ZAILANI tersenyum lebar. Lega hatinya saat cincin merisik sudah pun dibelinya. Lagi dua minggu keluarganya akan merisik Juwita. Tak sabar rasa dihati.
"Lan..." Langkah Zailani terhenti. Nafas ditarik dalam. Mati terus senyuman yang mekar di bibir sebentar tadi.
"Lan sorang je ke?" Zailani tersenyum nipis. Dalam dunia ni, inilah insan yang dia selalu mengelak untuk berjumpa. Entah mengapa semakin dia mengelak, semakin kerap pula mereka terserempak.
"Kenapa macam tak happy je jumpa Liya ni?" Nadanya mula berubah. Terasa hati dengan reaksi Zailani. Matanya tertumpu pada beg kertas yang berada di tangan Zailani. Tanpa sebarang kata, beg kertas itu dirampas. Tergaman Zailani dengan tindakan Aliya.
Bekas di dalam beg itu segera dikeluarkan. Tanpa keizinan dari Zailani, dia membuka kotak baldu berwarna merah itu. Terukir senyum di bibirnya pada ketika itu.
"Wah cantiknya Lan. Untuk Liya ke cincin ni?" Dia segera memeluk leher Zailani. Tergamam Zailani dengan tindakan Aliya. Tubuh kecil itu ditolak lembut. Bekas baldu berwarna merah itu segera diambilnya semula dari tangan Aliya.
"Ini cincin merisik saya. Tapi bukan untuk awak sebaliknya untuk wanita yang bertahta di hati saya. Liya tolonglah. Lan tak suka nak berkasar dengan perempuan. Tapi Lan nak ingatkan yang Lan tak suka dengan apa yang Liya buat. Liya dah bertunangkan? Jadi jaga batas Liya. Jangan sebab sikap Liya ni, banyak hati yang terluka." Zailani segera berlalu meninggalkan Aliya.
Namun, Aliya tersenyum sinis. Puas hatinya walaupun mendapat penolakan dari Zailani. Dia tak peduli semua itu. Azmer tak mungkin akan tinggalkannya. Apatah lagi Azmer sangat menyayanginya walaupun Azmer tahu hatinya hanya untuk Zailani.
Di satu sudut, Juwita menahan rasa hati. Apa yang terpampang di matanya tadi sangat sukar untuk dia percaya. Kenapa saat hatinya benar-benar telah menyintai, dia disuluh dengan satu kebenaran yang teramat pahit?
Setabah mana pun dia, dia tewas juga. Air mata yang jatuh di pipi dikesat perlahan. Langkah kaki diatur menuju semula ke parkir kereta. Mujur saja rombongan merisik belum tiba, jadi dia masih punya waktu untuk membatalkan hasrat Zailani.
Tapi tegakah dia untuk mengecewakan hati keluarganya dan juga keluarga Zailani yang mengharapkan ikatan antara mereka? Juwita buntu. Mindanya tidak mampu berfungsi dengan baik.
"Ju..." Langkah kaki Juwita terhenti. Dia kenal suara yang memanggilnya. Namun dia kaku di situ. Hatinya sakit.
"Ju buat apa dekat sini? Tak cakap pun nak keluar." Juwita senyum sini mendengar soalan dari Zailani.
"Kenapa? Takut kantoi apa yang Lan buat kat belakang Ju?" Berkerut dahi Zailani mendengar soalan Juwita. Dia jadi tertanya-tanya adakah dia telah melakukan apa-apa kesalahan.
"Kenapa ni Ju? Ada masalah ke?" Zailani masih berlembut namun Juwita tidak mengendahkan sebaliknya dia berlalu meninggalkan Zailani dalam keadaan terpinga-pinga.
Tersedar akan ada sesuatu yang tidak kena, Zailani segera mengejar Juwita. Tangan kanan Juwita diraih agar wanita itu tidak berlalu pergi darinya. Dia perlukan penjelasan.
"Kau apahal? Tak puas hati dengan aku?" Kasar sekali intonasi yang keluar dari mulut Juwita. Tersentak Zailani mendengarnya.
"Ju ni kenapa? Nak marah Lan tak tentu pasal ni apahal?" Zailani menahan amarahnya. Dia tidak mahu menyemarakkan api kemarahan yang dia tak tahu puncanya.
"Kau blah la. Tak payah nak sakitkan hati aku. Berambus kau sana!" Juwita menolak tubuh Zailani agar dia dapat berlalu. Namun, Zailani masih tetap juga menghalang laluan Juwita.
"Ju, awak dah melampau ni. Apa salah Lan?" Zailani masih tak puas hati selagi dia tak dapat jawapan yang diinginkan dari Juwita.
"Salah kau bila kau buat aku jatuh cinta lepas tu, kau sedap berdating dengan perempuan lain. Berambuslah!" Juwita menolak tubuh Zailani ke tepi sekuat hatinya. Dia melangkah meninggalkan Zailani. Tidak betah untuk berdepan dengan Zailani. Dia tak mahu Zailani melihat air matanya.
Zailani kaku. Masih cuba mencerna apa yang dikatakan Juwita. Tertanya-tanya bila masa dia berdating dengan perempuan. Akhirnya dia mendapat jawapan. Tanpa sedar hatinya menyumpah. Tidak tunggu lama, Zailani terus mengejar Juwita semula. Mujur saja Juwita masih berada di parkir.
Baru hendak memanggil Juwita, matanya tertancap pada sebuah kereta yang bergerak laju menghala ke arah Juwita. Tanpa berfikir panjang, Zailani menolak tubuh Juwita sehingga terjatuh.
Bum!
Kedengaran bunyi dentuman kuat. Tubuh Zailani terpelanting. Kereta itu terus berlalu laju meninggalkan tempat kejadian. Juwita yang melihat tubuh Zailani menggelupur segera mendapatkan Zailani. Darah membuak keluar dari mulut Zailani. Kepala Zailani dipangku.
"Tolong!" Juwita menjerit meminta bantuan namun tiada siapa di situ. Terketar-ketar tangannya ketika itu. Melihat telefon bimbit yang terkeluar dari poket seluar Zailani, barulah otaknya mampu berfungsi. Telefon bimbit di dalam tas tangan dicapai lalu menghubungi ambulan.
Beberapa orang yang lalu di situ mula berhenti untuk menghulurkan bantuan. Namun, tiada siapa yang berani menyentuh Zailani.
"Ju... Lan tak curang dengan Ju. Cinta Lan hanya untuk Ju sorang je." Dengan sisa tenaga yang ada Zailani meluahkan rasa hatinya. Tangan kanan diseluk masuk ke dalam poket seluar. Dia menghulurkan bekas baldu berwara merah kepada Juwita.
"Apa yang Ju nampak tidak seperti apa yang Ju fikirkan." Dengan penuh kepayahan, Zailani cuba menjernihkan keadaan.
"Syhhh banyak bercakap. Ju minta maaf. Lan bertahan ye?" Juwita mula tidak tentu arah apabila nafas Zailani mula tidak teratur. Perlahan-lahan mata Zailani tertutup. Bibirnya mengukir senyum.
"Lan..." Juwita meraung hiba. Juwita hampir rebah ketika ambulan tiba. Fikirannya kosong. Dia hanya mampu melihat tubuh Zailani diusung naik ke dalam ambulan seperti orang bodoh.
"Cik waris terdekat ke?" Juwita mengangguk lemah.
"Cik nak ikut ambulan atau cik nak naik kereta sendiri?" Juwita tidak menjawab sebaliknya dia melangkah menuju masuk ke dalam ambulan. Fikirannya kosong. Jiwanya seakan mati pada ketika itu. Dia hanya mampu melihat pegawai perubatan yang berusaha memberi rawatan awal kepada Zailani.
Share this novel