ATILIA sedang duduk, sambil melukis gambar bukit-bukau di dalam kertas lukisannya. Dia sedang ralit melukis, tanpa dia sedar yang bapanya sudah pun pulang.
“Sayang, papa dah balik. Sini dekat papa,” panggil Dato’ Bahar.
Atilia berhenti melukis, sambil berpaling ke arah muka pintu. “Eh, papa dah balik?”
Atilia mula berjalan menuju ke arah bapanya. Dia sedikit terkejut melihat seorang wanita yang sedang berdiri di sebelah bapanya. Umur wanita itu boleh dianggarkan di dalam lingkungan 40-an. Siapakah dia? Dan siapa pula gadis remaja di sebelah wanita itu pula?
“Papa nak kenalkan, ini bakal ibu tiri Lia. Auntie Jue. Bulan depan papa akan berkahwin dengan Auntie Jue. Yang ini pula, anak dia Yasmin. Dia tua setahun dari Lia aje. Lia boleh panggil Kak Yasmin. Lia dah ada kawan lepas ni. Tak adalah Lia rasa sunyi lagi. Cepat salam Lia,” arah Dato’ Bahar.
Tersentak Atilia ketika ini. Bapanya mahu berkahwin? Dan dia selepas ini akan mempunyai ibu tiri?
“Papa nak kahwin? Kenapa tiba-tiba? Lia tak nak ibu tiri. Lia nak mama.” Atilia mula mencebik menahan tangis.
“Lia, mama kamu tu dah meninggal. Dah setahun dah. Apa lagi yang kamu tak faham-faham ni? Mama kamu takkan balik lagilah. Berapa kali papa nak cakap?” marah Dato’ Bahar.
“Lia tak nak pa! Lia tak nak ibu baru! Lia nak mama juga! Nak mama!” Atilia menjerit, seperti histeria.
Pang!
Dato’ Bahar terus sahaja menampar pipi Atilia, yang baru berumur 13 tahun itu. Dato’ Bahar terdiam. Tangannya, laju sahaja menampar pipi anak perempuannya tadi. Kenapa dengannya?
Atilia memegang pipinya. Terasa sedikit perit, akibat ditampar tadi.
“Sayang papa minta maaf. Maafkan papa ya, papa tak sengaja sayang.” Dato’ Bahar cuba memujuk.
“Lia tak nak ibu baru!” Atilia berlari ke biliknya. Dia benar-benar tergamam tadi, akibat ditampar oleh bapanya secara tiba-tiba. Belum pernah lagi bapanya itu, berani mengangkat tangan kepadanya.
Dato’ Bahar melihat anaknya yang sudah berlari ke bilik. Baru sahaja Dato’ Bahar ingin mengejar anaknya, tangannya ditarik Juliana.
“You, jangan kejar anak you tu. Berikan dia masa. Nanti dia fahamlah. Biasalah budak-budak.” Juliana tersenyum mengejek sambil merenung anaknya Yasmin.
“Hmm, yalah. I minta maaf, sebab anak I berkelakuan macam tu tadi. Tak tahulah, kenapa dia tak habis-habis nakkan mama dia. Padahal mama dia dah meninggal setahun dah,” ujar Dato’ Bahar, sambil mengeluh perlahan.
“You manjakan sangat kut, anak you tu. Jadi terbawa-bawalah. Tapi tak apalah, I faham. Dia seorang aje anak you. And then lebih nak bermanja. Biasalah.”
Dato’ Bahar tersenyum kelat. Salahnya juga, kerana terlalu memanjakan Atilia.
Ketika ini, Atilia menghamburkan tangisannya sambil memeluk bingkai gambar arwah ibunya. Tak sangka, bapanya bakal berkahwin lain. Ibunya Datin Ana meninggal dunia, akibat kanser payudara.
“Mama, Lia rindu mama. Papa dah tak sayang Lia. Papa tampar Lia tadi ma.” Atilia menangis teresak-esak.
Pintu biliknya tiba-tiba ditolak dari luar.
“Papa nak apa? Lia tak nak cakap dengan papa. Keluarlah.” Atilia langsung tidak mahu, memandang ke arah muka pintu.
“Cantik bilik kau ni. Besar pula tu. Tak bagus tau, kau tak hormat tetamu yang datang ke rumah kau ni.” Yasmin tersenyum sinis sambil berpeluk tubuh.
Atilia dengan pantas memandang ke arah muka pintu. “Apa awak buat, dekat bilik saya ni? Keluarlah!” Atilia bangun dari katil, dan menuju ke arah Yasmin. Dia mahu menolak tubuh gadis itu. Belum sempat dia berbuat demikian, dia terlebih dahulu ditolak Yasmin, lalu jatuh terjelepuk di atas lantai.
“Aku datang sini, nak melawat adik tiri aku aje. Okeylah, jumpa lagi bulan depan.” Yasmin berlalu pergi sambil ketawa.
Atilia termenung sendiri. Melawat adik tiri?
7 Tahun kemudian...
BUK!!
Atilia ditolak dari arah belakang, lalu jatuh tersembam di atas rumput. Cermin mata yang dipakainya juga telah patah. Perlahan-lahan Atilia bangun sambil mengambil semula cermin matanya. Dia terdengar suara ketawa dari arah belakang. Tahulah dia siapa yang menolaknya tadi. Kelihatan kakak tirinya Yasmin, sedang tersenyum sinis memandangnya.
“Kenapa tolak Lia?” marah Atilia.
“Aku saje aje. Seronok pula aku tengok kau ni jatuh. Rugi betul aku tak rakam tadi. Betul tak kawan-kawan?” Yasmin ketawa.
“Betul tu!” Rakan-rakan Yasmin bersuara serentak.
Tiba-tiba, muncul seorang lelaki dari arah belakang dan membantu Atilia untuk bangun.
“Kenapa awak tolak dia?” marah lelaki tersebut.
“Eh, ada penyelamatlah. Pakai spek juga. Dua-dua nerd, memang sesuailah tu.” Yasmin ketawa terbahak-bahak.
“Akak ni kenapa? Apa masalah akak ni ha? Dekat rumah akak suka cari pasal dengan Lia. Dekat kolej ni pun akak nak cari masalah juga ke? Lia tak kacau akak pun tau!” bentak Atilia.
“Eh, suka hati akulah. Aku tak bolehlah tengok muka kau dekat sini. Kalau boleh, memang setiap hari aku nak cari masalah dengan kau. Sudahlah, jom blah. Malas aku nak layan dia orang berdua ni.” Yasmin berlalu pergi bersama rakan-rakannya.
Atilia mengetap bibirnya menahan marah. Entah kenapa kakak tirinya itu selalu sahaja ingin mencari masalah dengannya. Itu belum lagi di rumah, ibu tirinya juga akan selalu memarahi dan mencari kesalahannya. Walaupun kadang-kadang dia mengadu pada bapanya, bapanya pasti akan berkata, yang ibu tirinya hanya ingin mengajarnya sahaja. Jadi, dia perlu mendengar kata-kata ibu tirinya itu. Sejak dari itu, Atilia sudah malas mahu mengadu dengan bapanya lagi.
“Awak okey tak ni?” soal lelaki itu.
“Saya okey. Tak ada apa. Cuma spek saya ni ha, dah patah. Tak tahulah macam mana nak buat ni. Nak tukar baru, ada kelaslah pula lepas ni.” Atilia membelek-belek cermin matanya.
“Bagi sini spek tu,” minta lelaki itu. Cermin mata bertukar tangan. Dia mengeluarkan sellotape, lalu cermin mata Atilia dicantumkan semula.
Atilia sedikit teruja melihatnya.
“Okey dah siap. Ambillah.” Lelaki tadi memulangkan semula cermin mata milik Atilia.
“Thanks awak, sebab tolong saya tadi. By the way saya Atilia. Awak pula?”
“Saya Irfan,” balas lelaki tersebut.
“Oh, Irfan. Sebelum ni, saya tak pernah nampak pun awak.”
“Saya baru masuk sini. Lewat sikit dua minggu. Yang tadi tu kakak awak ke?” soal Irfan.
“Bukan kakak betul pun, tapi kakak tiri,” jawab Atilia acuh tak acuh.
“Oh... patutlah tak sama muka tadi. Course apa awak ambil?”
“Kejuruteraan Elektrik. Awak pula?”
“Eh, samalah kita. Saya pun Kejuruteraan Elektrik. Macam jodoh pula kita ni, kan?” Irfan ketawa kecil.
Atilia hanya tersenyum sedikit. Dia tahu lelaki itu sekadar bergurau.
“Eh, jomlah kita ke kelas. Kejap lagi subjek matematik. Mari saya bawakan,” ajak Atilia.
“Okey jom.”
Mereka berdua bangun dari kerusi dan menuju ke kelas bersama-sama.
SUDAH enam bulan, Atilia dan Irfan berkawan. Irfan merasakan, inilah masanya untuk dia luahkan perasaannya kepada Atilia. Dia menyorokkan satu tangkai bunga ros di belakang badannya, sambil berjalan menuju ke arah Atilia yang sedang ralit bermain telefon bimbit. Bunga ros tersebut, terus sahaja dihalakan ke arah wajah Atilia.
“For you,” ucap Irfan.
Atilia memandang bunga ros di hadapannya. Dia sedikit terkejut. Kenapa tiba-tiba sahaja Irfan memberikannya bunga? Nak tak nak dia terpaksa mengambilnya. “Terima kasih.”
“Be my girlfriend please...” pinta Irfan tiba-tiba.
Riak wajah Atilia terus berubah. “Ha? Awak cakap apa ni?”
“Jadi kekasih saya? Sebenarnya saya dah jatuh hati dengan awak Lia, sejak dari hari pertama saya jumpa awak.”
“Awak jatuh hati pada saya? Awak cakap apa ni? Awak bergurau, kan?” Atilia ketawa kecil.
“Saya tak bergurau. Saya memang serius. Saya memang sukakan awak Lia.” Wajah Irfan seakan berharap.
“Tapi kenapa saya? Saya tak cantik. Banyak lagi perempuan dekat luar sana, yang sesuai dengan awak.” Atilia merendah diri.
“Awak sesuai dengan saya. Saya memang cintakan awak Lia. Saya tak nak orang lain. Terimalah saya, dalam hidup awak. Saya tahu, masih awal lagi. Tapi saya benar-benar cintakan awak. Saya tak nak melepas.” Irfan tidak mahu melepaskan peluangnya. Dia memang sudah jatuh cinta dengan Atilia.
“It’s okay. Saya bagi awak masa. Fikirlah, berapa lama pun awak nak fikir. Tapi, kalau awak dapat bagi jawapan sekarang, saya benar-benar happy,” sambung Irfan lagi.
Atilia seakan tidak percaya. Benarkah Irfan mencintainya? Ikhlaskah dia? Dia juga sebenarnya telah jatuh cinta pada Irfan, sejak dua bulan yang lepas. Tanpa berfikir panjang, akhirnya Atilia menerima Irfan sebagai kekasihnya. Lebih-lebih lagi apabila dia melihat kesungguhan Irfan terhadapnya. Lelaki itu juga, bukan jenis lelaki yang jenis mengambil kesempatan.
“AWAK, jom keluar nak? Kita dah seminggu jadi pasangan kekasih. Tapi, kita belum lagi keluar bersama,” ajak Ifran.
“Alah... sorry awak. Saya nak kena balik ni,” jawab Atilia.
“Alah...sekejap je. Bukan lama pun. Jomlah. Please...” Irfan cuba merayu.
“Sorry awak. Lain kali ya?”
“Awak ni tak kesian ke dekat boyfriend awak ni? Okey, kalau macam tu esok boleh tak?” Irfan mencuba nasib lagi.
“Esok eh? Hmm, okeylah. Esok kita keluar.”
“Yes! Macam tu la girlfriend saya. Okey awak, elok-elok balik tu.” Irfan tersenyum lebar.
“Okey, saya balik dulu.”
Irfan mengangguk sambil melambaikan tangannya kepada Atilia.
Atilia terus berjalan meninggalkan Irfan di situ, dan menuju ke arah keretanya. Kunci kereta Myvi ditekan. Belum sempat Atilia mahu masuk ke dalam perut kereta, terdengar pula suara Yasmin memanggilnya.
“Lia! Beritahu mama aku, yang hari ni aku balik lambat sikit. Aku nak naik Genting dengan kawan-kawan aku. Kau tipu dekat mama aku, yang aku ada kelas.”
“Akaklah beritahu sendiri. Kenapa pula Lia yang nak kena beritahu?” Atilia malas lagi mahu melayan kakak tirinya itu. Dia terus sahaja melangkah masuk ke dalam perut kereta. Enjin kereta terus sahaja dihidupkan. Tanpa memandang Yasmin, Atilia menekan pedal minyak, lalu keretanya bergerak laju meninggalkan kawasan itu.
“Kurang ajar punya perempuan! Tak apa, kau tunggu aku balik nanti,” marah Yasmin.
“Weh, asal adik tiri kau pakai kereta Myvi, kau pula pakai kereta Honda?” soal Tania.
“Papa tiri aku yang belikan. Aku ambillah. Manalah aku tahu dia nak Myvi,” tipu Yasmin. Dia mula teringat yang ibunya Juliana yang menyucuk bapa tirinya supaya Atilia menukarkan kereta Honda milik Atilia kepadanya. Dan Myvinya pula, diberikan kepada Atilia. Baginya, Atilia langsung tidak layak menggunakan kereta yang mahal.
“LAMBAT kau balik,” tegur Juliana.
“Apa yang lambatnya? Saya balik macam biasalah,” jawab Atilia.
“Eh, kau tahu tak, kau tu dah lewat 30 minit? Aku ni dah lapar. Kau nak aku mati kebulur ke apa? Dengan rumah pun tak berkemas lagi ni,” marah Juliana.
“Dah tu, kenapa pergi berhentikan orang gaji kita? Kalau dah tahu tak nak masak, tak nak buat kerja rumah semua. Ni tak, pandai-pandai pergi berhentikan orang gaji.” Atilia cuba memberanikan dirinya untuk menjawab. Dia sudah penat berdiam diri.
Pang!
Pipi Atilia ditampar secara tiba-tiba. Atilia hampir sahaja terjatuh di situ.
“Pandai menjawab kau sekarang ni, kan? Suka hati akulah. Apa gunanya kau dalam rumah ni? Baik aku suruh kau je yang masak. Dari bayar dekat orang gaji tu. Dah, kau jangan nak menjawab cakap aku ya? Nanti aku tampar lagi muka kau tu. Nak senget ke, muka kau tu nanti? Dah, pergi masuk dapur tu masak. Nanti papa kau balik, tengok tak ada makanan lagi,” ujar Juliana sambil bercekak pinggang.
Atilia terus sahaja berjalan menuju ke dapur. Sikit pun dia tidak rasa ingin menangis. Walaupun agak perit juga tamparan ibu tirinya tadi. Peti ais dibuka, dan bahan basah dikeluarkan. Apron terus dipakaikan ke tubuhnya.
Hampir dua jam Atilia di dapur. Maka, siaplah tomyam campur, telur dadar dan juga ayam goreng berempah.
Setelah itu, Atilia menyambung pula mengemas rumah dan membasuh baju. Begitulah rutin hariannya setiap hari. Kalau nak diharapkan ibu tirinya itu, memang tak berkemaslah rumahnya. Ibu tirinya pula, lebih banyak menghabiskan masa dengan pergi ke spa dan menonton televisyen sahaja. Kadang-kadang dia tidak faham, kenapa ibu tirinya memberhentikan orang gaji mereka. Adakah kerana tidak mahu melihat dirinya hidup bersenang-lenang? Atau dalam erti kata, dengki?
Share this novel
hs
Update BAB 31 plzz admin
Salah..bab25 plzz