Bab 4

Romance Completed 215178

BAB 4

ISAAC membalas pukulan bola tenis daripada sahabatnya menggunakan back hand. Razif sudah mengemas kekuda untuk membuat pukulan balas. Setelah hampir satu jam bermain, Razif mengangkat tangan.

“Okey, aku kalah kali ni.” Razif tercungap-cungap. Dia mencari air mineral di dalam beg sukannya di tepi gelanggang.

“Isaac ketawa bersaja sambil membelek raket kesayangannya. Mereka kemudian duduk di kerusi sebelah gelanggang untuk berehat. Peluh membasahi baju kedua doktor berpengalaman itu.

“Lain macam kau main hari ni, Isaac. Kau tak jetlag ke?” Razif menumbuk perlahan bahu bidang sahabatnya itu.

“Biasa je, cuma kau yang tak ada stamina hari ni. Tahulah malam jumaat semalam,” balas Isaac selamba.

“Razif melepas tawa yang besar. “Malam jumaat apanya, sepanjang malam aku dalam Operating Theater (OT). Bini aku pun dah balik kampung dah.”

“Nasiblah kita kan." Isaac ketawa bersahaja. Dia meneguk air mineral untuk melegakan tekak yang kering. Angin yang bertiup petang itu menyejukkan badannya yang dibasahi peluh.

“Kau lain macam ni, Isaac. Jarang kau nak bersembang macam ni. Berapa bulan dah kau tak bertembung dengan Melissa ni? Bila kau on call, dia tak ada trip. Bila kau off dia pulak fly. Aku tak tahulah macam mana kau orang berdua ni,” ujar Razif sambil meluruskan kakinya yang agak lenguh.

Isaac sempat tersengih. Nampak terlalu ketara kah?

“Entahlah… ada isteri macam tak ada je. Kau pun faham kan? Sibuk macam mana pun kita, mestilah nak juga layanan ni. Ini nak pandang muka aku pun tak nak,” luah Isaac yang sudah tidak tertahan lagi. Selama ini dia hanya memendam sahaja, boleh jadi gila juga dibuatnya.

Razif turut tersengih. Faham benar masalah sahabat baiknya itu. “Aku pun tak berani nak cakap sebab tak ada di situasi kau. Tapi, kita suami kan? Itu hak kita. Come on, Isaac. Selagi dia isteri kau, dia tak boleh nak menolak. Takkan aku nak ajar kut?” seloroh Razif dalam berkata benar.

Isaac tersengih lagi. Kali ini semakin hambar. “Aku bukan jenis memaksa...”

“Hai Melissa... Kau nak suami macam mana lagi? Dia tak tahu ke kau ni kegilaan HO, MO yang tak kahwin lagi. Haish... Kalau lelaki lain ni pasang...”

“Kami dalam proses nak bercerai, Razif,” beritahu Isaac tanpa berselindung. Dia perlu meluahkan juga kepada seseorang. Jika dipendam boleh merosakkan hati dan jiwa. Terbuntang mata Razif ketika itu. Dia memandang wajah Isaac tanpa berkedip.

“Kau... Kau jangan bergurau, Isaac.”

“Aku serius, Razif. Kami memang dah tak sehaluan. Macam mana kami cuba pun, tetap tak berjaya. Aku dah pernah minta dia berhenti kerja. Sebab kerja kita ni memang tak menentu. Kami sampai pernah tiga bulan tak bertembung kat rumah. Setahun pertama tu okeylah. Lepas tu, masing-masing dah rasa jauh,” luah Isaac bersama dengan keluhan berat. Dia memandang jauh ke hadapan.

Terbit rasa simpati di hati Razif. “Masa tu sebab kau busy dengan master kau kan? Takkan Mel tak boleh nak faham kut? Master tu... nak jadi doktor pakar kan, mestilah struggle. Jadi, Mel tak nak berhenti kerja?”

“Kontrak dia 5 tahun. Dalam 5 tahun tu tak boleh berhenti atau mengandung. Or else, kena bayar dendalah. Aku cakap je aku boleh bayarkan. Melentinglah dia. Dia memang sayang betul kerja dia tu.”

“Jadi, lepas 5 tahun dia boleh berhentilah kalau tak sambung kontrak? Kalau macam tu kau bersabarlah sikit. Jangan terburu-buru macam ni, Isaac.” Razif cuba untuk menasihati.

“Aku tak kisah pasal anak ke apa. Itu aku boleh tunggu. Masalahnya, quality time kami tu dah tak ada. Kahwin tapi, macam hidup bujang. Lama-lama benda tu jadi virus yang boleh merosakkan semua benda. Kami masih lagi sebumbung, tapi berpisah bilik. Kalau jumpa pun asyik bergaduh aje. Aku pun tak nak sekat kebebasan dia. Mel tu muda lagi.”

“Memang itu risiko isteri usia muda ni. Dia 26 tahun, kau 34 tahun. Yang rugi tu kau, Isaac. Aku pun tak faham jugak Melissa ni. Kalau dia fikir fasal rumah tangga, dia mesti sanggup tinggalkan segalanya. Jadi stewardess ni, orang bujang sesuailah,” komen Razif. Dia juga tidak tahu untuk menasihati sahabatnya itu. Jika tiada yang mengalah, macam mana mahu selesaikan masalah.

“Entahlah, Razif. Aku pun dah tawar hati,” balas Isaac. Dia bangun mengambil raketnya semula.

“Jom! Aku nak lepaskan stres aku ni. Esok dah masuk kerja,” ajak Isaac.

Razif menggeleng kepala sambil perlahan-lahan bangun.

“Kalau bukan sebab kau dalam masalah seberat gunung, aku tak lalu dah nak sambung main ni!”

 

 

MELISSA tiba di kondominium mewah tempat tinggalnya bersama Isaac. Dia menarik bagasi masuk ke dalam biliknya. Seperti biasa, lelaki itu tiada di rumah. Sedangkan mereka sampai bersama di KLIA petang tadi. Melissa mandi dan solat asar di dalam biliknya. Kemudian, dia keluar untuk ke dapur. Keadaan dapur agak tunggang-langgang. Singki penuh dengan cawan dan pinggan kotor. Baju kotor juga penuh di dalam mesin basuh.

“Dia ingat aku maid ke? Balik kerja nak tengok pemandangan macam ni. Dulu bukan main pembersih. Sekarang kau sengaja kan?” Melissa membebel seorang diri dengan geram bercampur marah.

Dia masuk pula ke dalam bilik lelaki itu. Kelihatan baju-baju bersepah di atas katil. Meja tulis pula penuh dengan buku-buku yang tidak tersusun. Melissa sekali lagi berdengus kasar.

Dia cuba menghubungi pembantu rumah mereka yang sepatutnya bertugas di siang hari sahaja. Ketika itu kedengaran pintu utama kondo itu dibuka menandakan lelaki itu sudah pulang. Melissa cepat-cepat menutup pintu bilik Isaac. Dia terus bergerak ke ruang tamu. Isaac masuk dengan membawa beg berisi raket tenisnya. Dia agak terkejut melihat Melissa berdiri di ruang tamu.

“Mana maid kita? Kenapa rumah macam tongkang pecah? Baru seminggu I tak balik rumah macam dah kena masuk perompak.” Melissa terus melontarkan pertanyaan.

Isaac menarik nafas. “I pun empat hari di Melbourne. Masa I balik dapat tahu maid kita tak sihat. Dia langsung tak datang. Nanti I kemas semua. Janganlah bising,” ujar Isaac kemudian dia terus mengorak langkah ke biliknya.

Melissa menggigit bibir geram. Jika dahulu apabila mereka lama tidak bertemu. Melissa akan melompat memeluk suaminya yang kacak itu ketika masuk ke dalam rumah ini. Tetapi sekarang, rasa macam mahu membuka silat sahaja. Betul-betul menyakitkan hati!

Share this novel

Hawani Hashim66
2021-06-22 16:52:01 

sedih tengah syok bc kena lock pulak mcm mn nak bc seterusnya


NovelPlus Premium

The best ads free experience