Airil menghirup udara segar di tepi kolam ikan kepunyaan tok aki.Di sekeliling kolam dihiasi dengan pokok hiasan berwarna-warni.Dedaun pohon masih lembab dititisi embun pagi.Kabus putih berarak lembut mengindahkan lagi suasana pagi di kampung.Nun di seberang sana,Rahman menabur palet ke dalam kolam untuk santapan ikan-ikan peliharaan tok aki.Alang-alang berada di situ,Airil berjalan ke bapa mentuanya.
"Haaa...Airil.Awal bangun."Babah menyapa dahulu.
"Hmm..Dah biasa bangun awal pagi,Che Man."Airil tersasul tanpa dia sedari.Terlupa pula Rahman sudah menjadi bapa mentuanya.Lidahnya kekok memanggil lelaki itu babah seperti yang dipanggil oleh Hana.
Babah tergelak."Airil masih terbawa-bawa mood jiran lagi.Airil sekarang dah jadi menantu babah.Jadi,mula hari ini Airil kena panggil babah ya bukan Che Man."Babah membetulkan kebiasaan Airil menggelarnya Che Man.Biasalah,mereka rapat sebagai jiran sudah tentu kekok tiba-tiba kena panggil babah.
Airil tersengih-sengih menunduk rasa malu.Entah mengapa dia rasa segan beramah mesra dengan babah pagi itu.Status menantu yang baru disandang menyebabkan dia tidak selesa barangkali.
Selesai memberi palet kepada ikan-ikan,babah mengajak Airil duduk di wakaf buluh berhampiran kolam tersebut.Mata mereka tekun memerhatikan ikan-ikan dalam kolam berpesta mendapatkan palet.Ralit kedua-duanya.
"Airil,sebenarnya babah ada perkara yang nak cakap kepada kamu,"kata babah.
Airil menoleh kepada babah di sebelah."Ya,ba..bah."Teragak-agak mulut Airil menuturkan perkataan babah.
"Terima kasih Airil dah selamatkan maruah Hana.Jika tiada Airil malam itu,babah tak tahu apa akan berlaku kepada Hana."
Selamatkan maruah Hana?Airil kehairanan.Apakah maksud bapa mentuanya?Airil tertanya-tanya malam yang mana satu diceritakan oleh babah."Malam bila,babah?"
Babah menarik nafas mencari kekuatan untuk berlaku jujur.Sudah tiba masanya dia memberitahu hal sebenar kepada Airil sebelum terlambat."Maafkan,babah sebab tak berlaku adil terhadap Airil tetapi babah mahu selamatkan harga diri anak perempuan babah."
Airil tidak menangkap lagi apa yang dibicarakan oleh babah."Babah,Airil tak faham.Boleh tak babah jelaskan betul-betul?"
"Babah nampak bayang Anep lari keluar pagar malam yang Airil dan Hana ditangkap oleh babah."
Airil terkedu.Dia dijadikan kambing hitam untuk selamatkan nama baik dan maruah Hana.Tidak terduga dek akalnya yang babah sanggup mempergunakannya demi kepentingan sendiri.Airil benar-benar terasa dan tidak dapat menerima kenyataan.Kenapa dia perlu bertanggungjawab atas kesalahan orang lain?Bahkan dia dituduh melakukan perkara tidak senonoh bersama Hana.Dunia sungguh tidak adil.
Babah memegang bahu Airil.Dia faham perasaan Airil bercampur baur.Kecewa,marah dan sakit hati sudah pasti bertandang dalam jiwa menantunya."Babah minta maaf sekali lag,Airil tapi babah terpaksa kahwinkan Hana dan Airil.Inilah satu-satunya cara untuk jauhkan Hana daripada Anep..Babah dah lama perasan tingkah laku pelik Anep kepada Hana.Cara dia pandang Hana bukan seperti pandangan seorang abang terhadap adik sendiri tapi pandangan bernafsu..Ada juga babah terserempak dia cuba menceroboh bilik tidur Hana pada waktu malam..Dan perkara yang babah paling takut telah berlaku malam itu..Anep cuba perkosa adik kandungnya sendiri..."Babah terhenti menuturkan kata.Sebak dadanya memikirkan soal anak lebih-lebih lagi sikap gila Hanif.Dari mula dia merasakan sesuatu tentang Hanif,dia tidak lena tidur malam.Pada masa yang sama,rasa bersalah juga tidak lari dari hati babah kerana dia yang menjerat Airil.
Terketar-ketar bibir Airil.Jari-jarinya diramas mengawal amarah.Hendak diherdik bapa mentuanya tidak sampai hati.Rasa hormat masih tertanam subur dalam jiwanya.Oleh sebab itu,dia cuba bersabar.
"Sampai hati babah jadikan saya kambing hitam sedangkan babah tahu saya dan Hana tak melakukan kesalahan.Kalau tak kasihankan saya pun,babah kasihankanlah Hana.Dia masih muda dan punya pilihan hati sendiri.Babah fikir Hana gembira dan reda jadi isteri saya?Perasaan saya,perasaan dia terseksa dengan perkahwinan ni.Saya tak tahu apa yang babah fikirkan apabila buat keputusan gila ni.Babah ingat kami akan bahagia?"Airil berang.Suara perlahan tetapi nadanya ditekan keras.
"Babah tahu babah salah dalam perkara ni.Babah tau Airil marahkan babah.Babah minta maaf.Macam yang babah kata,babah cuma mahu jauhkan Hana daripada Anep supaya maruah Hana terpelihara.Anep terlalu berani.Keluarkan salah seorang daripada rumah babah boleh menyelamatkan keadaan.Jadi,babah memilih keluarkan Hana kerana Anep akan masuk rumah itu bila-bila masa."Babah memberi penjelasan.Sungguh sukar dia membuat keputusan demi kebaikan anak-anaknya.Hanif susah dikawal kerana sikapnya suka memberontak.
Airil mengeluh."Tapi kenapa saya?Lebih baik babah jodohkan Hana dengan pilihan hati dia.Hana bahagia dan saya pun tak tertekan,"luah isi hati Airil.
Babah merenung jauh ke permukaan kolam lalu ditenung mata Airil."Airil seorang yang babah percaya boleh jaga Hana.Airil tolong babah jagakan Hana.Babah tak mampu nak jaga Hana selagi Anep masih dalam rumah babah.Sejak kebelakangan ini,sikap Anep juga semakin pelik.Babah bimbang dia akan apa-apakan Hana semasa babah dan umi tiada."
Airil mendengus.Apakah dia mampu menjaga gadis muda itu?Bagaimana dia ingin menjaga Hana selayaknya seorang isteri sedangkan dia tidak mencintai Hana?Airi buntu.Manakan dia dapat tinggal serumah dengan perempuan dan melayannya dengan penuh kasih sayang tanpa rasa cinta.
Dengan lembut babah menyentuh bahu Airil."Babah tau Airil dan Hana tidak mencintai satu sama lain.Andai kata cinta kamu berdua tidak bersemi sehingga Hana dapat sambung belajar di luar nanti,Airil boleh pulangkan kembali Hana kepada babah."
"Tapi babah...."Airil tidak sempat menghabiskan ayatnya,babah memotong percakapannya.
"Tolong babah,Airil.Abang merayu buat sementara biar dia tinggal dengan Airil.Babah tak nak Hana rosak di tangan abangnya sendiri.Babah amanahkan Airil jaga Hana sehingga dia tamat STPM.Selepas itu,terpulang kepada keputusan Airil dan Hana sendiri.Babah terima."Babah merayu kepada menantunya.Sebagai seorang ayah,dia sangat sayangkan Hana.Dia enggan masa depan Hana hancur dek abang kandung sendiri dan pada masa yang sama dia tetap sayangkan Hanif.Harapan terbesarnya ialah Airil.
Renungan mendung babah menimbulkan belas kasihan kepada babah.Airil juga seorang ayah seperti babah dan mengerti akan rasa itu.Semua ayah di dunia ini inginkan yang terbaik untuk anak-anaknya.Namun,mampukah dia memenuhi permintaan babah untuk menjaga Hana buat sementara waktu?Hati Airil berbelah bagi antara rasa kasihan atau kecewa dengan pengakuan babah.Kebenaran yang menyakitkan tetapi dia sudah terlanjur melafazkan akad.Harus bagaimana dia melayani gadis itu?Sebagai isteri?Adik?Pelajar?Airil bingung.
****
Hana ke dapur dengan rambut basahnya dilepas bebas.Hidangan sarapan pagi telah siap sedia dihidangkan oleh umi dan tok wan.Dia duduk di sebelah umi lalu menghidu bau sedap mi goreng dan kuih karipap hasil air tangan tok wan."Hmmm...sedapnya.Ni mesti tok wan masak kan?"kata Hana ceria.Tok wan tersenyum mengacau air teh dalam jag.
Perutnya Hana lapar tidak sabar menikmati sarapan pagi.Pantas tangan dia mengambil pinggan kosong di atas meja tetapi tangannya ditampar oleh umi."Ya Allah,tak senonohnya perangai kau ni,Hana,"tegur umi.
Hana meletakkan kembali pinggannya.Tidak faham.Bukankah memang biasanya sikapnya begitu."Kenapanya,umi?"Tangannya mengambil pula karipap dalam pinggan lalu dimasukkan ke dalam mulutnya.
Umi mencerlung matanya kepada Hana."Hana tu dah bersuami,buatlah cara dah ada suami.Ajak suami makan sama-sama bukannya isi perut sorang-sorang saja..Haaa..Airil mana?"bebel umi.
"Manalah Hana tau dia ke mana,umi.Pagi-pagi lagi dia dah hilang.."jawab Hana.Memang dia tidak tahu Airil ke mana.Sebaik saja Airil gerak dia bangun sembahyang subuh,suaminya itu menghilang dari radar.Dia pun malas hendak ambil kisah ke mana suaminya pergi.
Umi menepuk bahu Hana pula."Adoiii..Umi ni sakitlah.Kenapa nak marah Hana?Hana sedar-sedar dia dah tak ada kat bilik.Hana nak buat apa?"rengek Si Hana menggosok-gosok bahunya.Perit pukulan telapak tangan uminya.
"Eh..Eh..Budak ni!Bangun lewat pada suamilah tu.Ni dah sembahyang Subuh ke belum ni?"
"Sudahlah,umi."Hana mengunyah karipap tanpa henti.
Hayati menggeleng."Hana ni dah isteri orang,kenalah ubah sikit sikap tu.Buang sikit perangai tak matang Hana tu."Umi memberi nasihat.
"Hana nak ubah apa,umi?Dah memang perangai Hana macam ni."
"Hmmm....Mak,cuba bagitau cucu mak ni macam mana nak jadi isteri yang solehah."Umi mengheret sekali emaknya masuk campur menasihati Hana.Nampaknya Hana masih tidak faham.
Tok wan duduk di kerusi setelah meletakkan teko air teh atas meja.Dari tadi dia mendengar saja Hayati membebel kepada Hana.Hendak tergelak pun ada kelakuan dua beranak itu.Terpaksalah dia masuk campur juga setelah namanya dipetik oleh Hayati."Nak jadi isteri solehah ni senang saja,Hana.Ikut cakap suami selagi ianya tidak melanggar hukum agama.Jaga makan,pakai,minum,zahir dan batin suami secukupnya.Layan suami elok-elok.InsyaAllah berkat rumah tangga Hana nanti,"terang tok wan serba sedikit.
Uminya pula menyambung,"Haa..dengar cakap tok wan tu,Hana.Ni baru kahwin sehari,makan pun tak tunggu suami.Main redah je isi perut sendiri.Sepatutnya bangun pagi sediakan makan minum suami,makan sama dengan suam.Barulah suami tak lari,tak keluar makan di luar."Memang menjadi kelebihan umi dalam bab berleter tidak kira di mana jua umi berada.Pantang anaknya buat salah di matanya.
Hana terkelip-kelip.Kunyahan semakin perlahan.'Dah lapar makanlah.Nak tunggu Cikgu Airil yang menghilang tu balik,gastrik aku,'kata Hana dalam hatinya sendiri.Jika dijawab secara terang-terangan,mesti dapat satu lagi tamparan pada bahunya.Yang tadinya sudah terasa perit.
"Haaa...rancak nampaknya orang kat dapur ni.Apa yang dibualkannya?"sapa babah masuk ke dapur bersama Airil.
Airil mengambil tempat di sebelah Hana.Isterinya itu tertunduk malu.
"Ayah ke mana,mak?Tak nampak batang hidung pun,"soal babah tatkala melihat tiada kelibat ayahnya di situ menyertai mereka.
"Biasalah ayah tu pergi mengeteh kat kedai kopi dengan kawan-kawan dia pagi-pagi macam ni.Padahal kat rumah ni dah banyak makanan,nak juga mengempeng kat kedai orang.Jangan buat main,sehari tak pergi mengeteh boleh demam ayah kau."Tok wan berceloteh perihak tok aki.
Hana geli hati.Terngiang-ngiang nasihat umi dan tok wan tadi di telinga Hana.Tidak sama dengan realiti.Sedangkan tok wan yang rajin masak sedap-sedap pun,tok aki mengeteh di luar juga.Fakta atau auta leteran umi tadi?'Aahhhh...Mesti umi sengaja nak membebel pada aku.'
"Haaa...yang kau senyum sorang-sorang tu kenapa,Hana?Bubuh mi goreng ke dalam pinggan Airil tu.Air teh tu tuangkan,"umi menegur lagi.Hana tersentak segera mengambil pinggan pada tangan Airil.Dicedok mi goreng ke dalam pinggan.
"Ni mi goreng,cikgu."Hana serahkan pinggan berisi mi goreng kepada Airil.
Terbeliak mata tok wan mendengar panggilan Hana kepada Airil."Cikgu apanya,Hana?Airil kan suami kamu.Takkan panggil cikgu lagi.Panggillah abang ke,sayang ke,darling ke,"kata tok wan.
Aaa...Sudah.Hana tersengih-sengih malu.Sudahlah dia disuruh melayan Airil,ini disuruh panggil abang pula.Geli geleman Hana mendengarnya.Keras lidah Hana memanggil Airil 'abang'.Penyudahnya dia berdiam saja dan menghulurkan apa yang patut kepada Airil.Tersilap langkah dan kata,dia akan dipanah oleh umi dan tok wan lagi.Umi dengan tok wan tidak habis-habis mengenakannya membuat dia berasa kekok berada di dapur itu.Mahu saja dia meninggalkan mereka semua dan bersarapan sendiri di hadapan televisyen tanpa gangguan.Namun,pasti akan dibebel lagi jika dia berkelakuan begitu.
'Nasib kaulah,Hana.'
****
Aqeef bermenung di tepi sungai.Ditenungnya air sungai jernih menampakkan beberapa ekor ikan riang berenang-renang di celahan batu.Batu-batu kecil pada tangannya diramas-ramas saja.Tidak jadi dia membaling batu itu kerana ralit memerhati ikan-ikan kecil bermain-main gembira.Sedikit sebanyak hati yang berduka lara terhibur menyaksikan temasya hidupan akuatik itu.
"Aqeef buat apa kat sini?"sapa Irwan dari belakang.Aqeef tidak menoleh kerana sangat mengenali suara bapa saudaranya itu.Keluhan hambar dilepaskan daripada mulutnya.
Irwan mengambil tempat duduk di sebelah Aqeef.Dia tahu kegundahan hati anak saudaranya."Aqeef merajuk lagi?Masih marahkan ayah?"
"Hmmm..."jawab Aqeef.
Irwan tersengih.Fahamlah dia perasaan anak kecil itu bermuram durja.Sejak dari awal cuti sekolah lagi,Aqeef tidak begitu gembira dengan musim cuti sekolah.
"Pak cik dengan nenek kan ada.Kenapa?Aqeef tak suka tinggal dengan pak cik dan nenek di sini?"Irwan memujuk.
"Bukan macam tu.Cuma....Aqeef nak ayah ada sama.Cuti kali ni ayah langsung tak ada masa untuk Aqeef.Aqeef rindukan ayah,"luah Aqeef.
Tangan Irwan mendarat pada bahu Aqeef.Ditarik rapat Aqeef ke tubuhnya."Ololo...Ayah bukan suka-suka abaikan Aqeef.Dia ada sebab tinggalkan Aqeef di sini cuti kali ni.Pak cik yakin yang ayah pun rindukan Aqeef sekarang.Kalau tak,takkanlah ayah video call Aqeef hari-hari."
"Tapi ayah tak adil dengan Aqeef.Kenapa dia tak bagi saja Aqeef ikut dia?Aqeef bukan kacau dia pun."Aqeef tidak henti-henti merungut.Sejak awal cuti persekolahan,dia tidak berpuas hati dengan keputusan Airil meninggalkan dia bersama nenek dan bapa saudaranya di kampung.Keinginan Aqeef menghabis masa cuti bersama ayahnya terbantut menyebabkan dia sedikit kecewa.
"Hmmm...Pak cik rasa ayah tak nak Aqeef bosan nanti waktu dia pergi kerja."
Aqeef mencebik."Ayah tak ada,Aqeef boleh kawan dengan Kak Hana.Kak Hana suka main dengan Aqeef."
Irwan senyap seketika.Nama Kak Hana sering disebut oleh Aqeef setiap kali Aqeef balik bercuti di kampung.Cerita Aqeef seolah-olah menarik hati Irwan untuk mengenali wanita itu dengan lebih dekat.Pernah beberapa kali Aqeef menunjukkan foto Hana kepada Irwan menyebabkan dia merasakan ada sesuatu yang tertinggal dalam hatinya.Namun,cepat-cepat dia alihkan rasa itu dari terus memikirkan tentang Hana.
"Hmmm...Kak Hana seorang sajalah yang boleh kawan dengan Aqeef..Pak cik ni tak handsome,tak setanding dengan Kak Hana.Sebab tu,Aqeef tak suka duduk sini kan?"Irwan pura-pura merajuk dengan Aqeef.
Aqeef yang rasa bersalah terus memeluk bapa saudaranya."Alaaa...Bukan macam tu.Aqeef suka kawan dengan pak cik.Maafkan Aqeef sebab kalau Aqeef asyik puji Kak Hana.."pujuk Aqeef.
Irwan kembali mengukirkan senyuman."Kalau macam tu tak nak Aqeef sedih-sedih lagi..Jom ikut pak cik pergi memancing."
****
Setibanya di perkarangan rumah,Hana membantu babah dan umi mengambil beg pakaian dan barang kiriman tok wan dan tok aki.Manakala Airil pula,usai memarkir kereta di rumahnya segera bergerak membantu mereka.Hana dan Airil tidak sekereta kerana Hana menaiki kereta babah dan umi walaupun gerak sekali dari kampun.Di rumah babah baru mereka bertemu.
Selesai mengangkat barang,Hana tergopoh-gopoh ingin masuk ke dalam rumah.
"Eh,Hana nak ke mana?"tanya babah.
"Masuk dalam rumahlah babah.Nak mandi-mandi,nak tidur"jawab Hana tidak sabar.
Umi dan babah berpandangan lalu melebarkan senyuman."Mula hari ni,rumah Hana di sebelah sana tau..,"kata babah sambil menudingkan jari telunjuk ke rumah sebelah.
Bahu Hana terjatuh.Dia menghembus nafas dan memandang Airil di sebelah babahnya tidak menunjukkan sebarang reaksi.Tiada perasaan.Sungguh dia tidak suka tinggal di rumah Airil kerana dia merasakan dia tidak disambut di situ.Meskipun sudah tiga hari mereka menjadi pasangan suami isteri,hubungan mereka tidaklah semesra pasangan lain.Hambar.
Hana mencekak pinggangnya."Babah,apa salahnya Hana bermalam di rumah babah ni?Inikan rumah Hana juga.Dah lewat ni.Esok-esok sajalah Hana pergi rumah sebelah."Hana memberi alasan.Dia enggan tinggal di rumah Airil.
Ketika itu umi menyampuk."Macamlah rumah Airil tu jauh sangat Hana nak balik esok.Jalan dua tiga langkah dah sampai.Boleh sangat balik terus."
Hana mencebik.Terasa hati dengan umi dan babah buatnya seperti orang luar pula."Umi dengan babah ni macam halau Hana saja.Dah tak suka Hana tinggal di sini lagi,"luah Hana kecewa.Muncungnya sedepa ke hadapan.Dia mengangkat beg pakaiannya lalu berjalan ke arah Airil.
Babah dan umi memerhati tingkah lemah si anak gadis."Babah bukan menghalau.Tempat isteri di sisi suaminya..Alaa...Esok pagi dan bila-bila saja Hana boleh datang ke mari."Babah memahamkan Hana.
Hana mencebik dan mengeluh."Hmm..Yelah-yelah.Hana balik rumah sebelah malam ni tapi pagi esok Hana datang."Hana reda dalam paksa.Begnya pakaiannya ditarik seiring dengan langkahnya menuju ke rumah Airil.Airil turut meminta diri lalu mengekori Hana.
****
"Kalau itu yang babah bimbangkan,saya akan jaga Hana tapi saya tak janji...."Airil serba salah melengkapkan frasanya.Dia tidak berhasrat untuk terus mengekalkan ikat perkahwinan mereka setelah Hana tamat tingkatan enam.Namun,dia tidak sampai hati untuk menyatakan niatnya itu kepada Rahman.
"Babah faham.Cukup sekadar Airil sudi menjaga Hana buat sementara sudah buat babah senang hati."Rahman melemparkan senyum membalas pandangan redup Airil.
Tok!!!Tok!!!Tok!!!
"Cikgu Airil!!"pekik Hana dari luar biliknya menyedarkan Airil.Berkali-kali pintu kamarnya diketuk.
Airil memandang jam di dinding sudah menjengah pukul 1.00 pagi."Budak ni nak apa waktu-waktu begini?"Airil mengatur langkah malas membuka pintu.
Tercegat Hana memeluk bantal di muka pintu yang terkuak luas.Airil mengangkat keningnya."Ada apa tengah-tengah malam ni?Pergilah tidur."
Hana memintal bucu bantal yang dipeluk.Wajahnya agak cuak dan berdebar."Hmmm...Saya tak boleh tidur.Sayaa...takut..Saya tak selesalah tidur tempat baru.Macam seram je..Macam ada orang perhatikan saya."Teragak-agak Hana memberitahu.Meremang bulu tengkuknya bercerita.
"Haaa?Takut?Rumah saya ni bukan ada hantu.Perasaan awak saja tu.Bertahun saya tinggal dalam rumah ni,satu hantu pun saya tak pernah nampak,"kata Airil.
"Mungkin cikgu dengan hantu bff,sebab tu dia tak kacau cikgu..Eee...Saya serius ni,saya tak boleh tidur kalau macam ni.Telinga saya ni macam dengar ada suara bisik-bisik panggil nama saya."
"Awak ni banyak sangat tengok movie hantu agaknya sampai terbawa-bawa dalam alam nyata.Dah,pergi tidur..Kalau takut sangat,buka lampu biar terang-benderang bilik awak."
"Masalahnya saya dah on lampu tapi tak boleh nak pejam mata..Saya serius ni,cikgu.Saya takut."Hana meminta belas daripada Airil.
Airil bercekak pinggang."Habis tu saya nak buat macam mana?"
Hana mengintai ruangan bilik Airil."Hmm...Cikgu teman saya boleh?"
Airil membeliakkan biji matanya.Tidak percaya dengan permintaan Hana."Haa?Awak gila ke apa nak saya teman awak?No..No..No..Saya malas layan awak.."Airil menolak.
Hana muncung sedepa.Jika tidak disebabkan rasa takut,dia pun tidak ingin meminta Airil menemaninya."Alaa...Saya tidur bawah pun tak apa."
Airil menggeleng-geleng."No...No..No..Permintaan awak ditolak.Good night."Airil berkeras tidak mahu menemani Hana.Dia menutup pintu biliknya membiarkan Hana terkial-kial di luar sendiri dalam ketakutan.
"Eeee...Dasar hati beku.Macam manalah aku boleh kahwin dengan lelaki macam ni.Patut pun lama menduda.Perangai macam ni,memang tak ada orang yang nak."Hana mengomel sendiri.Bengang dengan tindakan Airil yang tidak pedulikan dia.
Dalam rasa marah kepada Airil,dia tetap berasa seram sejuk.Dia memandang sekeliling ruangan rumah.Sepi."Mana aku nak tidur ni?"kata Hana kebimbangan.Bulu tengkuknya mula mencanak naik.Bantal dan selimut pada tangannya dipeluk lalu duduk di hadapan bilik Airil.
****
"Hana...Bangun solat subuh,"panggil babah sambil mengetuk pintu bilik anaknya namun tiada sahutan.
"Haaa...Abang gerak siapa tu?Hana tak ada dalam bilik tu.Kan abang suruh dia balik rumah Airil,"tegur umi yang masih bertelekung.
Babah tersengih menepuk dahi.Dia terlupa bahawa Hana bermalam di rumah Airil."Iya tak ya juga.Macam mana abang boleh lupa Hana dah kahwin.Dah tua-tua ni makin jadi pelupa pula,"jawab babah.Tidak semena-mena hatinya disapa rasa rindu kepada Hana.Perlahan-lahan dia menekan tombol pintu bilik Hana dan membukanya.Dipandangnya sekeliling bilik yang tiada penghuni itu tersusun kemas.Barang-barang Hana masih masih banyak di dalam ruangan bilik itu.Babah merenung katil Hana dengan penuh kerinduan.Helaan nafasnya dilepas lembut.
Umi tersenyum melihat gelagat babah.Dia dapat membaca isi hati babah."Eleh...sebenarnya abang rindukan Si Hana kan?"
"Hmm...Mana ada rindu.Abang tersilap saja.Dah terbiasa gerak Hana bangun subuh."Babah berdalih.
"Dengan orang lain abang boleh tipu.Saya hidup dengan abang dah bertahun,abang pakai sari pun saya tahu..Daripada tindak-tanduk abang tu,saya boleh baca isi hati abang,"kata umi.
Babah tidak menjawab sebaliknya menutup kembali pintu bilik Hana.Mengiakan telahan isterinya juga tidak.Kemudian,dia terpandangkan bilik Hanif."Hmm...Anep tak ada balik ke semalam?"soal babah menukar topik perbualan.
Hanif jarang pulang ke rumah kerana perselisihan dengan babah dan Hana.Jika pulang pun,Hanif lebih gemar berkurung di dalam bilik daripada bercakap dengan mereka.
"Tak balik pun,bang.Tidur di rumah kawan dia agaknya tu,"jawab umi.
"Hmmm...."Babah berlalu tanpa sepatah kata.Jauh di dalam hatinya dia bimbang dengan perubahan ketara Hanif sejak kebelakangan ini.Dia tahu apa yang terjadi antara Hanif,Hana dan Airil.Hal itu dia harus perbetulkan tetapi bagaimana?Masalah itu membebankan fikiran babah.Bebaban perasaan itu disimpan sendiri daripada meluahkannya kepada Hayati.
Miss J is back.Lama sgt tak update chapter.Sorry guys..Miss J akan sambung update cuma slow sbb tangan Miss masih tak kuat..Thank you sudi menunggu.
Share this novel