Bab 1

Romance Series 72307

PRANG!

Bunyi kaca berderai kedengaran. Laju kaki Rhea menapak ke kamar utama. Bunyi itu datang daripada sana.

“Abang? Abang tak apa-apa ke?” soalnya risau. Pandangan matanya jatuh pada serpihan kaca yang bertaburan di tepi katil.

“Abang nak minum air ya?” soal Rhea lembut. Melihat gelas itu sudah berderai tahulah dia yang suaminya itu mahu mengambil air. Mungkin pegangan Hayyan tidak cukup kuat sehingga mengakibatkan pegangangnnya terlepas.

Hayyan mematungkan diri di atas katil. Bibirnya dikatup rapat seperti selalu. Payah benar nak dengar dia bersuara.

“Rhea minta maaf ya? Rhea tengah siapkan bahan-bahan untuk masak nasi lemak esok,” ujar Rhea tanpa ditanya.

Hayyan masih lagi diam. Riak wajahnya seperti orang tidak berperasaan saja.

Rhea tunduk mengutip serpihan kaca yang bertaburan tadi tanpa sedikit pun keluhan. Dia sudah terbiasa dengan keadaan ini.

Sedar tidak sedar, sudah lima bulan Hayyan sedar daripada komanya. Tiga tahun lelaki itu koma. Dengar macam mustahil untuk dia sedar kembali tapi tiada siapa yang mampu melawan kuasa ALLAH jika Dia berkehendak. Umur Hayyan masih panjang.

Lima bulan lalu dia sedar daripada komanya. Akhirnya penantian Rhea menemui noktah. Tapi, ujiannya tidak terhenti di situ...

Hayyan sudah tidak mengenalinya!

Lepas Hayyan sedar, soalan pertama yang ditanyakan pada Rhea ialah...

“Awak siapa?”

Saat itu jantung Rhea bagaikan direntap. Dia hilang diksi. Air mata laju mengalir ke pipi. Siapa je yang tak sedih bila suami sendiri sudah tidak mengenalinya? Sangkanya lepas Hayyan sedar, semuanya akan baik-baik saja. Tapi ujian lain pula yang menimpanya.

Rhea tidak mengalah. Setiap hari dia cuba mengembalikan memori Hayyan tentangnya. Tentang mereka. Daripada awal mereka kenal sampailah bagaimana mereka berkahwin. Semuanya diceritakan kembali pada Hayyan walaupun lelaki itu langsung tidak mengingatinya.

“Budak ni anak saya? Saya ada anak?”

Sekali lagi hati Rhea remuk. Wajah polos anak kecil yang masih tidak mengerti apa-apa itu dipandang sayu. Kalau Rhea pun dia tak ingat, inikan pula Armel. Armel lahir ketika Hayyan masih koma.

Dan selama itu juga Rhea yang menggalas tanggungjawab membesarkan Armel sendirian. Dialah ibu, dia juga ayah kepada Armel.

Tak mudah menjadi seorang Rhea Azra. Sudahlah dia anak yatim piatu. Tiada ahli keluarga yang lain juga. Tapi teguhnya cinta pada Hayyan menjadikan dia seorang wanita yang kuat.

“Abang tunggu sekejap ya. Rhea ambilkan air yang lain untuk abang.” Rhea langsung melangkah keluar meninggalkan bilik bersama dengan serpihan kaca daripada gelas yang pecah tadi.

Hayyan hanya memandang kosong ke muka pintu. Keluhan berat terlepas daripada bibirnya. Sampai bila harus begini?

Dia langsung tidak mengingati wanita itu. Betul ke mereka sudah berkahwin? Bagaimana mereka boleh berkahwin? Banyak persoalan yang timbul di fikiran Hayyan.

Hayyan tunduk memandang kakinya pula. Bilalah agaknya kakinya akan pulih sepenuhnya? Dia mahu berjalan seperti biasa. Sekarang ini dia perlu menjalani rawatan fisioterapi.

“IBU... Armel nak beli aiskrim boleh?”

Rhea menoleh ke kanan. Hujung bibirnya ternaik sedikit melihat anak kesayangannya itu.

“Tapi Armel baru makan aiskrim semalam,” balasnya lembut.

Layu terus wajah Armel mendengar jawapan Rhea. “Armel nampak kawan-kawan kat luar tu makan aiskrim. Sedapnya...”

Rhea ketawa kecil. Kepala Armel dielus lembut. “Ibu bukan tak bagi Armel makan aiskrim tapi Armel tak boleh makan aiskrim selalu. Nanti Armel batuk.”

Armel mengangguk akur. “Okey ibu.”

“Ibu... Kenapa ayah tak nak cakap dengan Armel? Ayah tak sayang Armel ke?”

Soalan yang diajukan Armel buatkan hati Rhea luluh. Dia terdiam seketika.

“Ibu...” Armel menggoncang lengan Rhea.

“Ayah tengah sakit sekarang ni. Armel tunggu ayah betul-betul sihat ya?” pujuk Rhea. Tipulah jika dia langsung tidak terasa hati dengan layanan dingin Hayyan padanya. Tapi dia perlu memahami keadaan suaminya itu. Tak putus-putus dia berdoa moga suatu hari nanti ingatan Hayyan akan pulih seperti sediakala.

Dan waktu itu.... Mereka bertiga akan hidup bahagia seperti keluarga yang lain

Bunyi enjin kereta di luar rumah membuatkan perbualan dua beranak itu terhenti.

“Siapa yang datang tu ibu?” soal Armel petah.

“Entahlah. Armel tunggu sekejap. Ibu pergi tengok.” Rhea langsung melangkah meninggalkan dapur.

“MAK...” Rhea tersenyum nipis pada ibu mentuanya itu.

“Susah-susah je mak datang sini naik teksi,” ujarnya serba salah.

Jauriah langsung menarik muka masam. “Kau tak suka ke aku datang rumah kau Rhea?”

“Bukan macam tu mak.” Rhea laju menggeleng menafikannya.

“Rhea kesian dengan mak kena datang rumah sini naik teksi. Kalau mak beritahu Rhea, Rhea boleh jemput ambil mak dekat rumah,” jelasnya supaya wanita itu tidak salah faham.

Jauriah mencebikkan bibirnya. Ya lah tu!

“Aku nak jumpa anak aku. Bukan nak jumpa kau.”

Rhea ketap bibir. Dia tersenyum perit. Bukan kali pertama ujaran ibu mentuanya itu menghiris hatinya. Rhea sudah biasa.

“Jemputlah masuk mak...” pelawanya.

“Kalau kau tak jemput pun, aku tetap akan masuk. Rumah ni pun anak aku yang beli.” Jauriah terus melangkah masuk ke dalam rumah.

Rhea hanya mampu menghela nafas berat. Sabar Rhea... Wanita itu syurga suami kau.

RHEA hanya berdiri di muka pintu bilik sambil memerhati Hayyan dan Jauriah berbual. Hatinya senang melihat wajah ceria Hayyan. Andai saja Hayyan seceria itu sewaktu bersama dengannya...

Sesekali Rhea nampak Hayyan ketawa saat berbual dengan Jauriah. Dia turut ikut tersenyum sama. Syukurlah Hayyan masih mengenali ahli keluarganya.

Hayyan kehilangan memori lima tahun sebelum kemalangan yang menimpanya. Itu yang membuatkan dia langsung tidak mengingati Rhea dan Armel.

“Hayyan masih ingat pada Trisha kan?”

Hayyan terdiam seketika. Sebaris nama yang meniti di bibir ibunya itu buatkan hatinya bergetar.

Bibir Rhea terbuka seperti ingin mengatakan sesuatu tetapi suaranya seakan tersekat di celah kerongkong. Dadanya diasak debaran.

“Trisha nak jumpa Hayyan. Dia rindukan Hayyan. Nanti mak bawa Trisha datang sini jumpa Hayyan ya?” Jauriah sempat menjeling sekilas ke muka pintu. Hujung bibirnya ternaik melihat riak tidak senang yang terpeta di wajah menantunya itu.

“Hayyan nak jumpa Trisha. Boleh?” pinta Hayyan.

Rhea mengetap kuat bibirnya mendengarkan permintaan suaminya itu. Tubir matanya terasa hangat.

“Boleh Hayyan. Nanti mak ajak Trisha datang sini jumpa Hayyan ya. Trisha pun memang dah lama nak jumpa Hayyan.” Jauriah tersenyum senang. Puas hatinya!

Hayyan angkat wajah memandang ke muka pintu. Saat itu juga Rhea memandang ke arahnya. Mata mereka saling beradu buat seketika sebelum Rhea angkat kaki berlalu pergi daripada situ.

“MAK...”

Langkah kaki Jauriah terhenti.

“Mak, kenapa Trisha nak jumpa abang?” soal Rhea.

Bibir Jauriah terherot sinis. Dia sudah dapat mengagak, Rhea pasti tidak senang duduk.

“Kenapa? Tak boleh ke kalau dia nak jumpa Hayyan?” soal Jauriah kembali.

“Bukan tak boleh tapi tak ada kepentingan...”

“Siapa cakap tak ada kepentingan?” Laju Jauriah memintas bicara menantunya itu.

“Hayyan tu tengah sakit sekarang ni. Aku ni nak tolong sembuhkan dia. Manalah tahu lepas dia jumpa Trisha, semangat dia pulih semula. Nak harapkan kau? Kau pun dia tak ingat, Rhea!”

“Mak...” Rhea tergamam. Sampai hati ibu mentuanya itu.

“Dah lah. Aku nak balik. Kau suka ke tak, aku tetap akan bawa Trisha jumpa Hayyan.” Jauriah terus masuk ke dalam perut teksi yang sudah menunggunya sejak daripada tadi.

Rhea meraup perlahan wajahnya. Dia takut. Dia takut dia akan kehilangan Hayyan selepas lelaki itu berjumpa dengan Trisha nanti.

Happy reading!

Share this novel

Siti Rohani Idris
2023-10-30 04:53:03 

walaupun Kau tak ingat siapa isteri mu tp that doesnt give you the right to hurt her


NovelPlus Premium

The best ads free experience