Kisah 1 : Bising

Thriller Series 7294

WAKTU menunjukkan hampir pukul 1.00 pagi apabila aku terdengar ketiga rakanku membuka pintu rumah. Bagaimana aku tahu itu adalah mereka? Kerana ini adalah masa mereka selalu pulang ke rumah, iaitu selepas pukul 12.00 tengah malam. Aku sudah biasa dengan rutin harian mereka.

Aku jarang keluar pada waktu malam kerana aku adalah seorang yang lebih selesa duduk di rumah, menyiapkan kerja yang bertimbun. Sebenarnya aku seorang penulis. Untuk menjayakan novel baru milikku, aku perlukan masa bersendirian, masa ketenangan.

Ketenangan mampu membuahkan idea-idea yang gempak lagi asli. Malam ini keadaan begitu tenang. Seperti yang aku suka. Tiada bunyi motosikal atau kereta yang lalu lalang. Terlalu tenang sehinggakan aku dapat mendengar bunyi...

Kekosongan.

Aku tinggal di sebuah rumah teres dua tingkat yang mempunyai 4 buah bilik tidur. 3 bilik tidur terletak di tingkat atas, 1 lagi di bawah. Aku tinggal di bilik tidur di bawah. Aku memilih untuk tinggal seorang di bawah. Aku sukakan privasi. Siapa tak sukakannya? Bilik aku juga terletak bersebelahan ruang tamu. Jadi, aku akan tahu jika ada penghuni rumah ini yang keluar dan masuk.

Aku malas untuk keluar menjengah rakanku di ruang tamu kerana aku agak sibuk meluahkan idea di kekunci komputer riba. Kedengaran seperti mereka sedang ketawa ria bergurau senda sesama sendiri. Seperti selalu. Aku dapat mendengar perbualan mereka dengan begitu jelas sekali.

Aku dapat mendengar setiap perkataan yang diucap. Aku terus menumpukan perhatian dengan kerjaku dan tidak mempedulikan bunyi bising riuh-rendah di ruang tamu. Biasalah perempuan. Seharian tak akan lengkap tanpa gosip-gosip terbaru.

Bagaikan hobi. Aku terus menatap skrin laptop bagaikan menatap wajah bakal suamiku yang tampan. Tapi kosong. Semua terbantut. Ke mana pergi semua idea-idea ku? Arghhh... bising betul dorang ni...

Mungkinkah aku sedang mengalami apa yang dikatakan ‘writer’s block’? Tak mungkin. Baru sahaja tadi idea segar berlegar-legar di tepi minda dan sekarang ia hilang entah kemana. Rakan-rakanku semakin rancak bersembang di ruang tamu.

“Ex-boyfriend kau bodohlah,” kata seorang rakanku. “Ha’ah, dia memang bodoh pun,” jawab lagi seorang rakanku. Aku dapat mendengar setiap bait ucapan mereka. Aku memerhati skrin komputer riba dengan minda yang kosong. Tumpuan ku hilang dek bunyi bising di luar sana. Aku berhenti menulis.

Aduh... dahlah kena siapkan malam ni jugak. Esok kena hantar...

Aku dapat mendengar yang mereka sedang bercakap tentang bekas teman lelaki rakanku. Aku cuba untuk tidak menghiraukan mereka dan menumpukan perhatian pada kerjaku sekali lagi. Aku perlu menghantar sekurang-kurangnya 10 bab kepada penerbit untuk dinilai. Selepas siap menulis, aku bercadang untuk berehat di ruang tamu bersama mereka. Jam menunujukkan pukul 2.00 pagi. Malam masih muda bagi aku. Bekerja sehingga lewat pagi sudah menjadi perkara biasa.

Percubaanku untuk menumpukan perhatian sekali lagi gagal. Suara mereka terlalu kuat untuk aku buang dari sudut mindaku. Mereka terus berborak dengan rancak nya dan sekarang aku dapat mendengar yang mereka sedang bercakap tentang makanan. Perkataan ‘lapar’ dan ‘makan’ dapat ku dengar berulang kali. Biasalah. Bila sudah tidur lewat, perut pun menjadi lapar bagaikan harimau bintang tak makan sebulan di Afrika.

Beep! Beep! Beep!

Bunyi itu menandakan aku mendapat mesej. Nama salah seorang rakanku tertera di skrin handphone. Aku meletakkan handphone itu di atas katil lalu menjerit menghadap pintu. “Woi, janganlah kacau aku! Kejap lagi aku keluarlah! Lagi sikit je ni nak siap! ” Aku dapat mendengar mereka ketawa terbahak-bahak sejurus selepas itu. Gelak tawa itu berterusan sehinggakan ianya semakin menggila. Dan kasar. Aku semakin pelik. Dia antara gelak tawa itu, aku dapat mendengar perkataan ‘makan’.

Hahaha!!!

Makan!!!

Hahaha!!!

Gelak tawa itu berterusan sehinggakan aku menjadi pelik. Tiba-tiba, keadaan menjadi sunyi sepi. Hilang gelak tawa. Lesap riuh rendah. Aku tergamam. Lalu aku teringat yang aku terdengar perbualan rakan-rakanku pada minggu lepas. Mereka merancang untuk mengenakan ku bila hari jadi ku semakin hampir.

Ini mesti rancangan dorang... Confirm. Aku tersenyum. Aku dapat mengagak yang ini adalah rancangan mereka semata-mata untuk menakutkanku. Aku berasa lega kerana aku sudah mengetahui tentang rancangan mereka. Taklah nanti aku terperanjat sehingga terkencing di dalam seluar. Dapat malu seumur hidup.

Selama 5 minit kesunyian memecah ruang rumah. Tiada gelak tawa berkumandang. Aku menunggu sambil tersenyum memikirkan untuk mengagalkan rancangan mereka. Dengan tidak diduga, aku mendengar rakanku bersuara.

“ Dia dah tahu....”

“Boleh kau dengar suara kami.....?! “

Satu suara yang amat garau menempik dari ruang tamu. Jantungku berdegup laju. Apakah yang sedang aku dengar? Mungkinkah aku bermimpi?

“Ceraikan urat tubuhnya!!!”

“Kerat tulang-temulang yang rapuh!!!”

Suara yang garau itu seperti berlapis-lapis kedengaran. Seolah-olah ia bukan suara normal manusia. Ya, bukan manusia.

“Siat alir kulitnya apabila mucul gelita...”

Gelak tawa yang amat garau dan menyeramkan sekali lagi menerpa ruang udara di ruang tamu. Kini bunyinya tidak lagi seperti tiga orang yang bersuara, tetapi sepuluh orang.

Eh, mengarut ni. Dorang nak takutkan aku je.

Relaks sudah.

Aku cuba menenangkan hati dek takut sebentar tadi. Perasaan takut kini beransur menjadi marah. Mana taknya, tumpuanku untuk menulis telah terganggu sejak setengah jam yang lalu. Aku tidak ada mood untuk melayan kerenah rakan-rakanku lagi lalu menutup skrin komputer riba. Aku bangun dengan pantas, menyambar telefon lalu membuka pintu bilikku.

Kegelapan menyelubungi ruang rumah. Ruang tamu, dapur dan tingkat atas menjadi gelap gelita. Tiada sesiapa di ruang tamu. Kosong. Hanya cahaya dari bilikku yang menyuluhi sedikit ruang di luar. Jantungku berdegup dengan laju. Dalam masa yang sama, handphone ku berbunyi menandakan ada mesej. Aku terkejut dan hampir melepaskan handphone dari tangan.

Mesej Baru
Dila, kami kat luar lagi ni. Lewat sikit balik rumah.

Aku terlepas handphone di tangan. Kakiku terasa lembik. Tekakku terasa kering. Fikiranku bercelaru memikirkan logik.

“Siat alir kulitnya apabila muncul gelita!!!”

Kedengaran suara yang garau menempik dengan tiba-tiba. Kemudian, lampu bilik yang tadinya terang benderang telah terpadam. Satu-satunya cahaya yang ada telah hilang, menyebabkan rumah itu ditelan kegelapan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience