksu. Dia suami Ain. Ain tak ada niat nak berpisah dengan dia. Cuma pada hari Ain lari tu, Ain rasa sedih sangat. Ain rasa sabar Ain dah hilang. Ain buat keputusan tanpa fikir panjang maksu. Ain pernah cakap pada diri sendiri, kalau dia datang cari Ain, Ain akan terima semua keputusan dia. Ingatkan dia datang cari Ain untuk lepaskan Ain, tapi dia nak mulakan hubungan baru...." jelas Ain.
"Maksu doakan Ain bahagia. Kalau ada masalah, datang cari maksu. Jangan lari jauh-jauh lagi."
Ain memeluk maksu lagi. Matanya masih basah.
Share this novel