Chapter 16

Mystery Completed 14816

Bab 16

“Kata nenek, mereka sudah mendirikan kampung itu lebih kurang 50 tahun yang lalu.”

Amalina mengangguk.

“Patutlah aku tengok kebanyakan pokok buah-buahan sudah tua, besar dan tinggi, mengeluarkan buah. Pokok kelapa juga tinggi menjulang.”

Leo mengangguk sahaja.

“Kau bersekolah di mana? Pasti kau tahu membaca dan menulis.”

Leo bangun tiba-tiba lantas duduk bersila menghadapi Amalina. Dia terkejut mendengar pertanyaan Amalina. Sekolah? Dia pernah bersekolah. Tapi di mana? Kebanyakan anak-anak generasi baru di kampung itu semuanya bersekolah di Sek. Keb. Kampung Gelugor. Malah Pilar sendiri bersekolah di situ hingga darjah enam.

Bagaimana dia boleh tahu membaca dan menulis dengan baik? Bagaimana? Apakah dia juga bersekolah di situ seperti Pilar? Tapi antara dia dan Pilar, berjarak usia hampir sepuluh tahun. Pilar lapan belas dan dia dua puluh tujuh.

“Aku tak tahu…” balas Leo seakan-akan berbisik pada dirinya sendiri sahaja.

Namun suaranya itu tetap sampai jua ke telinga Amalina.

“Kau ni semakin pelik. Kau tahu membaca dan menulis tetapi tak bersekolah. Mungkin ada orang yang pandai membaca dan menulis di kampung kau tu, kau belajar dengan dia.”

Leo menggeleng lagi. Kepalanya pening memikirkan keanehan diri sendiri.

Amalina menyeluk poket seluarnya lalu mengeluarkan sebuah diari kecil. Dihulurnya ke arah Leo.

“Cuba kau baca apa yang tertulis dalam diariku ini. Aku menulis jurnal harian setiap hari. Setiap kegiatan yang aku buat aku tulis supaya aku tahu apa yang aku rasa dan fikirkan pada hari itu. Aku rasa kau patut lakukan hal yang sama supaya kau boleh ingat apa yang berlaku pada masa lalu.”

Leo terpinga-pinga namun dia tetap menyambut diari yang dihulur oleh Amalina.

Dia membuka secara rambang dan menemukan satu muka tulisan yang bertarikh pada 12 hb – hari Rabu.

“Boleh aku baca?” tanya Leo bagaikan meminta kebenaran.

“Silakan…” Amalina memberi kebenaran.

Amalina terlupa bahawa di hujung jurnalnya hari itu dia ada menulis tentang sekelumit perasaannya terhadap Leo.

Leo was lost in his own misery, pain and unusual indecisiveness. No one could listened to his heart. I believed, there is one big secret lay in his heart. He wasn’t sure what he was looking for, what he want in his life but deep in his heart he still searching for the truth about himself.

And he felt something for me, I can see it thru his eyes. I don’t believe myself either… Am I falling in love with a man like him?

Amalina terkejut mendengar Leo membaca dengan lancar dalam bahasa Inggeris. Dia tambah terkejut apabila Leo membaca baris terakhir curahan hatinya itu. Dia merampas diari itu dari tatapan Leo, membuat lelaki itu terperanjat. Dia masih terpinga-pinga, memerhati wajah Amalina yang pucat, meski kepucatan itu tidak begitu jelas dalam sinar cahaya api yang merenggah membakar puntung kayu.

“Kau faham apa yang kau baca tadi?” Tanya Amalina lantas dengan cepat, sambil menggigit bibirnya menahan rasa gugup.

“Do you understand?” ulang Amalina dengan suara yang sedikit keras.

Leo memilih untuk terus diam.

Leo bangun awal, berenang dengan riang di dalam sungai yang dingin itu. Amalina tidak sanggup untuk mandi. Dia hanya menghulurkan kakinya ke dalam air yang amat dingin, mencuci muka dan membasahkan sedikit rambutnya. Lagipun dia tidak membawa baju lebih.

“Jangan jadi kambing gurun!” Kata Leo sambil menyimbah air ke arahnya.

Amalina tidak memberikan sebarang reaksi. Wajahnya masam sahaja. Aksi girang Leo terus terbantut.

Mereka sarapan dengan roti dan air mineral sahaja. Selesai makan Leo segera mengajaknya masuk ke bahagian dalam gua itu. Amalina tidak tahu mengapa mereka harus masuk ke dalam gua itu.

...bersambung

Bab akan datang:

Bagaimanakah Leo yang dibesarkan di dalam hutan boleh memahami bahasa Inggeris?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience