RIUH rendah suasana di hadapan rumah Tuan Mansur. Atas permintaan Juwita, majlis persandingan mereka hanya dibuat di rumah. Walaupun pada asalnya mereka mencadangkan agar majlis diadakan di hostel yang berdekatan.
Juwita yang memerhati dari dalam bilik kelihatan gelisah. Majlis akad nikah akan berlangsung selepas Isyak hari ni. Tangannya sejuk. Junaida yang dari tadi memerhatikan gelagat Juwita tersengih sendiri. Muka nampak je brutal. Tapi bila nak nikah, gugup dia mengalahkan pengantin lelaki yang nak akad nikah.
"Kak, mak andam dah datang. Akak dah solat ke?" Juwita tersentak. Entah bila Junaida berada di dalam biliknya, dia sendiri tak pasti.
"Dah. Akak dah solat tadi. Akak takutlah." Junaida ketawa. Aduh boleh pula Juwita takut. Wajah Juwita berubah cemberut melihat Junaida ketawakan dirinya.
"Yang nak salam tangan tok kadi tu Abang Lan. Akak pula nak takut kenapa?" soal Junaida dengan ketawa yang masih bersisa. Wajah Juwita semakin cemberut. Geram ditertawakan adik sendiri.
"Dahlah kak. Banyakkan zikir. Semoga semuanya dipermudahkan." Junaida memegang lembut tangan Juwita lalu ditariknya Juwita duduk di atas katil.
"Akak, Ida sayang akak. Terima kasih atas semua pengorbanan yang akak buat pada kami selama ni. Tak terbalas jasa akak pada kami. Ida hanya mampu doakan Allah permudahkan urusan akak dan akak akan bahagia sampai bila-bila." Ada sebak disebalik suara Junaida.
"Akak jangan lupa kami ye bila dah kahwin nanti." Junaida menyeka air matanya yang mula jatuh membasahi pipinya.
Pap!
Padu sekali tamparan yang hinggap di bahu Junaida. Junaida menjerit kesakitan.
"Apa ni kak? Sakitlah. Orang tengah feeling dia pula spoil." Buntang mata Junaida memandang Juwita yang buat muka selamba.
Perit wooo kena tampar macam tu dengan Juwita. Ni mau melekat merahnya. Bukan boleh buat main dengan penampar Juwita. Mujur tak ditamparnya pipi. Kalau tak, mau bisu dibuatnya.
"Kau tak payah nak feeling lebih-lebihlah dik. Melalut pula tu. Sebelum kau makan penampar aku, baik kau panggil mak andam tu masuk." Junaida mencebik sebelum berlalu keluar dari bilik Juwita.
Tersengih Juwita dengan sikap Junaida. Dia tahu apa yang bermain difikiran Junaida. Pasti Junaida takut dia mengabaikan mereka selepas dia berkahwin. Mana mungkin itu berlaku dan dia pasti Zailani juga tidak akan menghalangnya untuk meneruskan tanggungjawabnya kepada mereka. Selagi dia hidup, selagi itulah mereka akan menjadi keutamaannya.
"Ye la... Ida nak pergi panggil mak andam." Sempat Junaida menjeling baju nikah yang tergantung di tepi tingkap bilik Juwita. Kembang kempis rasa hatinya.
Siapa sangka hasil tangannya akhirnya menjadi busana di hari berbahagia kakak yang disayanginya. Junaida kulum senyum sebelum berlalu meninggalkan Juwita sendirian semua.
Juwita melangkah masuk ke dalam bilik air. Dia segera mengambil wuduk sementara menanti mak andamnya masuk. Semoga saja wuduk itu menjadi asbab untuk dia berada lebih tenang.
Junaida masuk bersama mak andam selepas mengetuk pintu bilik Juwita. Tersenyum Juwita memandangnya. Ikutkan hati, nak make up sendiri je. Tapi disebabkan mereka semua beriya minta Juwita di make over, terpaksalah Juwita turutkan.
Apatah lagi hari ini merupakan hari paling bermakna buat Juwita. Sempat juga Juwita request mak andam perempuan.
Sejam lebih Juwita terpaksa menadah wajahnya untuk disolek. Akhirnya siap juga. Sengal terasa tengkuknya ketika itu. Junaida seakan terpegun melihat Juwita yang telah siap disolek. Tak berkelip matanya.
"Oi dik... apahal pandang akak macam tu?" Ketawa Kak Maya mendengar soalan yang Juwita tujukan kepada Junaida. Sesiapa yang melihat pasti akan terpegun.
"Awak cantik sangat. Sebab tu adik awak tengok awak macam tu." Juwita pula terkebil. Tersenyum Kak Maya melihat reaksi Juwita. Dia segera menyuakan sebuah cermin kepada Juwita. Melopong Juwita melihat pantulan wajahnya.
"Tangan Kak Maya ni magiklah. Patutlah Mak ngah suruh ambil Kak Maya." Juwita tersenyum memandang Kak Maya.
Junaida segera membuka pintu apabila terdengar bunyi ketukan. Kelihatan Zaitun di muka pintu. Manis berbaju Kurung Moden yang ditempah khas di Butik Delila.
"Dah siap? Pengantin lelaki dah sampai." Zaitun menghayun langkah menghampiri Juwita. Dia tersenyum manis. Tubuh Juwita dipeluk erat.
"Cantik anak ibu. Dah nak jadi isteri orang. Jangan buat perangai garang tak bertempat pula ye." Sempat Zaitun memesan.
"Ala bu... Biarlah... Macam Idi cakap, Singa makan kurita sado. Sedapnya" Ketawa besar Junaida dengan kata-katanya sendiri. Kak Maya yang memerhati terpinga-pinga. Tidak tahu pucuk pangkal cerita mereka.
"Adik! Jangan sakat akak. Dah tu. Jom turun. Semua dah siap. Tok kadi pun dah sampai." Zaitun segera bangun lalu diikuti oleh mereka semua.
Zailani terpegun melihat Juwita yang cantik manis bertudung.
"Ehem" Haris berdehem mematikan niat Zailani untuk terus memandang Juwita. Tersengih Zailani apabila tertangkap.
"Chill bro. Akad nikah dulu." Sempat Haris mengusik.
"Boleh kita mulakan?" Tok kadi menyoal.
Zailani berjabat tangan dengan tok kadi. Terasa debaran di dada ketika itu. Macam bom jangka masa pula, tunggu masa nak meletup.
"Aku nikahkan akan dikau dengan Juwita Binti Sazali, berwakil wali akan aku, dengan mas kahwin sebanyak lima ratus ringgit tunai."
"Aku terima nikahnya Juwita Binti Sazali dengan mas kahwin sebanyak lima ratus ringgit tunai."
Sah!
Zailani menghembus nafas lega. Lega apabila dengan sekali lafaz, Juwita sah menjadi isterinya.
Doa dibacakan sebelum Zailani menunaikan solat sunat selepas nikah. Usai mengerjakan solat sunat, dia menghampiri Juwita. Tangan dihulur lalu disambut oleh Juwita. Juwita mengucup lembut kekura tangan Zailani. Tumpah air matanya ketika itu.
"Semoga sayang menjadi isteri abang yang solehah. Abang sayangkan sayang kerana Allah. Abang harap sayang pun sama." Zailani mengucup lembut umbun-umbun Juwita.
Share this novel
❤️❤️❤️❤️❤️