“Kau pergi dari sini. Mak tak nak tengok kau balik sini! Pergi!!!” arahan dari ibunya itu seolah-olah telah melemparkan dirinya ke lautan yang dalam sehingga kelemasan. Dia terpungguk sendirian. Kakinya kaku seperti dipaku. Tak bolehkah ibu memaafkan kesalahannya. Dia mula membuka langkah menuju keluar dari rumah ibu. Air matanya bercucuran tidak dapat dikawal lagi. Siapa lagi yang boleh dijadikannya tempat mengadu? Kakaknya tiada di rumah. Jika tidak,dengan kakaklah dia meluahkan isi hati. Dia mula mengatur langkah perlahan. Tidak diketahui mana arah tuju. Tiada kata-kata yang dapat diungkapkan lagi. Mak! Maafkan Nawfal.
Embun sejuk pagi itu melirik di pipi cengkung Nawfal. Hampir 10 tahun dia berada di bumi Australia. Sejak menjadi pelarian dari rumah sendiri, dia tinggal dengan sepupunya di Perth, Australia. Sambil dia mencari serimbun rezeki, pelajarannya juga tak terabai. Berbekalkan wang simpanan yang disimpannya ketika dia sekolah dahulu, dia menyambung pelajarannya di negara asing itu. Usai sahaja kelas, dia bergegas ke kedai makan halal yang diusahakan warganegara Malaysia untuk bekerja ‘part time’ pula. Kehidupannya sibuk mencari rezeki dan belajar. Dari dahulu lagi dia merupakan pelajar cemerlang di sekolahnya, namun kerana hawa nafsu yang memuncak dia tewas di sebalik tabir.
Selepas kejadian tersebut, dia nyaris diambil tindakan tatatertib oleh pihak sekolah. Namun, disebabkan dia merupakan seorang pelajar yang mempunyai rekod disiplin yang bersih serta cemerlang dalam akademik dan kokurikulum, pihak sekolah telah memberi kelonggaran dan hanya memberi amaran serta khidmat kaunseling untuk membentuk semula sahsiah dirinya yang tenggelam dek nafsu syahwat. Keluarga bekas teman wanita juga tidak mengambil tindakan ke atas dirinya kerana anak mereka juga bersalah.
Akhirnya, di bumi Australia inilah dia terpungguk rindu mengenangkan nasib yang dipulau ibu atas kealpaan jerat sendiri. Kealpaan itu mengajarnya erti kehidupan yang sebenar. Tidak mahu disusahkan keluarga sepupunya walaupun mereka mampu untuk menanggung dia. Ibunya tak pernah tahu yang dia berada di sana sehinggalah dia sendiri memberitahu kakaknya akan keadaan di sana.
Walaupun di perantauan, dia masih ingat pesanan ibunya. Pesanan itu dipegang erat tanpa dilepaskan. Kata ibu, di mana sahaja dia berada jangan lupakan asal usul. Ingat Allah dan Rasul. Jadilah Muslim yang terbaik supaya dapat dicontohi orang. Akhlak dia hampir musnah sebelum dia memulakan penghijrahannya ke bumi ‘Swan’ itu. Kesal dengan kejadian yang menimpanya dia berjanji pada diri untuk sentiasa membahagiakan ibunya.
Share this novel