“Ini daun ketum!” Jawab Mak Mah. Rusyidah terkejut.
“Aku dah agak ini mesti kerja Wak Bon ni.” Sampuk Tok Mat.
Rusyidah menjadi serba salah apabila melihat ayahnya. Tok Mat duduk di atas kerusi. Mahu saja Rusyidah meluahkan perkara sebenar kepada Tok Mat tetapi nampaknya masa tidak sesuai. Azan maghrib sudah pun berkumandang. Tok Mat membaca doa berbuka puasa sambil diaminkan oleh Rusyidah dan Mak Mah.
Malam itu, Tok Mat tidak pergi ke masjid untuk solat tarawih. Dia tahu bahawa Rusyidah pasti akan menceritakan perkara sebenar kepada dirinya. Tok Mat juga sebenarnya berat hati untuk melepaskan Rusyidah kepada Razi kerana dia sudah menjaga Rusyidah sejak dari kecil.
“Ayah.” Rusyidah memanggil ayahnya perlahan. Rusyidah mendekati ayahnya. Kali ini Rusyidah bertekad untuk menceritakan hal sebenarnya kepada Tok Mat.
“Syawal ni syawal terakhir buat Idah. Idah tak sanggup nak tinggalkan ayah dan bergelar sebagai seorang isteri. Nanti Idah kena ikut Razi kalau dia nak berpindah ke bandar. Idah tak sanggup beritahu kepada ayah sebab takut ayah akan rasa sedih.” Rusyidah meluahkan perasaannya. Cecair jernih mengalir dari mata Rusyidah. Dia sebak. Tok Mat juga turut merasa sebak dan dia memeluk anaknya itu.
“Ayah mungkin akan rasa kesunyian tapi ayah kena terima hakikat bahawa anak ayah ni dah dewasa dan mampu buat keputusan sendiri. Ayah hanya mampu tumpang gembira kalau anak ayah ni gembira.” Tok Mat juga turut menangis. Kalau diikutkan, Tok Mat mahu Razi dan Rusyidah tinggal bersamanya namun Razi terpaksa berpindah ke bandar kerana mendapat kerja di sana.
“Maafkan Idah, ayah. Idah tak mampu nak buat ayah gembira…” Luah Rusyidah lagi. Tok Mat menepuk-nepuk belakang Rusyidah.
Share this novel