Teja Untuk Arjuna 3

Short Story Series 2756

Semakin hari gadis itu semakin cantik pada mata seorang Arjuna. Gadis itu membesar di hadapan matanya. Dan sedikit demi sedikit gadis itu kembali berbicara dengannya. Cukup sekadar dengannya sahaja! Dia sudah tidak betah memberikan senyum gadis itu kepada lelaki lain.

“Arjuna, nanti jangan lupa Teja tau. Teja kena masuk asrama. Cuti sekolah Teja janji, tiap-tiap hari Teja datang jumpa Arjuna.” Itu ujaran gadis itu apabila mendapat tawaran masuk ke Maktab Rendah Sains Mara selepas mendapat keputusan Penilaian Menengah Rendah. Walau sedih berpisah, dia rela asalkan gadis itu tidak lupa padanya. Dan gadis itu memegang janji yang dilafazkan.

“Arjuna, apalah nasib kita kan? Teja belum puas berbual dengan Arjuna, tapi Teja dah dapat panggilan ke universiti. Arjuna janji jaga diri baik-baik, jangan lupa Teja tau?” Seperti kali itu, dia hanya tersenyum menumpang bahagia atas kejayaan gadis itu.

“Arjuna, kita tak kan berpisah dah. Lantikan pertama Teja di sini. Di sekolah lama Teja. Arjuna suka tak?” Dan seperti gadis itu, dia adalah orang yang paling gembira melihat kegembiraan gadis itu. Saban petang masa dihabiskan bersama gadis itu. Saban petang telinga dijamukan dengan gesekan biola gadis itu yang semakin lama semakin bagus, semakin menjadi halwa telinganya.

* * *

Akhir-akhir ini kehadiran gadis yang tidak seperti gadis bernama Mawar seperti yang dikenalkan gadis itu kepadanya semakin kerap mengganggu masanya berdua dengan gadis itu. Namun, melihat senyum pada bibir gadis itu apabila menerima kehadiran gadis bernama Mawar itu membuatkan dia membuka hati menerima ‘kawan’ baru dalam hidup gadis itu.

“Kak Ika, Along saya kata dia teringin nak jumpa Kak Ika. Boleh kan saya bawa dia ke sini?” Gadis itu memandang kepadanya, seakan meminta kebenaran. Dia hanya menganggukkan kepala memberi kebenaran. Namun, kehadiran lelaki yang dipanggil Along oleh gadis bernama Mawar itu membuatkan dia terasa mahu memutar kembali masa.

“Kak Ika, ni Along Mawar, Benjamin. Along, ni cikgu Adik. Erika. Tapi ni luar sekolah, adik panggil Kak Ika.” Melihat senyum ikhlas yang terukir pada bibir kedua-duanya membuatkan dia jelak. Sesungguhnya, dia tidak betah untuk menahan perasaannya dari membenci kehadiran lelaki ‘asing’ dalam hidup gadis itu buat kali kedua.

* * *

Dia mengatur langkah secepat yang boleh. Hari ini dia sudah terlewat untuk temu janji sepetang bersama gadis itu. Harus bibir gadis itu muncung seperti itik pulang petang. Dari jauh lagi sudah kedengaran alunan dari biola yang digesekkan oleh gadis itu. Seperti selalu, lagu itu juga yang menjadi mainan hujung jemari gadis itu. Saban hari lagu itu juga yang dimainkan oleh gadis itu, seakan menagih janji kepada sesuatu yang tak pasti. Langkahnya terhenti apabila melihat susuk tubuh Along kepada gadis bernama Mawar itu tidak jauh dari gadis itu.

“Ika, boleh saya tengok biola Ika sekejap?” Dia cuak. Mengapa lelaki yang dipanggil Along itu perlu untuk melihat biola tua kepunyaan gadis itu? Dan mata gadis itu jelas meminta jawapan untuk permintaan tiba-tiba lelaki yang dipanggil Along itu.

“Dulu saya pun main biola juga.” Hatinya cuak melihat gadis itu tanpa banyak bicara menghulurkan biola yang menjadi nadinya setelah sekian lama kepada lelaki yang dipanggil Along itu. Dan seperti dirinya, gadis yang bernama Mawar itu juga seakan sedang menunggu sesuatu yang dijangkakan. Seharusnya sedari dahulu dia menghalang gadis itu untuk lebih rapat dengan gadis yang bernama Mawar itu.

Lelaki yang dipanggil Along itu membelek biola tua kepunyaan gadis itu dengan teliti. Dan pergerakan matanya terhenti di permukaan belakang badan biola itu, di sudut kiri. Jelas di matanya lelaki yang di panggil Along itu mengetab bibir menahan rasa, seperti dirinya.

* * *

Dia hanya berdiri di sebelah gadis itu yang terpaku. Terkejut dengan perbualan yang tidak disangka di antara dua insan yang berada tidak jauh dari mereka.

“ Adik rasa Along patut bagitahu Kak Ika. Sampai bila nak sembunyi di sebalik ‘Benjamin’?”

“ Adik tak faham..”

“ Memang Adik tak faham. Dan adik tak nak faham pun. Yang Adik tahu, hari ni sama ada Along atau Adik yang buka kebenaran di sebalik ‘Benjamin’ ni.” Dia tidak buta. Sungguh dia nampak gadis itu tersentak. Tangannya yang menjinjit biola tua itu sudah terlepas. Serentak itu kedua-dua insan itu memandang ke arah mereka.

“Teja…”

“Mana Encik Benjamin tahu nama saya?”

“Teja… Saya…”

“Berhenti menggunakan nama tu. Hanya Arjuna yang memanggil saya dengan nama tu. Dan dia…” Buat pertama kalinya dia lihat gadis itu tidak mampu menahan perasaannya. Air matanya sudah menuruni pipi laju.

“Kak Ika, Mawar minta maaf. Sepatutnya awal-awal lagi Mawar beritahu. Umi awal-awal dah ingatkan Mawar jauhkan Along dari Kak Ika..” Terhenti kata-kata dari gadis bernama Mawar itu dengan cerlungan mata gadis itu kepadanya.

“Apa salah akak pada Mawar? Sampai hati Mawar buat macam ni pada Akak.”

“Kak… Mawar…”

“Apa salah saya pada awak Encik Benjamin?” Dia menekan dadanya yang pedih melihat air mata gadis itu.

“Saya… Abang…” Lelaki yang di panggil Along itu cuak. Barangkali seperti dirinya, lelaki yang di panggil Along itu turut merasa kesakitan melihat air mata gadis itu.

“Lima belas tahun, tak.. enam belas tahun Abang tinggalkan Teja. Abang hilang. Abang lupa pada Teja. Abang tinggal Teja tanpa berita. Abang tinggal Teja dengan Arjuna macam tu je. Hari – hari Teja tunggu Abang di sini. Tak pernah Teja lupa. Janji Abang pada Teja, Teja pegang. Tapi kenapa sekarang baru Abang muncul? Kenapa mesti bersembunyi di hadapan Teja? Seronok tengok Teja macam ni? Abang suka tengok keadaan Teja macam ni? Puas hati Abang? Benci sungguh Abang pada Teja rupanya…” Gadis itu sudah teresak-esak menahan tangis. Tubuhnya longlai terjelepok ke tanah. Dia hanya memandang. Tidak mampu bergerak walau seinci pun.

Dadanya bagai disiat-siat melihat tubuh gadis itu berada dalam dakapan lelaki yang dipanggil Along itu. Ah… Bukan. Lelaki itu lelaki yang sama, lelaki yang bernama Tuah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience