Ponnn!!
Bunyi hon bergema dengan kuatnya di kawasan pusat latihan memandu. Bagaimana hon kereta ini boleh berbunyi sedangkan aku tidak berbuat apa-apa pun? Lagi pula aku baru sahaja melangkah masuk ke dalam kereta ini dan terus duduk di kerusi memandu. Alamak! Bagaimana hendak menghentikan bunyi hon ini? Aku lihat hampir semua orang yang berada di pusat latihan memandu ini sudah memandang ke arah kereta belajar memandu yang sedang aku naiki. Aku mula menjadi tidak tentu arah.
“Alihkan tangan awak tu daripada stereng.” Tiba-tiba telinga aku menangkap suara seseorang memberikan arahan.
Secara automatik aku menoleh ke arah datangnya suara itu, namun tidak pula aku mahu mematuhi arahan tersebut. Salahkah aku menekan bahagian tengah pada stereng itu sebagai cara meredakan perasaan takut dan debar di dalam diri aku ini? Lagi pula aku harus berani menyentuh stereng kereta, barulah aku akan berani memandu kereta ini nanti.
Aku dapati seorang lelaki dalam lingkungan umur tiga puluh hingga tiga puluh lima tahun yang berada di tempat duduk penumpang hadapan itu sedang memandang aku dengan kening yang berkerut. Namun bibinya seolah-olah mahu mengukir senyuman, tetapi seperti ditahan-tahan. Huh! Jika kau mahu ketawakan aku, ketawa sahajalah. Tidak perlu ditahan-tahan begitu. Memang aku tidak tahu apa-apa berkenaan hal kereta. Dan aku tidak kisah jika kau mahu ketawa sampai berguling-guling sekalipun. Getusku di dalam hati.
“Saya kata, alihkan tangan awak. Bunyi hon ini berpunca daripada bahagian tengah stereng yang awak tekan tu. Di situlah tempat hon,” jelas lelaki itu. Sekali lagi dia mengarahkan aku melepaskan stereng.
Secepat kilat aku mematuhi arahannya. Hisyy, manalah aku tahu di bahagian tengah stereng itu ialah tempat hon! Sesuka hati pula aku menekannya. Aku tersengih kepada lelaki itu sebagai cara mengawal perasaan malu yang pastinya sudah memerahkan wajahku pada saat ini.
“Nama saya Nazhan. Sayalah yang akan mengajar awak memandu kereta ini.” Lelaki itu memperkenalkan diri. Ada senyuman yang terbit di bibir lelaki itu pada hujung ucapannya. Ohh… rupa-rupanya dia ini merupakan cikgu memandu aku.
“Nama saya Nur Nayli Liwani. Encik boleh panggil saya dengan nama Nayli sahaja,” balas aku sambil tersenyum.
“Baiklah, Nayli. Sebelum saya memulakan sesi latihan ini, saya mahu bertanyakan awak satu soalan. Apa yang awak tahu tentang kereta?” Tanya Encik Nazhan.
Share this novel