Bab 1

Humor Completed 19792

Sepupu Kau, Suami Aku
Oleh: Nazehran Jose Ahmad

1

“Hana, turun!” jerit Puan Rohana dari tingkat bawah.

“Kejap, ibu. Nak pakai tudung,” laung Rihana menjawab sahutan ibunya dari biliknya di tingkat atas.

“Awak ni. Cuba perlahankan sikit suara tu. Sekurang-kurangnya, kurangkan volume dari enam belas kepada sepuluh ke,” ujar Encik Wahab di sebalik suratkhabar.

“Kalau saya perlahankan volume suara ni, tak dengar pulak anak abang kat atas tu. Kang terlambat pula dia ke tempat kerja. Nanti mengadu pulak kat kita ni yang dia kena marah dengan bos. Ish, malas nak mendengarnya, bang,” Encik Wahab menjeling isterinya dengan ekor mata.

“Ikut suka awaklah, puan isteri oi,” Melebar sengihan Encik Wahab.

“Abah, ibu… Hana balik lambat sikit eh hari ni. Laila ajak singgah mall kejap. Teman jumpa bakal suami dia,” Rihana melabuhkan punggungnya di kerusi berhadapan dengan ayahnya.

Tangan kanan laju mencedok mee goreng kegemaran ke dalam pinggan.

“Lambat tu pukul berapa?” tanya ayahnya lagi.

“Emmm, Hana pun tak surelah, abah. Nanti apa-apa hal, Hana call abahlah,” jawab Rihana lalu menyuap mee goreng ke mulut. Sempat juga dia melihat jam di pergelangan tangan kirinya. Masih awal lagi.

“Mall yang dekat dengan office Hana ke?” soal ibunya pula. Rihana hanya mengangguk dek kerana mulut penuh dengan mee goreng.

“Ibu pun nak pergi mall tu jugak petang nanti. Dengan mama Hasni,” beritahu Puan Rohana. Dia menuangkan air kopi panas ke dalam cawan dan diletakkan di hadapan Rihana.

“Mama Hasni? Buat apa, bu?”

“Nak cari barang hantaran katanya. Dua minggu lagi ada yang nak datang meminang Azra,” jelas Puan Rohana.

“Kak Azra, bu? Bestlah. Dah jumpa calon,” keluh Rihana.

Serentak itu, Encik Wahab dan Puan Rohana memandang anak gadis mereka. Macam orang berjauh hati pun ada si Rihana ni.

“Tak nak cari pengganti ke?” Sengaja Encik Wahab ingin merisik khabar.

Selepas Rihana putus tunang dengan Heikal, si mamat sewel tu, dia belum mencari pengganti. Malas katanya. Biar saja jodoh tu datang sendiri. Memang putus harapan betul dia. Orang dah elok-elok sayangkan tunang, tiba-tiba pulak terputus. Mahunya tak meroyan si minah sorang ni.

“Dah lambat ni. Hana pergi dululah,” Lagi lama dia disitu, semakin jauh pula ibu dan abahnya melencong. Pening kepala dibuatnya.

Sebelum keluar bekerja, sempat dia meminta restu kedua ibu bapanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience