Aku dan Mr. Luke # 10

Humor Completed 46245

Di hadapan rumah besar berpagar besi emas hitam itu, dia meminta pemandu teksi berhenti. Ain melangkah keluar dengan penuh yakin. Sebelum itu, dia membuat panggilan ke pejabatnya kata Sujiah pula, masuk hari ni sudah dua hari Mr. Lukenya MC.

Satu langkah diatur merapati pintu pagar itu. Mana nak sorok muka aku ni kalau budak bertiga tu tahu aku ke rumah Luqman. Mati aku kena sindir, bisiknya sebelum beranikan diri menekan loceng rumah.

"Ya.. Cari siapa?" Sapaan seorang wanita itu buat Ain tersentak.

"Luqman ada, mak cik?" Penuh sopan santun Ain bertanya. Senyum manis wanita itu dibalasnya.

"Ada. Masuklah. Awak ni dari pejabat ke?"

"Er.. Tidak. Saya kawan lama dia. Dengar khabar dia sakit ya mak cik? Sakit apa nampak sihat je.."

"Itulah kalau orang tak tahu memang akan kata begitu. Ni ha.. Perut dia luka sebab terlampau sangat makan pedas. Dulu dulu sebelum sakit, cili padi tu dibuatnya macam makan kacang saja." Cerita ibu itu penuh mesra. "Siapa namanya ni?"

"Ooh.. Ain mak cik."

"Oh Ain.. Marilah. Ha... Itu pun dia. Ain duduk dulu ya mak cik nak buat air. Sini maid tak ada lagi tu yang air kena buat sendiri. Yang ada dulu tu pun sudah lari. Haih susah sekarang ni nak percaya orang kan." Ceritanya mesra. "

“Ah.. haah. Iya iya.” Balas Ain.

"Ain duduk dulu ya," sila nya. Belum sempat Ain menghalang, perempuan itu sudah ke dapur.

Perlahan lahan Ain merapati Luqman yang sedang tekun membaca akhbar, lelaki itu hanya berbaju-T dan berseluar pendek menutupi lutut. Ain yang tercegat dihadapannya masih tidak disedari.

"Em... Encik Luqman apa khabar?" Sapanya. Luqman menoleh seketika. Kemudian di sambungnya semula membaca akhbar. Haih parah aku ni teringat kan dia sampai tebayang bayang. Luqman menoleh lagi. Ain mengangkat tangan.

"Hi..." Kata Ain.

Matanya terbeliak. Dia seperti tidak percaya. Dia menggosok gosok matanya. Ain masih di hadapannya. Eh, biar betul ni??!

"Hei, apa awak buat kat sini hah?" Tegurnya.

Ain tersentak. Kita datang nak tengok dia, dia berlagak pula. Kita dah tak apa apa, dia nak mula pula. Mentang mentang lah ni rumah dia, nak tunjuk besar konon! Aku balik karang baru tahu. Jangan harap nak jumpa aku lagi. Ecehh! Merajuk nampak. Nak mengugutlah konon! Kot iya aku nak pujuk, kalau aku tak pujuk? buat malu saja. Bisik hati Ain.

"Nak tengok awak. Awak dah sihat?" Soal Ain lembut cuba memujuk hati yang tercalar.

"Tak payah tengok. Saya belum nak mati lagi," jawab Luqman sombong. Ain menjuihkan bibirnya.

Eh eh! Sakit hati Ain tidak terkata. Kalau aku tahu begini lah lagaknya, sudah tentu sekilo cili aku masukkan biar mati cepat!

"Baguslah kalau gitu. Kita ingat nak sponsor kapur barus," balas Ain. Menyesal aku datang sini. Belum sempat Ain berpaling pergi, mak cik yang baik itu sudah datang membawa minuman.

"Eh, duduklah Ain, kenapa berdiri saja? Mari minum."

"Duduklah Ain, takkan nak balik dah," sahut Luqman pula. Lembut saja. Oh nak berlakon ya, baiklah buat apa kau suka Luqman. Lets play your game!

"Ini ibu aku, Puan Saodah. Nama glamournya Auntie Sherry," usik Luqman. Ketawa besar orang tua itu sambil menepuk paha Luqman manja. Anak mak rupanya dia ni. Patut la tak reti bahasa, lagi orang marah lagi dibuatnya.

"Dengarlah cakap Akim tu.. .. Mak cik ni mudah lupa Ain, tapi mak cik rasa mak cik belum pernah lihat Ain? Kawan satu sekolah dulu ya?"

"Er.. Tak. Bukan satu sekolah..." Ain cuba menelan air liur. Nasib baik Luqman selamatkan keadaan.

"Ibu ni cepat sangat lupa, dia ni yang bersanding dengan Akim masa Tahun Melawat Malaysia dulu. Alah... Masa mat saleh datang ramai ramai tuu.."

"Eh itu bukan Jamilah ke? Budaknya hitam sikit rasanya."

Luqman tersengih sengih. Ain semakin gelabah. Geram dengan sikap Luqman yang suka memandai mandai. Sengaja cari masalah. Buatnya mak kau tanya aku yang bukan bukan karang, apa aku nak jawab?!! Aku bunuh kau Luqman jika kau susahkan aku lagi sekali!

"Jamilah yang tukang bawa bunga manggar tu." Celah Luqman lagi. Mulutnya petah bercakap, matanya merenung Ain. Lama. Sehingga gadis itu jadi tidak menentu. Kalau tak kerana aku fikirkan kau sakit,.. Mata tu dah lama aku korek korek. Kasi buta. Biar takda mata! Desis hati Ain.

"Agaknya lah.. Itulah Ain, mak cik ni mudah lupa. Patutlah lain..... Yang ini cantik sikit." Puji wanita itu.

"Cantik ya, bu," giat Luqman lagi. Si ibu hanya mengangguk. Ain sudah tidak tentu arah. Punggungnya sudah panas bagai disalai di atas bara. Mak cik janganlah puji lebih lebih, nanti jatuh tersembam pula saya ni hehehe...

"Kalau jadi menantu ibu, ibu suka tak?" Tiba tiba Luqman bertanya begitu. Puan Saodah tersenyum manis.

"Eh, apa salahnya. Ya tak Ain?"

Ain yang sedang memegang gelas sejuk itu terkedu. Gelabah sakan dia mendengarkan gurauan ibu Luqman itu. Dia berdehem dua tiga kali. Cepat cepat Ain meletakkan gelas itu. Mujurlah aku tak sempat minum lagi, jika tidak pasti basah karpet mahal itu kena sembur. Tajam matanya merenung Luqman. Mengada ngada! Asyik nak susahkan aku saja.

"Ish! Jangan cakap begitu mak cik. Siapalah saya ni. Buat malu saja. Lagipun kan Luqman dah nak kahwin." Ain menyahut berani.

Luqman berdehem dehem. Dia terasa dirinya disindir. Puan Saodah tersenyum dan ketawa kecil.

"Apa salahnya!" Jawab si ibu dengan deraian ketawa. "Mak cik tak kisah siapa pun yang Akim pilih, mak cik akan terima sebagai menantu. Lagipun Shalin sudah lari ke rumah maknya di Boston. Gaduh la tu, Akim.. Biasalah.. Manjanya kalah kan si Mia."

Puan Saodah ketawa lagi. Matanya sesekali menjeling ke arah Luqman dan beralih pula ke wajah Ain. Dia terasa bagaikan ada sesuatu yang tak kena antara keduanya. Ketawa itu semakin reda apabila loceng pintu berbunyi.

"Minumlah ya, mak cik buka pintu sekejap."

"Apa yang awak mengarut tadi tu hah?" Soal Ain setelah Puan Saodah hilang dibalik langsir.

"Just joking, jangan perasan pula ya," sahut Luqman endah tak endah. Ain mengetap bibir. Geram dengan sikap lelaki itu. Oh depan mak kau bukan main sopan santun lagi ya, tapi belakang macam lanun!

Luqman hanya mampu menahan geram terhadap gadis itu. Kalau suatu detik kau dapat ku tangkap, takkan aku lepaskan. Akan ku jinakkan kau dan di saat itulah baru kau tahu betapa beruntungnya kau mempunyai aku sebagai teman hidup. Kau akan bahagia di sisiku, Ain. Kau akan jadi menantu kesayangan ibuku. Kau akan hidup bagaikan di syurga. Sampai mati. Sesaat pun takkan pernah aku abaikan. Takkan pernah, Ain.

Seketika kemudian, datang Puan Saodah bersama dengan seorang gadis cantik. Cantik sangat. Barangkali ada kacukan melayu-inggeris.

"Hi... Luke! How are you?! I miss you tahu tak."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience