Chapter 5

Mystery Completed 14816

Bab 5

“Tak sabar-sabar nampaknya.”

Amalina tergelak sahaja.

“Kita pergi minum dulu,” ajak Hashim sambil berjalan ke arah restoran tidak jauh dari tempat mereka meletak kenderaan masing-masing.

“Aku ingat kau bawa kawan tadi,” kata Hashim sambil merenung tepat ke wajah gadis manis yang berperawakan tomboy itu. Tidak lepas-lepas dia memerhati mata Amalina yang bersinar cantik bak bintang kejora.

“Aku tak perlukan kawan. Kawan selalu mendatangkan masalah.”

Amalina menjawab tegas.

“Macamana dengan guide yang kau cakap tu? Dia boleh bawa aku masuk ke hutan tu nanti?”

“Ya… Aku dah jumpa dia dua hari lepas. Dia setuju.” Kata Hashim ketawa.

“Tapi kau harus hati-hati dengan dia… Dia ni lain sikit!” kata Hashim lagi seolah-olah ingin menakutkan Amalina.

Namun hati Amalina tidak sedikit pun merasa gentar. Dia harus hadapi apa jua. Tekadnya sudah bulat tidak akan berundur selagi belum tercapai segala impian. Dia sudah memberikan komitmen untuk menjayakan projek itu. Kepercayaan sudah diberikan kepadanya.

Dia telah pun menerima wang pendahuluan sebanyak RM20,000. Masakan dia mahu menghampakan Tuan Syed Yahya yang mahu impian menerbitkan buku dan filem dukomentari tentang kehidupan liar di Malaysia, tercapai.

Tuan Syed Yahya adalah orang yang bertanggungjawab dalam mengumpul dana untuk projek tersebut. Dia adalah orang kuat dalam Syarikat Penerbitan TSY yang bernaung di bawah kerajaan negeri Pahang. Jika impian ini tercapai, buku tersebut akan dipasarkan di Malaysia dan Asia seluruhnya.

“Lain? Lain macamana?” tanya Amalina ingin tahu.

Matanya spontan memandang tepat ke wajah Hashim yang kelihatan tersenyum.

Hashim tertawa, menanggapi wajah Amalina yang sedikit berubah. Dahi gadis itu yang berkerut.dari sebalik topi yang dipakai nampak jelas di mata Hashim.

“Dah mula takut?” Hashim menyakat.

Amalina mencebirkan bibirnya.

“Selagi dia manusia biasa macam kita aku tak takut!” balas Amalina selamba.

“Lainlah kalau dia manusia luar biasa? Macam manusia jadian. Manimal!”

“Manimal? Lebih kuranglah! Nama dia Leopard. Tapi orang panggil dia Leo saja.”

“Huh! Macamana orang asli boleh guna nama orang putih?”

Hashim ketawa lagi.

“Nama tu bukan nama sebenar. Entah siapa yang beri nama tu, tak tahulah. Tapi kalau dilihat pada rupa dan gayanya memang tepatlah panggilan tu untuknya.

Kalau sebut aje Leo, semua orang kenal. Kebanyakan orang yang suka masuk hutan memang guna khidmat dia untuk tunjuk jalan. Dia tangkas seperti harimau kumbang. Memang sesuai untuk lindung kau.”

“Jadi, apa maksud kau suruh aku berhati-hati tadi? Nampaknya aku tak perlu bimbang pada keselamatan aku, kalau dah ‘harimau kumbang’ jadi bodyguard!”

“Dia handsome,” kata Hashim lagi sambil tertawa besar.

Amalina tercebik lagi.

“Handsome? Kau takut aku terpikat? Takkanlah aku nak terpikat dengan orang asli. Masih ramai orang Melayu. Lagipun aku dah ada boyfriend.”

Hashim memandang tepat wajah Amalina. Gadis itu sedang menyedut minumannya. Bibirnya kecil dan munggil. Langsung tidak bersapu lipstik tapi nampak kemerah-merahan, dan lembut. Bibir yang sentiasa basah. Pipinya juga bersih tiada sebarang jerawat. Hidungnya sederhana mancung. Kelihatan manik-manik peluh halus terbentuk di atas hidung dan di bahagian dagunya. Amalina menarik topi yang menutup kepala. Kopi itu dikipas ke leher. Dia kelihatan kepanasan.

Hashim tidak menyangka gadis lasak dan tomboy seperti Amalina sudah punya kekasih. Dia fikir gadis itu masih single. Itulah sebabnya dia mengusik Amalina tadi.

“Baguslah!” jawab Hashim sepatah lantas berhenti mengusik Amalina.

“Kita dah sampai di perkampungan orang asli tu,” kata Hashim melalui walkie talkie.

Hashim turun dari Pajero. Terdengar salakan empat atau lima ekor anjing. Riuh. Amalina keluar dari Pajeronya. Dia menggeliat membetulkan urut saraf dan anggota yang lenguh. Untuk sampai ke situ dari bandar Temerloh tadi memakan masa lebih kurang dua jam setengah.

...bersambung

Bab akan datang:

Siapakah lelaki yang dipanggil Leopard atau Leo itu? Adakah dia manusia luar biasa seperti yang digambarkan Amalina?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience