Menurut kata abangnya, bahaya ada di mana-mana sahaja. Oleh sebab itu, Allyssa patuh kepada abangnya.
Wuu…! Wuu…!
Dari jauh telinga Allyssa mendengar sesuatu bunyi yang agak menakutkan. Seperti bunyi itu akan singgah di tempat dia sedang bersembunyi itu!
Kelam-kabut dia mencari apa-apa barang yang besar untuk berselindung di dalamnya. Nasib baik Allyssa terlihat sebuah objek yang berupa seperti kotak.
Kotak itu seperti dibuat daripada plastik dan berwarna hijau muda. Entah. Allyssa tidak pasti tentang objek itu dan apa-apa yang ada di dalam kotak tersebut. Dia berlari-lari anak untuk masuk ke dalam kotak itu.
Gelap gelita dan berbau hanyir. Hati Allyssa mula berbisik. “Di manakah aku sekarang ini? Bunyi apa yang menakutkan aku tadi? Batu-batu yang besar pun sudah bergerak ke sini. Kenapa?”
Agak lama Allyssa duduk di dalam kotak hijau itu. Sehingga hidungnya yang kembang menjadi kempis akibat memicit hidung terlalu lama. Busuk benar bau semasa bersembunyi di situ.
Bau bangkai, najis dan macam-macam! Entah apa yang ada di situ. Dia mahu megetahui sebab kotak ini berbau busuk. Namun kedua-dua bola matanya tidak berfungsi dengan baik kerana keadaan yang gelap.
Penat dia menggosok-gosok matanya berkali-kali tetapi tiada hasil. Hilang sebentar rasa laparnya ketika berada di dalam kotak yang agak busuk.
Perut Allyssa kembali berbunyi. Kali ini lebih rancak bunyinya. Sudah macam ada sebuah konsert rock yang diadakan dalam perutnya! Dia memicit perutnya yang sudah kembung.
Mungkin sudah masuk angin. Perit pula rasanya. Oleh itu, Allyssa membuat keputusan untuk keluar dari kotak tersebut. Dia meloncat keluar.
Matanya sempat melihat kembali isi-isi kotak itu. Saiz kotak itu besar dan panjang. Malah mempunyai empat roda kecil.
Share this novel