Bab 32

Short Story Series 55082

Keesokan paginya mereka berkumpul untuk menikmati sarapan pagi bersama. Haikal adalah orang terakhir yang turun daripada tingkat atas dengan wajahnya yang kelihatan segar dan rambutnya yang basah. Tan Sri Mansur tidak menegur sapa anaknya itu begitu juga dengan Rina yang menunduk menikmati makanannya. Hanya Aqil yang menyambut Haikal dengan senyuman. Haikal menjulingkan matanya ke atas melihat gelagat Tan Sri Mansur yang masih marah kepada dirinya. Dia menepuk bahu Aqil sebelum duduk di sebelah adiknya itu.

Haikal memandang Mak Sofi yang duduk dihadapannya dengan kerutan di dahi. Sejak bila pula pembantu rumahnya itu duduk makan semeja dengan mereka. Banyak perubahan yang dia rasakan sepanjang hampir tiga tahun dia berada di luar negara. Melihat kerutan di dahi Haikal sambil melihatnya membuatkan Mak Sofi tidak selesa dan mahu berlalu pergi daripada situ.

“Kamu mahu ke mana, Sofi? Duduk makan saja disitu. Kita sudah seperti keluarga jadi tidak perlu kamu makan di dapur sendirian lagi.” Tan Sri Mansur yang perasan akan keadaan itu segera menegur Mak Sofi yang baru mahu bangun berlalu.

Mendengar kata-kata Tan Sri Mansur itu, Mak Sofi duduk semula. Aqil dan Rina tersenyum gembira dengan keputusan Tan Sri Mansur. Rina sangat gembira apabila Tan Sri Mansur sudah menganggap Mak Sofi seperti ahli keluarga mereka bukan semata-mata pembantu rumah tangga. Rina juga sudah menganggap wanita itu seperti ibunya sendiri.

Rina dan Haikal bertentangan mata tanpa Rina sengajakan. Rina segera menundukkan pandnagan matanya apabila melihat mata Haikal yang tajam menikam pandangan matanya. Sepertinya lelaki itu tidak berpuas hati dengan kata-kata Tan Sri Mansur yang membiarkan Mak Sofi duduk semeja makan bersama mereka.

“Oh ya, Aqil semalam kamu ada di bawah ke sekitar jam empat pagi?” Haikal bertanya kepada Aqil yang menikmati sarapan.

“Tak ada pula. Aqil berada di bilik sedang tidur. Kenapa?” Aqil bertanya sambil mengerutkan keningnya pelik dengan soalan Haikal.

“Tak ada apalah. Saja tanya.” Haikal menafikan. Pelik, jika Aqil berada di dalam bilik semalam mengapa dia tidak melihat Aqil di dalam bilik bersama Shofwah semalam.

Selepas bersarapan, Aqil terus keluar daripada rumah untuk ke pejabat. Tan Sri Mansur sudah berlalu sejak daripada tadi kerana mahu melawat kawasan projek baru syarikatnya. Aqil menghidupkan enjin kereta dan menutup pintu kereta sebelum dia melihat Rina berlari-lari anak menuju ke keretanya. Aqil menolak pintu kereta itu semula dan keluar daripada kereta menunggu Rina sampai di hadapannya.

“Ada apa, Rina? Rina mahukan sesuatu?” Aqil bertanya sambil memandang Rina yang kini sudah berada di depannya.

“Aqil mahu tinggalkan Rina dan Qalifh di sini bersama lelaki itu?” Rina bertanya dengan nada kening yang berkerut. Dia tidak menyangka Aqil mahu meninggalkan dirinya di rumah itu tanpa sebarang perlindungan.

“Rina tidak akan ada apa-apa yang berlaku pada kamu dan Qalifh. Kamu selamat selagi kamu duduk disini. Jangan risau, abang tidak kenal dengan kamu dan kamu selamat bersama Mak Sofi di rumah. Kalau ada apa-apa terus telefon saya. Saya akan datang secepat yang mungkin. Saya janji pada kamu.” Aqil memujuk untuk menenangkan hati Rina yang gundah itu. Dia juga tidak sampai hati meninggalkan Rina di rumah itu apabila ada Haikal yang tinggal bersama dengan mereka tetapi dia tidak mampu melakukan apa-apa kerana tidak mahu Tan Sri Mansur berasa curiga.

“Aqil janji? Aqil akan balik dengan segera?” Rina menentang pandangan mata Aqil mahu lelaki itu berjanji dengannya.

“InsyaAllah, saya janji Rina. Jangan risau, awak akan baik-baik saja di bawah perlindungan Allah. Saya pergi, ya.” Aqil tersenyum paksa dan masuk semula ke dalam keretanya sebelum berlalu pergi. Aqil sempat melihat Rina di balik cermin pandang belakang keretanya. Rina masih tidak berganjak daripada tempat tadi dan memerhatikan keretanya pergi.

Tanpa sepengetahuan mereka, Haikal memerhatikan mereka daripada atas. Haikal berasa seperti ada yang tidak kena dengan hubungan suami isteri itu kerana dua-duanya saling menjaga tetapi seperti tiada sentuhan kasih sayang yang dilihat oleh Haikal seperti bersentuhan tangan atau perbuatan yang mengeratkan hubungan suami isteri.

“Hish, yang aku ni menyibuk kenapa?” Haikal menggelengkan kepala. Tidak mungkin mereka tidak saling mencintai kerana jika tidak Qalifh tidak akan berada di dunia ini. Mungkin semua itu hanya perasaannya sahaja kerana dia sudah terbiasa bersikap romantik dengan semua teman wanitanya. Pasti Aqil dan Shofwah berasa malu untuk menunjukkan sikap romantik mereka.

Haikal keluar daripada biliknya mahu membuat pekerjaan di tingkat bawah tetapi dia terdengar suara Qalifh menangis pula. Haikal menuju ke bilik Rina dan masuk ke dalamnya apabila melihat Qalifh menangis mungkin kerana tiada ibunya ataupun Aqil disisinya apabila terjaga daripada tidur.

Haikal mendukung Qalifh untuk menenangkan kanak-kanak lelaki itu. Qalifh yang didukung oleh Haikal itu meletakkan kepalanya di bahu Haikal dan berhenti menangis. Haikal tersenyum dan mula mendodoikan Qalifh semula sambil tangannya mengusap belakang kanak-kanak itu dengan penuh kasih sayang. Dia tidak menyangka yang dia boleh melayani anak kecil sebaik itu sedangkan dia tidak menyukai kanak-kanak tetapi apabila dia melihat Qalifh dia seperti jatuh cinta dengan anak kecil itu. Sehingga dia berangan-angan mahukan anak seperti Qalifh.

Haikal memerhatikan sekeliling bilik Shofwah yang terasa kosong. Bilik itu kelihatan bersih dan kemas. Tidak terlalu banyak barang kecuali di meja belajar yang penuh dengan tampalan-tampalan nota yang bewarna kuning. Haikal mendekati meja belajar itu dan melihat nota-nota yang semuanya penuh dengan ayat-ayat al-Quran yang langsung tidak tahu bagaimana mahu dibacanya kerana dia sudah lupa cara mahu membaca al-Quran akibat lama ditinggal.

Haikal melihat sekeliling lagi. Mengapa tiada satupun kelihatan seperti barang-barang lelaki ataupun barangan Aqil di dalam bilik itu. Di meja solek juga tiada barangan lelaki. Haikal semakin pelik dengan keadaan itu. Adakah mereka tidak tinggal sekamar? Haikal jadi teringat kejadian tadi malam apabila dia tidak melihat kelibat Aqil di dalam bilik itu. Tapi itu tidak mungkin, jika tida Qalifh tidak akan berada di dunia jika tiada cinta diantara mereka. Haikal berandai-andai.

“Apa yang kamu buat di bilik saya?” Rina yang berada di depan pintu biliknya memandang Haikal dengan pandangan yang ketakutan. Matanya terpaku pada Qalifh yang di dalam pelukan Haikal itu.

“Oh, tadi Qalifh menangis jadi abang pujuk dia supaya tidur kembali.” Haikal menunjukkan Qalifh yang sudah tertidur semula di dalam pelukannya.

Perlahan-lahan Rina melangkah untuk mendapatkan Qalifh semula. Haikal tidak berkata banyak dan memberikan Qalifh kepada Rina. Ketika itu tangannya tersentuh tangan Rina dan dirasakan sejuk tangan itu. Tangan lembut Rina yang disentuhnya itu membuatkan hatinya berdebar-debar tidak keruan. Dia berasa seperti ada sesuatu yang menusuk di hatinya. Haikal memandang mata Rina yang bewarna coklat cair itu. Mata yang unik yang membuatkan dia teringat kepada seseorang yang hampir dilupakannya.

Rina yang berasa sentuhan Haikal di tangannya segera ditarik tangannya itu dan menjauhi Haikal untuk mengekalkan jarak selamat diantara mereka berdua. Badan kecil Qalifh dipeluk dengan erat seakan bersiap sedia mahu melarikan diri jika terjadi apa-apa.

“Kalau tiada apa-apa lagi, awak boleh keluar daripada bilik saya.” Rina berkata dengan berani sambil matanya memandang pintu biliknya yang terbuka luas.

Haikal menjulingkan matanya ke atas. Apa kena dengan adik iparnya ini? Dia dapat merasakan Shofwah tidak menyukai dirinya kerana layanan Shofwah terhadap dirinya sangat dingin berbanding dengan orang lain. Seandainya saja wajah itu tidak tertutup dengan purdah pasti dia dapat melihat wajah masam Shofwah ketika memandangnya. Haikal bersuudzon.

“Oh, ya. Hampir lupa pula. Shofwah sudah tidak bekerja ke? Apa yang abang tahu kamu ni seorang doktor lulusan Mesir kan?” Haikal memusingkan badannya semula apabila dia teringat soalan yang mahu ditanyakan kepada Shofwah sejak daripada tadi.

Rina diam tidak menjawab. Dia tidak tahu mahu menjawab apa terhadap lelaki itu kerana kenyataannya dirinya bukanlah Shofwah. Dia hanya seorang gadis biasa yang berkelulusan universiti dalam bidang akauntan dan tidak pernah bekerja selepas melahirkan Qalifh kerana tidak diizinkan oleh Tan Sri Mansur. Kata bapa mertuanya, dia hanya perlu menjaga dan mendidik Qalifh dengan baik supaya menjadi anak yang soleh.

“Saya…” Tergagap-gagap Rina mahu mencari jawapan yang tepat.

“Sudah berhentilah ya? Lebih pilih jadi suri rumah tangga? Tak sayang ke jauh-jauh belajar tapi duduk rumah kalau macam itu baik tak payah belajar tinggi-tinggikan? Buat penat saja.” Sekali lagi mulut pedas Haikal mengeluarkan kata-kata yang seakan memperlekehkan orang lain.

“Menjadi suri rumah tangga juga adalah satu pekerjaan. Bahkah sesuatu pekerjaan yang paling mulia buat seorang wanita. Kita belajar bukan hanya untuk mendapatkan pekerjaan yang baik tetapi kita belajar untuk manfaatnya. Rasulullah saw menuntut umatnya untuk menuntut ilmu walaupun sehingga ke negeri orang. Kita diwajibkan menuntut ilmu sehingga ke liang lahad. Tidak kisah ilmu apapun selagi mendatangkan manfaat kepada diri sendiri dan orang lain.” Rina membalas kata-kata Haikal itu dengan nada yang bersahaja tidak bermaksud apa-apa jauh sekali mahu menyindir.

Haikal memandang Rina yang memberikan jawapan yang tidak mampu untuk dia mencanggahnya. Haikal menjungkit bahu sebelum keluar daripada bilik itu tidak mahu meneruskan perbualan yang dapat dirasakan dia akan merasa tersindir lagi dengan kata-kata Shofwah.

“Dasar keterbelakangan.” Haikal mengutuk Rina sendirian kerana dia berasa jengkel dengan sikap Rina yang melayaninya dingin.

Di tingkat bawah Haikal menyiapkan pekerjaannya untuk diemelkan kepada pelanggannya yang bekerjasama dengan syarikat tempatnya bekerja di luar negara. Dia mendapatkan keizinan dan kepercayaan daripada pengarah syarikat untuk bekerja daripada Malaysia dan sesekali akan datang melawat syarikat mereka di luar negara. Haikal berasa bangga dengan pencapaian sendiri tanpa bantuan daripada sesiapa terutamanya Tan Sri Mansur kerana dia tidak mahu dianggap menumpang kekayaan bapanya.

Dia lebih selesa bekerja dengan orang lain untuk mencari pengalaman dan mempunyai impian untuk membuka syarikatnya sendiri satu hari nanti. Dia menganggap semua yang dicapainya dan dimiliki oleh dirinya saat itu atas usahanya sendiri membanting tulang selama hampir tiga tahun di negara asing untuk sampai ke tahap itu. Dia merasakan kehidupannya sangat mudah dan berjalan mengikut kemahuannya.

Selesai saja pekerjaannya, Haikal membalas mesej teman-teman wanitanya yang kebanyakan mereka berasa sangat gembira dengan berita kepulangannya ke Malaysia dan mengajaknya ke kelab malam untuk berjumpa seperti dahulu kala. Haikal terdiam sebentar pergerakannya apabila terdengar sayup-sayup kedengaran orang mengaji daripada tingkat atas.

“Mak Sofi, memang selalu ke Shofwah itu mengaji?” Haikal bertanya sebaik saja melihat kelibat Mak Sofi yang baru keluar daripada dapur untuk naik ke tingkat atas untuk mengemas.

“Ya, hampir setiap hari jika tiada halangan encik.” Mak Sofi menjawab perlahan. Apabila bersama Haikal dia tidak boleh bersikap bersahaja seperti ketika dia bersama Aqil kerana kedua-duanya mempunyai personaliti yang berbeza.

“Mak Sofi, duduk sekejap. Ada beberapa soalan Qal nak tanya.” Haikal menyuruh Mak Sofi duduk dengan pandangan matanya. Perlahan-lahan Mak Sofi menurut walaupun sebenarnya dia tidak mahu.

“Aqil dan Shofwah tu bahagia ke?” Haikal bertanya soalan pertama.

“InsyaAllah, apa yang Mak Sofi lihat mereka bahagia. Mengapa encik tanya begitu?” Mak Sofi menjawab dengan kening yang sedikit dikerutkan kerana tidak menyangka itulah pertanyaan Haikal kepada dirinya.

“Aqil dan Shofwah tidak tidur sebilik kan?” Haikal memandang wajah Mak Sofi mahu mencari jawapan. Langsung tidak segan bertanya tentang perihal rumah tangga orang lain. Jawapan pertama yang diberikan oleh Mak Sofi tidak meyakinkan dirinya.

“Mengapa pula suami isteri tidak tidur bersama? Kalau sudah halal mengapa harus dibiarkan dan memilih yang haram? Dosa besar mengabaikan seorang isteri lebih-lebih pula jika sudah mempunyai anak.” Mak Sofi menjawab menyindir Haikal tanpa sepengetahuan lelaki itu.

Haikal terdiam kerana berasa disindir walaupun dia yakin Mak Sofi tidak menyindir dirinya kerana tiada seorang pun yang tahu dia sudah berkahwin. Terus Haikal teringat kepada wanita yang ditinggalkan di hotel tiga tahun yang lalu. Wanita yang bergelar isterinya itu entah berada di mana sekarang. Adakah isterinya itu dalam keadaan sihat ataupun sakit?

Haikal teringat semula kisah lalu. Dia kembali ke bilik hotel untuk menjemput isterinya apabila dia rasa bersalah meninggalkan wanita itu sendirian disana tetapi sebaik saja dia berada di sana isterinya sudah tiada di dalam bilik itu. Puas dia mencari di kawasan sekitar tetapi dia tidak menemui wanita itu.

Haikal juga pernah mencari wanita itu sebelum dia ke luar negara di alamat rumah yang tertera di kad pengenalan wanita itu tetapi rumah itu kosong. Tiada sesiapa yang berada di rumah itu dan dia juga tidak mahu bertanya kepada orang kampung kerana tidak mahu menimbulkan curiga.

‘Di mana kau, Rina Altafunisa?’ Haikal berkata di dalam hati.

“Jika tiada apa-apa lagi, saya minta diri dulu encik.” Mak Sofi mematikan lamunan Haikal seraya berdiri mahu berlalu dari situ.

“Sekejap Mak Sofi. Ada tak sepanjang tiga tahun ini seorang wanita mencari saya?” Haikal bertanya sambil menundukkan wajahnya tidak mahu Mak Sofi membaca riak wajahnya.

“Siapa?” Mak Sofi bertanya berpura-pura tidak mengerti dengan perbualan mereka ketika itu padahal bibirnya menyembunyikan senyuman sinis kepada Haikal.

“Tidak mengapa, tidak mungkin dia berani jejakkan kakinya disini.” Haikal berkata lebih kepada dirinya sendiri sebelum menyambung pekerjaannya. Mak Sofi menggelengkan kepalanya melihat sikap Haikal yang tidak pernah berubah sejak daripada dulu itu. Adakah benar lelaki ini layak untuk wanita sebaik Rina seperti yang diinginkan oleh Tan Sri Mansur?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience