Bab 6

Romance Completed 12519

“CANTIKNYA, Kak Maria,” puji Izzah ikhlas. Dia meliarkan matanya
merenung hiasan di dalam bilik pengantin itu.

Maria yang sudah siap bersolek hanya tersenyum. “Kenapa tak
datang masa akad nikah hari tu?”

“Reen busy sikitlah, kak. Sorry eh?” bohongnya. Dia
mencapai tangan Maria sambil membelek-belek inai yang terlukis cantik di
tangan sepupunya itu.

Maria tersenyum. Diperhatikan saja gelagat Izzah.

“Kak, selalunya majlis perkahwinan kat KL ni guna katering,
kan? Tapi kenapa Reen tengok jiran-jiran akak yang memasak?”

“Mak malas nak guna katering. Mak cakap nak wujudkan balik
budaya Melayu yang dah lama orang bandar tinggalkan. Kalau
bergotong-royong dapat rapatkan lagi hubungan kita dengan jiran tetangga.”

Izzah mengangguk, bersetuju dengan penjelasan itu.

“Hah, datang pun kamu, Reen! Mak long ingatkan tak datang
tadi,” ujar Rohaya yang baru muncul di bilik itu.

Izzah bangkit menyalami Rohaya.

“Kamu bila pulak nak kahwin, Reen?”

Dah mula dah! “Reen muda lagilah, mak long. Belajar pun
belum habis lagi,” jawab Izzah sambil melabuhkan duduk di sebelah Maria
kembali.

“Mak long dulu umur 18 tahun dah kahwin tau. Ke kamu belum
ada calon?” Rohaya melabuhkan duduk di bangku meja solek.

“Itu zaman dulu, mak long. Zaman sekarang orang perempuan
suka kahwin lambat. Dah kumpul duit banyak-banyak baru boleh kahwin.”
Izzah meluahkan pendapatnya.

“Kalau tak menjawab tak sah kamu ni kan? Kalau lambat sangat
kahwin tu tak lakulah gamaknya. Ya tak?” Rohaya bersuara sinis.

Grrr, geramnya aku! Ni yang malas nak datang ni!

Maria melekapkan tangannya di atas tangan Izzah, memberi
kekuatan. Dia tahu Izzah bengang dengan bicara emaknya. Dia sudah masak
benar dengan perangai emaknya yang suka membebel. Bukan dengan Izzah
seorang saja yang dibebelkan tapi dengan semua anak saudaranya yang
dirasakan tak kena dengan matanya turut terkena tempias bebelannya.

“Alah, mak ni. Maria pun kahwin umur 27. Lambat jugak tu.
Mak jangan risaulah pasal Reen, ada jodoh kahwinlah Reen ni.” Maria
menyebelahi Izzah.

“Kamu lain, Maria. Masa tengah belajar lagi kamu dah ada
boyfriend tapi Reen ni jangan kata ada, bayang pun mak tak nampak. Apa
lagi yang dicari? Kat universiti tu kan banyak lelaki. Pilih jelah
yang mana suka.” Rohaya tetap mempertahankan kata-katanya.

Izzah hanya menulikan telinga. Mak long ni ingat pilih
lelaki macam pilih ikan kat pasar borong ke? Izzah menjawab dalam hati.
Kalau dijawabnya depan-depan alamat bertambahlah kemarahan Rohaya.

“Mak, ayah panggil. Tetamu dah nak sampai,” panggil Nazim di
balik langsir bilik.

Rohaya berlalu meninggalkan bilik itu.

“Sabar ya, Reen? Mak memang macam tu,” pujuk Maria.

Izzah hanya tersenyum.

*****
IZZAHmengangkat kepalanya yang terasa lenguh kerana tunduk terlalu lama.
Dia mengurut tengkuknya perlahan sambil meliarkan mata ke sekitar
perpustakaan. Matanya terpaku apabila melihat Harraz turut berada di
dalam perpustakaa itu.

Dia menopang dagu sambil merenung Harraz. Jarak di antara
meja yang didudukinya dengan meja Harraz membolehkan dia melihat wajah
Harraz dengan jelas. Dia tersenyum sendirian melihat pelbagai mimik di
wajah lelaki itu. Adakalanya Harraz mengerutkan dahi, adakalanya dia
memejamkan mata sambil mulutnya terkumat-kamit dan adakala cermin
matanya hampir melurut jatuh dari batang hidung ditarik semula ke atas.

“Hoi! Apa yang kau senyum sorang-sorang ni?” bisik Syamira
ke telinga Izzah sambil menyiku sedikit rusuk gadis itu.

Izzah tersentak. “Tu...” Dia memuncungkan mulutnya menunjuk
ke arah Harraz yang sudah berubah dari duduk menegak bertukar menongkat
dagu.

Syamira menepuk dahi. “Kawan aku yang sorang nilah...
betul-betul angau!” Dia menyambung kembali bacaannya, membiarkan Izzah
yang masih lagi merenung Harraz.

Harraz terasa seperti ada mata yang memerhatikannya. Dia
mengangkat muka dan meliarkan pandangan ke sekeliling perpustakaan.
Terbeliak matanya apabila melihat Izzah sedang merenungnya sambil
melambaikan tangan. Wajahnya sudah berubah merah apabila mengingati
kejadian yang memalukan itu. Dia menegakkan buku yang dibacanya, mukanya
disorokkan di sebalik buku itu. Perlahan-lahan kepalanya diangkat
sedikit dari buku untuk mengintai Izzah. Dan dia kembali menunduk
apabila Izzah masih lagi merenungnya.
“Kenapa perempuan tu pandang aku? Ada apa-apa yang tak kena dengan muka
aku ke?” Dia meraba wajahnya. Jarinya terhenti pada satu benjolan
sederhana besar yang terletak betul-betul di atas dahinya. “Alamak! Dia
pandang jerawat aku ke? Hesy, tak boleh jadi ni! Balik nanti aku kena
beli Oxy!” Dia cuba menumpukan perhatian pada bacaan.

“Izzah, jom pergi kafe, dia orang dah tunggu kita kat sana.”
Syamira memegang bahu Izzah. Sebelah tangan lagi menyimpan telefon
pintar di poket jean.

Izzah mula mengemas buku-bukunya lantas bangkit meninggalkan
perpustakaan. Apabila hampir sampai ke pintu keluar dia berpaling ke
belakang. Dia lihat Harraz seperti tercari-cari seseorang. Apabila mata
mereka bertembung Izzah menggerakkan bibirnya dan berkata ‘see you!’
Kemudian dia melambaikan tangannya tanpa menghiraukan pandangan pelik
pelajar lain. Dia berpusing kembali untuk mengejar Syamira yang sudah ke
depan.

Wajah Harraz kembali bertukar merah apabila semua mata
memandang ke arahnya. Dia mula mengemas semua buku untuk beredar dari situ.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience