MATA mereka berdua saling bertentang. Sama-sama membatu.
Bibir Damia masih tak lekang dengan senyuman manisnya. Gerangan yang dinanti dan dirindui sudah tepat berada di depan mata.
"Kak Damia!" teriak Syafiqah lalu dia terus memeluk erat Damia.
Damia membalas pelukan. Masing-masing memberi pelukan rindu.
Syafiq kekal terpana dan terpesona. Masih tak percaya susuk di depannya ni ialah Damia. Gadis yang sering menjadi bualan di buah fikiran.
Selama ni, makan tak kenyang, mandi tak basah, tidur tak lena. Semua sebab gadis tu.
"Syafiqah rindu Kak Damia. Kak Damia kenapa tak datang rumah?" Syafiqah merengek tatkala pelukan antara mereka dileraikan.
"Kak Damia ada hal sikit. Nanti Kak Damia pergi rumah Syafiqah lagi ye." Damia mencubit-cubit perlahan pipi Syafiqah.
Ketika itu juga, matanya terus memandang tepat ke arah Syafiq. Lelaki itu masih terpaku. Lambat-lambat langkahnya dimajukan mendekati Syafiq.
Najihah yang masih membisu segera mengundurkan dirinya. Dirinya berundur beberapa langkah, memberi ruang kepada Damia untuk berbual bersama Syafiq.
Tapi entah kenapa, hatinya terasa berat. Berat apabila melihat mereka berdua tu saling mendekat.
"Assalamualaikum, awak," ucap Damia yang kini menghadap wajah Syafiq.
"Waalaikum ... mussalam." Syafiq telan liur. Gugup.
Memang benar dia Damia. Mahu dirinya menjerit dan ucapkan rasa syukur sekuat hati kerana dia masih berpeluang berjumpa dengan gadis yang dirindunya ni. Biarpun pelbagai rintangan yang mereka hadapi, tetapi takdir Allah siapa yang boleh halang.
"Awak buat apa kat sini?" tanya Syafiq. Salah satu pertanyaan penting yang bermain di fikiran diajukan.
Damia pandang sekilas wajah Najihah sebelum dia leretkan senyum.
"Saya datang sini sebab nak belajar mengaji dengan Najihah."
Syafiq terus menjongketkan keningnya. Disangka salah dengar rupanya itulah jawapan yang diucap Damia.
"Mengaji?"
Damia membalas dengan anggukan. Biarlah saham dirinya jatuh pun. Janji dia sudah beritahu perkara sebenar kepada Syafiq.
"Ye ke? Baguslah kalau macam tu. Saya kagum dengan niat awak nak belajar mengaji ni. Bukan semua orang ada tanamkan niat macam awak. Betul kan, Najihah?"
Najihah yang tersedar namanya disebut laju sahaja mengangguk dan tersenyum. Tetapi senyuman yang dia pancarkan makin lama makin menghilang tatkala melihat wajah Syafiq yang kian berbeza.
Wajah lelaki itu mulai menunjukkan senyuman yang penuh serinya apabila Damia sudah ada di depan matanya. Berbeza 200 peratus berbanding beberapa minit yang lepas.
Sudahlah Syafiqah yang tadinya terus berlari mendapatkan Damia dahulu dan bukannya dirinya. Tipulah kalau tiada secebis pun rasa cemburu dalam hati Najihah itu. Perit di hatinya hanya mampu ditahan.
"Ustazah, jomlah kita start mengaji sekarang. Tak sabar dah ni nak belajar sekali dengan Kak Damia." Syafiqah terus luahkan permintaannya sambil menggoncang-goncangkan tangan Najihah.
Najihah terus tersedar dari lamunannya. "Hmm ... okeylah." Najihah mengangguk. Lalu matanya dituju tepat ke arah Damia sambil memberi isyarat kepadanya.
Damia yang faham dengan isyarat mata yang disampaikan Najihah segera mengangguk.
"Awak, saya masuk dalam dulu tau. Kelas dah nak start ni," ujar Damia.
"Baiklah," balas Syafiq.
Damia undurkan langkahnya untuk masuk ke dalam rumah. Belum sempat dia menanggalkan kasutnya, namanya dipanggil.
"Kejap, Damia!"
Damia terkaku apabila Syafiq melaungkan namanya. Segera dia menoleh dan pandang wajah lelaki itu.
"Ya, kenapa awak?" tanya Damia.
Ketika itu juga, Najihah dan Syafiqah pun turut hentikan langkah. Bagaikan automatik biarpun bukan mereka yang dipanggil Syafiq itu.
"Umm ... awak habis mengaji pukul berapa eh?" Syafiq terus ajukan pertanyaan. Tangannya meliar ke sekitar tengkuk kerana kekok menyelubungi diri.
Damia yang masih ketandusan kata hanya mengharapkan jawapan itu keluar dari mulut Najihah. Iyalah, Najihah yang ajar mengaji. Jadi hanya dia sajalah yang tahu nak mengajar sampai pukul berapa pun.
"Dalam pukul ... 5:00 macam tu?" Najihah sampaikan jawapannya.
Damia pun hanya mengangguk bersetuju.
"Oh, okeylah. Kejap lagi dalam pukul 5:00 saya datang sini balik," umum Syafiq tanpa basa-basi.
Suasana segera senyap. Najihah dan Syafiqah saling berpandangan manakala Damia pula hanya mampu bermain-main dengan jari-jemarinya. Masing-masing tercengang.
"Eh? Along tak pergi jual sate ke hari ni?" Syafiqah pula utarakan kehairanannya.
"Ha, tulah. Bukan ke awak kena kerja kejap lagi?" Giliran Damia pula ajukan pertanyaan.
Syafiq hanya membalas dengan segaris senyuman nipis. Mata Damia dia pandang setepat-tepatnya.
"Sebab ... saya ada benda nak berbual dengan awak. Banyak benda yang saya nak cakapkan kat awak, Damia."
Mata Damia mulai berbinar. Liur diteguk. Entah mengapa jawapan yang dilontarkan Syafiq membuatkan hatinya berdebar. Turut dia rasakan pipinya mulai merona merah.
Najihah buang pandangan ke arah lain. Berpura-pura tak dengar dengan ucapan Syafiq tadi tu. Hatinya remuk. Kenapa dia kena saksikan semua tu? Kenapa dia harus dengar semua tu?
"Hmm ... baiklah. Saya masuk dulu tau. Kejap lagi kita sembang lagi." Damia terus menyambung langkahnya.
Syafiq angguk perlahan kepalanya sambil melepaskan nafas panjang.
Terima kasih Ya Allah sebab pertemukan aku dengan dia lagi. Ucap Syafiq yang tak mampu menyembunyikan rasa gembiranya.
*****
Damia terus duduk bersila. Senyum sendiri dia tatkala teringat akan wajah Syafiq. Akhirnya, dapat jugak dia bertemu dengan lelaki itu walaupun hanya sekejap.
Tetapi segera senyumannya memudar setelah rumah Najihah dilaungkan dengan pemberian salam. Sudah semestinya itu ialah pelajar-pelajar Najihah yang lain.
Apabila dia lihat sahaja pelajar-pelajar Najihah tu masuk ke dalam rumah, tiba-tiba rasa segan dan malu pula. Tadi bukan main cakap besar lagi.
Iyalah, mata budak-budak tu masing-masing kini sudah tertumpu pada Damia. Kalau pelajar baru mungkin mereka tak berasa sangatlah peliknya. Ini pelajar baru yang dah cukup dewasa!
"Semua, ini Kak Damia. Pelajar baru untuk kelas mengaji ni. Dia datang sini nak mengaji tau, nak dapat saham akhirat macam kita. Jadi kamu semua janganlah pandang dia macam tu," tegur Najihah tatkala dia terperasan akan situasi itu.
"Baik, ustazah!"
Najihah gelengkan sahaja kepalanya. Dia tahu perkara ini pasti akan berlaku. Tak peliklah, dah nama pun budak-budak. Apa yang diekpresikan di hati tak mampu nak disembunyikan di riak wajah.
"Damia, awak ada bawak al-Quran tak?" tanya Najihah usai duduk bersila di hadapannya.
Mata Damia terkebil-kebil. Pantas dia pandang ke arah pelajar-pelajar yang lain. Masing-masing sudah siap sedia dengan al-Quran dan papan rehal yang mereka sudah bawa sendiri.
"Allah ... saya lupa bawaklah pulak." Damia tepuk dahinya.
Nak belajar mengaji tapi al-Quran pun lupa nak bawak. Memang cuai betul kau, Damia.
"Tak apa, Kak Damia. Kak Damia share je al-Quran dengan Syafiqah." Syafiqah malah menawarkan al-Quran miliknya.
Najihah yang belum sempat bangun dari duduknya untuk meminjamkan al-Quran segera membatalkan niatnya.
Syafiqah mahu meminjamkan al-Quran miliknya? Bukan ke al-Quran itu terlalu istimewa bagi dirinya?
"Eh, Syafiqah? Tak apa ke?"
"Tak apa, Kak Damia. Lagipun al-Quran ni hadiah dari arwah mak dengan arwah ayah. Jadi tak salah kan kalau share? Kalau Syafiqah share al-Quran ni, mesti arwah mak dengan arwah ayah dapat pahala sekali, kan?" kata Syafiqah panjang lebar.
Al-Quran yang menjadi satu-satunya kenangan bagi Syafiqah. Kenangan pemberian dari insan yang sudah dijemput Ilahi.
Suasana tiba-tiba berubah menjadi hiba. Sebak menyelubungi diri masing-masing. Najihah dan Damia hanya mampu membalas dengan anggukan sahaja.
"Baik kelas, jom kita mulakan bacaan kita dengan Ummul Kitab surah al-Fatihah."
Segera ruang rumah itu bergema dengan lantunan ayat suci al-Quran. Biarpun pelajar-pelajar Najihah hanyalah sekitar tujuh orang sahaja, tetapi itu cukup untuk membuatkan rumahnya meriah dengan bacaan ayat suci tersebut.
Seorang demi seorang pelajar Najihah bimbing bacaan mereka. Damia pula hanya senyap. Matanya meliar ke arah itu dan ini tatkala sedang menunggu gilirannya.
Aduh! Baru 4:30 petang. Lagi setengah jamlah jawabnya. Keluh Damia dalam hati.
Pukul 5:00 petang. Itu aje waktu dan masa yang bermain di fikirannya ketika itu. Setelah mendapat khabar yang Syafiq bakal menemuinya lagi sebentar nanti, niatnya untuk membaca al-Quran terus luntur. Teruja dan tak sabar.
"Damia? Awak okey tak?" Suara Najihah segera membuatkan Damia panik.
Mana taknya, dari tadi Damia kelihatan gelisah. Takkanlah panas pulak dengar bacaan al-Quran itu.
"Eh, tak ada apa, Najihah. Saya okey je. Sambunglah baca," ucap Damia dengan gelabahnya.
Najihah pun angguk lalu menyambung kembali pengajarannya. Damia hela nafas. Bilalah giliran dia nak baca al-Quran ni?
10 minit berlalu, barulah tiba giliran Damia untuk mengaji. Dia diberi giliran terakhir pun atas persetujuannya sendiri. Itu pun sebab dia mahu bagi peluang kat Syafiqah untuk mengaji dulu. Iyalah, selepas itu dia akan pinjam al-Quran milik Syafiqah pulak.
"Kita mula dari Surah al-Baqarah. Memandangkan hari ni kelas pertama awak, kita baca dua muka surat dulu. Kalau sempat, boleh teruskan sehingga tiga muka surat terus," terang Najihah yang sudah bersila menghadapnya.
Yang memisahkan mereka berdua hanyalah papan rehal dan senaskah al-Quran biru milik Syafiqah.
"Bismillahirrahmanirrahim ..."
Apabila masuk sahaja ke potongan ayat yang pertama, Damia segera merapatkan mulutnya. Matanya hanya menatap sahaja helaian muka surat itu.
Dia cuba melontarkan ayat suci al-Quran yang terpampang pada helaian itu tetapi masih terkial-kial. Tergagap-gagap dia cuba membaca tulisan-tulisan yang sudah lama dia tinggalkan sejak zaman sekolah lagi.
Najihah jongketkan kening berkali-kali, bersedia untuk membantu. Tetapi sebelum membantu, dia cuba lihat dahulu sejauh mana tahap kebolehan Damia ini membaca al-Quran.
Damia yang berputus asa akhirnya mengeluh. Barisan gigi ditayang kerana tersedar dirinya dibaluti rasa malu. Sudahlah budak-budak lain dengarnya tergagap-gagap membaca tadi, memang lagi malulah dirinya.
"Maaf, Najihah. Bacaan saya masih tak lancar." Damia tundukkan wajahnya.
Malu. Kalau boleh nak je dia sorokkan wajahnya dengan bantal ketika itu.
"Tak apa, Damia. Jangan putus asa. Awak baca merangkak-rangkak ke, tergagap-gagap ke, yang penting jangan pernah berhenti. Sebab kesusahan baca al-Quran tu jugak bagi manfaat pahala yang besar," ujar Najihah memberi nasihat.
Najihah jeda seketika bicaranya sebelum menyambung, "Awak datang ke sini pun nak belajar mengaji, kan? Jadi sebab tulah saya ada untuk ajar dan bimbing awak. Kita belajar slow-slow."
Tersentuh dengan kata-kata menusuk dari Najihah, Damia terus menghadiahkan senyuman. Mujurlah Najihah ini bukan seorang yang jenis menghakimi dan sebagainya. Kalau tidak, makin tak bersemangatlah dirinya mahu belajar mengaji ni.
*****
Motosikal ditunggangnya laju, takut jugak kalau Damia sudah pulang dulu tanpa khabar. Nanti kalau Damia tu pulang, melepaslah Syafiq nak berbual dan bersembang dengan gadis tu. Dahlah nak saling bertemu sekarang amat susah.
Tibanya di rumah Najihah, Syafiq dengan penuh kalutnya turun dari motornya. Selipar-selipar di luar rumah masih banyak yang berselerak menandakan pelajar-pelajar Najihah masih belum pulang lagi.
Buat penat ajelah Syafiq bergegas tadi. Tapi tak apalah, bolehlah dia menunggu sementara Damia habis mengaji. Syafiq duduk di atas kerusi batu sementara menunggu kelas mengaji habis sepenuhnya.
"Terima kasih, ustazah!"
Suara pelajar-pelajar di dalam rumah yang melintasi halwa telinga Syafiq membuatkan Syafiq segera berdiri. Terlihat budak-budak tu keluar serentak menandakan sudah tamatnya waktu mengaji. Syafiq tundukkan kepalanya dan membalas senyum kepada mereka.
Damia, Najihah dan Syafiqah yang baru sahaja melangkah ke luar sedikit terkejut dengan munculnya Syafiq di hadapan mereka. Lagi lima minit baru masuk pukul 5:00, tapi lelaki itu dah tercegat kat luar rumah. Memang tetapi masa betul Si Syafiq ini.
Tepati masa pun, sebab seseorang je ...
"Eh, bila awak sampai?" tanya Damia.
"Baru je. Takkanlah awak tak dengar bunyi motor saya tadi?"
"Bukan apa, tadi kat dalam kan kita orang tengah mengaji. Manalah nak dengar," balas Damia dengan bibir cebiknya.
Syafiq tertawa kecil. Najihah yang sedang memimpin Syafiqah segera meleraikan genggaman tangannya.
"Korang sembanglah dulu. Sa ... saya buat air kejap." Najihah undurkan dirinya.
Pandangannya ditundukkan kerana mahu menyembunyikan lingkaran kesedihan yang sudah tercoret di wajah. Lelaki di hadapannya ini nampak beria betul apabila di depan Damia. Tetapi tak pula jika dirinya.
Syafiq yang masih tak mengesyaki akan perasaan Najihah hanya membiarkan sahaja gadis bertudung labuh itu pergi. Masih tak faham dan tak tahu akan isi hati Najihah.
"Along, adik masuk dalam dulu, tau. Adik nak siapkan kerja sekolah. Nanti malam tak payah buat dah," ujar Syafiqah pula.
"Ha okey, adik." Ulas bibir Syafiq menghadiahkan dengan senyuman tatkala melihat adiknya berjalan pergi.
Najihah pergi membancuh air di dapur, Syafiqah pula sibuk mahu buat kerja sekolah. Kini, tinggal Syafiq dan Damia sahajalah yang berada di luar. Perasaan masing-masing yang dililit dengan rasa teruja dan gembira tiba-tiba berubah menjadi gugup.
Terus mereka sama-sama melabuhkan punggung di atas kerusi batu yang berdekatan. Mata masing-masing meliar memandang itu ini. Terasa malu pulak nak saling menatap.
"Awak sihat?" Syafiq mulakan ucapan. Lelaki, kenalah mulakan langkah dulu.
"Sihat, alhamdulillah."
Syafiq angguk kepalanya. Rindunya dia dengan suara milik gadis ini.
"Macam mana dengan kelas mengaji? Okey tak?"
"Boleh, okey je. Saya suka dengan cara Najihah ajar. Tak laju sangat, tak cepat sangat."
Syafiq angguk. "Awak datang mengaji ni, mak awak tahu ke?"
Pertanyaan Syafiq itu sedikit menyentakkan Damia. Perkataan 'mak' tu membuatkan dirinya dihurungi rasa bersalah apabila dia ingat kembali kelakuan ibunya yang kejam itu kepada Syafiq. Takkan pernah dia lupa akan kelakuan ibunya itu.
Damia angguk tetapi bibirnya jelas mengukir senyum yang dipaksa.
"Awak ... " sambung Damia lagi.
Syafiq menjongketkan keningnya.
"Saya nak minta maaf atas kejadian beberapa hari lepas. Saya salah. Saya tak patut jemput awak datang rumah saya. Sumpah saya ingat mak saya tu dah nak berubah. Tapi tak sangka hari itu jugak dia maki awak, dia caci awak, dia ..."
"Damia." Syafiq segera memangkas ucapan Damia yang sudah diselubungi sebak.
"Awak tak salah. Mak awak pun tak salah. Saya sedar keadaan diri saya. Mak awak tu masih perlukan bimbingan. Jadi kita kenalah berdoa kepada Allah agar mak awak tu, diberikan hidayah untuk berubah." Syafiq menasihatinya. Suaranya tidaklah lantang tetapi cukup menekan.
"Damia," panggil Syafiq perlahan.
"Hmm?"
"Awak tak rasa berdosa ke kita jumpak macam ni? Ye la, mak awak dah larang kita untuk saling berhubung. Kita berjumpa ni pun, mesti mak awak tak tahu jugak, kan?"
Damia segera tertunduk. Rasa bersalah kian menikam. Tapi apakan daya, dia terpaksa berbuat begitu.
"Syafiq, saya tahu. Tapi takkan kita nak mengalah macam tu je? Saya rasa diri saya macam tak lengkap kalau tak dapat berbual setiap hari dengan awak. Mak saya tu tak faham. Yang dia faham hanya harta, harta, harta. Tu jelah," ucap Damia melepaskan geram.
"Tapi mak awak dah rancang untuk kahwinkan awak dengan orang la..."
"Syafiq! Tolong berhenti cakap pasal mak saya tu. Saya jumpak awak ni, bukan sebab nak cakap pasal dia tau. Saya nak cakap pasal kita," pangkas Damia yang di sebalik ucapannya, dia utarakan kebencian kepada susuk ibunya itu.
Syafiq yang belum sempat menamatkan tutur katanya segera terkaku. Dia angguk dan mengalah jua.
"Saya mintak maaf," ucap Syafiq.
Damia melepaskan nafas berat. "Tak apalah. Bukan salah awak. Lagipun saya yang teremosi tadi."
Suasana terus senyap. Masing-masing saling berasa canggung. Sekejap sebak, sekejap marah. Bercampur-baur pulak perbualan mereka pada petang itu.
"Awak kata awak nak cakap pasal kita? Pasal apa tu?"
Pertanyaan Syafiq yang memecah hening seketika segera membuatkan Damia berubah riak wajah. Liur ditelan payah. Padah bila terlepas cakap.
"Pa ... pasal kita?" Damia cuba berdalih.
"Hmm? Pasal kita?"
Damia ketap bibirnya. Dirinya harus mencari idea untuk menukar topik perbualan. Tetapi mujurlah idea yang digali di fikiran segera terlintas dengan segera.
"Awak, boleh bagi telefon awak tak?"
Syafiq kerutkan dahi. Tiba-tiba aje nak mintak telefon. Padahal soalannya tadi saja belum dijawab.
"Untuk apa?"
"Bagi je. Bukannya saya nak buat apa-apa pun," tegas Damia lagi yang tak mahu kalah.
Syafiq terpaksa akur lagi sekali. Telefon pintarnya yang sudah calar-balar itu dia beri kepada Damia. Telefon yang sudah berkhidmat kepadanya hampir enam tahun. Selagi boleh guna dan selagi tak rosak, selagi tu la dia pakai.
Damia terima telefon itu lalu jari-jemarinya ligat menaip sesuatu. Mata Syafiq pula hanya terjeling-jeling ke arah gadis itu.
Dan nada dering berbunyi. Bukan dari telefon Syafiq tetapi dari telefon di dalam sling bag milik Damia. Segera Damia capai telefon miliknya itu dan tamatkan panggilan.
"Eh? Awak tukar telefon baru?"
Damia pancarkan senyum nipis seraya menyerahkan telefon Syafiq semula kepada pemiliknya.
"Dengan nombor baru sekali. Sebab tu saya call guna nombor awak. Nanti boleh awak simpan nombor saya."
Apabila diingat semula, itu adalah cara yang digunakan Syafiq ketika awal pertemuan mereka di kedai runcit. Saja je kan Damia gunakan cara itu. Mungkin kerana lebih mudah?
"Nombor lama awak tu, awak dah tak guna dah ke?" tanya Syafiq lagi sambil terus menyimpan nombor telefon milik Damia.
Damia diam seketika.
"Telefon saya rosak. Masuk air," bohong Damia.
Tak naklah Damia beritahu perkara sebenar yang telefonnya dirosakkan oleh ibunya sendiri. Cukuplah Syafiq itu hanya tahu sedikit sahaja kekejaman dari ibunya itu. Kelakuan ibunya yang lain, biar itu terkurung dalam hatinya sahaja.
Syafiq angguk. "Hmm ... awak?" sambung Syafiq lagi.
Damia pun hanya menjongket keningnya agar Syafiq terus ajukan soal.
"Tadi awak nak cakap apa? Awak kata nak cakap pasal kita kan? Pasal benda apa?"
Syafiq masih tak mengalah ajukan soalan itu. Macam tahu-tahu aje soalan itu suatu perangkap kepada Damia untuk terus-terang. Terus-terang akan hatinya.
Damia tersentak seketika. Pandangan meliar ke serata arah. Jantungnya tiba-tiba berdegup laju. Selaju-lajunya.
Ah! Patut ke dia beritahu tentang hal tu sekarang?
Syafiq masih menunggu jawapan dari Damia. Tidak sesaat pun dia alihkan pandangan matanya ke arah lain. Fokusnya sekarang adalah kepada gadis di hadapannya itu.
Damia telan liur. Matanya dipejam rapat. Nafas dihela dan dilepas. Akhirnya matanya dibuka luas semula. Dia memutuskan untuk menuruti kata hatinya.
"Saya se ... sebenarnya ..." Damia diam sejenak sebelum mengulangi ucapannya yang tersekat-sekat.
"Saya ..."
Bersambung...
waa Damia nak bagitau benda apa tu ><
Share this novel