Bab 11

Short Story Series 55082

Rina seakan terjaga dari tidurnya. Dia melihat suasana yang indah dan dia tidak lagi berada di kamar buruknya tetapi dia tidur di atas rumput yang menghijau dan tebal seperti tilam yang sungguh empuk. Rina bangun perlahan-lahan melihat pemandangan yang luas mata memandang. Dia sedikit kebingungan, dimana dia berada saat ini. Adakah dia sedang bermimpi tetapi mimpi itu kelihatan sangat nyata? Baju tidur yang dipakainya juga sudah berubah. Kini ditubuhnya tersarung jubah indah bewarna putih dan bersinar.

Rina memegang perutnya. Dia bersyukur kerana bayinya masih ada di dalam kandungan. Rina cuba berjalan ke hadapan dan memegang daun-daun pokok yang rendang dikiri dan kanannya. Daun dan pokok itu juga sangat indah dan tidak pernah dilihat olehnya sebelum ini.

"Rina Altafunisa!" Tiba-tiba terdengar suara seseorang memanggilnya. Rina kenal suara itu, itu adalah suara lembut ibunya yang sering memanggil nama panjangnya. Rina menoleh dan melihat seorang wanita yang mirip dengan wajah Puan Mawar sedang berdiri tidak jauh dari dirinya. Disamping kanan dan kirinya terdapat beberapa orang perempuan yang sungguh luar biasa cantiknya dan mengenakan busana-busana yang indah.

"Siapa kamu?" Rina bertanya apabila dia tidak yakin bahawa itu adalah Puan Mawar kerana wajah ibunya kelihatan sungguh muda dan jelita. Tambahan pula wanita dihadapannya itu sedang berdiri tegak sedangkan ibunya seorang wanita yang lumpuh.

"Aku ibumu, apa kamu tidak mengenali ibumu sendiri?" Wanita itu menghulurkan tangannya agar disambut oleh Rina.

Perlahan-lahan Rina menyambut huluran tangan wanita itu dan serta merta hati nuraninya bagai diserap satu perasaan rindu yang luar biasa. Rindu terhadap sentuhan ibunya itulah yang dirasakan saat itu. Air mata Rina mengalir serta merta alangkah rindunya dia terhadap wanita yang berjasa didalam hidupnya itu.

"Rina Altafunisa, apakah kamu sedang berputus asa?" Puan Mawar mendudukkan Rina dan dibiarkan anak gadisnya itu merehatkan kepalanya di pangkuannya seperti dahulu.

"Rina penat berjuang sendirian, ibu. Rina tidak kuat lagi menghadapi semua ini." Rina melepaskan tangisan dan kekecewaan yang dialaminya kepada Puan Mawar. Selama ini dia hanya memendam rasa dan tidak mahu berbagi dengan sesiapa kerana dia tidak mahu menyusahkan orang lain tetapi perasaan itu semakin lama semakin menyeksa dirinya dan seakan membunuhnya secara perlahan-lahan.

"Apa kamu tidak yakin dengan kekuasaan Allah?" Puan Mawar bertanya lagi inginkan kepastian apa yang dirasakan oleh Rina.

"Rina yakin dengan kekuasaan Allah tetapi Rina cuma insan biasa yang tidak mampu menjalaninya sendirian. Bagaimana dengan anak ini nanti jika dia lahir? Orang akan memperkecilkan dirinya kerana tiada seorang bapa disisinya. Orang akan menuduh dia anak haram. Anak yang tidak berstatus. Apa yang harus Rina lakukan, ibu?" Rina memandang Puan Mawar.

Perlahan-lahan Puan Mawar mengucup kening Rina dan didudukkan anaknya itu tegak sebelum dia mengusap wajah Rina dengan penuh cinta. Perut Rina diciumnya lembut dan dia menggenggam tangan Rina dengan kuat untuk memberikan Rina semangat.

"Tidak ingatkah kamu dahulu kisah ibunda Siti Mariam binti Imran? Dia dituduh dengan tuduhan keji wahal dia tidak pernah melakukan perkara terkutuk itu. Dialah wanita suci yang tidak pernah disentuh oleh mana-mana lelaki tetapi dengan kehendak Allah ditiupkan roh ke dalam perutnya untuk melahirkan Al Masih. Apakah dia berputus asa? Perasaan takut itu wajar, anakku. Ibunda Siti Mariam juga menjauhkan diri daripada orang sekeliling untuk menjaga keimanannya. Tetapi untuk berputus asa itu bukan yang diajar oleh agama Islam. Berputus asa adalah sifat syaitan. Kamu harus kuat dengan menjadikan kisah ibunda Siti Mariam sebagai teladan. Yakinlah pada Allah dengan bersungguh-sungguh dan nescaya Allah akan membantu kamu tanpa dapat kamu jangkakan." Puan Mawar berbisik kepada anaknya itu.

"Tapi Rina bukan Siti Mariam ibu. Rina bukan wanita sehebat wanita penghulu syurga itu." Rina masih meraung menangis mengharapkan pengertian Puan Mawar.

"Kamu memang bukan Siti Mariam. Tapi kamu sama-sama hamba Allah. Allah tidak akan mempersia-siakan doa seorang hamba yang bertakwa kepada-Nya. Ingat, sabar dan ikhlas." Puan Mawar mengesat air mata Rina agar anaknya itu berhenti menangis.

"Anak yang kamu kandungkan ini akan menjadi penguat diri kamu untuk teruskan hidup di dunia sana. Didiklah dia dengan agama nescaya kelak dia akan menjadi orang berjaya dunia dan akhirat." Sebaik saja Puan Mawar selesai berbicara dengan Rina. Puan Mawar bangun dan mahu berlalu dari situ dengan diiringi perempuan-perempuan cantik lagi indah tadi. Rina turut berdiri dan mahu mengejar Puan Mawar yang mahu meninggalkan dirinya bersendirian disitu.

"Ibu mahu ke mana? Tidak bolehkah jika bawa Rina bersama?" Rina bertanya. Dia sedar Puan Mawar berada di alam yang berbeza dengannya. Dia berada dalam satu mimpi yang indah yang diizinkan oleh Allah untuk berjumpa dengan Puan Mawar.

"Tempat kamu masih bukan disini. Masih banyak yang perlu kamu pelajari di dunia untuk berada di syurga Allah. Ibu akan menanti kedatanganmu. Bersabarlah Rina Altafunisa kerana perpisahan ini hanya sementara. Kelak Allah pasti mempertemukan kita dengan syarat kamu terus beriman kepada-Nya." Dengan sekelip mata Rina, Puan Mawar hilang dari pandangan mata.

Rina terjaga dari tidurnya yang lena. Matanya basah kerana dia menangis di dalam mimpinya. Azan subuh kedengaran memanggil hamba-hamba yang bertakwa dan beriman untuk bangun menyembah Allah s.w.t.. Rina melihat disamping bantalnya, ada kain batik Puan Mawar disitu. Dia bermimpi berjumpa dengan ibunya. Mimpi yang sangat indah. Ibunya mengingatkan dirinya agar menguatkan keimanannya kepada Allah.

"Ibu, Rina janji akan terus kuat untuk Allah mempersatukan kita di syurga kelak." Rina mencium kain batik milik Puan Mawar sebelum berlalu ke bilik air untuk membersihkan diri. Dia harus bersiap-siap dengan segera untuk ke pekan dan melihat syarikat yang bakal dia menjalani latihan industri agar dia tidak kelam kabut bila hari pertamanya bermula.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience